Bab 1
Alat kawalan jauh kereta di tangan aku tekan untuk memastikan kereta sudah berkunci. Peluh yang sudah mula berkumpul di dahi aku lap dengan lengan baju. Huh! Panas! Dah dekat setahun juga aku tak menjejakkan kaki dekat negeri ni, panasnya tak berubah! Amboi... Macamlah setahun ni aku duduk dekat Eropah sana. Perasan sungguh! Walhal selalu aje berpanas bila pergi melawat tapak semasa waktu bekerja.
Semenjak bekerja di selatan tanah air, aku dah tak keluar-keluar dari negeri lagi dah. Nasib baiklah aku belajar di Perak. Ada juga keluar merantau ke negeri orang. Kalau tak, mesti orang cakap aku sayang sangat dekat Johor. Sekolah rendah di Kulai, sekolah menengah di Kulai. Hanya tingkatan empat saja aku pindah ke sekolah berasrama penuh di Muar. Eh! Sayang tak sayang, IC aku -01- tau! Mestilah sayang.
Kalau tak kerana Si Atiqah, tak adanya aku nak turun jauh-jauh ke Ipoh ni. Nasib baiklah orang kata menikah ni kalau boleh sekali seumur hidup. Demi meraikan hari bersejarah sahabat aku, sanggup aku memandu sendiri datang sini. Nak naik bas atau kapal terbang, leceh pula. Mana nak kena turun di Kuala Lumpur, lepas tu cari pula pengangkutan untuk ke Ipoh. Dengan tak ada kenderaan sendiri lagi untuk ke sana ke mari kalau aku perlukan apa-apa. Khairul, abang aku yang sulung tu bising betul masa aku beritahu dia. Berani sangat! kata dia. Akhirnya dia tak kata apa bila mak dengan ayah bagi lampu hijau.
Mata memandang Greentown Mall yang tersergam dekat depan mata. Kaki melangkah ke arah pintu masuk. Selain Ipoh Parade, mall ini antara tempat yang aku suka pergi masa belajar dulu. Lagi-lagi kalau hendak mencari baju untuk dipakai ke apa-apa majlis. Selalunya, majlis makan malamlah yang kami bergaya benar. Lagi-lagi bila hendak mengikut tema yang penganjur tetapkan. Berialah berjalan satu Ipoh untuk mencari baju. Nak kata menang award, tak ada pun.
Aku berjalan tanpa arah tujuan. Betul-betul tak ada kerja! Datang jauh-jauh, pergi sini lepas tu tak tahu nak buat apa. Kalau Atiqah tahu, mesti dia bising. Yalah, daripada datang sini baik aku tolong apa yang patut dekat rumah dia. Heh, kawan yang tak membantu langsung. Sedang aku leka membelek-belek tudung, mata terpandangkan kelibat seseorang dekat kedai menjual barang-barang perkahwinan. Kening aku terangkat. Aiman?
"Errr... Assalamualaikum?" Teragak-agak aku bersuara bila aku dah berdiri dekat sebelah Aiman.
Aiman menoleh. Riak muka dia sedikit terkejut.
"Hanis?"
Aku sengih. Aiman dah lain sekarang. Kalau dulu kurus kering, sekarang dah berisi. Kalau dulu bercermin mata, sekarang makin kacak apabila dia mengenakan kanta lekap. Senang cakap, dia nampak semakin kemas kalau nak dibandingkan dengan zaman belajar dulu.
"Ingatkan ada orang nak minta derma!" Dia ketawa.
"Hampehlah kau ni..." Aku mencebik. Sabar sajalah apabila dia mengusik. Ada sahaja nak mengenakan aku.
"Kau buat apa dekat sini?"
"Bercuti..."
"Cuti? Takkan honeymoon dekat bandar Ipoh kut?" Tanpa soal selidik, Aiman sudah menerjah dengan soalan.
Aku mengecilkan mata.
"Honeymoon apa benda? Kahwin pun belum. Lainlah kau! Ni dekat depan kedai barang hantaran ni, hah! Dah tak lamalah tu? Jangan lupa jemput, ya?!" Sempat aku mengusik.
"Aku belum habis belajar, maka tak boleh fikirkan benda ni lagi." Ala-ala serius dia menjawab.
Aku termangu. Dahi dah berkerut. Belum habis belajar? Aku rasa dia pun sama-sama naik pentas masa konvokesyen dulu. Mana mungkin aku yang tersalah orang?
"Aku sambung master." Akhirnya dia menjelaskan apabila aku pandang dia tak berkelip lebih sepuluh saat. Ternganga mulut aku dengar ayat yang keluar dari mulut dia. Walaweh! Aiman sambung belajar lagilah! Tak sangkanya aku. Kalau aku, awal-awal angkat bendera putih. Surrender!
"Dekat mana?"
"Tempat yang sama..." Aiman tersengih.
Aku dah tergelak.
"Hesy, bosannya life kau." Sempat aku mengutuk sebelum perbualan kami terganggu dengan satu suara yang menegur.
"Abang?"
Perbualan kami terganggu apabila terdengar suatu suara lembut menegur. Kami menoleh. Terasa berubah wajahku tatkala mata menyapa wajah seorang gadis. Alamak! Tunang Aiman ke? Tapi takkanlah keluar berdua aje? Macam pelik aje Aiman keluar berdua dengan perempuan. Hrm... Adalah agaknya adik-beradik perempuan ni ikut sekali. Aduh! Kalau betul ini tunang Aiman... Kecewanya aku!
"Errr... Hai! Saya Hanis." Tangan dihulur.
Perempuan itu sedikit terkejut mendengarkan nama aku.
"Hanis?" soalnya pula. Kemudian dia menjeling ke arah Aiman yang selamba.
Aku mengangguk. Eh? Kenapa buat muka macam tu? Kemudian dia tersenyum. Huluran bersambut. Terjalinlah ukhuwah baru antara aku dengan bakal isteri Aiman. Aku menelan air liur yang terasa pahit. Cantik orangnya. Muka pun ada iras-iras Aiman. Cuma Aiman saja yang tak handsome walaupun dia selalu perasan handsome! Agaknya betullah orang cakap, jodoh kita tu selalunya ada iras-iras kita. Sabar, Hanis. Sabar! Kawal air muka kau jangan sampai berubah! Kalau melihat gaya gadis ni, sesuai benar kalau digandingkan dengan Aiman.
"Nur."
Wah... Lembutnya suara! Pandai Aiman cari. Hrm... Entah-entah, keluarga yang aturkan. Orang yang baik-baik macam Aiman ni, mana ada nak cari sendiri. Aku sedikit ralat. Entah kenapa, menyesal betul sebab bertemu dengan Aiman pada saat ini. Rasanya, lebih baik aku tahu dia hendak berkahwin dari mulut kawan-kawan daripada dapat tahu dengan cara macam ni.
"Ini ke Kak Hanis yang abang cerita dulu?" soal Nur kepada Aiman di sebelah. Aku menoleh ke arah Aiman. Wajah yang tadinya selamba tiba-tiba berubah merah.
"Nur..." tegurnya lalu menggeleng. Tidak membenarkan Nur menyoal panjang.
Aku buat-buat ketawa memerhatikan gelagat mereka. Bahu dia aku sentuh dengan brosur kerusi urut Ogawa yang apek jualan bagi tadi. Aiman menoleh.
"Bidadari kau ke?" soalku tenang walaupun dalam hati sudah tak tentu arah rasanya.
Aiman pandang aku tak berperasaan. Nur yang dengar soalan aku nampak keliru. Bidadari... Aku rasa Aiman faham makna soalan aku. Akhirnya Aiman menggeleng.
"Adik akulah."
Aku menghela nafas lega. Rasa sesak dada hendak menunggu jawapan Aiman tadi.
"Patutlah. Nur ni cantik sangat untuk kau! Tak sesuai!" Selamba aku mengutuk. Bukan mengutuk Nur, tapi mengutuk Aiman. Mengutuk, namun dalam hati hanya Tuhan yang tahu rasa bahagianya.
"Ah, kau! Kalau abang tak handsome, mana mungkin adik cantik?"
Aku mencebik.
"Huh! Tak ada kena-mengena langsung! Malas aku nak layan kau."
"Tak suruh pun!"
Aku pandang Aiman geram. Aiman ketawa. Kemudian tangannya diangkat sebagai tanda memohon maaf.
"Okeylah. Nak gerak dulu. Ada jodoh, insya-Allah jumpa lagi."
Jodoh? Terasa ada getaran di dalam dada mendengarkan dia menyebut perkataan itu. Aku mengaminkan kata-kata Aiman berkali-kali. Sebelum berpisah, sekali lagi aku bersalam dengan Nur. Baru aku nak angkat kaki, terdengar Aiman memanggil. Aku menoleh.
"Sabtu ni pergi kenduri Atiqah?"
"Of course! Sebab tu aku dekat sini!"
"Jumpa dekat sana! Boleh jumpa calon bidadari aku!"
Bibir menguntum senyum. Bidadari. Tak sudah-sudah dengan bidadari dia. Teringat kenangan masa belajar. Aimanlah orang yang paling bersemangat kalau bercerita topik kahwin. Kalau dalam kumpulan e-mel kami, asal ada topik kahwin, nasihat tentang mencari pasangan, apa sajalah, mesti dialah orang yang paling banyak kongsi. Lawak! Ingatkan habis belajar dah selamat dah. Sebab cara dia bercakap macam dah ada sangat calon isteri. Hai, Aiman... Aiman! Dia tak tahu, aku sudah jatuh hati kepada dia sejak kali pertama berjumpa.
Telefon yang berbunyi membuatkan fokus aku hilang waktu memandu. Ah, kacau! Laju tangan menyelitkan fon telinga ke telinga. Memang dah biasa aku bercakap sambil memandu ni. Butang untuk menjawab aku tekan. Terdengar suara lelaki memberi salam.
"Waalaikumussalam."
"Cik adik! Sampai pukul berapa semalam?" Terdengar suara Khairul risau bertanya.
Aku menggaru dahi dengan tangan kiri. Sebelah tangan lagi masih melekat di stereng. Habislah! Mesti dia bising lepas ni. Malam tadi lepas telefon mak, boleh pula terlupa nak mesej dia. Walhal, sepuluh kali dia pesan masa aku baru gerak, sampai dia kena marah dengan aku.
"Errr... Sorry! Sampai pukul lapan malam. Lepas telefon mak, lupa pula nak mesej abang. Sorry, ya?!" Serba salah aku menjawab.
"Yalah! Dah jumpa kawan, terus lupakan abang ni, kan? Mentang-mentanglah kita tak sepenting mak dengan ayah. Risau abang tahu?"
Aku tersengih sendiri. Dah agak dah! Mesti dia bising punya!
"Sorry, okey? Promise lepas ni tak buat lagi."
"Hrm. Yalah. Hari ni promise, lepas dua tiga hari buat balik. Abang dah kenal sangat!"
Aku hanya tersenyum mendengar Khairul membebel. Mata memandang depan. Sekali-sekala aku hilang fokus masa tengah berbual. Kiranya, bukanlah tangan pegang telefon sebelah yang buat orang kemalangan, bercakap dekat telefon pun boleh jadi penyebab. Nasib baiklah aku tak terlanggar kereta depan ni.
"Hanis dekat mana ni? Sunyi aje tak ada suara orang? Dekat bilik air ke?"
"Sengallah abang ni! Apa hal pula nak bawa telefon masuk bilik air?"
Aku dah ketawa besar. Bergabung pula dengan suara Khairul di hujung talian. Lawak bodoh! Akhirnya aku memberitahu dia bahawa aku sedang memandu, mengucap panjang Khairul mendengar.
"Kenapa tak cakap tengah drive? Bahayalah! Hesy, budak ni! Lain kali, kalau tengah drive cakaplah. Nanti-nanti abang boleh telefon balik," bebel Khairul.
"Oh, ya! By the way, abang tengah tunggu bas nak ke Ipoh. Nanti dah dekat sampai, abang mesej Hanis. Hanis ambil abang dekat stesen bas, okey?"
Bulat mata aku dengar ayat yang keluar dari mulut dia.
"Abang nak datang?!"
Terkejut dengan cerita Khairul, bertambah lagi terkejut aku apabila kereta depan ni tiba-tiba berhenti. Laju aku menekan brek kaki. Fuh... Nasib baik brek kereta ni boleh tahan lagi! Laju aku mengurut dada. Hai, kalau terlanggar ni, siapa nak tolong?
"Haah. Lepas tu, kita balik Johor sekali. Abang drive. Lagipun Hanis, Isnin kan hari pekerja. Abang dapat cuti Selasa tu. Dapat balik rumah lama sikit."
"Hari pekerja pun, takkan nak naik Ipoh baru turun Johor? Penatlah, abang. Lebih baik kalau abang drive balik Johor terus. Tak pun, tunggu aje Hanis dekat Kuala Lumpur. Kita balik sama?" Aku memberi cadangan. Ada alternatif yang senang, lagi nak menyusahkan diri.
"Tak apa. Abang lagi penat bila dengar Hanis drive seorang. Susah hati ni, tahu? Awak tu dahlah tak pernah memandu jauh. Masa belajar dulu pun, abang yang hantar pergi balik. Okeylah, drive elok-elok. Bas abang pun dah sampai. Dalam tiga jam lagi insya-Allah abang sampai sana. See you!"
Aku hanya mampu menggeleng. Dah agak dah itu alasan dia. Khairul... Protective sangat!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co