Bab 15
"Assalamualaikum."
Zafran memberikan salam sebaik sahaja tiba di rumah kakaknya. Sebaik sahaja menghantar Dhira ke rumah gadis itu, Zafran segera memandu ke rumah Zalila. Tidak mahu Zalila ternanti-nantikan kehadirannya. Sudahlah dia berbohong dengan kakaknya itu. Jumpa klien kononnya. Padahal jumpa Dhira.
"Waalaikumussalam. Hah, sampai juga Zaf," ucap Zalila dari dalam rumah. Pintu gril dibuka.
Zafran lempar senyum nipis sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Seorang budak kecil meluru ke arahnya dan meminta untuk dipeluk.
"Hai, sayang... Tunggu uncle, ya?" tanya Zafran sambil mendukung Isya, anak kedua kakaknya yang baru berusia tiga tahun.
Isya mengangguk.
"Kakak mana?"
Isya memuncungkan bibirnya ke arah sebuah bilik.
"Main dengan Awie dan Nisa. Dina tu mana boleh jumpa kawan. Dari tadi dia orang main dalam bilik tu... Tak keluar-keluar bilik," beritahu Zalila.
"Hei, Zaf..." Haris yang sedang duduk bersantai sambil berborak di ruang tamu memanggil kawannya.
"Kerja apa yang kau buat sebenarnya? Curious pula aku. Aku ni tak pernah buat kerja masa hujung minggu tau."
Zafran menghampiri tetamu-tetamu kakaknya bersama Isya di dalam dukungannya. Punggung dilabuhkan perlahan-lahan di sofa yang masih kosong. Bersebelahan Asyraf.
"Sebab kau tu dah ada keluarga. Kau nak Liza naik hantu? Lainlah aku ni. Bujang."
Isteri Haris menguntum senyum apabila namanya disebut.
"Hesy, orang bujang pun tak bolehlah nak hadap kerja aje. Habis tu, bila masanya nak cari teman hidup?"
"Entah, Zaf ni... Umur makin meningkat tapi calon isteri pun tak ada," sampuk Zalila.
"Samalah dengan Si Jannah ni. Masih tak ada calon suami." Puan Saleha mengerling anaknya.
Zafran tidak memberi sebarang respons. Ralit bermain dengan anak saudaranya. Dia sudah lali dengan soalan sebegitu.
"Zaf dah makan?" Puan Saleha bertanya.
"Dah, Mak Leha."
"Makan dengan siapa?" Nada suara Haris kedengaran nakal.
Zafran jeling Haris. Geram.
"Dengan kekasih hati," balas Zafran selamba. Terkejut semua orang dengan jawapan Zafran.
"Ha, puas hati kau?"
Haris menghamburkan tawa. Nakal.
"Oh, patutlah aku tengok muka kau berseri aje masa masuk rumah tadi. Baru jumpa kekasih hati rupa-rupanya." Lelaki itu masih lagi ingin mengusik.
"Tadi Zaf cakap Zaf jumpa klien. Mana satu yang betul ni?"
"Betullah Zaf jumpa klien. Saja aje layankan mood sengal Si Haris ni." Zafran menoleh ke arah Puan Saleha.
"Mak Leha tidur sini ke hari ni?"
Zalila mengangguk. Memberikan jawapan bagi pihak Puan Saleha.
"Along suruh Mak Leha dengan Jannah tidur sini hari ni. Zaf pun tidurlah sini. Tidur dengan budak-budak tu."
"Betul tu, Zaf. Budak-budak tu asyik tanya pasal uncle dia aje. Zaf tidurlah dengan dia orang hari ni," tutur Asyraf.
Zafran baru sahaja ingin menolak pelawaan kakaknya tetapi apabila abang iparnya sudah bersuara, mati terus niat lelaki itu. Kepalanya diangguk perlahan.
"Uncle Zaf..." panggil Isya perlahan bersama pelatnya.
"Teman Isya main dalam bilik. Kakak dah ada kawan. Dia tak nak main dengan Isya."
"Ha, pergilah Zaf... Layankan anak-anak saudara kau. Aku dengan Liza pun dah nak balik."
Zafran menoleh ke arah Haris.
"Dah nak balik? Relakslah dulu. Aku baru aje sampai."
"Kau tu memanglah baru sampai. Tapi kami ni... dah berjam-jam kat sini. Lagipun mak mentua aku nak datang malam nanti." Haris mengalihkan pandangannya ke arah Asyraf dan Zalila.
"Kami balik dulu. Terima kasih jemput kami."
"Yalah, Haris... Terima kasih juga sudi ke rumah akak. Nanti kirim salam dekat orang tua Liza."
Sebaik sahaja Haris sekeluarga pulang, Puan Saleha meminta diri untuk menunaikan solat sementara Asyraf membantu Zalila mengemas rumah dan mencuci pinggan mangkuk di singki. Jannah ingin menolong tetapi ditegah oleh tuan rumah. Disuruhnya duduk sahaja di ruang tamu bersama Zafran. Isya sudah pun bermain dengan kakaknya, Dina. Apabila Awie dan Nisa balik, barulah Dina nak bermain dengan adiknya. Kalau tidak, sedikit pun dia tidak endahkan adiknya itu.
"Bagus Abang Asyraf tu, kan? Rajin tolong isteri," puji Jannah sambil memerhatikan pasangan suami isteri yang sedang saling membantu mengemas di dapur. Kemudian dia kalihkan pandangan ke arah Zafran.
"Kak Lila cakap dia suka sangat dengan surprise daripada Abang Asyraf ni... Dan dia suka sangat design rumah ni."
Jannah mengerling ke arah Zafran. Ingin melihat riak wajah lelaki itu. Kemudian dia menyambung bicaranya.
"Abang tak nak beritahu ke siapa yang design rumah ni?"
Zafran tidak beriak. Dia kelihatan tenang dengan soalan yang diajukan oleh Jannah. Seolah-olah tidak terkesan dengan soalan itu.
"Jannah rasa Kak Lila perlu tahu ke?" balas Zafran tanpa memandang Jannah. Matanya masih terhala ke arah skrin televisyen yang sedang menayangkan rancangan Juara Parodi.
Jannah terdiam. Lama. Bantal kecil dipeluk erat.
"Kalau Jannah rasa Kak Lila perlu tahu, Jannah beritahulah dia," tambah Zafran. Nada lelaki itu mendatar.
Bibir Jannah diketap perlahan. Suasana menjadi sepi seketika. Zafran menumpukan perhatiannya kepada persembahan Black dot Chey.
"Abang ada jumpa dia lagi ke?" soal Jannah cukup perlahan. Takut-takut untuk melontarkan soalan itu.
"Hah?" Zafran menoleh ke arah Jannah. Soalan Jannah tidak didengarinya.
Perlahan-lahan Jannah menggeleng.
"Tak ada apa-apa."
"Lawak juga kumpulan ni," komen Zafran apabila kumpulan Black dot Chey menamatkan persembahan mereka. Terlepas tawa kecil dari bibir lelaki itu. Lucu dengan gelagat Black dan Achey.
Jannah melemparkan senyum. Gadis itu mula menumpukan perhatiannya ke arah televisyen. Ingin menonton rancangan itu bersama-sama Zafran. Soalan yang mengganggu fikirannya cuba dilupakan.
"I remember... date and time... September twenty second Sunday twenty five after nine... In the doorway... with your case... No longer shouting at each other... There were tears on our faces..." nyanyi Fei Fei mengikut lirik lagu The Day You Went Away yang terpapar di skrin televisyen.
Fei Fei masih meneruskan nyanyiannya sementara Dhira ralit bermain dengan telefon pintar. Dibiarkan sahaja Fei Fei nyanyi seorang. Sudah hampir sejam mereka di pusat karaoke setelah menonton wayang.
Tekak Dhira sudah mula rasa sakit sebab terlalu lama menyanyi. Lagipun dia sibuk membalas mesej daripada seseorang. Eh, bukan daripada Zafran tau. Mesej daripada bakal tunang Fei Fei, Rezza. Lelaki itu gelabah apabila Fei Fei tiba-tiba MIA, ayat ringkas untuk missing in action.
Puas berkaraoke, Fei Fei bawa Dhira ke sebuah kafe. Gadis itu ingin makan kek bertemankan secawan kopi dan Dhira ikutkan sahaja permintaan Fei Fei. Hari ini merupakan hari Fei Fei. Apa yang Fei Fei nak, dia ikut sahaja. Tiada bantahan.
"You lapar tak? Nak makan apa-apa?" Fei Fei menyoal sewaktu mereka melabuhkan duduk.
"I tak lapar sangat. Nak makan benda manis aje. If you lapar, you oderlah spageti ke, chicken chop ke..." cadang Fei Fei.
Dhira yang masih ralit dengan telefon pintar, menggelengkan kepala.
"I nak makan kek juga."
Fei Fei memanggil seorang pelayan dan mula membuat pesanan.
"You ni... Dari tadi I tengok asyik main phone aje. You WhatsApp dengan siapa?" soal Fei Fei sebaik sahaja pelayan yang mengambil pesanan mereka berlalu pergi.
Dhira memandang Fei Fei lalu melemparkan senyuman nipis. Telefon pintar diletakkan di atas meja. Terus dia berhenti berbalas mesej dengan Rezza apabila Fei Fei sudah menyoalnya sebegitu. Rasa bersalah pula berbalas mesej dengan bakal tunang kawan baiknya. Hesy, tapi dia bukannya bermesra-mesraan dengan Rezza. Mereka berbalas mesej pun berkaitan Fei Fei.
"Ex-husband you?" teka Fei Fei.
Geleng.
"Buat apa I nak main mesej dengan dia..." ucap Dhira, lebih kepada ayat penyata.
Fei Fei juih bibir.
"Tak salah pun kalau you main mesej dengan dia." Posisi duduk Fei Fei dibetulkan agar lebih selesa untuk berbual dengan Dhira. Kakinya disilangkan.
"Habis tu, lelaki mana you main mesej tu? Takkanlah abang I kut."
"Oh, Ken apa cerita? Dah lama tak bergosip pasal dia."
Mata Fei Fei bersinar. Terus dia merapatkan dirinya dengan Dhira. Gadis itu kelihatan teruja untuk bercerita pasal Ken. Lupa terus dia dengan persoalan Dhira main mesej dengan siapa?
"Abang I ada skandal baru. Jenny. Pretty and nice. Dia sopan sangat. Mummy I dah berkenan pada Jenny tu."
"Macam mana dia orang boleh kenal?"
"Abang I kan suka berparti. Entah parti manalah dia kenal Jenny tu. But seriously, Jenny ni lain sikit daripada skandal abang I sebelum ni. Dan Jenny mampu kawal abang I."
Dhira tersenyum lebar. Teruja pula dia nak berkenalan dengan Jenny.
"Bunyi macam serius aje relationship abang you dengan dia."
"Memang pun! Abang I dah tak keluar dengan perempuan lain tau. Jenny ni skandal paling lama dia."
"I baru tak jumpa dia..." Dhira berjeda seketika. Sedang membuat kira-kira di minda.
"Like two weeks... Maksudnya dia baru kenal Jenny less than two weeks, kan?"
Fei Fei mengangguk. Dalam masa yang sama, seorang pelayan menghantar pesanan mereka.
"Seminggu. Dia orang baru kenal seminggu," ucap Fei Fei sambil menyuap kek Pecan Butterscotch yang sudah dipotong kecil.
"Oh, patutlah you cakap skandal paling lama. I lupa pula skandal paling lama dia sebelum ni dua hari setengah."
Fei Fei tertawa kecil.
"Abang I marah tau kita panggil perempuan-perempuan yang keluar dengan dia, skandal. Dia kata kawan aje, bukan skandal. Cuma Jenny aje yang special sikit."
Dhira menyisip cappuccino yang masih panas perlahan-lahan.
"Mungkin dia akan jadi kakak ipar you."
"Mungkin..."
"Agak-agaknya, Chinese New Year nanti I boleh jumpa Jenny tak?"
"You dah beli tiket flight?"
Angguk.
"Kalau abang I masih bersama Jenny sampai Chinese New Year, mestilah you boleh jumpa dia."
Serentak, mereka melepaskan tawa. Masing-masing sudah masak dengan perangai Ken. Sebenarnya, Ken bukanlah kaki perempuan cuma lelaki itu ada sikap suka berkawan dan berkenalan. Ken juga seorang yang boleh dikatakan budiman. Semua orang dilayan dengan sikap budimannya itu. Baik Auntie Lin, Fei Fei mahupun Dhira. Hmmm, tengok sahajalah layanan Ken terhadap Dhira selama ini. Ramai yang gelar Ken lelaki yang berbahaya sebab biasanya perempuan yang keluar dengan Ken memerlukan masa yang agak lama untuk lupakan memori mereka ketika bersama walaupun mereka hanya bertemu selama satu jam. Mujur Dhira sudah biasa dengan layanan mesra Ken. Kalau tidak, dia pun hanyut macam perempuan lain. Naya aje.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co