Bab 2
Suatu hari di tempat yang jauh, ketika melihat langit azzurri, aku tiba-tiba jadi rindu pada masa lalu. Hatiku menggelepar mahu mencari orang yang pernah aku tinggalkan. Aku pun berangkat. Begitulah bagaimana perjalanan ini bermula. Hanya kerana sepintas kenangan.
Berpetualanglah aku dari suatu tempat ke suatu tempat. Membuka diriku pada segala macam pintu. Sambil-sambil aku melihat dunia. Menghidu bau tanah-tanah yang berbeza. Berjumpa dengan segala jenis manusia. Dihempas bermacam pengalaman. Dikelirukan di hadapan banyak simpang. Dipulas kesedihan yang menyakitkan.
Pada waktu yang sama, pemburu itu juga mengembara mencariku. Dan aku mencari kedua-duanya, pemburu tanpa wajah dan orang yang aku cinta. Dua misi yang sama. Satu pusingan lengkap menuju ke titik yang sama.
Secara teknikal, aku sendiri tidak tahu untuk apa aku mencari orang yang telah lama aku lupakan. Kami sudah berpisah sepuluh tahun. Sudah terlalu lama. Sudah jadi sejarah. Sepuluh tahun bukanlah jangka waktu yang singkat. Segala-galanya boleh berlaku. Sains, sastera, seni, semuanya berubah mengikut detak zaman. Kita semua melalui proses tranformasi dan perubahan. Sememangnya pencarian ini sangat mengarut. Malangnya, hasrat untuk mencarinya tak pernah surut. Dan, aku turut.
Sering aku terfikir, betapa arus dunia ini telah membentuk dan mengubahku seperti batu-batu sungai. Aku sendiri tidak tahu apakah aku orang yang sama ketika tidur dan bangun pada esok harinya.
Seperti aku, orang yang aku cari tentu juga sudah berubah. Berubah menjadi orang lain yang aku tidak kenal. Sebagaimana aku berubah menjadi orang yang dia tidak kenal.
Sejujurnya, aku sendiri tak tahu mengapa aku jatuh cinta kepadanya. Dia gadis paling menjemukan yang pernah aku jumpa. Dia tidaklah secantik mana. Sangat biasa. Tiada orang yang akan memandangnya untuk kali kedua. Jiwanya gelas, mudah terhempas. Dia tak pernah bercita-cita tinggi. Polos dan bodoh. Dialah cinta pertamaku. Orang yang aku rasa takkan ke mana-mana dan akan menghabiskan seluruh hidupnya menantiku.
Rencana mengarut untuk mencarinya muncul ketika aku berada di Ladakh, sebuah lembah indah yang terletak di dataran tinggi utara daerah Jammu dan Kashmir.
Di Ladakh inilah letaknya Tasik Pangong yang airnya biru sebiru-birunya. Dingin udara yang terbentur dari gunung-gunung sangat mengujiku. Keindahan yang menyihir membuatkan perasaanku jadi berpilin-pilin. Aku terpaku menatap tasik ajaib yang bertukar-tukar warna mengikut masa dan cuaca. Airnya sesekali biru kelam, biru terang, biru muda, hijau zamrud, abu-abu, lantas ungu.
Di Tasik Pangong, pagi datang seperti dewi fajar. Aku berkhayal membawa kekasih hatiku berjalan ke beting pasir yang menyulur ke tengah tasik. Camar berterbangan di atas kami. Itik-itik Brahmini berenang-renang. Waktu itu, aku berasa hidupku telah sempurna dengan hanya merenung sepasang matanya.
Dengan motosikal Royal Enfield merah hati yang kusewa 1200 rupee sehari, aku menempuh perjalanan tanah tinggi yang tak mungkin terlupakan. Perjalanan dengan risiko serangan akut penyakit gunung itu membakar adrenalin. Tekanan udara tipis mudah membuatkan nafas sesak. Oleh kerana sudah biasa mendaki gunung, aku terselamat daripada demam altitud yang teruk.
Di bawah lembayung gunung-gunung raksasa, aku menempuh jalan-jalan berais yang curam, tajam dan sempit. Tetapi semua itu berbaloi. Segala kelelahanku dilarutkan oleh pemandangan yang mistikal dan sungai-sungai jernih yang kristal.
Perancangan untuk mencarinya selalu dibatasi rintangan yang macam-macam. Beberapa tahun berlalu, aku masih gagal menemuinya. Dan aku pula mula letih memburu dan diburu. Pelarian dan persembunyian sangat menguras tenagaku. Cuma akhir-akhir ini aku mula serius mencarinya, sebagaimana seriusnya si pemburu itu mencariku.
Sewaktu berkelana di Crete, aku mulai merasakan pergerakanku diperhati. Di sebuah perkampungan nelayan, aku menyewa sebuah bilik kecil di tebing bukit, menghadap Teluk Souda yang airnya biru tua.
Tuan bilikku seorang perempuan tua gemuk yang tak pernah senyum. Kedut-kedut di mukanya seperti tanah ladang yang kering dan retak-retak. Dia menerimaku biarpun dengan cara yang tidak mesra. Mata kecilnya yang kelabu selalu merenungku penuh prasangka.
Setiap malam Almyrida, kampung yang aku diami dimeriahi dengan kafe-kafe pantai yang berkerlipan dari jauh. Berlatarkan Gunung Putih Lefka Ori, Almyrida memang tempat wisata yang sangat menawan. Dan di sanalah, aku mula rasakan ada orang asyik mengekori langkahku. Mungkin itulah pemburuku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co