Bab 15
KEPULANGANNYA disambut dengan ekspresi tegang semua orang. Belum sempat Elyana menerpa, Hadi sudah meluru ke arah Aina terlebih dahulu. Gelabah Hadi memeriksa keadaan Aina.
"Kau okey tak? Luka? Darah? Nak pergi hospital? Aku hantarkan. Kau pening-pening tak?"
Aina menggeleng sambil menepis tangan Hadi.
"Aku okey ajelah. Dia orang tak buat apa pun," kata Aina perlahan. Tiba-tiba dirinya dipeluk Elyana. Si adik sembamkan muka ke dada Aina dan terus lepaskan esakannya di situ.
"El minta maaf, kak! El tinggalkan aje akak macam tu!"
"El..."
"El takut sangat tadi. Selama ni, kita tak pernah berpisah pun. Kita selalu lari sama-sama. Tapi sekarang, dah dua kali El tinggalkan akak macam tu aje. El minta maaf, kak. El memang selfish!" Elyana menangis mengogoi. Detik ini, Elyana membenci dirinya. Teramat benci.
Aina cuba meleraikan pelukan tetapi gagal.
"El... Dahlah. Baguslah El buat macam tadi. Lepas ni, El kena buat benda yang sama. Lari, selamatkan diri dulu. Tinggalkan aje akak. Tak apa, akak faham. Akak boleh jaga di..."
"Tak nak! El tak nak tinggalkan akak lagi!" Elyana membentak, tak beri peluang untuk Aina habiskan bicaranya.
Aina menghantar isyarat mata kepada Hadi, meminta bantuannya. Hadi mengerti lalu Elyana ditarik menjauhi Aina. Spontan Aina urut-urut lengannya. Sedikit sebanyak pelukan Elyana menambahkan sengal-sengal di situ. Air mata Elyana semakin merembes keluar.
"Tengku betul-betul okey? Hans?"
Serentak kedua-duanya menjawab soalan Syamel dengan anggukan.
"Saya balik dululah, nak rehat. Kau orang tolong jagakan dia orang," pesan Arhan kepada ketiga-tiga lelaki itu.
"Hans... Te... Terima kasih... Sebab awak tolong akak saya..." Dalam tersedu-sedan, Elyana mengucapkan terima kasih kepada Arhan. Lelaki itu sekadar menggeleng. Pemergian Arhan dihantar dengan sorotan mata semua orang.
Terima kasih... Aina mengulang dalam hati. Barulah dia sedar, frasa itu tidak diungkap tadi. Aina hanya meminta maaf kepada Arhan tetapi tidak mengucapkan terima kasih kepadanya.
"Aina, jomlah masuk. Kau pun kena rehat juga."
Suara Hadi pula menerobos masuk ke telinga. Elyana menggenggam jemari kanan Aina manakala tangan kiri dipanjangkan ke tubuh Aina. Gayanya mahu memapah Aina masuk ke dalam. Dalam kebingungan, Aina sekadar menurut.
ARHAN bersandar pada pintu sebaik ia ditutup. Perlahan-lahan kedua-dua tangan mengepal penumbuk. Emosi dan rasa yang bersarang di dalam dada sedari tadi, Arhan cuba tahan daripada melepaskannya. Nafas jadi tidak teratur. Dada naik turun. Muka kian memerah. Mata berkaca-kaca. Gigi menggigit bibir semahu hati.
Ada panggilan masuk. Arhan jawab panggilan tersebut tanpa melihat nama di skrin.
"Apa yang kau cuba buat?" Arhan terus bertanya kepada si pemanggil. Dia arif benar siapa yang berada di sebelah sana. Mata Arhan mencerlung bilamana bunyi tawa hinggap ke telinganya. Terbahak-bahak. Sepertinya insan itu sedang menonton sketsa komedi.
"Lagi sekali kau sentuh dia..."
"Kenapa? Kau nak bunuh aku?" Si pemanggil bertanya sinis. Pada perkataan 'bunuh', sengaja dia tekankan dalam intonasi mengejek.
Arhan terdiam.
Bunuh. Satu perkataan itu cuba dijauhi seumur hidupnya. Tetapi kenapa si pemanggil bagaikan sengaja mencabar Arhan?
"Cantik orangnya. Patutlah kau sanggup tolak ke tepi kebebasan kau. Berbaloilah untuk perempuan secantik dia!"
Daripada ayat si pemanggil, Arhan tahu dia ada di sekitar sini. Pastinya dia memerhatikan setiap tindak-tanduk Arhan. Bukankah itu rutinnya? Memerhati dari jauh, seperti seekor singa menanti masa untuk membaham mangsanya?
"Tapi nampaknya kau ada rival. Bukan biasa-biasa. Tengku Hadi! Apa yang ada pada dia, ek? Sampaikan lelaki-lelaki hebat semua nakkan dia. Aku terfikir... Kalaulah aku cuba approach dia, aku akan head over heels juga tak? Mustahillah tak! Sebab dia cantik sangat! Oh video viral tu. Itu dia, kan? Ganas. Aku suka perempuan ganas!"
Terbayang-bayang wajah insan yang dimaksudkan. Semerta kemarahan Arhan melahar.
"Kau jangan berani-berani dekat dengan dia, Adib! I swear I won't leave you alone!!!" Akhirnya Arhan menempik. Di sebalik julat tinggi itu, ada pelbagai rasa terselit.
Di hujung sana, Adib ketawa mengekek. Gembira benar rasa hati bilamana dia berjaya bangkitkan kemarahan Arhan.
Hangat muka Arhan kini. Andai Adib ada di depannya, akan Arhan pastikan mulut Adib lunyai dikerjakan. Selama ini dia boleh bersabar apabila Adib bermain permainan tikus-dan-kucing dengannya tetapi apabila Adib mula membabitkan insan lain sekali lagi, Arhan tak betah berdiam diri. Dalam pada Arhan cuba kawal diri, Arhan tahu rasionalnya akan lesap sekiranya Adib terus-terusan memprovokasi.
"Bolehlah aku tidur lena malam ni. Puas hati dapat usik kau. Hans... Kau janganlah sia-siakan tenaga kau, marahkan aku. Lebih baik kau simpan. Kutlah esok aku terfikir nak usik kau lagi, aku carilah dia." Di hujung kata, Adib terus hamburkan tawa. Sengaja membiarkan telinga Arhan terbakar sebelum dia putuskan talian.
Menggigil-gigil seluruh tubuh Arhan dek amarah. Kewarasan akal semakin nipis lalu di luar sedar, telefon pintarnya dilempar ke dinding. Penuh emosi.
"Argh!!!" Arhan menjerit pula. Belum memadai untuk lepaskan segala-galanya lalu Arhan dekati dinding. Berkali-kali dia menendang dinding tak berdosa itu. Mata tertancap pada dinding kaca yang memisahkan ruang tamu dan ruang santai lalu...
Pranggg!
MALAM ini tak berjaya menenangkan Arhan. Sia-sia saja dia keluar dengan harapan untuk meredakan amarah. Gagal segagal-gagalnya. Amarah masih bersisa di dalam diri. Kebiasaannya, dia hanya perlukan seminit untuk menenangkan diri dan mengawal emosi. Tetapi sepanjang dia berjalan kaki dari banglo ke Taman Merdeka, amarahnya tidak menyusut sama sekali.
Arhan putuskan untuk berpatah balik. Toleh saja ke belakang, tiba-tiba satu figura muncul di depannya.
"Awak buat apa sorang-sorang kat sini? Malam-malam buta?"
Terkedu Arhan. Mata membulat tidak percaya apabila insan yang sedari tadi difikirkannya, muncul di depan mata.
"Aina Natasha."
Semerta Aina kulum senyum. Mata mengerling buku jari Arhan. Tanpa kata, Aina hampiri Arhan. Lengan Arhan dipaut lalu Aina tarik Arhan ke sebuah pondok. Bagaikan lembu dicucuk hidung, Arhan ikutkan saja. Apabila Aina duduk, automatik Arhan labuhkan punggung di sebelahnya.
Tangan kanan ditarik Aina. Lembut.
"Awak marah sangat ke kat saya?" Aina bertanya kepada Arhan seraya bibir dimuncung pada buku jari Arhan.
Barulah Arhan sedar, ada darah mengalir keluar di situ. Pastinya disebabkan tumbukannya tadi.
"Saya tengah duduk kat balkoni tadi. Bila saya nampak awak keluar, saya perasan tangan awak berdarah. Jangan tanya macam mana saya nampak. Rumah kita depan-depan aje. Lampu dua-dua terang-benderang, mengalahkan lighting kat fashion show. Mestilah saya boleh nampak!" bebel Aina seraya tangan kanan menarik beg first aid kit dan botol air yang dibawanya bersama.
Mula-mula Aina tuang air putih ke buku jari Arhan untuk membersihkan luka. Sedar kewujudan beberapa serpihan kaca tertusuk di situ, Aina capai plastic forceps pula. Sejujurnya, Aina tidak mengetahui fungsinya. Tapi rupa bentuknya bagaikan sepit lalu Aina rumuskan ia boleh digunakan untuk menarik keluar serpihan-serpihan kaca tersebut. Aina bersihkan lagi dengan air putih sebelum kawasan luka itu dikeringkan dengan secebis kain putih. Iodin disapu berhati-hati.
"Dah siap!" kata Aina sebaik saja tangan Arhan siap dibalut.
Arhan yang tadinya ralit memerhati Aina segera membuang pandang ke tempat lain. Dek leka, Arhan tidak merasa pedih atau sakit sama sekali. Dia berdehem beberapa kali sebelum menetapkan fokus pada tangannya.
"Awak belajar daripada mana?" tanya Arhan seraya menarik tangannya. Tangan kiri didaratkan di atas tangan kanan, kononnya mahu menutup balutan itu daripada pandangan Aina.
"Dulu tangan saya pernah luka. Lepas tu kawan saya buat macam ni. Saya ingat lagi nama dia sampai sekarang. Ana Zahirah. Entah apalah cerita dia sekarang. Last saya dengar, dia jadi doktor dah. " Aina bercerita ringkas sambil tangan mengemas semula beg first aid kit. Aina sambung kata. Kali ini dalam nada mendatar.
"Sebenarnya saya nak cakap terima kasih kat awak. Tadi saya marah, ugut-ugut awak. Saya ingatkan awak abandon El. Rupa-rupanya awak cuba selamatkan kita orang berdua. Thanks, Arhan."
"Aina Natasha."
Aina tidak menjawab. Hanya anak mata dihala pada Arhan, memberi konsentrasi kepadanya. Dapat Aina lihat lelaki itu mengetap bibir beberapa saat sebelum dia sambung berkata-kata.
"In the future... Tolong jaga diri awak juga."
Lembut suara itu menyapa telinga Aina. Satu permintaan yang kedengaran lahir dari hati ikhlas Arhan. Sesaat dua hati wanita Aina tercuit tetapi janji-janji Arhan kepada Elyana siang tadi melesapkan segala rasa. Aina kawal otot-otot mukanya agar kelihatan bersahaja.
"Pandailah saya jaga diri. Lagipun orang jahat tak kejar saya. Dia orang kejar El," kata Aina acuh tak acuh.
"Mana awak tahu dia orang tak kejar awak?"
"Yalah, saya bukannya sesiapa."
"Tadi?"
"Dia orang aim El, bukan saya."
"Kalau dia orang aim El, kenapa dia orang tak approach kereta langsung? Waktu saya pergi kat awak, penyerang pertama ada dekat dengan kereta. Kenapa dia tak ambil kesempatan tu dan serang El?" Kurang sesaat Aina menjawab, Arhan terus ajukan soalan-soalannya.
Terpinga-pinga Aina dibuatnya. Dia pandang Arhan dengan wajah lugu. Barulah sekarang dia terfikirkannya.
"Sebab... Saya ancaman utama? Dah berkali-kali dia orang nak dapatkan El tapi saya halang. Jadi dia orang serang saya." Lambat-lambat Aina luahkan tekaannya. Seingatnya, dalam mana-mana kes jenayah, ancaman utama kepada si penjenayah akan dihapuskan terlebih dahulu. Lantaran itulah dalam kebanyakan kes merompak atau membunuh, para bapa, suami dan adik-beradik lelaki akan menjadi mangsa terlebih dahulu. Dalam situasi mereka pula, semestinya Aina kelihatan lebih berbahaya daripada Arhan kerana sudah berkali-kali Aina menggagalkan rencana mereka.
"Kan?" tanya Aina, lebih kepada meminta kepastian. Mata turut mengecil.
Arhan gigit bibir bawahnya. Ya, jika dia tidak mengetahui apa-apa, Arhan juga akan membuat telahan itu. Tetapi memandangkan dia tahu penyerang-penyerang tersebut ialah orang suruhan Adib, telahan itu ditendang jauh-jauh.
Bagaimana Arhan tahu? Mudah saja. Orang suruhan Adib punya identiti mereka sendiri. Di hujung topeng muka, ada lambang 'trident' merah. Arhan sudah lali bersemuka dengan insan-insan bertopeng sebegitu maka dia dapat kenal pasti sepantas kilat.
Peristiwa di Hutan Bandar tadi... Memang Ainalah sasarannya. Bukan Elyana. Kini Aina telah terheret sama di dalam pertelingkahan dia dan Adib. Sekali lagi.
Polos dengan apa yang ada di dalam kepala Arhan, Aina segera menukar topik.
"Kenapa awak marah setiap kali saya sebut nama penuh awak?" Aina bertanya ingin tahu.
"I don't want to be reminded of whom I truly am. At least, not when I'm with you." Lancar Arhan menjawab. Sayangnya, tak selancar itu untuk Aina takrif maksud Arhan. Sedar-sedar saja Aina sudah beriak bingung. Arhan mengerling Aina sekilas lalu kepala menggeleng kecil.
"Kenapa awak berani sangat, Aina Natasha? Awak tak ada rasa takut langsung dalam diri? Awak tak takut mati?" Tiba-tiba soalan itu dilontar Arhan.
Aina kelipkan mata sekali dua. Mati. Perkataan itu seakan dirantai di lehernya. Sebelum ini, hati resah gelisah apabila perkataan 'mati' dikaitkan dengan nama Elyana. Sekarang, Arhan pula sepertinya sengaja menghubung kait Aina dan perkataan tabu itu. Aina tundukkan kepala. Sesaat kemudian, kepala bergerak. Mengangguk.
"Saya takut mati. Tapi saya lebih takut kalau saya biarkan diri saya dan orang-orang yang saya sayang mati tanpa berlawan. Dan saya juga takut, Arhan... Kalau El terus-terusan diserang, saya takut lama-kelamaan saya jadi pembunuh."
"Maksud awak?" Arhan bertanya semula.
"The first time El was attacked dan saya melawan... Saya mengigau malam tu sebab ketakutan. But then, pernah sekali leher El dijerut dengan tali. Saya terlampau emosional sampaikan saya... Saya jerut leher penyerang tu. Saya nak dia rasa apa yang El rasa. I snapped out of it bila El menjerit. Surprisingly, saya boleh tidur lena walaupun saya baru aje nyaris bunuh orang. Kat Danga Bay, saya hantuk kepala orang jahat tu kat cermin kereta. Saya nampak kaca tercucuk-cucuk kat muka dia but I felt no remorse, no guilt at all.
Saya takut, Arhan. Saya tak nak jadi pembunuh," kata Aina bernada sayu. Ada rayuan diselitkan, seolah-olah Aina berharap Arhan dapat membantunya dan menghalang Aina daripada menyandang gelaran tersebut.
Arhan dapat lihat takungan air mata Aina. Dan-danlah hatinya serasa ditusuk. Memujuk Aina? Ya, dia tersangat ingin memujuknya tetapi malangnya, Arhan tak mampu. Kerana sejujurnya, Arhan juga menghadapi kemelut sama. Berusaha semahunya untuk menjauhi gelaran 'pembunuh' namun baik dia mahupun Aina, mereka berdua sering dihadapkan dengan situasi yang mendorong mereka ke arah itu.
Kebisuan Arhan tak semena-mena menjentik rasa kecewa Aina. Entah kenapa dia berharap Arhan akan memujuknya dan memberi janji-janji yang sedap didengar sepertimana dilakukannya pada Elyana.
Beberapa detik kemudian, Aina sedar rasa kecewanya itu tidak kena pada tempatnya. Meski perkenalannya dan Arhan tercipta sejak belasan tahun lalu, kini lelaki itu bakal menjadi suami Elyana. Perasaan Aina seharusnya neutral. Ya, neutral!
Lalu Aina pandang Arhan. Berpura-pura tiada sesi luahan hati berlaku sebentar tadi. Sengaja Aina berseloroh, sedikit sebanyak berharap ia mampu memadam rasa yang kian membiak dalam hati.
"Kalau marah saya, beritahu aje. Kita boleh bertumbuk, boleh bertendang. Kan lebih bagus daripada awak lepaskan geram sorang-sorang. Tak pasal-pasal berdarah tangan tu," kata Aina bersahaja. Tangan sudah digerak-gerakkan gaya seorang peninju.
Arhan ketawa kecil. Terhibur dengan keletah Aina.
"Saya tak berlawan dengan perempuanlah," bidas Arhan pendek, disudahi dengan senyuman. Mata Arhan mengecil dan ada kedutan di situ, menunjukkan keikhlasannya.
Demi melihatkan itu... Aina bagaikan terpesona. Dan seterusnya, Aina terpempan. Sebaris ayat Arhan mengingatkan dia kepada sesuatu sekaligus memberi kesahihan kepadanya.
"Saya dah tahu sekarang. Kenapa saya masih ingat awak walaupun kita cuma jumpa sekali. Itupun tiga belas tahun lepas," tutur Aina perlahan. Bicara itu sebenarnya monolog hati tetapi terlepas di bibir. Aina memandang sepasang mata Arhan redup.
"Awak orang pertama yang anggap saya perempuan, Arhan..." tambah Aina lagi.
Giliran Arhan tergamam. Pandangan mata bertaut dan seterusnya, mereka statik dalam keadaan begitu. Di mulut, tiada sebarang perkataan diucap tetapi melalui anak mata, bagaikan ada arus penghubung yang menghantarkan setiap bicara hati.
"Saya pun tak pernah lupakan awak, Aina Natasha." Perlahan Arhan berkata.
Melebar senyuman Aina. Manis.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co