Bab 12
ELYANA menyampaikan berita tersebut kepada Aina dengan riak bersahaja tapi Aina tak mampu pamerkan ekspresi sama. Tahu-tahu saja mulutnya ternganga. Rambut yang menutup telinga diselit ke belakang cuping sebelum Aina bersuara.
"Cuba El ulang," pinta Aina. Manalah tahu tadi dia tersalah dengar atau Elyana tersalah kata. Lantaran itulah Aina sengaja meminta Elyana mengulang kata-katanya untuk dapatkan kesahihan.
"Papa suruh El pindah tapi El tak nak. Jadi sekejap lagi Hadi datang. Dia pun pindah ke sini untuk jagakan El," kata Elyana lagi. Pisau memotong hash browns sebelum ia dicucuk garpu dan dibawa ke mulut.
"Kenapa papa tak bawa seangkatan tentera sekali untuk jagakan El?" Soalan berupa sindiran itu dilepaskan Aina. Belakang tubuh dihempas ke kerusi. Rasa tak puas hati ditunjukkan terang-terangan. Mulut terus mengomel sambil jari mengunjuk si pemilik-pemilik nama.
"Mula-mula akak. Lepas tu papa upah Naufal dan Syamel. Okey, acceptable sebab dia orang memang hebat. Papa suggest El kahwin dengan Arhan pula sebab alasan papa, Arhan boleh jagakan El. Okey, semalam dah cukuplah jadi bukti. Akak approve dan iktiraf ketangkasan dia. Dah ada empat orang, sekarang nak tambah Hadi pula? Papa ingat musuh-musuh El akan lari bertempiaran, terjerit-jerit bila dapat tahu Hadi join kita? Tak ada maknanya.
Kalau lima orang jaga El, makin ramailah musuh El hantar orang dan makin susahlah untuk kita bergerak, larikan diri. Seat dalam kereta cukup untuk lima orang aje, takkanlah nak kena bawa dua kereta pula? Atau papa nak beli kereta lain? Nak beli van?" Aina membebel panjang.
Pada saat jari telunjuk Aina terarah kepadanya, Arhan menengadah. Kening kanan diangkat bilamana Aina memberitahu pengiktirafannya. Hati serasa digeletek. Selama dia bernafas, belum ada sesiapa lagi 'mengiktiraf' kehebatan Arhan.
"El... Tolonglah beritahu akak. Keluarga El sebenarnya ahli kongsi gelap ke? Ada kaitan dengan yakuza? Along? Mafia? Sure ke business keluarga kau orang suci bersih daripada sebarang jenayah?"
Dirinya sedang dilempar soalan-soalan itu tetapi tawa Elyana terus-terusan memenuhi ruang makan. Kepolosan wajah Aina membuatkan Elyana terhibur sendiri. Topik ini seharusnya menjadi satu topik serius dan dibincangkan dalam keadaan penuh ketegangan tetapi lain pula jadinya bilamana Aina hamburkan soalan-soalan tersebut.
Aina dapat menangkap bunyi gelak daripada satu arah. Semerta dia pancarkan laser pada Syamel dan Naufal. Dan-danlah mereka berdua menutup mulut dan tunduk menekur lantai. Namun hanya untuk sesaat saja. Tiba-tiba Naufal bertanya sesuatu dek panasaran.
"Maafkan saya, Tengku El sebab mencelah. Tapi saya sebenarnya curious. Siapa Hadi sebenarnya? Pengawal peribadi Tengku El juga?" Sopan saja Naufal bertanya. Syamel kembali mendongak. Riak panasaran ditayang. Melihatkan Elyana meletakkan pisau dan garpu, mereka tahu Elyana akan membuka mulut tentang Hadi. Di sebelah Elyana, Arhan terus menikmati makanan manakala bertentangannya, Aina berwajah cemberut.
"Tengku Hadi. Dia sepupu saya," beritahu Elyana.
Belum sempat Naufal ucapkan 'maaf' kerana menggelar Hadi tanpa pangkal 'Tengku', Elyana menyambung kata.
"Kita orang sebaya. Hadi pun hebat bab-bab berlawan..."
"Sebab tu saya pelik, kenapa dia orang hebat sangat." Aina mencelah, menyuarakan kemusykilannya sekali lagi.
"Akak lupa ke? Dulu siapa yang selalu berlawan dengan Hadi? Akak juga, kan?"
Membulat mata Aina apabila Elyana mengungkit kisah belasan tahun lalu. Tak sempat ditahan, mulut Elyana sudah bongkarkan kisah Aina dan Hadi kepada mereka semua.
"Dulu saya selalu dibuli. Sebelum mama kahwin dengan papa, Hadi yang selalu backup dan jaga saya. Bila Hadi jumpa akak? Hah, tiap-tiap hari dia orang akan berlawan, tunjuk siapa lagi hebat. Papa dan mama dah berkali-kali tegur tapi dia orang buat pekak. Setiap kali dia orang jumpa, mama mesti gelabah pegang handphone. Bersiap-sedia nak call ambulans!"
Syamel dan Naufal melopong beberapa saat sebelum mereka pandang Aina.
Aina mencebir. Terbayang-bayang wajah Hadi di layar mata. Kepada Hadi, sisi kasarnya tak disorokkan sama sekali. Namun terima kasih kepada Hadi, banyak juga ilmu dicekau Aina. Dalam diam dia memerhati, menganalisa dan mempraktikkan setiap gerak-geri Hadi. Dan ilmu itulah yang dia amalkan sekarang.
"Tengku memang hebatlah," puji Naufal. Akhirnya terlepas satu pujian khusus untuk Aina.
"Tak payah nak puji-puji saya. Awak sepatutnya belanja saya makan hari ni. Lupa bet kita semalam?" Aina menempelak Naufal seraya mengungkit pertaruhan mereka semalam. Dia masih ingat, belum lupa!
"Valid lagi ke, Tengku? Sebab lepas tu, dua kali Tengku diserang tapi Hans yang selamatkan Tengku. Kiranya saya settle lebih awal daripada Tengku," jawab Naufal.
Demi mendengarkan itu, automatik anak mata Aina tertancap pada Arhan. Malam tadi mereka berdiri, memandang satu sama lain sehingga lima pagi. Arhanlah yang melarikan anak matanya terlebih dahulu. Tetapi kini tiada sebarang emosi dipancar di muka dan mata Arhan. Perhatian Aina teralih semula kepada Syamel bilamana lelaki itu bersuara.
"Tengku Is bagi nombor handphone Tengku Hadi untuk saya contact dia sendiri. Sekejap lagi flight Tengku Hadi berlepas. Saya fetch dia kat airport," lapor Syamel seraya menyimpan semula telefon pintarnya. Nombor telefon Hadi sudah disimpan untuk berhubung dengannya nanti. Syamel tetapkan fokus pada Aina pula untuk menyampaikan pesanan Iskandar kepadanya.
"Tengku Is suruh Tengku ikut saya sekali."
Perkataan 'suruh' itu memadai untuk menyatakan itu ialah satu arahan, bukannya satu bentuk permintaan. Aina tarik muka masam. Risau pula mahu berjauhan dengan Elyana walaupun hanya untuk seketika.
"Pergilah, kak. Jangan risaukan El. Hans dan Naufal boleh jagakan El."
Nafas berat dilepaskan. Lambat-lambat Aina tolak kerusi ke belakang dan berjalan mendekati Syamel.
"Jomlah kita gerak sekarang. Naufal, bak duit. Saya nak beli burger," kata Aina seraya telapak tangan ditadah pada Naufal yang sedang berdiri di sebelah Syamel. Duit yang dipinta bukannya diterima Aina, sebaliknya Syamel.
"Kau temanlah Tengku makan sementara tunggu Tengku Hadi. Pagi ni Tengku tak makan apa-apa langsung," kata Naufal kepada Syamel seraya menghulur sekeping not RM100. Ada nada prihatin di situ. Mata mengerling sekilas pinggan kosong Aina dan juga gelas berisi air putihnya.
"Jangan lebih-lebih, Naufal. Sekejap lagi awak jumpa Hadi, awak tahulah macam mana dia tergila-gilakan akak saya," pesan Elyana ringkas bersama sebuah senyuman nakal.
Aina jegilkan mata pada Elyana tetapi si adik pura-pura tidak melihat. Aina menjeling pula dan sebaik matanya bertaut dengan mata Arhan, Aina terpempan.
Arhan... Kembali beremosi.
Di matanya... Ada percikan amarah.
"ALAMAK, Tengku. Saya sakit perutlah," adu Syamel tiba-tiba dengan dahi berkerut seribu. Perut disentuh dengan tubuh separa membongkok.
"Pergilah cepat," kata Aina seakan-akan memberi keizinan kepada Syamel. Sekilap, lelaki itu hilang dari matanya. Dalam hati Aina menggerutu menempelak Syamel. Waktu-waktu sebeginilah dia sakit perut. Harapnya tak lamalah! Aina mengiring, sandarkan bahu kiri pada dinding. Sengaja dia berdiri jauh dari balai ketibaan. Malas mahu beria-ia menjemput Hadi sedangkan dia langsung tak kesah.
Telinga menangkap bunyi langkah di belakang. Aina berdiri tegak. Pada setiap detik yang berlalu, langkah itu semakin laju dan akhirnya ia berbunyi bertalu-talu. Bererti insan itu berniat untuk menerpanya! Semerta Aina palingkan tubuh. Jemari yang cuba menyentuh bahunya, Aina tangkas menggenggam. Kemudian dipulas hinggakan lengannya melekap pada belakang tubuh. Tangan kiri Aina menolak kepalanya ke dinding.
"Siapa kau?" tanya Aina pendek. Dari belakang, dia tak dapat lihat mukanya. Apa yang pasti hanyalah jantinanya. Dia ialah seorang lelaki.
Tindakan Aina menarik perhatian orang namun Aina tak endahkan. Perhatiannya lebih tertumpu kepada lelaki berbaju Polo dan berseluar jean itu.
"Whoa, relaks. Ini akulah, Hadi."
Terkebil-kebil Aina apabila Hadi memperkenalkan dirinya. Syamel terburu-buru mendekati mereka berdua sambil tangan tergawang-gawang ke udara. Mata sesekali mengerling sekeliling.
"Tengku... Ini Tengku Hadilah. Tadi saya sengaja buat alasan nak ke tandas sebab dia nak surprisekan Tengku! Lepaskanlah dia. Orang tengok," kata Syamel dalam nada berbisik. Di hujung katanya, Aina dan Hadi ditarik agar menjauhi satu sama lain.
Semerta Hadi gosok lengannya. Aina dipandang dari atas ke bawah. Sejujurnya, dia sudah jangka respons sebegini daripada Aina. Hadi sengaja mahu menduga dan ternyata, Aina Natasha masih 'berbisa'.
"Cuba sorokkan sikit. Tak cukup semalam video kau viral, hari ni kau nak viralkan lagi satu video?" sinis Hadi. Teringat pula dia pada ribuan komen. Ada yang mengandaikan itu ialah adegan filem. Aina lari daripada lintah darat. Aina ialah ketua kongsi gelap. Aina melarikan diri daripada cubaan menculik. Dan ada juga yang meneka Aina sedang membuat 'persembahan percuma'.
Aina jeling Hadi sekali. Muka ditebalkan sewaktu dia berjalan melepasi insan-insan yang memerhati dan terus keluar menuju ke kereta. Syamel dan Hadi turut mengekori di belakang. Sesekali tangan Syamel menepuk bahu Hadi diiringi perkataan 'sorry'.
Di dalam kereta, Aina duduk di hadapan. Dia lebih rela duduk bersebelahan Syamel daripada duduk seorang diri ataupun berdua-duaan dengan Hadi di belakang.
"El macam mana? Okey?" Hadi bertanya. Kini kereta dinaiki mereka sudah meninggalkan Lapangan Terbang Senai. Hadi kedepankan tubuh untuk bertanya soalan seterusnya kepada Aina. Kepoh.
"Dah tahu siapa yang cuba serang El? Kenapa kau tak bawa El sekali? Selamat ke tinggalkan dia kat rumah?"
"Kalau dah tahu, senang sikit. Aku boleh serang balik! El ada kat rumah, dengan bakal suami dia dan Naufal. Pandailah dia orang jaga El. Apa angin tiba-tiba papa minta tolong kau?" Usai menjawab soalan-soalan Hadi, Aina pula bertanya ingin tahu.
"Pak long tak minta tolong. Aku sendiri yang offer diri lepas tengok video kau," jawab Hadi bersahaja.
Lapisan di dahi Aina kelihatan. Offer? Hadi tawarkan diri untuk membahayakan diri sendiri, semata-mata untuk Elyana? Wajah Arhan pula muncul di layar mata. Terdetik dalam fikiran Aina, mengapa dengan mudahnya lelaki-lelaki ini meletakkan nyawanya kedua terpenting selepas Elyana? Sampai begitu sekalikah penangan kecantikan Elyana?
Suara Hadi kedengaran dan bait bicaranya memecahkan semua fikiran-fikiran Aina.
"Aku bukannya nak tolong El. Aku nak tolong kau. Dalam masa yang sama, aku nak jagakan kau juga," kata Hadi lancar. Anak mata tertumpu pada Aina sepenuhnya. Kata hati diluah tanpa segan-silu walaupun Hadi sedar, Syamel ada di situ.
Mata Syamel membulat. Bibir yang mahu membentuk senyum, dia cuba kekang sedayanya.
Benarlah kata Elyana tadi. Hadi, sepupu Elyana ini, gilakan Aina.
Syamel mengerling Aina berkali-kali, panasaran mahu mengetahui reaksi Aina. Kebiasaannya, hati wanita akan terbuai-buai. Paling tidak pun, hati serasa dijentik. Tetapi lewat ekor matanya, Syamel lihat Aina mencemik.
"Aku boleh jaga diri aku sendiri," balas Aina.
Hadi dikerling menggunakan cermin pandang belakang. Lelaki itu senyum lebar sambil menyandarkan tubuh pada kerusi.
"Sebab tu aku suka kau, Aina. A tough girl. Forever my favourite girl."
ENJIN dimatikan sebaik saja kereta diparkir di pekarangan rumah. Ketiga-tiga insan itu turun daripada kereta. Di depan pintu, terjengul muka Elyana, Arhan dan Naufal.
"Hai. Sihat?" tanya Hadi kepada Elyana. Anggukan diterima sebagai jawapan lalu Hadi berjabat tangan dengan Arhan. Inilah kali pertama dia bertemu empat mata dengan bakal suami Elyana itu. Kemudian Hadi salam Naufal pula.
"Kau ke dalam video tu? Dengan Aina semalam?"
Naufal angguk.
"Saya Naufal, Tengku." Naufal perkenalkan diri tatkala tangan bersalaman dengan Hadi. Tiba-tiba bahunya ditepuk lembut oleh Hadi.
"Panggil Hadi aje. Thanks tolong Aina semalam. Kalau kau tak ada, entah apalah jadi kat dia."
"Dah memang kerja saya," jawab Naufal pendek.
"Kau tak bawa beg, Hadi? Baju-baju kau? Papa suruh kau tinggal kat mana? Sekali dengan Hans?" tanya Elyana di saat kakinya menapak masuk ke dalam rumah. Dia jalan beriringan dengan Hadi sementara yang lain-lain mengekori di belakang. Di ruang tamu, Elyana labuhkan duduk di atas sofa. Aina mengambil tempat di sebelah Elyana manakala Arhan dan Hadi duduk bertentangan. Kedua-dua pengawal peribadinya pula berdiri beberapa meter dari mereka.
"Aku tak bawa apa-apa. Aku nak ajak Aina temankan aku beli semuanya lepas ni. Aku tak tinggal dengan Hans. Sementara pak long carikan rumah untuk aku, aku tinggal kat hotel berdekatan. Kalau boleh, aku nak aje tinggal sini. Dekat dengan Aina, tapi pak long tak bagi. Pilih kasih. Pak long bagi bodyguards kau tinggal sini tapi tak bagi aku," kata Hadi bersama muncung panjangnya.
"Memang patut pun papa tak bagi. Hilang bahaya orang jahat, datang pula bahaya kau sebab menggatal dengan akak aku." Tawa Elyana dan Hadi bergabung memenuhi ruang tamu.
Sebal dirinya menjadi topik perbualan, Aina bangun dari duduknya.
"Kau pergi ajelah sorang-sorang. Jangan menyusahkan aku," ujar Aina keras dengan mimik muka menyampah. Terang-terangan tunjukkan ketidakrelaannya untuk menemani Hadi. Aina pandang dua lelaki yang tercegat berdiri.
"Naufal, Syamel. Jom pergi drive-thru McD. Saya laparlah." Aina mengajak kedua-dua lelaki itu sebelum dia pandang Elyana dengan senyuman dibuat-buat.
"El tinggal dengan dia orang dan Mak Munah sekejap eh. McD dekat aje, tak sampai sepuluh minit. Nanti akak balik. Bye," kata Aina lalu dia buka langkah besar keluar banglo. Kalut Naufal dan Syamel pamit diri untuk mengejarnya.
"Tengku! Sekejaplah!" panggil Naufal. Dia dekati Aina yang sudahpun berdiri di sisi kereta.
"Tengku pergi dengan Syamel ajelah. Takkanlah saya nak tinggalkan Tengku El dengan Hans dan Hadi aje."
"Saya sengaja bagi alasanlah, nak keluar dari situ. Syamel, mana duit yang Naufal bagi tadi? Meh, bagi kat saya. Biar saya pergi sendiri. Sekejap lagi, kau orang masuk semula. Cakap saya pergi sorang sebab papa tak bagi kau orang tinggalkan El," kata Aina bersahaja. Rancangan yang dicipta beberapa minit lepas disampaikan. Sememangnya itu hanyalah helahnya untuk beredar. Aina tahu Elyana akan mendesaknya untuk menemani Hadi sekiranya dia kekal di situ.
Lain disuruh, lain dibuat. Syamel kecilkan mata seraya menunjuk judging face.
"Tengku cuba mengelak daripada Hadi eh? Tengku tak suka dia?"
"Awak nak lawan dengan saya ke, Syamel?" Bukan jawapan yang diberi, sebaliknya satu ugutan.
"Hadi tu sebaya Tengku El kan? Maksudnya dia lagi mudalah tapi kenapa selamba aje dia 'beraku-kau' dengan Tengku? Tengku tak kesah pula?" Naufal bertanya dengan naif. Siku disinggung Syamel lalu Naufal pandang dia.
"Hadi suka Tengku kut, takkanlah nak panggil 'kakak' pula. Lesap terus peluang!" kata Syamel sambil tangan bersilang, membuat isyarat X.
"Dua lawan satu pun cun juga. Saya okey aje," kata Aina.
Beberapa saat Naufal dan Syamel bersabung tawa namun senyap semerta apabila mereka melihat sesuatu. Tubuh menegak. Sekilap riak serius menempel di muka.
Daya pendengaran Aina memberitahunya kewujudan seseorang lalu Aina berpaling. Kelihatan Arhan sedang berjalan menonong menuju ke rumahnya. Kedua-dua tangan diselit masuk ke dalam poket. Dari belakang, Arhan kelihatan begitu bergaya walaupun dia hanya memakai kemeja merah lengan pendek dan seluar khakis coklat. Setiap tapak diatur penuh keyakinan.
"Arhan!" Aina melaung. Sempat dia katakan 'sekejap' kepada Naufal dan Syamel sebelum dia berlari mendekati Arhan. Lelaki itu berhenti di luar pagar, menanti Aina.
"Kenapa awak balik? Tunggulah sekejap, borak dengan El dan Hadi."
"Malas," jawab Arhan sepatah.
"Awak nak apa?" soal Arhan pula. Cepat Aina luahkan apa yang dia mahu, cepatlah Arhan masuk ke dalam banglo dan berbaring di bilik berpendingin hawa. Ia jauh lebih baik dan selesa berbanding di bawah terik matahari sebegini.
Aina mencebik sesaat dua. Personaliti Arhan tak dapat diduga sama sekali. Tempoh hari di gim, Arhan menceceh panjang. Kemudian dia membeku. Malam tadi dia marah-marah sebelum bertukar menjadi orang tersedih di dunia. Pagi tadi ada rasa marah terpancar di mata namun sekarang, Arhan bagaikan tidak mempunyai hatta satu emosi di dalam diri.
"Aina Natasha."
Hanya dengan sekali seru, Aina menengadah. Nafas dihembus keluar sebelum Aina buka mulutnya.
"Saya nak minta maaf sebab malam semalam saya tuduh awak macam-macam. Terima kasih juga sebab selamatkan saya. Tapi lain kali, jangan patah balik untuk saya. Utamakan El. Saya boleh jaga diri saya sendiri," kata Aina. Ayat 'utamakan El' diberi lebih penekanan agar Arhan tidak mengulangi perbuatan semalam.
Elyana harus diutamakan dalam apa jua keadaan. Titik.
"Arhan, awak dengar tak apa yang saya cakap ni? Faham tak?" Aina bertanya semula apabila Arhan tidak bersuara.
"Arhan aje? Semalam awak panggil saya, Tengku Arhan Yuzlan."
"Semalam saya emosional, memanglah."
"Hari ni dah tak emosional?"
"Hari ni mood dah baik mes... Eh, Arhan! Saya seriuslah! Ingat. El is our priority jadi jangan pedulikan saya." Sedar perbualan mereka memesong sedikit, Aina ketap giginya.
"Okey." Sepatah Arhan menjawab. Tanpa menunggu lanjutan bicara Aina, Arhan kembali menapak. Tetapi namanya dipanggil Aina sekali lagi. Bezanya, kali ini namanya diseru Aina dalam volume paling perlahan. Arhan menoleh, memacakkan pandangannya pada Aina. Mata wanita itu sudah berubah layu.
"Dan lain kali... Jangan sedih sorang-sorang macam semalam."
Adakah itu satu bentuk pesanan? Atau penyataan? Atau permintaan?
Sungguh, Arhan tak dapat klasifikasikannya. Apa yang dia tahu ialah, dunia serasa redup dan damai. Sama seperti malam tadi, anak mata Aina berkuasa salurkan ketenangan kepadanya.
Arhan mengeluh kecil. Tanpa sebarang kata, Arhan berlalu pergi meninggalkan Aina. Berat sedikit langkahnya berbanding tadi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co