Truyen3h.Co

Bidadari

Bab 2

karyaseni2u

Pulang dari bandar, orang ramai sedang sibuk bergotong-royong di belakang rumah Atiqah. Ada orang yang tengah kisar cili, ada yang tengah bersihkan ayam, ada yang tengah kopek bawang. Opsss! Kupas, kata orang utara. Duduk dalam suasana kampung begini, jiran tetanggalah yang ramai membantu selain daripada sanak saudara. Itulah yang istimewanya majlis di kawasan luar bandar macam ni.

Aku terlihat Atiqah sedang mengeluarkan baju nikah dia dari kereta Abang Muaz. Dia bakal bernikah esok pagi di masjid dalam pukul sembilan pagi. Selepas itu, baru pasangan pengantin nanti ke sini untuk makan beradab dan melayan tetamu. Kenduri dia tak ada pelamin. Nak berjimat, kata Atiqah.

Kehidupan selepas berkahwin ni, bukannya sikit guna duit. Kalau rasa hendak berhabis sewaktu hari perkahwinan, jangan merungut jika kena membayar hutang pada kemudian hari. Lagipun, apalah sangat hendak dikejar pujian orang? Biarlah majlis perkahwinannya ringkas dan diberkati Allah Subhanahuwataala itu lebih bagus!

Lepas ni, aku nak jadikan kenduri Atiqah ni sebagai kenduri contoh untuk aku dengan Aiman nanti. Tak adalah lepas kahwin, kami sesak nafas hendak membayar hutang. Zaman sekarang semuanya nak guna duit. Kalau diri sendiri mampu dan mak bapak kaya ataupun ramai hendak sponsor, tak apa juga. Tapi kalau yang kurang mampu tu, kesian dekat diri sendiri terpaksa berjimat bertahun-tahun semata-mata hendak membayar hutang puluhan ribu untuk majlis dulu. Hrm... Macam pasti aje bakal berkahwin dengan Aiman nanti.

Aku yang belum kahwin ini pun, dah bermacam-macam hutang keliling pinggang. Gaji untuk jurutera macam aku pun hanya dua ribu ringgit Malaysia. Bukan Singapore Dollar tau! Tolak bayar duit kereta, duit minyak, rumah sewa, pinjaman PTPTN, kad kredit dan belanja harian adalah berapa puluh yang tinggal.

Rasa menyesal juga apabila ambil keputusan melulu untuk beli kereta baru dahulu. Baru dua tahun pakai, sudah berganda nilainya susut. Mungkin lebih baik aku beli kereta lama yang masih gagah bergerak lagi. Bayar bulanan pun tak mahal. Mujur mak tak pernah menetapkan berapa nilai yang perlu aku berikan kepadanya setiap bulan. Ada masanya, dia yang terpaksa membantu aku kalau aku memerlukan duit pada pertengahan bulan.

"Kau pergi mana? Lambatnya baru balik?" Atiqah bertanya apabila aku melangkah masuk bilik dia yang dah sudah siap dihias.

"Aku pergi berjalan dekat bandar Ipoh. Kan aku dah beritahu tadi?"

"Tahu. Saja tanya. Kau pergi berjalan ke mana aje?" Atiqah memasukkan bajunya ke dalam almari. Kemudian pintu almari ditutup.

"Aku pergi GM."

Atiqah pandang aku dengan dahi berkerut. Lepas tu dia dah ketawa sakan.

"Setahun kau tak datang Ipoh, kau rindu GM aje? Lawaklah kau ni."

Aku tersengih.

"Entah! Tiba-tiba terasa nak pergi."

Tudung di kepala aku buka. Tudung basahan yang aku pakai sepanjang di rumah Atiqah aku sarung. Lepas ni nak keluar pula, tolong apa yang patut.

"Agaknya sebab dah ditakdirkan untuk terjumpa Aiman kut..."

Aku tersenyum sendiri. Teringat wajah Aiman sewaktu berjumpa dia tadi. Senyuman dia, lirikan mata dia. Astaghfirullahalazim. Hanis! Anak teruna orang tu, Hanis! Aku mengingatkan diri.

"Siapa?" Daripada suara Atiqah, aku tahu dia tidak sabar hendak mendengar cerita sepenuhnya.

"Aku terjumpa Aiman tadi. Dekat kedai jual barang-barang kahwin," cerita aku ringkas.

Atiqah pandang aku tak berkelip.

"Hah? Dia dah nak kahwin ke? Kau frust ke? Kau okey ke tak ni?"

"Hesy! Tak adalah!" Aku mengalih pandang ke tempat lain. Takut Atiqah perasan muka aku sudah merah.

"Habis tu? Dia buat apa?"

"Dia keluar dengan adik dia. Adik dia yang cari barang kut?"

"Ya ke? Tapi mana tahu kalau adik dia yang tolong carikan barang untuk Aiman?" Atiqah serkap jarang.

Kepala aku tergeleng perlahan.

"Takkanlah..." Perlahan aku berkata.

"Kau pasti?"

Aku mengangguk.

"Dia sendiri mengaku yang dia belum fikir lagi pasal ni. Dia sambung belajar lagi."

"Itu aku tahu. Tapi, boleh aje kalau nak kahwin, apa? Bukannya tengah buat degree. Buat master, beb!"

"Dia nak habiskan dulu dan tunggu kerja kut!"

Atiqah mengeluh.

"Hanis, sampai bila kau nak diamkan macam ni?"

Aku ketawa. Cuba untuk menutup perasaan yang membuatkan dada aku rasa hendak meletup.

"Diamkan apa?" Sengaja aku jawab dengan soalan juga.

Atiqah pandang aku tak puas hati.

"Kau tahu kan apa yang aku maksudkan? Cakaplah dekat dia yang kau suka dia. Beritahu dia yang kau tunggu dia. Ke... Kau nak aku yang sampaikan? Aku tanya dia ya kalau dia belum ada sesiapa lagi?" ujar Atiqah semangat.

Aku tersenyum nipis.

"Dia budak baik, Tiqah. Daripada keluarga yang baik-baik juga. Mestilah akan dapat isteri yang baik juga," komen aku.

"Kau baiklah, Hanis... Manalah tahu memang kau ke orangnya?" Atiqah cuba memujuk.

Aku menggeleng.

"Kau ni... Jauh sangat berfikir! Dia layak untuk seseorang yang jauh lagi bagus daripada aku. Aku ni banyak sangat kekurangan. Lagipun dia cakap, esok dia nak datang sini tunjuk bakal isteri dia."

"Dah-dah. Cukup bercerita pasal Aiman. By the way, abang aku nak datang tau. Dia on the way. Tapi tak tahulah nak tidur mana tu. Mengada-ada betul!" Aku tukar topik. Malas nak memanjangkan cerita pasal Aiman.

"La... Ajak sajalah dia tidur sini. Rumah ni walaupun tak besar mana, insya-Allah muatlah untuk Khairul tu."

"Susahlah dia tu. Dia tak percaya aku nak drive seorang balik Johor. Walhal, aku dah selamat sampai dari Johor malam tadi. Leceh betul!" Aku merungut.

"Orang sayang kita, Hanis. Bukan senang tau orang nak sayang kita!"

"Memanglah bukan senang, tapi kalau terlebih sangat risau pasal aku, bukan senang juga untuk aku!"

Atiqah dah menggeleng aje dengar aku merungutkan perangai Khairul. Akhirnya dia menjongketkan bahu, tak tahu hendak berkata apa lagi.

"Dahlah. Baik kau tolong dekat luar. Nak isi bunga telur pula. Kau kena overtime malam ni. Siang tadi dah skip kerja, kan? Ganti balik malam ni, ya?" Selamba dia berkata.

Aku tersengih.

"Teruk punya tuan rumah. Buli tetamu!"

"Eh, kau spesial kes! Tak ada istilah buli dah."

Aku hanya mampu menggeleng melihat gelagat Atiqah. Harapnya kami mesra walaupun dah berumah tangga nanti. Dialah antara kawan yang banyak bersama aku sewaktu susah dan senang jadi pelajar universiti dulu. Sayangnya rasa kalau hubungan terputus selepas berkahwin.

Khairul menelefon aku apabila bas dia sudah sampai persimpangan keluar Simpang Pulai. Mujur pemandu bas tak kesah menurunkan Khairul di hentian bas. Selepas meletakkan kereta di depan deretan kedai makan, aku mesej dia suruh datang sini. Tak sampai sepuluh minit, Khairul dah sampai dengan senyuman di bibir. Beg pakaian yang sederhana besar diletakkan ke dalam bonet. Kemudian Khairul mengambil tempat di sebelah aku.

"Dah lama Hanis sampai?" Khairul memecahkan kesunyian.

"Tak adalah. Masa Hanis mesej, masa itulah Hanis sampai." Ringkas aku menjawab.

"Ramai ke yang ada dekat sana? Ada apa-apa lagi ke yang abang boleh tolong?"

"Ramai jugalah saudara-mara dia. Abang sampai nanti, pandai-pandailah cari kerja yang boleh buat..."

Kemudian, mata aku memerhatikan cermin pandang belakang. Perlahan-lahan aku mengundurkan kereta keluar dari petak parkir. Sehinggalah aku dikejutkan dengan suara Khairul yang tiba-tiba memanggil nama aku. Laju aku menekan brek kaki. Alamak! Nyaris nak terlanggar orang ke? Rasanya tak ada apa masa aku tengok tadi. Isy! Aku dah menggelabah. Ini yang payah kalau bawa kereta dengan Khairul dekat sebelah. Mesti benda ni dia jadikan bahan tak bagi aku memandu jauh.

"Kenapa?"

"Abang laparlah. Kita makan dulu, baru pergi rumah Atiqah. Boleh?"

Aku pandang Khairul macam nak makan.

"Kut ya pun, janganlah buat Hanis panik. Abang ni, kan..." Aku merungut.

"Sudahlah tengah reverse kereta. Macam tak tau aje Hanis cepat gelabah!" Aku menyambung.

"Sebab itu abang tak percaya Hanis drive jauh." Selamba Khairul berkata. Aku mencebik. Sengaja mencari alasan.

"Menggelabah pun, sebab abang dekat sebelah. Kalau abang tak ada, Hanis relaks aje!" bidasku.

"Yalah, abang juga yang salah! Walhal, Hanis yang cepat gelabah!" kata Khairul.

Aku menjeling. Geram.

"Abang tidur mana malam ni? Cari hotel, kan?" Aku tukar topik dengan menyoal dengan senyuman mengusik. Aku menjeling dia sekilas.

"Kenapa diam?"

"Tak... Abang tengah fikir. Boleh juga abang cari bilik. Tapi Hanis kena teman abang sekalilah!"

Aku mencebik.

"Apa hal pula?"

"Yalah. Abang tak familiar dengan Ipoh. Ada nanti sesat melarat pula."

"Lepas tu abang ingat malam ni nak jalan bandar Ipoh. Dengar cerita ada Gerbang Malam. Bukan selalu dapat jalan tempat orang, Hanis."

Aku buat muka. Suka-suka hati dia aje buat perancangan. Ingat aku datang sini bercuti-cuti Malaysia ke?

"Hesy! Tak kuasalah. Esok kendurilah! Kalau nak, lain kali. Manalah tahu Hanis kahwin dengan orang sini ke. Boleh abang datang sini, ziarah Hanis tiap-tiap bulan."

Aku tersenyum dengan hati yang sudah berbunga-bunga. Hanya satu saja nama yang berada dalam fikiran aku sekarang. Aiman. Ah! Gila apa? Laju aku menggeleng. Mak! Hanis nak kahwin!

"Oh! Dah ada calon, ya?!"

"Jangan nak pandai-pandai buat cerita. Jenuh Hanis nak menjawab dengan mak ayah nanti." Aku menjeling ke arah Khairul sekilas. Spontan tangan kiri aku mencubit paha kanan dia. Khairul mengaduh. Lepas itu dia ketawa. Geramnya aku dengan dia ni!

Selepas melayan Khairul mengisi perut, kami terus ke rumah Atiqah. Khairul berjalan mendapatkan ayah Atiqah dan bersalaman. Aku mengeluarkan beberapa helai pakaian dia dari beg besar dan kemudian aku masukkan ke dalam beg sandang dia untuk dibawa masuk ke dalam rumah.

"Dah siap?" Aku bertanya apabila Atiqah tengah sibuk menguruskan kerja dia di dalam bilik pengantin.

"Apa yang dah?" Dia mengangkat muka, memandang aku sekilas sebelum kembali melakukan kerja dia.

"Bunga telur tadi?"

"Hrm... Dah lama siap. Sepupu-sepupu aku tolong buat. Tunggu kau, ada tak tidur aku malam ni. Pergi ke mana aje tadi?"

Aku meletakkan beg Khairul bersebelahan dengan beg pakaian aku.

"Biasalah dia tu. Lapar pula tadi... Lepas tu sibuk nak pusing bandar Ipoh malam-malam macam ni. Bawalah dia pusing. Tapi tengok lampu sajalah!" Aku bercerita.

Mana tak lamanya. Pergi kedai makan tadi, boleh pula ramai orang. Beria-ia aku bawa dia ke kedai yang paling dekat dengan rumah Atiqah. Ingatkan nak jimatkan masa, boleh pula Si Khairul ajak berjalan. Nasib baik ambil angin dalam kereta aje.

"La... Kenapa tak ajak dia makan dekat sini aje? Hah, dia tidur mana malam ni?"

"Sini."

"Baguslah tu. Tak payahlah sibuk nak cari hotel pula. Rumah ni muat."

Aku tergelak. Dari siang tadi Atiqah nak meyakinkan aku yang rumah dia ni muat untuk Khairul.

Aku menebarkan pandangan ke sekitar bilik pengantin. Walaupun dah lebih sepuluh kali aku tengok, masih rasa tak puas. Terasa cantik sangat! Hiasannya ringkas. Yang menariknya cadar dan sarung bantal dibuat daripada baldu bersulam benang emas. Tekat benang emas, namanya. Salah satu budaya orang Perak untuk menghias bilik pengantin. Rasa tak percaya kawan aku ni dah nak kahwin!

"Khairul tu handsome lagi tak? Kalau dulu kau cakap kau ada abang yang handsome, mesti aku dah suruh kau kenalkan!" Tiba-tiba Atiqah keluar topik.

Aku menjeling Atiqah geram.

"Kau jangan cakap yang bukan-bukan tau! Esok dah nak menikah. Dengar dekat orang lain, ada ingat kau kena kahwin paksa karang!"

Ketawa besar Atiqah mendengarkan kata-kata aku.

"Kau ni... Sampai ke situ pula fikirnya."

"Tak adalah. Cuba kalau Si Zhafran dengar, mati kau karang nak memujuk."

"Alah, aku bergurau saja!"

"Tak patut betul bergurau macam tu, tau! Lagipun, tak terfikirlah aku nak kenalkan dia dengan kawan-kawan aku. Susah rasanya kalau beriparkan kawan sendiri. Aku tak boleh nak bayangkan!"

Aku memberi komen sambil membayangkan ada di antara kawan rapat aku menjadi kakak ipar aku. Entah bagaimana pula keadaannya nanti. Ketukan di pintu bilik mematikan lamunan aku. Hesy! Sempat pula berangan waktu-waktu macam ni. Aku membuka pintu bilik memandangkan Atiqah tengah sibuk dengan kerja dia.

"Ada bawa masuk baju abang kan tadi?" Khairul bertanya sebaik sahaja aku membuka pintu.

"Ada, ada. Sekejap..." Aku berjalan ke arah beg pakaian dan baju milik Khairul aku keluarkan dari beg sandang dia. Kemudian, aku hulurkan kepada Khairul. Selepas mengucapkan terima kasih, Khairul melangkah pergi.

"Hanis, kalau orang tak kenal betul kau, mesti dia orang ingat Khairul tu boyfriend kau."

Kata-kata yang keluar dari mulut Atiqah membuatkan aku terkejut beruk. Boyfriend?

"Apa hal pula?"

Atiqah ketawa.

"Tak adalah. Dengan muka tak ada iras langsung, dengan cara kau melayan dia, orang boleh salah faham!" kata Atiqah.

Aku mengerutkan dahi.

"Habis tu, aku nak buat macam mana? Dah dia abang aku. Takkanlah aku nak buat tak tahu aje?"

"Tak adalah apa. Aku cakap aje..." Atiqah masih ketawa. Kepalanya digelengkan perlahan. Entah apa yang dia fikirkan entah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co