Truyen3h.Co

100 Hari Mengenal Cinta

Bab 12

karyaseni2u

"AKU terima nikah Airina Hanissa binti Halim dengan mas kahwinnya seribu ringgit tunai..."

Hanya dengan sekali lafaz, Airina sah bergelar isteri kepada Hazizul. Barulah Airina tahu nama penuh lelaki itu ialah Hazizul Amin. Air mata Airina menitis tanpa sebarang sebab.

"Rin!" Nama Airina dipanggil seseorang. Baru sahaja dia toleh ke belakang, tubuhnya sudah diterpa seseorang.

"Tahniah, weh!" ucap Aisyah. Airina mengulum senyumnya tatkala matanya melihat Atikah dan Farah. Aisyah meleraikan pelukannya dengan cebikan di bibir.

"Tak sangka kau dah kahwin. Kalau macam ni, aku soranglah yang single," kata Aisyah mengenang nasibnya pula.

Airina menepuk lembut bahu rakannya itu.

"Mengada-adalah kau ni. Nanti adalah tu jodoh kau," kata Airina. Airina pandang Atikah pula.

"Tu hadiah aku ke?" katanya tanpa sebarang rasa malu. Apabila Atikah mengangguk, Airina panjangkan tangannya untuk mengambil hadiah tersebut.

"Thanks sebab tu aku sayang kau orang..." ujar Airina seraya mengenyitkan matanya.

"Banyaklah kau punya sayang. Aku masih emo sebab kau tak bagi tahu kita orang awal-awal. Mana suami kau? Tadi aku tengok dari jauh aje. Tak nak jumpa kita orang ni ke?" tempelak Farah pula.

Sewaktu upacara nikah tadi, dia hanya mampu melihat dari jauh sahaja. Sejam selepas upacara nikah, majlis bersanding pula berlangsung dan Farah masih tidak dapat melihat wajah suami Airina itu dengan jelas.

Atikah mencuit bahu Farah.

"Yang kau ni bitter sangat kenapa?"

"Mestilah! Aku nak juga tengok lelaki mana yang dah curi hati kawan aku ni. Salah ke?" balasnya membela diri.

Aisyah sudah menggelengkan kepalanya.

"Biasalah weh, sindrom mak-mak. Dahlah dia mengandung, confirm mood swing tu," kata Aisyah mengingatkan Atikah kepada status Farah yang akan berubah menjadi ibu itu.

Ternganga Airina.

"Seriuslah?"

"Dia baru bagi tahu kita orang dalam kereta tadi..." jawab Atikah.

"Wahhh, tahniah!!!" jerit Airina. Dia memeluk tubuh Farah, tumpang gembira dengan berita tersebut. Atikah dan Aisyah saling berpandangan sebelum mereka memeluk Airina dan Farah dari belakang.

"Airina..." panggil seorang lelaki.

Serta-merta empat sekawan itu terdiam. Pelukan dileraikan. Mata mereka semua tertumpu pada lelaki tersebut sebelum Airina menghampirinya. Panjang umur!

"Kau orang, inilah suami aku. Hazizul. Yang ni Farah, Atikah dan Aisyah." Airina memperkenalkan suaminya kepada ketiga-tiga rakannya itu.

Hazizul mengulum senyumnya. Daripada kemesraan Airina dan mereka bertiga, Hazizul tahu mereka mempunyai hubungan yang akrab.

Atikah dan Aisyah sekadar mengangkat tangan mereka seraya berkata 'hai' manakala Farah pula sudah terkebil-kebil melihat lelaki itu.

"Rin, kacaknya suami kau..." pujinya dengan mulutnya yang sudah ternganga.

"Ya Allah, budak ni! Istighfar sikit. Laki orang hoi. Kau pun dah bersuami!" marah Atikah. Tangan Atikah menutup mulut Farah tetapi ditepis Farah berkali-kali.

"Tadi nak sangat jumpa suami Rin. Bila dah jumpa, buat perangai pula. Tak senonohlah kau ni," omel Atikah yang turut berasa malu dengan sikap Farah.

Hazizul pandang Airina tetapi isterinya itu sekadar menjongket bahu. Sudahnya tawa mereka meledak.

"Eh, tapi kan, Rin. Seingat aku, kad jemputan tulis nama lain. Bukan Hazizul. Kan?" soal Aisyah polos. Berkerut dahinya cuba mengingati nama yang tercetak di kad pengantin. Apa, ya?

Airina bungkam mendengarkan itu. Tak sangkalah pula soalan itu akan terbit dari bibir Aisyah. Sebentar tadi pun telinga Airina dapat menangkap soalan yang sama diutarakan kepada Halim dan Salbiah, juga Norli dan Zainal. Bukan sahaja ahli keluarganya bahkan sahabat handai yang mengetahui pertunangan Harris dengan Airina turut bertanya. Masing-masing keliru dengan apa yang berlaku. Tiba-tiba sahaja pengantin lelakinya sudah bertukar!

"Dah jodoh Airina dengan Hazizul, terpaksalah kami reda..."

"Rin tahu hati dia nak yang mana..."

Itulah jawapan yang diberikan kepada mereka-mereka yang bertanya. Airina menggigit bibirnya. Alasan apa pula yang harus Airina berikan kepada rakan-rakannya itu? Jika Airina berterus-terang, Airina tahu dia akan dihujani soalan demi soalan.

"Rin..." Atikah yang dapat mengesan perubahan Airina menyentuh lengannya. Airina memandang Atikah kosong. Mengertilah Atikah kini ada sesuatu yang terjadi sehinggakan lidah Airina kelu begitu. Atikah menoleh pada Farah dan Aisyah yang sedang menanti jawapannya. Tangannya menarik tangan kanan Farah dan tangan kiri Aisyah.

"Dahlah, jomlah makan. Aku lapar ni..." katanya.

"Jomlah. Perut aku pun dah menyanyi dari tadi," kata Farah. Mudah sahaja perhatiannya teralih. Farah biarkan sahaja tangannya ditarik manakala Aisyah pula sudah terkial-kial sendiri. Nak tak nak, terpaksalah dia ikutkan mereka berdua.

Hazizul ketawa kecil melihatkan tingkah mereka bertiga. Dipandangnya Airina semula bersama senyuman yang masih bersisa.

"Kelakarlah kawan-kawan kau tu. Kenapa kau terdiam tadi? Kau tak tahu nak jawab apa ke?" Hazizul bertanya kepada Airina.

Lambat-lambat Airina menjawab dengan anggukan.

"Aku rasa Ika dapat sense something. Aku nak jawab apa kat dia orang?"

"Entah, aku pun tak tahu. Aku sendiri pun kena soal jawab dengan kawan aku sebab tiba-tiba kahwin," jawab Hazizul pula yang geli hati dengan lambakan soalan satu-satunya kawan baiknya. Airina mengangkat keningnya.

"Tu kawan aku, Benjamin. Dia fly ke sini dari Johor malam tadi juga lepas aku bagi tahu dia yang aku kahwin hari ni. Dia interrogate aku macam aku buat salah besar pula," jelasnya yang diakhiri dengan ketawa kecil.

Malam tadi dia menerima tazkirah daripada rakannya yang mempunyai kacukan Melayu dan Belanda itu. Benjamin sangka Hazizul sudah mengambil kesempatan ke atas Airina dan terpaksa menikahinya demi menutup aib. Penat Hazizul menafikan itu semua dengan seribu alasan. Nasib baiklah Benjamin termakan juga kata-katanya.

"Handsome juga kawan kau tu," puji Airina yang sedang berbalas senyuman dengan Benjamin.

Hazizul angguk tanda bersetuju. Dia sendiri sudah lali mendengarnya. Setiap kali keluar bersama Benjamin, pastinya mereka akan menarik mata ramai gadis.

"Kau okey, Airina? Macam mana parents kau?" tanya Hazizul dalam nada perlahan, bimbang kalau-kalau ada yang memasang telinga.

Airina mengangguk cuma.

"Okey. Dia orang mula-mula pujuk aku juga tapi bila aku insist, dia orang nasihatkan aku pula. Biasalah, orang tua. Mestilah dia orang tak nak aku salah buat pilihan... Kau pula macam mana? Parents kau?"

"Hmmm, macam itulah..." jawab Hazizul acuh tak acuh. Mata Hazizul tertumpu pada mata Airina pula.

"Eh, maskara kau comot ni," tegur Hazizul.

"Ma..." Tak sempat Airina bertanya, tangan Hazizul sudah terlebih dahulu menyentuh pipinya. Airina tergamam seketika. Dia pejamkan mata dan Airina dapat rasakan dadanya berdegup dengan lebih kencang. Ah, perasaan inilah yang dia rasakan sewaktu upacara pembatalan wuduk tadi. Sewaktu Hazizul mencium dahinya, ada satu perasaan menyusup masuk ke dalam hati Airina.

Jari telunjuk Hazizul membersihkan kesan comot maskara di bahagian kelopak mata Airina.

"Make-up artist mana yang kau orang pilih ni? Kenapalah comot macam ni..." omelnya. Mata Hazizul meneliti setiap inci wajah Airina sebelum ibu jarinya menggosok bahagian bawah bibir Airina.

"Sini pun ada comot sikit..."

Lambat-lambat Airina membuka matanya. Wajah Hazizul yang dihiasi senyuman memenuhi kornea matanya. Tahu-tahu sahaja bibir Airina sudah tersenyum sama.

SYIDA yang memerhati aksi pasangan pengantin baru itu dari jauh semakin tidak senang duduk. Dia meneguk air putih di depannya dengan rakus. Clutch berwarna biru laut dicapai lalu Syida mengatur langkahnya keluar dari dewan itu.

Mata Syida melilau ke kanan dan kirinya sebelum matanya tertancap pada pintu yang tertulis 'Tangga Kecemasan'. Kakinya diatur menuju ke situ. Daun pintu ditolak dan sebaik sahaja pintu ditutup rapat, Syida menanggalkan kasut tumit tingginya. Dia berjalan ke anak tangga lalu punggungnya dilabuhkan.

Hingga ke hari ini, Syida masih dihantui rasa bersalahnya kepada Airina. Setiap kali dia melihat wajah Airina, setiap kali jualah hatinya bagai dirobek. Adakah dia sudah tersalah langkah? Meski hati Syida gembira kerana peluang untuknya memiliki Harris semakin cerah, Syida tidak boleh nafikan dia masih rasa bersalah kerana mengkhianati Airina.

"Kak Rin memang dah tahu ke? Tapi kenapa Kak Rin tak cakap apa-apa?" Soalan-soalan itulah yang berlegar dalam fikirannya sejak malam itu. Entah kenapa ada suara di dalam kepalanya yang berbisik...

"Airina dah tahu..."

"Kenapa Kak Rin nak kahwin dengan Hazizul pula tiba-tiba?" tanyanya lagi.

Deringan telefon bimbitnya memeranjatkan Syida. Dia terjerit kecil. Matanya tertumpu pada clutch untuk beberapa saat sebelum tangannya mencapai clutch tersebut. Telefon bimbitnya ditarik keluar dan semerta Syida menghembus nafas leganya.

"Harris..."

SESEKALI kepalanya tertinjau-tinjau, mencari kereta yang dikenalinya. Atikah pandang jam tangannya pula.

"Mana Aiman ni? Cakap lagi sepuluh minit sampai," omel Atikah apabila batang hidung tunangnya masih tidak kelihatan.

Sebuah kereta hitam menyusur masuk ke pekarangan Sunway Putra Hotel itu. Kereta mahal itu menarik mata Atikah ke arahnya.

"Mewah gila! Ni mesti kereta orang kaya ni," komennya. Kereta hitam tersebut berhenti beberapa meter darinya, membolehkan Atikah melihat wajah si pemandu dengan jelas.

"Yang drive pun kacak juga. Untunglah," komennya lagi. Tiba-tiba seorang perempuan berkebaya biru berlari menuju ke kereta itu. Berkerut dahi Atikah melihatkannya. Mata dicerunkan, cuba mengenal pasti identiti perempuan tersebut.

"Syida?" Atikah yakin matanya tidak menipu.

Atikah masih memerhatikan Syida dan lelaki itu. Di dalam kereta itu, Syida menangis teresak-esak. Lelaki itu pula tidak banyak cakap, ditariknya Syida ke dalam pelukannya. Tangan lelaki itu menggosok-gosok belakang Syida untuk menenangkan gadis itu. Selepas pelukan dileraikan, lelaki itu mengesat pipi Syida sebelum bibirnya mencium jemari Syida.

Melopong Atikah melihat aksi pasangan itu. Setahunya Syida masih belum berkahwin tetapi gaya Syida mengalahkan Airina yang baru bernikah pula! Tidak rela matanya terus dijamu dengan maksiat itu, Atikah membuang pandang ke tempat lain. Dia palingkan tubuhnya seraya tangannya mendail nombor telefon tunangnya. Telefon bimbit dibawa ke telinga.

"Aiman kat mana ni?" tanya Atikah sebaik sahaja panggilannya berjawab.

"Kat hati Ikalah," jawab Aiman yang sudah berdiri di depan matanya.

Atikah tersipu-sipu malu, tangannya memutuskan panggilan yang dibuatnya tadi.

"Kenapa lambat? Jomlah masuk. Rin cantik gila hari ni..." kata Atikah.

"Tak kesahlah. Aiman tetap rasa Ika yang paling cantik..."

"Eh, gatallah dia ni," balas Atikah walaupun hatinya sudah kembang setaman mendengarkan itu. Bunyi enjin kereta menarik perhatian Atikah lalu dia menoleh. Dilihatnya kereta hitam tadi sudah beredar pergi dan Syida masih lagi di dalam kereta itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co