Truyen3h.Co

100 Hari Mengenal Cinta

Bab 11

karyaseni2u

MAHU pecah dada Airina apabila keadaan jadi sunyi sepi. Hanya dengan sebaris ayat 'Rin nak kahwin dengan Hazizul', keadaan di rumahnya jadi lengang. Bunyi pendingin hawa sahaja yang kedengaran. Airina pandang Hazizul, mahu meminjam sedikit kekuatan daripada lelaki itu. Hazizul yang memahami isi hatinya mendekati Airina bersama senyuman di bibir.

"Rin merepek apa ni?" tanya Halim. Jelas nada kasarnya di situ. Apabila Airina tetap membisu, Halim berkata lagi.

"Ayah tak izinkan Rin kahwin dengan Hazizul. Rin bertunang dengan Harris. Sepatutnya Rin kahwin dengan Harris, bukannya Hazizul!"

Berang rasa hati seorang bapa apabila anaknya berubah fikiran pada saat-saat akhir sebegini. Dipandangnya Airina dengan rasa kecewa. Dia tidak pernah mendidik Airina sebegitu tetapi kenapa Airina melakukan sesuatu yang begitu mengecewakan?

Airina tertunduk. Nada Halim sahaja sudah cukup untuk menggambarkan kekecewaan ayahnya itu.

Zainal mara mendekati Hazizul sebelum tangannya melayang ke pipi Hazizul.

Pang!

Semua mata tertumpu pada Hazizul pula. Airina terjerit kecil. Tangannya menyentuh bahu lelaki itu.

"Hazizul..." panggilnya lemah.

Hazizul menggeleng sebelum anak matanya kembali bertentangan dengan Zainal.

"Kau ni dari kecik menyusahkan hidup aku. Kenapa Rin? Banyak lagi perempuan kat luar tu tapi kau nak goda dia juga!" marah Zainal sekaligus menuduh Hazizul menggoda Airina. Dadanya naik turun dek marah yang dirasainya kini. Andai renungan tajam Zainal adalah laser, sudah pasti mata Hazizul berlubang saat ini.

Norli turut bangun dari duduknya. Dia berjalan ke arah Airina lalu tangannya menggenggam jemari Airina.

"Rin, aunty mungkin tak kesah sangat kalau Rin nak lelaki lain tapi kenapa dia ni? Rin tahu kan dia ni macam mana? Rin sanggup ke sia-siakan masa depan Rin? Aunty sayang Rin. Aunty tak nak Rin terluka esok lusa sebab budak tak guna ni," kata Norli lembut dengan harapan Airina akan berubah fikiran.

"Kau memang sengaja nak sakitkan hati kita orang, kan? Sampaikan tunang Harris pun kau nak rampas!" Nada yang tadinya lembut berubah menjadi kasar sekelip mata. Norli mengherdik Hazizul yang dirasakan sudah melampaui batas. Mulalah mulut Norli ringan untuk mengungkit.

"Dasar tak sedar diuntung. Aku bela kau dari kecik tapi ini yang kau balas kat kita orang. Menyesal aku lepaskan anjing tersepit macam kau ni!"

Tohmahan demi tohmahan itu membuatkan Airina terus-terusan tergamam. Melaut rasa kasihan dan simpatinya kepada Hazizul yang masih mendiamkan diri. Tangan kiri Airina mencuit lengan Hazizul, menyuruh Hazizul membela dirinya di depan semua orang tetapi lelaki itu masih lagi menggeleng tanda enggan.

Pada hemat Airina, Hazizul tidak sepatutnya menerima layanan ini. Lelaki itu sudah cukup berhati murni mahu memikirkan perasaan dan maruah kedua-dua orang tuanya lantas kenapa dia yang dicaci, diherdik oleh Norli dan Zainal? Airina menjeling Harris yang duduk tidak jauh darinya.

Harris tu yang sepatutnya kena tampar, kena herdik! Bukannya Hazizul! jerit hatinya.

Salbiah turut mencelah.

"Dua tahun Rin bertunang dengan Harris. Tiba-tiba Rin nak kahwin dengan Hazizul? Ibu rasa Rin tak pernah rapat dengan Hazizul pun. Kenapa Rin ubah fikiran sebenarnya ni?"

"Apa yang ada pada Hazizul tapi Harris tak ada? Apa dia, Rin? Bagi tahu aunty sekarang. Harris ada kerja yang bagus. Harris anak orang kaya. Harris setia dengan Rin. Apa lagi yang Rin nak?" sokong Norli pula. Segala kelebihan Harris disenaraikan supaya Airina sedar Harris dan Hazizul berbeza bagai langit dan bumi.

Mahu meletus tawa Airina apabila mendengarkan perkataan 'setia' itu. Bibir yang cuba membentuk senyuman sinis ditahan seboleh mungkin. Pesanan Hazizul 'jaga emosi dan perasaan kau seboleh-bolehnya' dipegang utuh. Mata Airina bertentang dengan mata Harris. Kalaulah semua orang tahu belang kau, Harris...

"Rin mintak maaf. Uncle janganlah marahkan Hazizul seorang. Rin pun salah juga. It takes two to tango. Aunty, Hazizul tak goda Rin pun. Rin sendiri yang tiba-tiba berubah hati. Aunty pun tahu kan kita orang pernah jumpa dua kali aje? Rin rasa Rin ada stronger connection dengan Hazizul daripada Harris sejak fitting session tu. Ibu, ayah, Rin mintak maaf juga. Tak ada gunanya Rin kahwin dengan Harris kalau Rin tak cintakan dia. Ibu, ayah mesti tak nak Rin hidup bergelumang dengan dosa sebab fikirkan lelaki lain, kan?" kata Airina untuk membela dirinya dan Hazizul di depan semua orang.

Hazizul pandang Airina dengan mata tidak berkedip. Dari mana datangnya idea Airina untuk menipu semua orang semudah itu? Alasan yang diberikan Airina benar-benar masuk akal. Dan daripada mana datangnya keberanian Airina untuk bersemuka dengan semua orang, mempertahankan keputusannya? Hazizul berasa kagum dengan gadis itu untuk kesekian kalinya.

"Harris, dengar tu. Kalau Harris pergi fitting session tu, tak adanya Rin berubah hati macam ni!" kata Norli pula. Dia pandang Harris dengan rasa sebal.

"Kenapa diam aje? Pujuklah Rin!"

Harris terkedu seketika tatkala namanya dipanggil Norli. Harris pandang Syida yang tak ubah seperti cacing kepanasan. Syidalah yang mengajaknya berjumpa pada hari fitting session tersebut dan Harris pula bersetuju dengan senang hati. Sangkanya kewujudan Hazizul menggantikannya akan menyelesaikan masalah tetapi lain pula yang terjadi. Pertemuan itu pula menyebabkan Airina berubah hati.

"Harris!" panggil Zainal pula. Harris tersentak. Matanya dilarikan dari Syida.

"Pujuklah Rin ni! Kenapa kamu diam membisu macam tu? Kamu nak jadi pengecut?" marah Zainal kepada anak sulungnya itu.

Harris menggeleng. Dia mula berjalan ke arah Airina sambil kepalanya pantas memikirkan apa yang seharusnya dia katakan. Jika difikirkan semula, inilah peluang keemasannya! Harris menahan dirinya daripada tersenyum. Dia tahu dia harus berlakon di depan ahli keluarganya.

"Rin, kenapa awak nak tinggalkan saya? Apa salah saya kat awak?" tanyanya, berpura-pura menjadi mangsa keadaan. Tangan Harris menggenggam jemari Airina pula.

"Please, janganlah tinggalkan saya. Sampai hati awak..."

Airina mencebik menyaksikan lakonan Harris itu. Tangannya cuba ditarik tetapi Harris menggenggamnya dengan lebih erat.

"Lepaslah," kata Airina yang sudah mengetap giginya geram.

Hazizul muncul sebagai penyelamat, tangannya menarik kuat tangan Airina sehinggakan genggaman Harris terlepas. Airina berundur setapak untuk bersembunyi di belakang Hazizul.

"Jangan sentuh dia. Dia bakal isteri aku," kata Hazizul keras. Inilah kali pertama dia bersuara selepas membisu sejak tadi.

Ego Harris tercalar serta-merta. Sedari tadi Harris hanya memerhati dengan tenang, langsung tidak terusik apabila Airina umumkan dia sudah berubah hati dan mahu menikahi Hazizul. Bahkan hati Harris bersorak keriangan memikirkan jalannya untuk bersama Syida sudah terbuka luas. Namun apabila Hazizul masuk campur dan melihat Airina menyorok di belakang Hazizul, sedikit sebanyak mencabar ego lelakinya.

"Saya mintak maaf. Saya tak expect pula benda ni akan jadi macam ni..." Hazizul memulakan bicaranya.

"Saya nakkan Airina. Saya tak sanggup tengok dia dengan lelaki lain. Harris, nanti kau bagi tahu aku berapa banyak kau dah spend untuk majlis ni. Nanti aku bayar balik," kata Hazizul tenang.

"Rin pun sama. Rin tak pedulilah semua orang setuju ke tak. Rin nak kahwin dengan Hazizul juga. Kalau ibu ayah tak restu, Rin akan kahwin lari dengan Hazizul. Rin tak main-main. Aunty, uncle, Rin mintak maaf juga. Jujur, Rin tak ada niat untuk lukakan hati semua orang. Rin sayangkan ibu, ayah, aunty dan uncle. Tapi tolonglah faham Rin sekali ni. Ini soal hati dan perasaan. Rin tak boleh terima Harris lagi..." kata Airina yang sudah tidak betah berlama-lama di sini.

Mahu terhenyak tubuh Halim tatkala mendengar 'kahwin lari' meniti di bibir Airina. Tak sangka pula Airina sudah berfikir sejauh itu! Salbiah yang memahami Halim menggenggam jemari suaminya. Mata Salbiah kembali tertumpu pada Airina. Meski akalnya tidak bersetuju, Salbiah dapat rasakan keikhlasan dan kesungguhan Airina dan Hazizul.

"Rin, betul ke Rin nak kahwin dengan Hazizul? Jujur dengan ibu, Rin..." tanya Salbiah perlahan. Apabila Airina mengangguk, Salbiah pandang Halim pula.

"Abang, kita izinkan dia orang..."

"Apa yang awak merepek ni?!" marah Halim.

"Bang, saya kenal anak saya. Memang saya tak lahirkan Rin tapi saya yang besarkan dia. Cuba abang tengok mata dia. Abang boleh nampak keikhlasan Rin, bang. Kalau Hazizul boleh bahagiakan Rin, takkanlah kita tergamak untuk halang dia?" kata Salbiah perlahan. Di hujung bicaranya, air mata Salbiah jatuh setitik. Salbiah pandang Airina pula.

"Kita izinkan dia, bang. Saya cuma nak Rin bahagia aje..." tambahnya lagi.

Mendengarkan itu, hati Airina jadi sebak tiba-tiba. Rasa bersalah menyerbu hatinya kerana tegar menipu dan menyakiti kedua-dua orang tuanya itu tetapi Airina tahu, keputusannya ini jauh lebih baik berbanding membongkarkan sikap sebenar Syida dan Harris. Jika berita sebegini pun sudah cukup untuk memberi tamparan hebat kepada Halim dan Salbiah, bagaimana pula kalau mereka tahu perihal sebenar?

Airina mendekati Halim dan Salbiah. Tangan Halim ditariknya. Sekelip mata dia jadi sebak.

"Rin mintak maaf, yah. Rin sayang ayah. Tapi Rin tak boleh teruskan perkahwinan ni dengan Harris. Rin pilih Hazizul. Maafkan Rin kalau Rin kecewakan ayah," kata Airina.

Hati seorang ayah tersentuh mendengar keluhuran kata-kata Airina. Ditambah pula dengan kata-kata Salbiah tadi, akhirnya Halim mengalah. Tubuh Airina ditarik ke dalam pelukannya. Mulalah air mata membasahi pipi Airina.

"Rin yakin ke dengan keputusan Rin ni? Rin takkan menyesal?" tanya Halim.

Airina mengangguk di dalam pelukan Halim.

Halim pandang Salbiah yang sudah tersenyum kepadanya.

"Ayah izinkan Rin," kata Halim perlahan. Tangisan Airina semakin menjadi-jadi tatkala mendengarkan itu.

"Terima kasih, yah..." Maafkan Rin juga... Kata-kata maaf itu hanya terucap dalam hati Airina.

Salbiah menghampiri mereka lalu tangannya menggosok lembut belakang Airina. Salbiah sempat berdoa dalam hati agar Airina tidak tersalah membuat pilihan.

Norli dan Zainal kehilangan kata-kata. Jika Halim yang akan menikahkan Airina sendiri pun bersetuju, apalah yang mereka mampu lakukan?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co