Bab 3
Sebagai orang yang tidak bercita-cita tinggi, impianku dahulu sederhana sekali. Aku hanya ingin hidup bersamanya sampai mati. Aku bayangkan kami tinggal di sebuah rumah kecil, punya anak-anak yang comel, cerdas dan cerdik. Aku bekerja, dia menjaga rumah tangga. Anak-anak kami membesar, berjaya, kemudian berkeluarga.
Kami pun menjadi tua dan keropos. Mungkin waktu itu, aku gemuk, boroi, kuat kentut dan pendengkur. Dia pula tetap manis di mataku biarpun mungkin sudah tidak seramping dahulu.
Kami bahagia seadanya bersama anak cucu dan kemudian mati. Mungkin aku yang mati dahulu ataupun dia. Sebolehnya aku mahu mati dahulu supaya aku tak perlu hidup sendirian tanpanya.
Tempat pertemuan kami selalunya di sebuah jeti usang menghadap pelabuhan. Kami isikan hari-hari dengan anyaman mimpi. Tak pernah sekali pun kami jemu menanti senja di jeti itu sehinggalah laut takdir datang memisahkan. Aku kehilangannya. Dia kehilanganku. Sejak itu aku membenci dunia. Dan dunia membenciku. Seimbang.
Orang yang aku cinta itu Ria. Gadis bermata sedih yang sangat aku kasih. Walaupun namanya Ria, hidupnya penuh lara. Nama itu seakan-akan satu sumpahan buatnya. Aku pernah berkata padanya yang dia tidak harus dipanggil Ria. Dia harus menjadi orang lain yang bukan Ria.
Sejujurnya, aku tidak tahu sejak bila aku mencintai Ria yang tidak ria. Sedar-sedar sahaja aku sudah mencintainya.
Kami bersekolah dan membesar bersama. Usianya setahun lebih muda daripadaku. Sepasang matanya yang duka itu selalu buat aku bahagia. Yang paling aku ingat tentangnya, bila dia banyak tertawa, pipinya akan jadi merah. Bila dia menangis, air matanya bagaikan untaian manik-manik jernih. Begitulah aku melihat dia dalam kata-kata yang mempesona. Waktu itu, dialah Andromeda. Dialah supernova. Dialah nebula.
Hidupku bermula di garis keras. Ibuku meninggalkanku ketika aku masih bayi. Aku tak tahu apa sebabnya. Mengikut cerita, dia pergi begitu sahaja. Kami sudah tiada apa-apa lagi kaitan, melainkan aku pernah berada dalam rahimnya.
Aku tidak menyimpan apa-apa kenangan tentang ibuku. Dahulu, aku ada menyimpan gambarnya. Kini, tidak lagi. Sekeping gambar takkan dapat mengembalikan semula hidupku yang dia tinggalkan. Aku tak tahu siapa yang menjagaku ketika aku bayi. Aku tak pernah bertanya. Semua itu tak bukan soal penting bagiku. Yang penting, aku hidup.
Ayahku bekas pesakit gila yang sesekali masih gila. Dia hidup dalam dunianya sendiri. Aku hanya mendengar suaranya ketika dia membentak atau marah. Kesan dari itu, aku menjadi anak yang amat takut untuk bersuara, terutamanya ketika ayahku ada di rumah. Rumah kami sunyi. Tiada suara. Kami sama-sama membisu. Dan aku hampir-hampir bisu kerana tidak suka bercakap. Pada usia empat tahun baru aku boleh bercakap dengan lancar. Aku dan Albert Einstein sama. Kami sama-sama boleh bercakap pada usia empat tahun.
Jika tidak bekerja, ayahku suka duduk termenung. Berjam-jam lamanya dia termenung. Kadang-kadang dia merenung hujan di luar jendela seperti ada kenangan atau masa lalunya yang tertayang dalam setiap derau hujan.
Sebagai anak yang dibesarkan oleh ayah bekas pesakit gila, aku belajar mengurus diri pada usia yang muda. Oleh kerana jarang bercakap, aku membesar dengan atom-atom aneh dalam diriku. Aku tumbuh menjadi anak yang ada kecacatan psikologi tanpa aku sedar. Cara fikirku aneh. Cara pandangku terhadap dunia selalu berlebih-lebih.
Ayahku selalu hidup dalam bayang-bayang ketakutannya. Benda-benda yang tidak ada, dirasakannya ada. Benda-benda yang ada, kadang-kadang tidak ada baginya. Ada masanya dia lupa aku adalah anaknya.
Ayahku (namanya Milad) pernah dirawat di hospital sakit jiwa untuk beberapa lama. Walaupun sudah sembuh, dia masih bergantung pada ubat-ubat penenang untuk menstabilkan kimia dalam otaknya yang membuatkan dia berhalusinasi dan berdelusi.
Aku tak pasti apa puncanya ayahku jadi gila. Aku hanya tahu yang dia memang pernah gila. Ada orang kata penyakit gila ayahku adalah penyakit keturunan. Datuknya gila dan pak ciknya juga gila. Mungkin genetik gilanya akan menular padaku pula. Itu yang paling aku takut. Harap-harap jangan.
Sejak aku kenal dunia, aku tak pernah ada saudara-mara. Kami hanya hidup berdua. Aku dan ayahku. Aku hanya tahu tentang keturunan kami setelah ayahku tiada, daripada kawan lamanya yang akan kuceritakan kemudian.
Ayahku bekerja sebagai kelendan lori. Kadang-kadang dia bekerja di tapak binaan. Aku pernah lihat tapak tangannya melepuh dan pecah-pecah. Semua kerja dilakukan mengikut keadaan dan keperluan. Jika merasakan hari itu dia tak perlu bekerja. Maka, dia akan ponteng. Jika dia rasa harus bekerja siang malam, dia akan bekerja dan tidak pulang-pulang.
Begitulah rutin hidup ayahku. Majikannya sudah cukup kenal dengan ragam ayahku. Mereka banyak bertolak ansur dan sangat memahaminya. Mereka tak pernah menekannya. Masa kerjanya fleksibel. Suka-suka dia datang. Suka-suka dia ponteng.
Di samping bekerja secara rencam, ayahku juga melakukan kerja-kerja membaiki paip dan pendawaian elektrik jika fikirannya stabil. Dia pandai dalam kerja-kerja pertukangan. Entah dari mana dia belajar, aku tak tahu. Ayahku adalah susuk penuh misteri bagiku. Aku tidak mengenalinya sebagaimana dia tidak mengenaliku.
Yang aku tahu, ayahku selalu berperang dengan dirinya. Dia sering mendengar suara-suara aneh dalam kepalanya. Kadang-kadang dia marah dan membentak-bentak. Kadang-kadang dia menangis ketakutan dan terperosok diam. Ada masanya dia begitu resah gelisah. Jiwanya patah. Dia merasa terpinggir dan terhina. Dia selalu marah pada semua keadaan. Juga pada Tuhan. Sebelum gila, ayahku seorang pelukis. Hanya itu yang aku tahu. Bakatnya besar dalam dunia lukisan. Malangnya, semua itu telah dimusnahkan oleh skizofrenia.
Sememangnya aku tak banyak tahu tentang ayahku. Apatah lagi ibuku. Ayahku bagaikan sebuah almari lama yang terkunci. Perkara paling tragik dalam hidup ayahku ialah bila jari-jemarinya tak dapat lagi melukis. Nyalaan ilham dalam dirinya seakan-akan terus terpadam. Lukisan terakhirnya hanyalah sebuah kanvas dipenuhi dengan palitan dan tempekan warna-warna jelik.
Ayahku sering paranoia bila melihat lelaki berpakaian serba hitam yang baginya adalah malaikat maut. Dia akan menjerit dan histeria bila melihat orang berpakaian serba hitam.
Nama aku Ari Harapan.
Aku dinamakan sempena nama seorang pelukis Indonesia, sahabat baik ayahku. Aku tidak kesah dinamakan sempena nama siapa pun. Tiada pentingnya soal nama bagiku.
Walaupun di hujung namaku ada Harapan tapi hidupku selalu tiada harapan. Harapan tak pernah bersahabat denganku. Harapan selalu mempermainkanku. Harapan menipu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co