Truyen3h.Co

ANASTASIA

Bab 14

karyaseni2u

BUKA saja pintu gim, satu susuk tubuh yang cukup dikenali sedang berlari di atas treadmill. Aina ketap bibir. Lambat-lambat pintu gim ditarik semula hingga ia terkatup rapat. Sengaja Aina melambat-lambatkan langkahnya menuju ke treadmill sebelah insan itu. Botol air diletakkan di tempatnya sebelum Aina menekan butang merah. Kelajuan ditetapkan pada kadar perlahan terlebih dahulu.

Kaki mulai berjalan di atas running area yang sedang bergerak. Di kesempatan itu, Aina mencucuk earphone ke telinga. Muzik baroque mula memenuhi pendengaran Aina.

Detik itu, kewujudan Arhan di sebelah tidak dihiraukan sama sekali. Lelaki itu sendiri buat-buat buta, langsung tidak menegurnya. Takkanlah Aina mahu terhegeh-hegeh memulakan perbualan dengannya? Cukuplah rasa malu masih bersisa dalam diri dek pesanan ala-ala prihatin itu. Aina enggan membiarkan dirinya kelihatan bodoh lagi di hadapan Arhan.

Pada saat kelajuan bertambah, Aina kerahkan seluruh fokus pada lariannya. Otak tak lagi dipenuhi nama Arhan, apalagi lelaki itu sudah berhenti menggunakan treadmill. Telinga yang disumbat dengan earpiece menghalang Aina daripada mendengar sebarang bunyi maka Aina tak dapat menebak sama ada Arhan masih ada lagi di sini atau pun tidak.

Kira-kira setengah jam kemudian, Aina berhenti. Botol dicapai. Niatnya mahu menggunakan peralatan lain pula.

"Arhan!" Tubuh Aina spontan berundur beberapa tapak ke belakang tetapi cepat-cepat dia kawal diri. Aina kembali berdiri tegak. Botol air dipegang sekejap-kejapnya. Berbakul makian dikhususkan untuk Arhan detik ini walaupun tidak terluah di bibir.

Arhan masih lagi di sini. Dia tidak menggunakan sebarang peralatan. Sebaliknya Arhan duduk di atas sit-up bench tanpa melakukan sebarang aktiviti. Fokus Arhan tertumpu sepenuhnya pada Aina.

"Apa pandang-pandang? Nak gaduh?" Selepas menyedari soalan itu tersangatlah kebudak-budakan, rapat-rapat Aina ketap bibirnya. Malu.

"What's wrong with you? Kenapa awak selalu lost control setiap kali dengan saya?" Tak diduga, soalan itu ditanya Arhan.

"Sebab awak suka buat saya terkejut," jawab Aina geram.

"Ka..."

Pantas Aina potong kata-kata Arhan. Sebelum lelaki itu menempelaknya, lebih baik dia letak noktah di situ.

"Saya tahu musuh El takkan announce kemunculan dia orang. I know it well but at least, dia orang takkan muncul tiba-tiba macam awak."

"Macam mana?"

"Macam inilah. Macam dulu. Tiba-tiba aje muncul jadi anak tukang kebun. Kononnya lari sebab pak cik gardener tu hutang dengan along. Sekarang pula, awak tiba-tiba muncul jadi Tengku Arhan Yuzlan. Setiap hari, tiba-tiba awak muncul depan saya dengan seribu satu perangai. Eh saya tak fahamlah."

Selang sesaat, Arhan mengajukan soalan seterusnya.

"Perangai apa?"

"Sekejap baik. Sekejap dingin. Sekejap sombong."

"Sekarang?"

"Sekarang ni awak tengah kepoh. Eh, sekejap. Kenapa saya layan soalan-soalan awak? Dan awak sendiri... Boleh tak stop tanya saya soalan macam-macam?"

Barulah Aina sedar sekarang. Setiap kali dia bercakap dengan Arhan, lelaki itu akan bertanya soalan bertubi-tubi kepadanya. Aina pula akan menjawab dengan polosnya sebelum dia tersedar dan kembali kepada topik asal.

Sepertinya omelan Aina ibarat angin lalu, Arhan tidak berikan sebarang respons. Kedua-dua tangan dibawa ke belakang kepala sebelum badan mulai duduk-baring. Detik itu, terserlahlah segala urat-urat di tangan Arhan. Segera Aina alihkan pandangan ke tempat lain. Aina tak berperasaan sama sekali walaupun wanita-wanita lain mungkin dah berdarah hidung menonton babak itu.

Arhan menjadikan dia sebagai halimunan? Aina juga. Hilang segala mood pagi ini lalu Aina putuskan untuk berlalu pergi. Namun sampai saja ke pintu, ia sudah dibuka terlebih dahulu.

"Hans! Eh, akak ada kat sini juga?"

"Yalah. Selama ni memang akak sorang aje yang guna gim. Tiba-tiba El baik hati, offer kat orang lain pula." Terus Aina gunakan kesempatan itu untuk lepaskan rasa berbuku. Dulang di tangan Elyana berjaya mengundang cebikan Aina. Bukan main lagi Elyana, siap menghantar air untuk Arhan!

Mengerti kutukan dilemparkan Aina dalam hati, Elyana tarik sengih.

"Janganlah kutuk El. Kita orang dalam proses nak kenal-kenal, jadi El kenalah layan dia baik-baik dan tunjukkan sisi baik El," kata Elyana dalam nada berbisik. Sesekali mata mengerling Arhan yang masih leka melakukan aktivitinya. Elyana pandang Aina semula.

"Akak pergilah naik. Hadi tunggu akak kat hall." Elyana memberitahu Aina tentang kewujudan Hadi.

Sedar ada niat terselindung di sebalik kata-kata Elyana, Aina hanya mampu lepaskan sebuah keluhan. Dia tahu benar si adik sengaja mahu mencipta kesempatan untuk berdua-duaan dengan Arhan. Entah apalah yang mereka borakkan malam tadi sehingga Elyana teruja sebegini.

"Jaga diri," pesan Aina. Pandai-pandailah Elyana tafsir apakah maksud tersirat. Tanpa menoleh kepada Arhan, Aina terus atur langkahnya keluar dari situ.

Arhan yang sedari tadi memasang telinga, kini mengetap kedua-dua bibirnya kuat. Sedar Elyana menghampiri, Arhan percepatkan lagi pergerakannya.

SEMENTARA Elyana diiringi Arhan di hadapan, Aina pula jalan berseorangan di belakang. Tiada Naufal, Syamel mahu pun Hadi menyertai mereka bertiga. Semuanya atas permintaan Elyana yang kononnya mahukan detik privasi bersama Arhan.

"Dia orang nak bercinta, aku pula yang kena seret sekali ke Hutan Bandar ni. Awak tunggu, Syamel. Balik nanti, tahulah nasib awak. Rajin sangat Google, lepas tu suggest kat El pergi sini. Konon tempat sesuai untuk dating. Lepas tu kononnya kalau bawa saya, extra security dan tak awkward sangat." Terkumat-kamit mulut Aina membebel, melampiaskan rasa sebal kepada semua orang.

Pertama, Elyana. Berapa kali harus Aina ingatkan tentang kewujudan musuh-musuhnya?

Kedua, Syamel. Kenapa pandai-pandai bagi cadangan untuk ke Hutan Bandar dan mencadangkan Aina untuk ikut serta?

Dan ketiga, Arhan. Kenapa mudah sangat lelaki itu bersetuju dan memberi janji untuk menjaga Elyana?

Dek geram, Aina tajamkan pandangan pada kedua-dua insan di depan mata. Dari belakang, dapat dia lihat senyuman lebar Elyana. Arhan? Heh. Lelaki tak beremosi itu tetap beriak sama. Sombong.

Aina mendongak ke langit tetapi ia tersembunyi dek daun-daun pokok besar yang bertemu di atas. Hijaunya daun-daun itu sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada Aina. Mulut berhenti berdesit. Kini Aina mula menghayati keindahan di sekelilingnya. Elemen semula jadi di sini, ditambah dengan sedikit sentuhan manusia, berjaya membawa elemen estetik. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

Lega. Damai. Tenang.

"Syamel cakap kat sini ada campsite, playground, chalet. Tapi yang paling best... Ini!" kata Elyana ceria sambil jari telunjuk mengunjuk pada kolam mandi. Mata Aina dan Arhan serentak memandang kolam mandi tersebut. Kanak-kanak bermandi sambil bermain keriangan, apalagi kewujudan air pancut dan patung dinosaur menambahkan lagi keterujaan mereka.

"Best jadi budak-budak, tak payah risau apa-apa."

Demi mendengarkan nada lirih itu, perhatian Aina dan Arhan sama-sama tertumpu kepada Elyana. Ada senyuman terbentuk di bibirnya tetapi Aina tahu, Elyana sedang memaksa diri untuk tersenyum. Elyana mengiring ke kiri untuk berhadapan dengan Arhan. Aina di belakang sekadar mematung, menjadi pemerhati kepada babak itu.

"Mula-mula saya fikir being in crowded places means less chances to be attacked. But, then I was wrong. Dia orang tetap kejar saya. Papa suruh saya pindah lagi tapi saya tak nak. Kak Aina pula suruh saya duduk rumah, jangan pergi mana-mana. Saya tahu semua orang risaukan saya tapi sampai bila, Hans? Sampai bila saya kena menyorok, sembunyikan diri daripada dunia luar?"

Arhan tidak menjawab apa-apa. Hanya seluruh perhatian diberi kepada Elyana agar Elyana tahu, dia setia memasang telinga.

"Sebab itulah saya tetap nak berjalan-jalan. Saya nak enjoy hidup saya, buat apa aje yang saya nak. Sekurang-kurangnya saya berpuas hati. Kalau apa-apa jadi pada saya sekali pun, tak adalah saya mati terperap dalam rumah, langsung tak berpeluang tengok dunia luar. Mesti awak rasa saya degil, kepala batu. Kan Hans? Mungkin juga awak rasa saya selfish. Semata-mata sebab alasan bodoh dan remeh-temeh, saya sengaja dedahkan diri pada musuh-musuh dan bahayakan semua orang kat sekeliling saya," tanya Elyana. Di hujung kata, kepala menunduk sedikit. Ibu jari saling menguis satu sama lain.

"Tak. Awak tak selfish, El."

Automatik kepala Elyana mendongak. Mata berbalas pandangan dengan Arhan. Berdebar-debar dada Elyana menanti kata-kata Arhan seterusnya.

"Pada orang lain, mungkin alasan tu cuma remeh-temeh dan bodoh tapi itu tak penting. Hati kita lebih tahu the value of it. Contohnya, awak anggap seringgit tak bermaksud apa-apa. Tapi untuk orang lain, seringgit tu ibarat bulan jatuh ke riba. Orang rasa awak mengada-ada sebab nakkan benda remeh macam ke pasar malam, pergi ke taman rekreasi tapi pada awak, itu semua bagi awak kepuasan. Bagi awak kenangan indah.

El... Awak tak salah. Awak berhak kejar apa yang awak nak, hidup dengan cara yang awak mahukan," kata Arhan.

Sekelip mata mutiara jernih Elyana jatuh ke pipi.

"Saya janji dengan awak, saya cuba lindung awak." Tulus janji diberi Arhan untuk kesekian kalinya. Ringan saja dia berikan janji untuk menjadi pelindung Elyana setiap masa.

Hati wanita Elyana tersentuh. Kepala mengangguk-angguk seraya tangan menyeka air mata.

"Saya percayakan awak, Hans," tutur Elyana dalam suara serak-serak basah. Arhan tidak menjawab apa-apa.

"Sorry, saya berdrama pula tiba-tiba. Jomlah balik," kata Elyana bersama sengihan kambingnya. Segan pula rasanya apabila dia membuat drama air mata di hadapan Arhan. Pun begitu, hati tetap merasa lega mendengarkan pujukan dan janji Arhan. Sesungguhnya Elyana memerlukan kedua-duanya. Dan apabila ia datang daripada Arhan, dada serasa lapang. Sepertinya segala beban dipunggah keluar.

Elyana mulai mengatur langkah. Kepala menunduk sambil bibir tersenyum-senyum gembira. Tidak didengari sesiapa namun dalam hati, Elyana bersorak kebahagiaan menjerit nama Arhan.

Arhan tidak terus berjalan. Sebaliknya dia memandang ke arah Aina. Pandangan bersabung. Ternyata sedari tadi Aina memandangnya. Arhan renung tepat ke anak matanya. Ada mesej yang dihantar di situ walaupun tidak diketahui Aina. Beberapa saat kemudian, Arhan larikan anak mata seraya mengeluh.

Tak dapat tidak, Aina terus-terusan bungkam. Perasaannya bercampur-baur kini. Ada pelbagai emosi menujah diri hinggakan Aina tidak tahu, mana satu lebih dominan.

Terharukah? Selepas mendengar kesanggupan Arhan menjaga Elyana?

Gembirakah? Kerana keikhlasan Arhan dapat dirasainya dan itu bererti, Aina tak perlu risaukan keselamatan Elyana lagi. Atau...

Sedih? Kecewa? Hampa? Ada sesuatu mencengkam hati Aina apabila mendengarkan janji-janji Arhan kepada Elyana.

Berat kaki Aina melangkah, mengekori mereka. Di setiap langkahnya, air muka Aina keruh.

Aina Natasha... Apa aje yang kau rasakan sekarang... Berhenti.

"NAK makan chicken chop tak? Syamel kata ada kedai makan best kat sini. Sedap, harga pun berbaloi. Nama kedai... Hutan Bandar Bistro, kalau tak salah saya," tanya Elyana sebaik saja tangan menarik pintu kereta. Arhan yang baru memasukkan separuh tubuh ke dalam kereta sekadar mengangguk. Elyana senyum lebar. Tangan menarik tali pinggang keselamatan.

Sedar Aina masih belum masuk ke dalam kereta, Elyana menoleh ke belakang.

"Lambatnya akak jalan. Selalunya dia jalan laju macam nak lawan walk-a-thon!" omel Elyana sebaik melihatkan Aina berjalan lambat-lambat. Kepala Aina menunduk. Wajahnya masam mencuka tanpa Elyana tahu apakah puncanya.

Selepas enjin dan pendingin hawa dihidupkan, Arhan menoleh ke arah Aina. Akal mencongak. Kurang daripada seminit, Aina akan memboloskan diri ke dalam kereta. Elyana di sebelah mula mengeluarkan iPhone untuk bermain permainan Cooking Adventure. Arhan terus memerhati Aina.

Tiba-tiba matanya terbeliak.

"El. Awak kunci kereta. Duduk kat tempat driver sekarang, terus drive balik rumah. Selamatkan diri awak!" Arahan diberikan Arhan sambil tangan kelam-kabut membuka pintu kereta.

Elyana kebingungan. Dia pandang Aina dan adrenalinnya mulai mencanak naik. Spontan Elyana berpindah ke tempat duduk pemandu. Kereta dikunci. Dup-dap dup-dap jantungnya, bagaikan mahu meloncat keluar dari tempatnya.

KAKI panjang Arhan membuka langkah besar menuju ke satu arah.

"Aina Natasha!" laungnya.

Kepala Aina automatik mendongak bilamana namanya dipanggil. Detik itu juga, kedua-dua lelaki bertopeng menerpa ke arah Aina. Salah seorang memagut Aina dari belakang manakala seorang lagi mengambil posisi, bersedia untuk bersemuka dengan Arhan.

Aina gelabah. Dia cuba meronta tetapi pegangan itu terlalu kejap.

"Lepaslah! Lepas!!!" Aina menjerit semahu hati. Malangnya, si lelaki bertopeng jauh lebih bertenaga daripadanya. Hanya dengan sekali angkat, kaki Aina tak lagi menjejak tanah.

Demi melihatkan itu, kesabaran Arhan menipis. Penyerang pertama menyerang Arhan tetapi Arhan tangkas menggenggam buku lima tersebut dan melepaskan sebuah tumbukan ke rahangnya. Tidak mahu mengalah, si penyerang cepat-cepat merangkul pinggang Arhan dari belakang. Berkali-kali Arhan cuba meleraikan tetapi gagal. Akal pantas menyusun rencana. Dalam posisi itu, Arhan mundur dengan laju hinggakan tubuh si penyerang terhentak pada keretanya.

"Ahhh!!!" Elyana di dalam menjerit ketakutan. Kedua-dua telapak tangan menutup mukanya. Ini bukan kali pertama matanya dijamu dengan babak aksi tetapi seluruh tenaganya tetap meluruh! Apabila kedua-duanya menjauhi kereta, terketar-ketar tangan Elyana menyentuh stereng. Dalam kekalutan, dia cuba menenangkan diri dan mengingati bagaimana caranya memandu kereta.

Sebaik Arhan bebas, dia pula menarik tangan si penyerang. Tubuhnya terdorong ke arah Arhan. Tangan kiri Arhan memaut lengannya manakala tangan kanan memaut pinggang. Arhan berbaring di atas jalan dan di kesempatan itu, kaki panjangnya disasar pada dada si penyerang. Dek tendangan di dada dan tarikan di tangan, si penyerang tercampak ke belakang. Tak sempat dia bertindak, muka dilibas kaki Arhan pula.

"Aina Natasha!" Sekali lagi nama penuh itu diserunya apabila penyerang kedua sudah membawa Aina menjauhi mereka. Aina kelihatan cuba menghentak belakang kepala ke muka si penyerang tetapi usahanya gagal. Rontaan Aina juga tidak membawa sebarang hasil.

Arhan berlari laju mengejar mereka. Tak fikir panjang, kaki terus menendang belakang tubuh si penyerang. Ternyata tendangannya kuat hinggakan Aina terlepas lalu jatuh melorot ke atas tanah. Spontan Aina mengurut-urut lengannya. Pasti merah melata. Aina beralih pandang pada adegan pertarungan di depan mata.

Si penyerang melepaskan serangan bertubi-tubi manakala Arhan lebih banyak mengambil posisi pertahanan. Aina tahu, Arhan sengaja membiarkan si penyerang kehabisan tenaga dan menanti peluang untuk menyerang. Usai menyerang, menyerang dan menyerang, akhirnya pergerakan si penyerang kelihatan lemah.

Sekarang! Aina menjerit dalam hati, berharap jeritannya sampai ke telinga Arhan.

Ternyata, itulah yang dilakukan Arhan. Dia pula melepaskan tumbukan bertalu-talu ke muka dan perut bersilih ganti. Di penghujungnya, Arhan tarik kepala si penyerang ke bawah. Seluruh tenaga berkumpul di lutut. Sebaik bertemu mangsa, kepala si penyerang menengadah. Semerta tubuhnya terkulai layu di tanah, ditemani lelehan darah.

"Aina Natasha!" Arhan segera hampiri Aina. Kedua-dua pipi Aina dipegang. Mata galak mengimbas muka Aina, cuba mencari sebarang kesan luka di situ. Arhan singkap lengan baju Aina pula dan semerta matanya jatuh pada warna merah.

Serentak, hati Arhan merasa hiba. Perlahan-lahan tangannya menyentuh bahagian itu dan mengusapnya.

Aina termangu sendiri. Dia terkebil-kebil dek terkejut dengan keprihatinan dipamer Arhan. Mata jatuh pada lengannya yang kini dielus Arhan.

"Arhan... Saya okeylah. Biasalah, ada merah sikit-sikit," kata Aina sambil menarik semula tangannya. Teringatkan sesuatu, Aina ternganga.

"El mana?" Aina bertanya apabila kereta Elyana tidak kelihatan.

"Arhan, mana El?!" Aina mula meninggikan suara. Arhan ditolak ke tepi sebelum Aina berlari ke tempat letak kereta. Si penyerang-penyerang sudah menghilang maka Aina tak dapat tahan dirinya daripada berfikiran buruk. Kolar baju Arhan dicengkam.

"Saya dah cakap... Kalau ada apa-apa jadi, jangan pedulikan saya. Biarkan aje saya dan lari dengan El. Tapi apa yang awak buat tadi? Awak tinggalkan El! Sekarang mana dia? Entahkan orang-orang jahat tu dah culik El!" Nyaring Aina bersuara. Sepasang suami isteri yang sedang menjadi pemerhati di sebalik sebuah pokok tidak diendahkan. Detik ini, dia lebih pedulikan Elyana.

"Tengku Arhan Yuzlan!"

Automatik mata Arhan fokus pada sepasang mata Aina.

"Stop calling me that, Aina Natasha."

"Saya tengah tanya pasal El! Saya peduli apa dengan nama awak?!" Aina meningkah sambil tangan menguatkan lagi cengkaman di kolar Arhan.

"I swear to God. Apa-apa jadi pada El, saya takkan lepaskan awak." Keras suara Aina kedengaran, diiringi renungan tajamnya. Kolar Arhan dilepaskan lalu Aina tolak insan tinggi itu ke belakang. Nafas Aina jadi kasar bilamana akal membayangkan perkara buruk terjadi kepada si adik. iPhone X ditarik keluar dari belakang poket jean. Baru saja jari hendak menaip nombor Elyana, ada satu panggilan diterima. Segera iPhone dibawa ke telinga.

"El! El kat mana? El okey tak? Kau orang buat apa dengan adik aku? Leave her alone!!!"

Takut. Aina takut kalau-kalau suara yang bakal didengarinya sebentar lagi ialah satu suara asing. Bererti Elyana benar-benar jatuh ke tangan musuhnya. Dan itu bererti, peluang untuk mereka selamatkan Elyana ialah sangat tipis. Kolam mata basah serta-merta.

"Akak! Akak okey tak? El okey aje, kak! Hans suruh El lari, selamatkan diri dulu. Akak dengan Hans macam mana? Kau orang okey tak?" Jelas nada resah Elyana bertanyakan keadaan mereka berdua. Ternyata dia juga tak senang duduk memikirkan kedua-duanya.

Jawapan Elyana buatkan pipi Aina serasa ditampar. Rupa-rupanya Arhan bukannya mengabaikan Elyana!

"Okey..." jawab Aina lemah. Mata melirik pada Arhan. Lelaki itu sedang berbual dengan pasangan suami isteri tadi.

"El, sekejap lagi kita orang balik," kata Aina, berura-ura mahu memutuskan talian.

"Akak dan Hans tunggu sekejap. Syamel dah on the way ke sana. Naufal dan Hadi pula jagakan El kat rumah. Sementara tu, tolonglah hati-hati!"

Aina sekadar mengangguk walaupun Elyana tidak dapat melihat. IPhone X kembali disimpan. Di setiap langkahnya menghampiri Arhan, Aina rasa mahu tampar-tampar mulutnya sendiri. Kenapalah mulutnya begitu lancang, menuduh dan menengking Arhan sesuka hati?

"Baguslah kalau kau dan isteri selamat. Aku bukannya tak nak tolong tapi aku takut. Aku sendiri pun tak pandai sangat berlawan. Fikirkan isteri dan anak-anak lagi," kata si suami bernada kesal. Sedari tadi, mereka suami isteri hanya mampu bersembunyi di sebalik pokok. Ingin menghulurkan bantuan tetapi keselamatan diri diutamakan. Hanya selepas penyerang-penyerang itu beredar, barulah mereka berani mendekati.

"Kita kena lebih hati-hati sekarang. Tengah hari macam ni pun, orang jahat berani buat kerja. Tadi akak tengok awak pandai self-defence. Syukurlah isteri awak ada awak. Bolehlah awak jagakan dia," kata si isteri pula.

"Terima kasih, bang. Terima kasih, kak," balas Arhan seraya bersalaman dengan si suami. Bahu ditepuk-tepuk sebelum mereka berdua berlalu pergi.

"Arhan..." Aina memanggil Arhan perlahan. Tiada lagi nada tinggi atau marah-marah menemaninya. Riak muka bersalah terpampang nyata. Aina berdiri di hadapan Arhan seraya menundukkan kepala, lagak tipikal seorang pesalah.

"Saya minta maaf." Pendek ayat itu meniti di bibir Aina namun Aina harap, keikhlasannya sampai kepada Arhan. Tahu dirinya menerima pancaran laser dari mata Arhan lalu Aina terus menekur tanah. Beberapa minit lepas dia yang beria-ia menengking dan mengugut Arhan, sekarang Aina menikus saja.

"Berapa kali awak nak minta maaf dengan saya, Aina Natasha?"

"Setiap kali saya buat salah."

"Sampai bila awak nak simpan prasangka buruk kat saya?"

"Saya minta maaf," ucap Aina sekali lagi. Sesi soal jawab bersama Arhan terasa menyesakkan dada pula. Sesak dek penyesalan.

Arhan jalan menonong, melepasi Aina tanpa sebarang suara. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co