Truyen3h.Co

1 Pengakuan 9 Luahan

Bab 14

karyaseni2u

Paip di bawah singki dapur rumah Fei Fei bocor. Air yang menitik-nitik ditenung lama oleh Dhira. Sedang mencari jalan penyelesaian. Sudah dua hari dia sedar paip di bawah singki itu bocor. Namun gadis itu terlalu sibuk sehingga tidak sempat memikirkan masalah itu. Hanya baldi yang diletakkan di bawah singki untuk mengelakkan lantai di dapur basah. Memandangkan hari ini hari minggu dan Dhira tidak bekerja, barulah dia terhegeh-hegeh memerah otak untuk menyelesaikan masalah paip bocor itu. Takkanlah dia nak biarkan sahaja paip itu bocor.

Upah tukang paip kat area ni mahal. Cecah ratus. Mana dia nak cari duit untuk upah tukang paip? Dia baru sahaja beli tiket penerbangan ke Singapura sempena pertunangan Fei Fei dan Tahun Baru Cina. Fei Fei ada cakap nak sponsor tiket penerbangan Dhira tapi tak mahulah Dhira. Segan kalau asyik ditaja.

Kalau nak harapkan gaji bulan ni, dia kena tunggu lagi dua minggu. Macam lama sangat pula. Kalau nak betulkan sendiri, manalah dia pandai. Takut lebih teruk pula jadinya. Sudahlah rumah Fei Fei. Bukan rumah dia. Satu keluhan terlepas dari bibir Dhira. Minda gadis itu sedang ligat mencari jalan penyelesaian.

Ha! Zafran! Tidak semena-mena Dhira teringatkan Zafran yang pernah mengambil upah sebagai tukang paip sewaktu lelaki itu di sekolah menengah untuk mencari duit lebih. Malah lelaki itu pernah membaiki paip di rumahnya suatu ketika dahulu. Upah yang dikenakan tidaklah mahal mana.

Dhira berfikir sejenak. Sedang menimbang tara sama ada ingin meminta pertolongan Zafran ataupun tidak. Persoalannya sekarang, nak ke Zafran tolong dia? Sudahlah minggu lepas dia buat perangai dengan mamat tu. Sejak peristiwa dia tertinggi suara dengan lelaki itu, mereka belum lagi bertemu. Tiada sebab pun untuk mereka bertemu. Hubungan kerja mereka sudah lama selesai.

Dengan langkah yang lemah, Dhira membawa dirinya ke ruang tamu. Tubuhnya dihempaskan ke sofa. Skrin telefon pintar yang memaparkan nombor telefon Zafran ditenung lama. Masih berkira-kira. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan-lahan. Cuba sahajalah, putus gadis itu.

Tanpa berlengah, Dhira menghubungi Zafran. Berdebar pula sewaktu menunggu Zafran menjawab panggilannya. Bebola mata gadis itu bergerak ke sana ke mari, menandakan gadis itu sedang cemas. Dan saat suara Zafran menyapa gegendang telinganya, gadis itu bertambah cemas. Dapat dia rasakan betapa lajunya jantung dia berdegup. Sangat pantas.

"Hello, Dhira... Are you there?" soal Zafran apabila Dhira hanya mendiamkan diri. Gadis itu terkelu sebenarnya mendengar suara Zafran. Macam dah lama sangat tak dengar suara lelaki itu padahal baru seminggu.

"Errr, hello... Saya ganggu awak ke?" soal gadis itu sedikit terketar-ketar. Liur terus ditelan. Cuba mengawal perasaan cemas yang hadir tanpa dipinta.

"Kenapa awal call saya?" Soalan berbalas soalan.

Dhira diam seketika.

"Saya nak minta tolong awak. Paip rumah saya bocor. Awak... awak boleh tolong betulkan tak?" Malas gadis itu nak berkias-kias. Terus dia luahkan tujuan dia menghubungi lelaki itu. Senang.

"Sekarang?"

"Bila-bila awak free."

"Beri saya lima minit."

"Terima kasih."

Tersungging senyuman lega di bibir Dhira sebaik sahaja menamatkan perbualan. Lega sebab perbualan mereka sudah tamat. Lega sebab Zafran ingin membantunya.

Okey, Dhira... Ingat! Kawal perasaan marah. Jangan ikut rasa hati.

Gadis itu mengingatkan dirinya. Tidak mahu kejadian minggu lepas berulang lagi. Tidak mahu keruhkan lagi perhubungan mereka.

Sementara menunggu Zafran, Dhira menyarungkan selendang ke kepala. Lilit sahaja ala-ala Hanis Zalikha. Mudah. Ringkas. Selamatlah Zafran nak betulkan sekarang. Lepas dia betulkan paip tu, bolehlah dia masak untuk makan tengah hari. Perutnya sudah lapar. Leceh betul nak memasak bila paip singki bocor.

Rasa cemas kembali hadir apabila loceng rumah berbunyi. Dhira melihat penampilannya di cermin besar di ruang tamu sebelum melangkah ke pintu rumah. Kenapa cemas sangat ni, Dhira? Tenang! Gadis itu tarik nafas lalu hembus perlahan-lahan. Wajahnya dimaniskan.

Pintu rumah dibuka dan dia melemparkan senyuman buat lelaki yang berdiri di depan pintu rumahnya bersama sebuah kotak berwarna hitam. Pintu gril dibuka dan dia mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumahnya.

"Sorry terpaksa susahkan awak," tutur Dhira sekadar berbasa-basi.

"Bila bocor? Baru lagi ke?" tanya Zafran. Kotak yang berisi peralatannya diletakkan di atas lantai sebelum dia membuka kabinet di bawah singki.

"Barulah juga. Saya sedar pun dua hari lepas. Tiba-tiba aje lantai basah."

"Dua hari lepas?" Zafran memalingkan wajahnya ke arah Dhira.

"Dan baru hari ni awak call saya?"

Dhira tayang sengih.

"Busy dengan kerja?" tanya lelaki itu sambil membaiki paip di bawah singki. Nada suara Zafran kedengaran ramah.

"Boleh tahanlah," balas Dhira sambil memerhatikan Zafran yang kelihatan tangkas.

"Oh, Kak Lila dah balik, kan? Encik Asyraf cakap kakak awak suka sangat design rumah tu," ujar Dhira. Ingin mencipta perbualan.

"Tengoklah siapa yang design rumah dia." Mata Zafran dikerling ke arah Dhira.

Dhira melepaskan gelak.

"Itu projek pertama awak, kan?"

"Mana awak tahu?"

"Joyce ada beritahu saya masa saya minta tukar designer. Dia suruh saya percayakan kebolehan awak. Well, she's right. You have talent. Saya tak tahu pula yang awak minat bidang hiasan dalaman. Ingatkan awak memang nak jadi nurse."

Bibir Dhira terukir senyuman penuh makna.

"Hidup saya dah diaturkan sejak kecil. Tak ada siapa tahu saya suka menghias. Ayah yang beria-ia nak saya jadi nurse. Dia nak saya jadi doktor sebenarnya tapi nak buat macam mana... Result SPM saya tak cemerlang pun. Tak layak nak masuk bidang medic. Itu yang dia suruh saya ambil nursing."

"Macam mana awak boleh involve dalam bidang ni?"

Dahi Dhira berkerut sedikit. Pelik! Tubuh Zafran yang membelakangkannya diperhati. Rancak pula perbualan mereka hari ini. Banyak pula soalan daripada lelaki itu. Namun lebih baik begini daripada mereka diam seribu bahasa. Janggal pula rasanya nanti.

"Sorry. Saya tak ada niat nak menyibuk. Sekadar bertanya," tutur Zafran apabila Dhira menyepikan diri.

Dhira tertawa halus.

"Eh, taklah. Saya tak kesah pun awak nak tanya. Saya tengah cari jawapan untuk soalan awak. Panjang sebenarnya cerita dia. Saya memang ada minat menghias tetapi saya tak pernah berangan pun nak jadi interior designer. Tak pernah terfikir pun nak sambung belajar bidang ni. Macam yang saya cakaplah. Hidup saya dah diaturkan dari kecil. So, saya memang ikut aje. Follow the flow. Tapi lepas apa yang berlaku..." Dhira berjeda seketika. Cuba menyusun ayat. Boleh rosak suasana yang harmoni andai dia tersilap kata.

"Hmmm, kebetulan saya bertemu dengan someone yang bekerja dalam bidang ni dan dia banyak beri tunjuk ajar pada saya. Mula-mula saya tolong sikit-sikit aje. Lama-lama, dia cadangkan saya untuk bekerja dengan dia. Siap taja pembelajaran saya."

"Wow! Ditaja. Untungnya," komen Zafran. Peralatan yang sudah digunakan disimpan semula ke dalam kotak. Tangannya yang kotor dibasuh.

Dhira hanya ukir senyum. Ya, dia akui dia memang beruntung. Dia bersyukur ditemukan dengan keluarga Auntie Lin. Mungkin dia masih hidup merempat jika dia tidak bertemu dengan keluarga itu.

Zafran memusingkan tubuhnya. Menghadap Dhira sambil mengeringkan tangannya menggunakan tuala kering.

"Who's that someone?" soal Zafran bersama pandangan mata yang dihalakan tepat ke arah sepasang mata Dhira. Pandangan mata itu kelihatan berbeza dengan sebelum ini.

Terkesima Dhira dengan pandangan Zafran yang tiba-tiba itu. Matanya seolah-olah dipanah dengan pandangan mata Zafran. Cepat-cepat gadis itu kalih ke arah lain. Jantung mula berdegup tidak menentu. Dah kenapa aku cemas dengan pandangan mata mamat tu? Dhira cuba berlagak tenang. Tekak yang terasa kering dibasahkan.

"That someone must be special to you," ucap Zafran. Penuh dengan makna yang tersendiri.

Perlahan-lahan Dhira mengangguk. Mengiakan kata-kata Zafran. Sudah tentu keluarga Auntie Lin istimewa baginya. Terlalu istimewa. Mereka itu keluarganya meskipun mereka tiada pertalian darah.

Zafran tersenyum nipis seraya menundukkan pandangannya. Wajah lelaki itu berubah sedikit. Zafran berdeham.

"Siap! Kerja saya dah selesai."

"Wah, cepatnya."

"Getah aje yang rosak. Saya dah ganti yang baru."

"Terima kasih, Zaf. Berapa?"

Kening Zafran ternaik sedikit. "Berapa apa?"

"Berapa upah awak?"

Zafran menggeleng.

"Saya dah tak ambil upah."

"Eh, janganlah macam tu. Seganlah saya. Getah yang awak ganti tu berapa ringgit?"

Zafran merenung Dhira bersama pandangan yang sukar ditafsir. Bibir terkatup rapat.

"Awak dah lunch?" Lelaki itu mengajukan pertanyaan setelah lama mendiamkan diri. Soalan Dhira tidak dijawab.

Dhira menggeleng.

"Treat me lunch then. Saya pun belum makan lagi."

Mata Dhira membulat.

"Tapi saya tak masak lagi," balas Dhira dengan nada gelabah.

Zafran melepaskan tawa. Lelaki itu berhenti ketawa seketika, pandang wajah blur Dhira kemudian dia gelak lagi. Tiba-tiba Dhira terpegun.

Wow! Wow! Wow! Tidak berkelip mata Dhira memandang Zafran. Sedikit terkejut mendengar tawa Zafran. Sudah lama dia tidak mendengar tawa lelaki itu.

"Saya tak suruh pun awak masak. Tapi kalau awak nak masak, apa salahnya. Boleh juga saya merasa air tangan awak," tutur Zafran bersama sisa tawa.

Rasa air tangan aku? Oh, tidak! Aku tak pandai masak. Dhira melepaskan tawa kecil, cuba menutup kegugupannya.

"Oh, sorry... Maksud awak, belanja awak makan kat luar. Okey, sure. Awak nak makan kat mana?"

"Eh, ingatkan awak nak masak?" usik Zafran.

Dhira sambung tawa.

"Saya tak beli lauk lagi. Takkanlah awak nak makan nasi dengan telur aje."

"Kenapa tak?"

Hah! Dhira hilang bicara.

"Saya guraulah. Jomlah makan kat luar. Saya bawa awak ke restoran kegemaran saya."

Lega!

Terbuntang mata Dhira saat melihat restoran kegemaran Zafran. Belum tengok buku menu pun Dhira sudah tahu hidangan yang disediakan pasti berharga lebih daripada sepuluh ringgit. Restoran itu sama seperti restoran biasa. Tidaklah mewah dan berkelas tinggi. Bukan juga seperti kafe-kafe hipster yang semakin banyak dibuka umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Malah restoran itu tidak berpendingin hawa.

Dhira mengeluh dalam hati. Berat sungguh kakinya nak melangkah masuk ke dalam restoran. Kalau Zafran bawa dia ke Restoran Wong Solo pun dia masih mampu nak bayar. Ini Restoran Cina Muslim. Paling murah dia pernah makan pun RM186.60. Itu empat orang makan. Kalau berdua, mungkin dalam anggaran seratus ringgit. Mulalah Dhira gelabah. Mahu tak gelabah. Di dalam purse ada lima puluh sahaja. Macam mana nak bayar nanti. Pinjam duit Zafran? Oh, malunya.

"Dua nasi putih. Small Salted Egg Chicken, Small Butter Prawn, Siakap Steam Hong Kong Style and Small Baby Kailan Ikan Masin." Laju sahaja Zafran membuat pesanan. Lelaki itu tidak tengok buku menu pun. Dhira yang terkial-kial tengok buku menu. Bukannya dia tengok menu tetapi cek harga. Liur ditelan berkali-kali. Kenapa Zafran tak oder set individu? Murah sikit, keluh gadis itu dalam hati.

"Awak ada nak tambah apa-apa?" tanya Zafran. Pandangannya dihalakan ke laman wajah Dhira.

Laju Dhira menggeleng. Sudah banyak lelaki itu oder. Itupun tak tahu mereka mampu habiskan atau tidak.

"Air?"

Dhira membelek menu minuman dan mula meneliti minuman yang disediakan di situ.

"Air kosong."

Seorang lelaki yang mengambil pesanan mereka segera mencatat minuman yang dipesan oleh Dhira.

"Abang?"

"Air kosong juga."

Pelayan itu menganggukkan kepalanya kemudian segera beredar bersama buku menu. Zafran menumpukan perhatiannya kepada Dhira. Duduknya dibetulkan.

"Pernah makan kat restoran Cina Muslim?" Zafran memulakan perbualan.

Dhira mengangguk. Banyak kali. Auntie Lin selalu bawa dia ke restoran Cina Muslim.

"Kenapa gelisah semacam aje ni?"

Soalan Zafran membuatkan Dhira tersentak. Matanya membulat.

Zafran ukir senyum.

"Tadi dekat rumah, awak okey. Dalam kereta pun okey. Tiba-tiba masuk restoran ni, awak gelisah semacam. Tak suka masakan Cina Muslim ke?"

"Eh, tak... tak..." Laju Dhira menidakkan.

"Saya selalu makan masakan Cina Muslim."

"Habis tu, kenapa gelisah?"

Dhira ketap bibir.

Wajahnya didekatkan dengan Zafran. Walaupun malu, dia terpaksa tebalkan muka. Nak tak nak, dia memang kena pinjam duit Zafran.

"Saya nak pinjam duit awak. Saya tak bawa duit lebih." Perlahan sahaja nada suara Dhira. Seakan-akan berbisik.

Zafran tergelak kecil. Bibirnya menguntum senyum. Kepala digeleng perlahan.

"Dhira, Dhira... Pasal ni ke..." Zafran hela nafas perlahan.

"Jangan risau. Saya tak suruh pun awak bayar."

Dahi Dhira berkerut.

"Tapi awak suruh saya belanja awak makan. Awak dah betulkan paip rumah saya. Takkanlah saya nak biarkan awak yang belanja saya pula?"

Zafran tersenyum lagi. Senyum nipis. Murah dengan senyuman pula Zafran hari ini.

"Saya sebenarnya nak awak temankan saya lunch. Anggap ajelah ini upah saya betulkan paip rumah awak."

"Hesy, ada pula macam tu. Mana boleh. Takkanlah upah awak cuma temankan awak lunch. Dah tu awak pula yang belanja saya makan. Seganlah saya."

"So, awak insist nak belanja saya?"

Angguk.

"Okay. Next time awak belanja saya. Tapi bukan hari ini."

Lain kali? Maknanya akan ada pertemuan seterusnya.

"Atau awak dah tak nak keluar dengan saya?" Kening Zafran ternaik sedikit.

"Eh, mana ada."

"Maknanya awak nak keluar dengan saya lagi?"

"Mestilah."

Diam. Mata saling bertentangan. Dhira telan liur. Pipi tiba-tiba rasa panas. Eh, kenapa aku jawab macam tu? Pandangan dilarikan ke arah lain.

"Maksud saya, saya tak kesah pun nak keluar dengan awak lagi. Tak salah pun, kan?"

Zafran angguk dengan riak wajah yang agak nakal. Lelaki itu tersenyum penuh makna.

"Tak. Tak salah."

Dhira mengecilkan matanya.

"Kenapa awak senyum macam tu? Senyum gatal!"

Terhambur tawa Zafran.

"Senyum gatal? Hesy, saya senyum macam biasa aje. Senyum pun tak boleh ke, Cik Dhira?"

"Bukanlah tak boleh tapi senyum awak tu macam ada maksud tersendiri aje," balas Dhira.

Lelaki itu ketawa lagi.

"Okeylah. Saya tak nak senyum lagi." Zafran tayang wajah kosong.

"Senyumlah balik. Saya rela tengok awak senyum macam tadi daripada awak buat muka macam ni."

"Kenapa?"

"Sebab kalau awak senyum, muka awak manis sikit. Kalau awak tak senyum, muka awak nampak dingin. Saya tak suka tengok muka dingin awak." Selamba sahaja Dhira membalas.

Zafran tersenyum lagi. Entah kenapa hari ini dia rasa selesa bersama Dhira. Mereka dapat berbual dengan mesra dan bergelak tawa bersama. Sesuatu yang dia pernah rasa mustahil. Siapa sangka dia dapat berbual mesra dengan bekas isterinya semula. Wajah Dhira ditenung. Hatinya sedikit riang dengan pertemuan ini. Malah bertambah riang apabila mereka akan bertemu lagi selepas ini.

Seorang pelayan menghantar minuman yang mereka pesan dan dalam masa yang sama, telefon pintar Zafran berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Segera Zafran menjawab panggilan setelah melihat nama kakaknya di skrin telefon pintar.

"Zaf kat mana? Tak habis lagi ke urusan Zaf?"

"Belum," jawab Zafran sambil melirik ke arah Dhira.

"Hari minggu pun sibuk dengan kerja. Dah makan ke belum ni?"

Zafran memberi bahasa isyarat kepada Dhira sebelum mengangkat punggung dan beredar dari situ. Tak selesa pula nak berbual dengan Zalila di hadapan Dhira. Dhira hanya mengangguk tanda faham. Minumannya disisip perlahan.

"Zaf nak makanlah ni, long." Zafran menjawab pertanyaan Zalila setelah menjauhkan diri dari Dhira.

"Zaf keluar dengan siapa sebenarnya ni? Girlfriend? Cuba cakap betul-betul. Haris ada kat rumah along ni. Dia cakap Zaf tak ada apa-apa urusan pun hari ni."

Zafran garu kepala.

"Haris tu bukannya PA Zaf. Manalah dia tahu urusan Zaf. Lepas kerja Zaf habis, Zaf pergilah rumah along."

"Along masak banyak tau. Boleh pula Zaf makan kat luar," rungut Zalila di hujung talian. Bunyi seperti orang berjauh hati.

Sebenarnya hari ini kakaknya ada buat makan-makan di rumah baru wanita itu. Ala-ala house-warming. Kenalan rapat sahaja yang dijemput. Zafran sudah pun bersiap-siap nak ke rumah kakaknya tetapi dia dapat panggilan daripada Dhira pula. Itu yang dia beritahu Zalila yang dia akan datang lewat sikit dengan alasan ada urusan kerja. Sedikit pun dia tidak buka mulut pasal Dhira. Malah dia tidak memberitahu pun Dhira yang menghias rumah kakaknya. Lebih baik Zalila tidak tahu. Malas dia nak serabutkan kepala. Nanti macam-macam soalan keluar dari mulut kakaknya.

"Lama lagi ke urusan Zaf nak habis ni? Semua dah ada kat sini tau. Jannah, Mak Leha, Haris dengan anak bini dia..."

Zafran ketap bibir. Tengkuknya diurut perlahan.

"Sorry long." Itu aje yang mampu Zafran tuturkan.

"Kalau Zaf keluar dengan girlfriend Zaf, bawa dia jumpa along. Tak payah nak makan kat luar. Along nak berkenalan dengan dia."

"Hesy, along ni. Merepeklah. Mana ada Zaf keluar dengan girlfriend. Girlfriend pun tak ada, long."

"Eh, manalah tahu. Zaf tu dah tiga puluh dua tau. Takkan tak ada girlfriend lagi."

"Tak ada. Pergilah tanya Haris kalau tak percaya."

Terdengar keluhan di hujung talian.

"Along ni bukannya apa, Zaf. Along terkilan tau. Semua orang ada. Adik along aje tak ada. Dah lama along tak makan dengan adik along tau."

"Kan kita dah makan sama-sama masa along baru sampai sini. Malam nanti Zaf makanlah dengan along. Zaf minta maaf..."

"Yalah, Zaf. Pergilah uruskan kerja Zaf tu. Lepas habis, terus datang sini tau. Isya pun dah sibuk tanya uncle dia kat mana."

Zafran mematikan talian dengan perasaan bersalah pada kakaknya. Entah apa reaksi Zalila kalau tahu dia sebenarnya bertemu dengan Dhira. Sorry, long... Zaf tak mampu nak kawal perasaan Zaf daripada bertemu Dhira, ucap lelaki itu dalam hati.

Zafran kembali ke meja makan. Tika itu makanan yang mereka pesan sudah pun terhidang di atas meja. Senyuman dilemparkan kepada Dhira.

"Sorry. Dah lama ke makanan sampai?"

"Taklah. Baru aje."

Usai membaca doa makan, mereka mula mengisi perut yang sudah kelaparan. Terliur Dhira melihat butter prawn tetapi dia tak pandai kupas udang pakai sudu dan garpu. Selalunya Ken yang tolong kupaskan. Sudahnya, dia abaikan sahaja udang itu. Gadis itu hanya menjamah ayam, ikan dan sayur sahaja.

"Sedap kan ayam tu? Kadang-kadang saya beli ayam tu aje. Ratah."

Dhira mengangguk.

"Selalunya kami oder Kam Heong Chicken. Udang biasanya oder dua jenis. Butter prawn and salted egg prawn. Ini pertama kali saya makan salted egg chicken. Sedap juga. Lepas ni bolehlah rekomen."

"Kami?"

"Oh..." Dhira senyum.

"Keluarga angkat saya," jelas Dhira.

Zafran mengambil seekor udang mentega lalu diletakkan ke dalam pinggan Dhira.

"Makanlah udang ni. Favourite awak, kan?"

Gulp! Dhira terkesima. Lelaki itu masih ingat kegemarannya. Tidak semena-mena dia terimbau kembali saat dia merengek-rengek dekat Haris untuk masakkan dia butter prawn. Lelaki itu pandai masak butter prawn. Ibu pernah cuba beberapa kali tetapi selalu fail masa nak buat sarang. Abang long aje mahir.

"Terima kasih," ucap Dhira perlahan.

Udang di dalam pinggan dipandang. Aku memang sukakan butter prawn tapi... Dhira mengeluh dalam hati. Itulah... Selalu sangat bergantung harap pada Ken. Ada yang aku kupas pakai tangan ni. Patutnya makan pakai tangan aje tadi. Tak payah pakai sudu garpu bagai.

Perlahan-lahan Dhira cuba mengupas udang yang diberikan oleh Zafran menggunakan sudu dan garpu. Minta-mintalah berjaya. Kalau tak, malu sahaja, detik gadis itu dalam hati.

"Keluarga angkat dari Singapore?" tanya Zafran seraya memandang Dhira. Senyuman terukir di bibir saat melihat Dhira yang terkial-kial mengupas udang.

Tanpa sebarang bicara, lelaki itu mengambil seekor udang, dikupas lalu diletakkan ke dalam pinggan Dhira. Lelaki itu melemparkan senyuman sewaktu pandangan mata Dhira terhala ke arahnya. Kemudian dia mengambil udang yang masih belum dikupas dari pinggan Dhira.

Tiba-tiba Dhira tersentuh dengan keprihatinan Zafran. Senyuman lelaki itu dibalas dengan senyuman nipis. Udang yang sudah dikupas disuap ke dalam mulut bersama sarang butter prawn. Oh, sedapnya!

"Macam mana awak tahu keluarga angkat saya orang Singapore?"

Zafran jongket bahu.

"Agak sahaja. Mama pernah cakap awak menetap di Singapore bertahun-tahun." Pandai Zafran cover line padahal dia sudah tahu semuanya tentang Dhira melalui Wafi.

Wajah Puan Marlina menerpa ke ruang minda Dhira. Amboi, bergosip dengan Ali pasal kita pula mama ni, getus hati gadis itu.

"Dah lama ke kenal dengan keluarga angkat awak tu?" Sengaja Zafran bertanya meskipun dia sudah tahu jawapannya.

"Lama jugalah," jawab Dhira bersama anggukan kecil.

"Oh, tadi awak tanya who's that someone, kan?" Pandangan Dhira dijatuhkan ke laman wajah Zafran.

"Merekalah."

Zafran balas pandangan Dhira.

"I'm glad you met them," ucap Zafran mendatar. Mungkin ayat itu kedengaran biasa bagi Dhira. Hanyalah satu komen biasa dalam perbualan. Namun Zafran benar-benar memaksudkan kata-katanya. Dia benar-benar bersyukur Dhira ditemukan dengan keluarga itu. Kehidupan gadis itu bertambah baik setelah bertemu dengan keluarga Auntie Lin. Zafran sedar akan hakikat itu dan dia tahu gadis itu sangat rapat dengan Ken dan Fei Fei. Cuma... ada sesuatu yang dia ragu-ragu. Hubungan bekas isterinya dengan lelaki yang bernama Ken. Adakah mereka bercinta? Atau sekadar berkawan?

Dhira menoleh ke arah Zafran apabila lelaki itu turut melangkah keluar dari perut lif. Dahinya sedikit berkerut. Bibir diketap.

"Saya boleh balik sendiri. Rumah saya depan tu aje. Tak payahlah hantar sampai depan rumah," tegah Dhira. Kekok pula dengan layanan terlebih mesra lelaki itu.

Zafran tidak beriak. Dengan selamba dia melangkah menuju ke rumah Dhira.

"Pintu lif pun dah tutup, Dhira."

Dhira mengekori langkah Zafran.

"Patutnya saya tahan pintu lif untuk awak. Tapi segan pula sebab ada orang lain tadi," kata gadis itu.

"Tadi awak dah kunci pintu gril, kan?"

"Dah," balas Dhira bersahaja tanpa mengesyaki apa-apa.

Tanpa sebarang bicara, Zafran menunjukkan pintu gril rumah Dhira yang terbuka sedikit. Gadis itu terkejut. Langkahnya termati.

"Saya dah tutup kan tadi?" soal Dhira. Nada suara gadis itu sudah bertukar. Mindanya mula fikir yang bukan-bukan. Perasaan takut mula menguasai diri. Perlahan-lahan, gadis itu memberanikan diri mendekati rumahnya.

"Biar saya cek dulu." Wajah Zafran turut bertukar serius.

Dhira mengangguk perlahan. Dibiarkan sahaja Zafran berjalan di hadapannya. Baru sahaja lelaki itu ingin memulas tombol pintu, pintu rumah sudah dibuka dari dalam dan serentak jeritan mula kedengaran. Zafran terus ke tepi. Terkejut mendengar jeritan daripada kedua-dua gadis di hadapan dan belakangnya.

"Fei! Apa you buat kat sini?" tanya Dhira yang masih lagi terkejut melihat Fei Fei.

"Kenapa you jerit? Terkejut I tau! I pun terikut jerit."

"Eh, I pun terkejut tau. Kenapa you tak tutup pintu gril ni? Dahlah you tak beritahu I you nak datang."

Fei Fei tidak memberi sebarang jawapan. Matanya dilirikkan ke arah Zafran.

"Siapa tu?" tanya Fei Fei sambil berpeluk tubuh.

Dhira toleh ke belakang kemudian dia mula memperkenalkan Zafran kepada Fei Fei. Wajah Fei Fei berubah nakal. Senyuman dilemparkan kepada Zafran. Senyuman penuh makna.

"Hai... Saya Umairah. Lebih mesra dengan panggilan Fei Fei."

Zafran membalas senyuman Fei Fei.

"Zafran." Lelaki itu menoleh ke arah Dhira.

"Saya minta diri dululah."

Fei Fei masih lagi tersenyum penuh makna. Pandangan matanya dihalakan ke arah Dhira dan saat mata Dhira bertemu dengannya, dia menjongketkan keningnya dua kali. Nakal. Dhira mencebikkan bibir sebelum memandang Zafran yang sudah melangkah pergi.

"Zaf..."

Zafran berhenti melangkah lalu menoleh ke belakang.

Dhira lempar senyum.

"Thanks," ucap gadis itu entah buat kali keberapa dan Zafran hanya senyum nipis sebelum kembali melangkah.

Fei Fei mendekati Dhira lalu bahu gadis itu dicuit. Sekali lagi dia jongketkan keningnya.

"You tak rasa you ada benda nak cakap dekat I ke?"

"Kut ya pun, masuklah rumah dulu." Gadis itu terus membawa dirinya ke sofa di ruang tamu. Bersedia untuk memulakan ceritanya.

Fei Fei hempas punggung di sebelah Dhira. Jelas keterujaan di wajah gadis itu.

"Bekas suami you, kan?" soal Fei Fei ingin kepastian.

Dhira angguk perlahan.

"Paip rumah you bocor. Dia betulkan. Then kami pergi makan. That's all."

"That's all?" tanya Fei Fei, tidak puas hati.

Dhira angguk lagi.

Fei Fei sandarkan tubuhnya ke sofa.

"You dah lunchlah ni. I baru ingat nak ajak you makan. Lapar."

Giliran Dhira pula memandang Fei Fei bersama kening yang ternaik. Meminta Fei Fei untuk memberitahunya kenapa gadis itu tiba-tiba sahaja ada di situ.

Keluhan berat terlepas dari bibir nipis Fei Fei. Wajah gadis itu bertukar mendung dan tidak lama kemudian, mata gadis itu mula berair.

"Kenapa ni, Fei?" soal Dhira dengan nada risau.

Fei Fei kerling ke arah Dhira. Tawa dilepaskan untuk menutup rasa sedihnya.

"Rezza... Dia minta postpone..." Perlahan sahaja Fei Fei menuturkan bicaranya.

"Postpone? Postpone engagement you?"

Geleng.

"Wedding."

"Kenapa?"

"Dia kena transfer ke Xiamen. For two years."

"Lama tu. Bila dia ke sana?"

"Seminggu selepas pertunangan kami." Fei Fei bermain dengan kuku-kukunya.

"I tak kesah sebenarnya dia nak postpone wedding kami tapi... Dua tahun, Dhira... Dua tahun dia dekat Xiamen. I tak pernah berjauhan dengan dia tau." Mata Fei Fei dibesarkan. Cuba menahan tangis.

"Rezza bagi I dua pilihan. Sama ada nak tangguh atau teruskan rancangan kami untuk kahwin tahun depan. Tapi lepas kahwin, I kena ikut dia ke Xiamen. You rasa I akan ikut dia ke sana ke?"

Lambat-lambat Dhira menggeleng. Dia cukup kenal Fei Fei.

"Takkanlah I nak tinggalkan kerjaya I."

"Tapi tempat seorang isteri kan di sisi suami."

"Sebab tu I tak kesah dia nak tangguh wedding kami. Masalahnya sekarang, I terpaksa berjauhan dengan dia. Dua tahun, Dhira. Lama tu. Bayangkan hidup I tanpa dia selama dua bulan pun I tak sanggup, inikan pula dua tahun."

"You dah bincang dengan Rezza?"

Fei Fei geleng.

"Dia baru beritahu I semalam. Otak I serabut. Sebab tu I drive ke sini. Nak jumpa you."

"Mummy dengan Ken tahu tak you ke sini?"

"Tahu." Fei Fei melekapkan tangan ke atas perut.

"I laparlah, Dhira. Temankan I makan. I tunggu you sebenarnya. Sebab tu I tak buka tudung lagi. Pintu gril pun lupa nak tutup."

"Kenapa tak call? Boleh I tapaukan you."

"I off phone."

"Kenapa? Tak nak jawab call dari Rezza?"

Fei Fei mengangguk perlahan.

"I perlukan masa untuk fikirkan hal kami." Fei Fei bangkit dari duduk.

"Jomlah. Lepas makan, I nak shopping. You temankan I tau. I nak shopping, tengok wayang, karaoke... Semualah... Nak release stress."

"Baiklah, my girlfriend. You bawa ajelah I ke mana-mana yang you nak. I ikut saje."

"Good! Itu yang I nak dengar."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co