Bab 13
"JANGAN sedih sorang-sorang macam semalam?"
Suara Aina keluar dari kerongkong dan masuk semula ke dalam telinganya. Dari baring, Aina duduk tegak. Tangan tergerak-gerak seraya mulutnya berdesit, membebel marahkan seseorang.
"Aina Natasha. Betullah cakap mak. Kau memang dah gila. Kenapa kau pesan macam tu? Lantaklah kalau dia sedih, menangis, meroyan sorang-sorang pun! Kau tak payah ambil kesah. Kau sure ke semalam dia nampak sedih? Mamat tu emotionless kut. Cold. Dingin. Beku. Kadang-kadang ayat dan gaya dia tu macam lelaki narcissist, full of himself. Come on, Aina. Kau memalukan diri sendirilah!"
Rambut menjadi mangsa kiraian Aina. Daripada lurus elok, sekarang ia sudah berubah kusut. Sama kusut dengan fikiran Aina tika ini. Semuanya gara-gara pesanan yang dia titip pada Arhan siang tadi. Matahari sudah menghilangkan diri dan bulan dan bintang sudah menjadi peneman malam tetapi Aina masih mengutuk, marahkan diri sendiri atas keterlanjuran katanya.
"Mak!"
Deringan iPhone X membuatkan Aina terjerit kecil. Spontan mata jatuh pada skrin. Melihatkan nama 'Naufal', Aina melompat turun dari katil. Nama Arhan tak lagi difikirkannya. Sekilap berganti dengan nama Elyana.
"Kenapa, Naufal? Ada apa-apa masalah ke?" tanyanya yang sudahpun keluar dari bilik. Aina atur langkah menuju ke bilik Elyana. Cuba membuka pintu tetapi gagal.
"El? El? El okey tak?" Aina memanggil Elyana dengan rasa tidak keruan. Pintu diketuk lagi.
"El?"
"Akak..." Seiring sahutan itu, daun pintu ditolak. Terjengul Elyana di muka pintu bersama telefon pintar di tangannya.
"Kenapa, kak?" tanya Elyana.
"El okey?" Pantas Aina bertanya keadaan Elyana walaupun dari mata kasarnya, dia dapat lihat si adik tersenyum keceriaan. Mata jatuh pada iPhone X milik Elyana. Sementara hitam menjadi pilihan Aina, warna perak pula dipilih Elyana. Sama sepertinya, berlian dicacah pada casing, membentuk nama Elyana.
Elyana senyum sambil mengangguk laju. IPhone dijauhkan sedikit daripadanya sementara kepala digerakkan sedikit mendekati Aina.
"El tengah on the phone dengan Hans," kata Elyana separa berbisik. Bimbang kalau-kalau Arhan dengar butir bicaranya.
Nama yang disebut si adik buatkan Aina senyum kelat.
"Kenapa akak panggil El?" Elyana bertanya niat Aina pula.
"Oh? Aaa. Erm. Tak ada apa-apa. Naufal call akak malam-malam ni, akak jadi gelabah. Takut apa-apa jadi kat El, sebab tu akak terus ke bilik El. Okeylah. Akak turun bawah dulu. Mesti ada sebab kenapa Naufal call akak tiba-tiba." Kalut Aina memberi jawapan sambil tangan kiri tergerak-gerak mengunjuk tangga.
"Akak turun dulu eh," pamit Aina. Kaki menapak menuruni anak tangga. Selepas beberapa saat Elyana melambaikan tangannya, Elyana beredar masuk ke dalam bilik lalu pintu ditutup. Aina berhenti berjalan. Pintu bilik Elyana direnungnya. Tak disuruh tetapi akal laju saja mencipta pelbagai soalan. Dan setiap satu soalan itu membabitkan nama Elyana dan Arhan. Aina panasaran.
Apakah butir perbualan Elyana dan Arhan? Kenapa Elyana kelihatan gembira sekali? Hari sudah larut malam. Tak mengantukkah mereka berdua?
"Tengku?"
Automatik mata Aina beralih pandang. Kini di depannya ada Naufal. Mata Aina dikelip sekali dua. Sesaat kemudian, fikirannya kembali waras. Ringan mulutnya mahu menempelak Naufal yang berani menjejakkan kaki di tingkat tiga ini.
"Awak buat apa kat sini?" tanya Aina dengan mata tajamnya. Sedari awal perkhidmatan Naufal dan Syamel, mereka berdua sudah diberi amaran supaya menjauhi tingkat di mana bilik Aina dan Elyana ditempatkan. Itu ialah ruang peribadi wanita-wanita itu dan tak seharusnya dicerobohi oleh sesiapa kecuali si pembantu rumah. Andai kata ada kecemasan, barulah mereka diizinkan naik.
"Saya risaulah sebab Tengku tiba-tiba drop call. Saya cuba call Tengku El tapi line busy," jelas Naufal. Selepas talian diputuskan Aina, Naufal jadi tak senang duduk. Dia kalut menghubungi nombor telefon Elyana tetapi gagal. Dalam kepala, mulalah Naufal membayangkan yang bukan-bukan.
Musuh Elyana sudah mengetahui kediaman Elyana. Elyana diserang dan Aina cuba selamatkan. Aina dikerjakan oleh mereka.
Tak berfikir panjang, Naufal meluru menaiki anak tangga. Namun hembusan nafas lega terlepas dengan sendirinya sebaik terpandangkan Aina termenung seorang diri.
"Saya drop call? Tertekanlah kut," kata Aina polos.
"Kenapa awak call saya malam-malam?" Barulah Aina teringat untuk bertanya kepada Naufal. Jika tadi wajah Naufal tegang dek kerisauan, kini wajah itu sudah dihiasi senyuman.
"Jomlah turun, Tengku. Kita main kad Uno."
"Uno? Seriuslah, Naufal?"
Naufal sedar Aina sedang mempamerkan riak tak percaya tetapi dia terus-terusan mengangguk. Tambahan pula, bukan mereka berdua saja yang akan bermain permainan itu.
"Kita lawan dengan Syamel dan Hadi juga. Hadilah yang bagi suggestion!"
Dan kali ini, Aina tak mampu menghalang dirinya daripada membuat muka tak semenggah.
"APA ni, Tengku? Tak adillah macam ni! Asyik Tengku aje yang menang!" Syamel melempar kad-kad miliknya ke atas meja. Naufal turut melakukan aksi sama. Marah benar gaya masing-masing. Diri terasa ditipu hidup-hidup walaupun mereka tahu, Aina tidak menipu dan bermain penuh kejujuran.
Sudah tiga pusingan dimain dan ketiga-tiga pusingan itu dimenangi Aina semata-mata!
Hadi menyengih. Kad-kad di tangan, Hadi letakkan ke atas meja. Kesemua kad itu ditarik ke arahnya dan dikumpul. Sementara Syamel dan Naufal meluahkan ketidakpuasan hati mereka, Hadi menerima kekalahannya dengan tenang dan hati terbuka.
"Aina... Forever my favourite girl," ujar Hadi, mengulangi sebaris ayat kegemarannya. Tersenyum-senyum dia sewaktu pandangannya bertaut dengan Aina.
Sesaat lepas Aina tersenyum penuh bangga tetapi sekarang dia sudah mencemik. Beku segala niatnya untuk mencapai botol air mineral di atas meja. Aina kembali bersandar ke kepala kerusi. Pandangan dibuang ke tempat lain, kononnya tak rela membiarkan wajah Hadi memenuhi kornea mata.
"Tengku... Kalau saya tanya pasal Tengku El, Tengku akan label saya biadab tak?" tanya Syamel perlahan dan penuh berhati-hati. Semerta tiga pasang mata tertumpu kepadanya.
"Tanya apa?" Soalan diaju kepada Aina tetapi Hadi yang menjawab. Automatik semua mata terarah padanya. Tangan Hadi lincah mengocok kad-kad Uno. Aksi yang biasa dilihat di pusat-pusat kasino.
Daripada soalan Hadi, Syamel tahu itu ialah lampu hijau untuknya.
"Tadi Tengku El kata, dia selalu dibuli. Betul ke? Tengku El kan anak orang kaya, orang ternama. Takkanlah dia orang berani buli Tengku El?" Syamel terus bertanya. Meski layanan Hadi baik kepadanya, Syamel tetap mencipta jurang di antara mereka. Gelaran saja tidak formal, tanpa penggunaan pangkal 'Tengku' tetapi Syamel tetap menghormati selayak pangkat mereka.
Aina sekadar mendiamkan diri. Dibiarkan saja Hadi membuka cerita belasan tahun dahulu.
"Kaki buli ni... Tak takut sangat dengan gelaran dan pangkat. Apa yang penting pada dia orang ialah the power. Kuasa untuk takutkan orang. Kuasa yang buatkan orang rasa gerun dan tunduk pada kita. Kalau El berani melawan atau mengadu apa-apa pada orang lain, El dibuli dengan lebih teruk. Aku tahu pun secara tak sengaja. Aku ternampak dia orang tarik El ke belakang sekolah dan buli dia," cerita Hadi ringkas. Kad-kad Uno sudah diletak ke tepi. Dia bersandar ke kerusi sambil kedua-dua tangan dibawa ke belakang kepala.
"Dalam hidup... Ada duit dan pangkat aje, tak guna. Kita perlukan kuasa. Macam kau orang sekarang. Kau orang cuma orang biasa, tak ada apa-apa. Tapi kalau kau orang approach mana-mana orang kaya dan peras ugut dia orang untuk bagi duit, kau orang rasa dia orang akan buat apa?" Hadi bertanya semula. Dia pandang Naufal dan Syamel bersilih ganti, menuntut jawapan daripada mereka.
Sementara Syamel mengangkat bahu tanda tidak tahu, Naufal pula memberi jawapannya.
"Bagi aje?" Naufal meneka. Dalam hati Aina, dia juga sudah mengungkap jawapan sama.
Hadi mengangguk sekali. Dan-danlah Syamel berwajah selenga. Hadi pandang Syamel untuk menjelaskan jawapannya.
"Dia orang akan bagi. Mula-mula dia orang akan melawan, kerahkan orang untuk balas dendam kat kau orang. Tapi lama-kelamaan, dia orang akan mengalah. Sebab kau lagi berkuasa daripada dia. Tak kiralah macam mana dia cuba resist dan berapa ramai orang dia hantar untuk kerjakan kau, kau tetap lebih hebat daripada dia orang."
Bicara dijeda seketika.
"Tapi ini applicable pada kau orang ajelah. Sebab aku rasa kau orang memang hebat. Kalau orang lain atau samseng jalanan... Lupakan ajelah. Dia orang tak hebat mana pun. Sekali kena hempuk, nyawa melayang," tutur Hadi bersahaja. Bicaranya diakhiri ketawa kecil.
"Kalau orang yang ada duit, pangkat dan kuasa? Contohlah... Macam Tengku Aina sekarang. Dia kaya. Orang ternama. Pandai berlawan jadi orang gerun dengan dia. Macam mana pula?" Polos, Syamel melontarkan soalan. Beria-ia benar dia mahu mengetahui jawapan Hadi. Dirasakan seperti dia berada di dalam bilik kuliah dan sedang bertanya kepada si pensyarah. Topik ini dianggap serius sepertinya ia akan ditanya di dalam peperiksaan kelak.
"Eh, apa petik-petik nama saya pula?" tukas Aina dengan mimik garangnya.
"Kalau orang macam Aina... Maksudnya dialah yang paling hebat. Semua orang akan tunduk, takut dengan dia. Tak ada sesiapa boleh kalahkan dia, melainkan orang tu betul-betul licik dan hebat! But well, ini Aina kut. My favourite girl will forever be unbeaten," kata Hadi bersama senyuman meleretnya. Nada yang tadinya sedikit keras kini menjadi manja apabila nama Aina meniti di bibir. Hadi pamer muka comel pada Aina tetapi sayangnya, hanya jelingan diterima. Ketara sangat segala aksi ulat bulunya tak meninggalkan impak pada Aina.
Aina berdiri sambil tangan digerakkan, isyarat menghalau kedua-dua pengawal peribadinya pergi.
"Eh, dahlah. Kau jangan ajar budak-budak ni benda-benda pelik. Kalau dia orang betul-betul serang orang lain, naya! Syamel, Naufal. Awak pergi tidur sekarang."
Terkulat-kulat Naufal dan Syamel bangun. Aina mara mendekati lalu tubuh mereka ditolak masuk ke dalam rumah. Dalam terpaksa, kedua-duanya akur. Apalagi hari sudah terlalu malam. Bila-bila masa dari sekarang, matahari akan kembali menjelmakan diri dan itu bererti mereka harus merehatkan diri sejam dua sebelum kembali bertugas.
Hilang saja kedua-duanya dari mata, Aina menghalau Hadi pula.
"Kau pun baliklah. Ada hotel tapi sibuk duduk sini. Baliklah!"
Langsung tidak terasa hati dengan halauan Aina, Hadi masih statik di tempatnya. Mata mengerling kerusi diduduki Aina tadi, memberi isyarat kepada Aina untuk duduk.
"Dia orang dah tak ada, bolehlah aku share something dengan kau," kata Hadi diiringi ekspresi serius. Dan-danlah Aina seriau. Hadi yang dikenalinya selalu saja senyum menayang barisan giginya. Sewaktu Hadi berlawan pun, lelaki itu masih bisa tersenyum. Jauh berbeza dengan Arhan yang kebiasaannya menayang muka tak beremosi.
Eh? Kenapa Arhan pula yang aku fikirkan? Akal Aina bertanya kepada diri sendiri. Sewaktu suara Hadi memanggil namanya menerobos masuk ke telinga, lekas-lekas Aina labuhkan punggung.
"Share apa? Pasal siapa? El?" Aina bertanya laju dalam volum minima. Bukannya jawapan 'ya' atau 'tak' diterima Aina, sebaliknya satu soalan lain.
"Kau sedar tak, birthday El bulan depan? Maksudnya she turns twenty-five by next month."
Terangguk-angguk kepala Aina.
"Kau tahu tak, apa tradisi keluarga kita orang?" Hadi bertanya sekali lagi.
Mendengar perkataan 'tradisi', automatik kening Aina terjongket. Dia cuba berfikir sejenak, cuba selongkar kepala untuk mencari kot-kot Iskandar ataupun Elyana pernah bercerita tentang tradisi keluarga mereka.
Negatif.
"Tradisi apa?" Aina bertanya lugu. Kedua-dua tangan menopang dagu, menunjukkan minatnya.
Hadi senyum sebaris melihatkan mimik muka Aina. Comel. Kalaulah Aina sama seperti wanita-wanita lain, mahu saja Hadi cubit pipinya. Malangnya, di depan matanya kini ialah Aina. Silap laku, salah kata, semestinya lebam-lebam menghiasi muka.
Hadi beralih posisi. Mereka duduk berdua-duaan menghadap satu sama lain pada malam hari, di mana langit pekat malam, bintang dan bulan menjadi peneman. Angin malam sedikit sebanyak menambahkan lagi aura romantis di antara Aina dan Hadi. Namun malangnya, isu yang bakal dibincangkan sebentar lagi ialah tentang satu nyawa.
Nyawa seorang Tengku Elyana Tengku Iskandar.
"Dalam keluarga kita orang... Once kau berumur dua puluh lima tahun, kau akan mula bekerja dalam syarikat. Jejak aje kaki dan kau terus jadi COO. Kau mula babitkan diri dalam hal-hal pengurusan. Nama aje COO tapi kau akan dilatih, diajar buat keputusan untuk syarikat. Usually setahun lepas tu, kau akan jadi CEO. At the age of twenty-six, kau dah pun jadi orang berjawatan besar."
Hadi berkongsi satu tradisi yang diamalkan oleh keluarganya sedari dulu. Atuk Hadi mula menceburkan diri dalam urusan perniagaan keluarga sewaktu berumur dua puluh lima dan terus menjadi kepala syarikat apabila berumur dua puluh enam tahun. Selepas itu, Tengku Iskandar dan Tengku Ismail, bapa Hadi juga meneruskan tradisi itu. Bezanya, Iskandar diberi segala kelebihan manakala Ismail diberi beberapa buah anak syarikat saja memandangkan Iskandar ialah si abang dan Ismail pula ialah si adik.
"Kau dan El... Kau orang dua puluh lima tahunlah, kan? Maksudnya tahun ni sepatutnya kau orang mula kerja dalam company masing-masing?" Aina cuba membuat rumusan.
Angguk.
"Apa kaitannya dengan El?"
"Aku rasa... Orang yang cuba bunuh El sebenarnya nak halang El daripada inherit semuanya. Kau tahu tak berapa aset pak long sekarang? Confirm sampai tujuh keturunan pun tak habis. Kau tak rasa pelik ke? Kenapa tiba-tiba aje El diserang? Dari tahun lepas dia orang cuba, maksudnya kalau boleh, dia orang tak nak El cecah dua puluh lima tahun langsung. Birthday El lagi sebulan aje. Tak mustahil dia orang jadi makin agresif lepas ni," kata Hadi penuh kejituan. Dia yakin, kesimpulan yang dibuat akalnya ialah satu fakta.
"Tapi siapa yang nak buat macam ni? Eh tolonglah. Itu memang hak El kut. Siapa dia orang untuk serang-serang El, nak halang El daripada dapat hak dia? Ini tahun 2018, bukannya zaman dulu-dulu. Kat dalam istana, ada perebutan takhta. Kat negara, ada sesi jajah-menjajah," bebel Aina penuh kesebalan. Sekali dengar, bait bicara Aina kedengaran berunsur jenaka namun hakikatnya, Aina sedang mempertikaikan tindakan si musuh.
"Kau rasa siapa orangnya?" Usai menceceh, Aina menyoal Hadi. Lelaki itu bijak menganalisa apa yang berlaku, semestinya lelaki itu punya seseorang dalam minda.
Hampa hati Aina apabila Hadi menggeleng perlahan.
"Aku cuma teka ikut logik. Manalah aku tahu siapa orangnya!" kata Hadi penuh beremosi.
Semerta Aina juihkan bibir. Namun sesaat kemudian, air muka Aina kembali keruh. Seingatnya, perebutan harta mahupun takhta kebiasaannya berlaku dalam sesebuah keluarga. Dek mengejar harta dan pangkat, si tamak selalu persetankan tali persaudaraan dan tegar melakukan apa saja untuk memenuhi keinginannya.
Lalu Aina pandang Hadi semula. Mata tajam bagaikan helang mahu menyambar mangsanya.
"Kau... Bukan kau yang rancang semuanya, kan?" soal Aina keras.
"Kalau betullah musuh El nak halang dia daripada inherit semuanya... Kau sedar tak, kaulah suspek utama? Sebab kalau El tak ada, papa tak ada waris lain. Automatically nama kau boleh dipertimbangkan untuk jadi waris sebab kaulah satu-satunya yang tinggal. Aku memang dah out of list sebab aku tak ada kelayakan dan aku bukannya keluarga kandung kau orang."
Aina duduk lurus. Lewat anak mata, Aina bagaikan 'menikam' lelaki itu semahu hatinya. Andai saja lelaki itu mengaku, detik itu juga Aina takkan teragak-agak untuk bertindak.
Hadi tercengang. Bungkam. Sebaik maksud Aina dapat ditangkap, Hadi bertanya semula.
"Kau fikir aku mastermind semuanya? Aku upah orang untuk serang El? Semata-mata nakkan harta?"
Jujur kepala Aina mengiakan dengan anggukan. Mata tak berkedip sama sekali, menunjukkan keyakinannya.
"Manalah aku tahu. Kutlah kau sekadar berlakon. Orang kata, keep your enemies closer!" Laju saja Aina menyebut frasa yang selama ini dia dengar. Dalam usaha mengalahkan lawan, seharusnya kita berada dekat dengannya untuk mengetahui di manakah titik kelemahannya.
"Nonsense." Spontan Hadi luahkan perkataan itu kepada Aina.
Aina cerlungkan mata, cuba menilai apa yang tersimpan dalam hati Hadi. Bibit-bibit keraguan yang tadinya memenuhi seluruh hati, perlahan-lahan pudar. Dari riak muka Hadi dan gayanya, Aina dapat rasakan curiganya menghilang. Memori masa lalu bermain dalam layar minda, di mana dia saksikan sendiri Hadi menjaga dan mengambil berat terhadap Elyana.
Sukar untuk Aina akui tetapi senyatanya, Hadi ialah seorang lelaki manis yang bersikap kelelakian. Di sebalik perangai kebudak-budakannya, ada seorang anak jantan yang mempunyai sisi pelindung.
Aina merengus, lebih kepada marahkan diri sendiri. Gara-gara kes serangan bertubi-tubi dan rancangan hitam Khalidah, sifat protektif Aina kian menebal sekali gus membuatkan dia prejudis pada orang-orang sekeliling. Sebelum ini dia meragui Arhan dan sekarang, dia mempersoalkan Hadi pula.
"Katakanlah assumption kau betul... Siapa orangnya? Aku tak fahamlah. Hadi, kau sure ke kau orang tak terbabit dengan mana-mana kongsi gelap? Kutlah dulu-dulu ada yang ambil duit daripada organisasi jahat, lepas tu baru sekarang dia orang datang untuk balas dendam?"
Meledak tawa Hadi semerta.
"Keluarga kita orang bersihlah dari benda-benda tu semua!"
"Habis tu, siapa? Tapi... Kau pula. Patutnya tahun ni pun kau dah kena masuk company. Kenapa kau tak ikutkan aje? Kenapa kau offer diri nak jagakan El?" Ringan Aina bertanya tentang Hadi. Jika benarlah cerita Hadi tadi, bererti tahun ini Hadi juga seharusnya babitkan diri dalam urusan syarikat-syarikat Ismail. Tetapi kenapa Hadi berada di sini?
"Saja. Aku nak larikan diri. Kau kenal aku, Aina. Daripada dulu, aku lagi suka bergaduh dan berlawan. Nak uruskan syarikat? Tak adventurous, tak challenging langsung," kata Hadi seraya kepalanya bergerak ke kanan dan ke kiri. Sepertinya Hadi tak betah membayangkan dirinya memakai pakaian pejabat, duduk terperap di dalam pejabat dan menghadap komputer. Mulut pula terpaksa mengukir senyuman bilamana bertemu dengan rakan-rakan business lain.
Hadi menggeleng laju pula. Tak. Tak nak. Tak rela.
Demi melihatkan itu, Aina tak dapat tahan dirinya daripada tersenyum. Sesungguhnya dia dan Hadi punya banyak persamaan. Disebabkan itulah dia tetap senang dengan kewujudan Hadi walaupun rasa jengkel sedikit sebanyak menjentik hati setiap kali Hadi keluarkan ayat bergula.
"Kenapa?" Aina bertanya kepada Hadi. Bukannya Aina tak sedar, sedari tadi Hadi asyik merenungnya.
Kini giliran Hadi pula menongkah dagu sambil menghadap Aina. Mata galak memanah ke anak mata Aina.
"Kahwin dengan aku, Aina. Aku tak perlukan semua orang, aku tak perlukan semua benda kalau kau ada dengan aku. Kahwin dengan aku." Laju ayat-ayat itu meluncur keluar dari mulut Hadi. Dia melamar Aina dengan riak polos tetapi di mata Hadi, ada kilauan.
Andai gadis lain dilamar Hadi, pastinya mereka akan bersorak keriangan dan bersetuju dengan linangan air mata terharu. Namun berbeza kisahnya dengan Aina. Tak sedikit pun hatinya terusik dengan lamaran Hadi.
"Okey, jom kahwin. Lepas tu, esok lusa kau akan carut dan salahkan aku sebab kau tak biasa hidup susah," bidas Aina selamba. Air muka Hadi tetap sama, langsung tak berubah.
"Aku tahu pak su tak suka aku dan mak. Dari dulu sampai sekarang, dia tuduh kita orang nakkan harta papa semata-mata. Dia dah berkali-kali hasut papa ceraikan mama. Pak su benci aku, Hadi. Katakanlah kita kahwin, for sure pak su tarik semua kesenangan kau. Bila kau dah hidup susah dengan aku, nanti kau akan merangkak cari dia semula dan lepas tu, kau akan tinggalkan aku."
Imaginasi rentetan 'perkahwinan mereka' sengaja dibayangkan. Biar Hadi sedar isu perkahwinan di antara mereka tak seharusnya dibangkitkan hatta dalam keadaan bergurau. Dalam gurauan sekali pun, ia tetap membawa bayangan buruk.
Hadi mengangguk bersetuju, langsung tidak menafikan kebencian Ismail kepada Khalidah dan Aina. Sedari dulu, Iskandar cuba meyakinkan si adik tetapi Ismail tetap menyimpan prejudis terhadap dua beranak itu. Hadi sendiri bermati-matian menyebelahi dan menyokong Aina di depan si bapa namun semuanya ditepis habis-habisan oleh Ismail.
"Kan aku dah cakap... Kau aje dah cukup untuk aku. Just you and I'll be ready to throw the world away," tutur Hadi, masih membawa intipati sama. Dia mahukan Aina menjadi isterinya. Asalkan Aina ada di sisi, Hadi rela kehilangan segala-galanya.
Aina senyum sinis. Mata masih tertumpu pada Hadi pada saat tangan dipanjangkan untuk mencapai kad Uno.
"Pergi balik, bawa kad Uno kau. Kalau kau insist nak kahwin, kahwin aje dengan kad-kad ni. Confirm pak su restu," kata Aina. Tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada Hadi, Aina berlalu masuk ke dalam rumah. Pintu ditutup dan dikunci. Kemudian Aina berlalu ke tingkap untuk melihat Hadi daripada gelas kaca.
Hadi sudah berdiri. Sementara tangan kiri menggenggam kad-kad Uno, tangan kanan dilambai kepada Aina. Tiada balasan diterima selain jegilan mata, mengarahkan Hadi segera pergi. Hadi ketawa lagi. Kaki diatur keluar pagar dan sekilap, pintu pagar automatik mulai bergerak. Pastinya itu kerja Aina.
Senyuman masih lagi bersisa di bibirnya sewaktu Hadi menapak.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co