Bab 4
"S
enyum sorang-sorang!" Khairul menegur.
Aku memandang Khairul sekilas.
"Teringatkan Aiman, ke?" soalnya selamba.
Muka aku terasa panas. Dada berdegup kencang mendengarkan soalan Khairul. Dia perasan ke aku suka Aiman? Bahaya ni. Cuba kalau Si Aiman perasan, mana aku nak letak muka?
"Kenapa pula nak kena ingat Aiman?" soalku cuba melepaskan diri.
Tadi lepas aku kenalkan Khairul sebagai abang aku, barulah aku nampak mereka berdua senyum. Akhirnya kami makan sekali. Ayah Aiman boleh tahan rancak juga berbual. Selepas makan, aku membawa mereka bertiga berjumpa dengan Atiqah sebelum balik. Sempat Atiqah mengusik Aiman. Merah jugalah muka dia. Aiman ni, dengan aku aje boleh lawan cakap, dengan budak perempuan lain dia pemalu. Pelik! Tapi itulah yang menyebabkan aku suka dekat dia.
"Hanis rasa dia sesuai dengan Hanis?" Khairul menyoal.
"Apa punya soalan tu? Ready! Pengantin dah nak sampai!" Aku menukar topik.
Khairul pandang aku tak puas hati.
"Come on, Hanis. Abang kenal Hanis dari Hanis kecil tau! Daripada cara Hanis tengok Si Aiman tu pun abang dah tahu!"
Aku pandang Khairul dengan hujung mata.
"Malas nak layan!"
"Cakap sajalah awak tu dah suka dia! Dengan abang pun nak berahsia..." ujar Khairul.
"Kalau Hanis suka, abang nak buat apa?"
Khairul pandang aku tak berkelip.
"Serius?"
Aku mengangkat bahu.
"Hanis cakap, kalau."
Aku nampak Khairul dah mula tersenyum nakal. Macam ada apa-apa aje yang dia tengah fikirkan.
"Kalau Hanis memang betul-betul suka Aiman, kenalah abang test dia!"
"Kalau tak lepas?"
"Cari orang lain yang boleh jaga Hanis macam kita orang jaga." Serius Khairul berkata.
Ketawa aku lepas apabila aku tengok riak wajah Khairul.
"Abang nak tahu satu perkara tak?"
Khairul mengangkat kening.
"Muka abang kelakar sangat bila serius macam ni. Saja aje Hanis nak test abang tadi. Tak sangka abang bersungguh-sungguh!" Ketawa aku masih bersisa.
"Dan Hanis nak tahu satu perkara?"
"Apa dia?"
"Muka Hanis kelakar sangat bila Hanis cuba tutup rahsia yang abang dah tahu."
Terus tawa aku mati. Wajahku kembali serius.
"Abang serius, Hanis."
Debaran di dada yang tadi sudah mula reda kembali menyerang.
"Abang, Hanis dah dua puluh lima tahun dah tahun ni. Bukannya budak sekolah menengah yang abang kena jaga macam lapan tahun lepas!" Aku mengingatkan Khairul.
"Sekalipun Hanis lima puluh tahun, Hanis... Tanggungjawab abang tak akan berhenti! Hanya akan tamat kalau Hanis dah kahwin dan ada suami yang jaga Hanis. Itulah tugas seorang abang."
Khairul memandang aku tak beriak. Itulah yang sering diulang-ulang Khairul kalau aku merungut dia terlalu mengambil berat.
"Aiman bukan untuk Hanis. Dia layak untuk dapat yang lebih baik." Akhirnya aku meluahkan.
Khairul tersenyum tawar.
"Dah agak dah. Mesti ada perkara lain ni. Hanis, tolonglah! Jangan merendah diri sangat, okey? Adik abang ni layak dapatkan kebahagiaan sendiri."
Aku tersenyum simpul.
"Apa yang abang merepek ni?" Akhirnya aku menampar perlahan bahu Khairul. Tiba-tiba perbualan kami menjadi terlalu personal. Segan aku!
Khairul ketawa. Kemudian, dia melangkah pergi. Aku hanya memerhatikan dengan hujung mata. Tak lama lepas tu, pandangan aku alihkan ke arah lain. Nafas dihela perlahan. Aiman...
"Hanis!"
Aku menoleh. Nik melambai-lambai ke arah aku sambil kakinya diayun ke sini. Aku memandang dia pelik. Kena sampuk apa pula budak ni pandang aku macam tu sekali? Macamlah tak pernah jumpa?
"Apa hal kau?"
Nik pandang aku tak puas hati. Spontan tangannya naik ke lengan aku.
"Aduh!" Aku terjerit.
"Apa hal kau? Datang dekat aku main cubit-cubit ni?"
Nik mengecilkan mata dia.
"Kau tak cakap pun kan tadi tu, Khairul. Abang kau, kan? Sengaja aje biarkan aku tertanya-tanya!" marahnya.
Mendengarkan kata Nik, spontan aku ketawa. Siapa pula yang jadi radio karat ni?
"Sudahlah muka pun jauh berbeza. Manalah sangka adik-beradik!" komen Nik lagi.
"Kalau Si Atiqah tak cakap, memang sampai la inilah aku ingatkan Khairul pakwe kau!"
Sekali lagi ketawa aku lepas.
"Khairul tu, abang susuan akulah. Sebab itu muka jauh beza." Aku bercerita ringkas.
"Lepas tu telefon siap bersayang-sayang. Lagilah aku salah faham!"
Aku tersengih.
"Kita orang memang macam tu. Dulu masa sekolah pun ramai ingat aku dengan Khairul couple. Taktik nak selamatkan Khairul daripada peminat aje sebenarnya tu."
Bohong! Walhal Khairul yang mengaku pakwe aku sebab dulu ada seorang budak batch dia suka kacau aku. Yalah, nak mengaku adik-beradik, nama ayah pun tak sama.
"Sayang betul dia dekat kau, eh? Atiqah cerita, dia sanggup datang dari Kuala Lumpur sebab risaukan kau nak drive seorang, eh?" soal Nik.
"Sayang ke tu? Aku rasa macam lebih kepada tak percayakan aku aje. Tapi aku admit, perhatian dia kepada aku memang lebih sikit. Sampai adik perempuan dia pun selalu merungut. Cemburu!"
Nik ketawa kecil mendengarkan cerita aku.
"Seronoklah kau ada abang macam tu."
Aku hanya tersenyum.
"Seronoklah juga sebab dia suka kacau aku. Kalau tak, bosan juga hidup aku dibuatnya.
"Jadi, kiranya famili Khairul tu... Famili susuan kau, la?"
Aku mengangguk.
"Famili kau macam mana pula?"
Berpasir rasa tekak apabila mendengarkan soalan yang keluar dari mulut Nik. Soalan Nik menyedarkan aku tentang suatu perkara. Orang yang tak ada kena-mengena pun hendak tahu latar belakang keluarga aku. Inikan pula kalau kita hendak berkahwin dengan seseorang, semestinya latar belakang keluarga pasangan menjadi keutamaan. Entah kenapa, semenjak berjumpa dengan Aiman, perasaan aku menjadi haru-biru. Semua perkara yang aku tak pernah terfikir, bermain-main dalam fikiran.
"Errr... Mak ayah aku dah meninggal. Accident masa aku kecil." Itu sahaja yang mampu terluah dari mulut aku. Pembohongan yang dibuat semenjak aku kecil bagi menjaga nama baik aku. Ah! Insan macam aku ni ada nama baik lagi ke? Aku mengeluh. Abang... Hanis sedih!
"Kami ingat nak bergerak dululah." Khairul berkata kepada kedua ibu bapa Atiqah.
Mak dengan ayah Atiqah saling berpandangan. Daripada riak wajah, aku mengagak mereka tidak bersetuju.
"Dah lewat dah ni. Kamu tak penat ke, Khairul? Hanis, ajak sajalah Khairul tidur di sini." Mak Atiqah meluahkan.
Aku menjeling ke arah jam di dinding. Lagi sepuluh minit untuk ke pukul lapan. Masih awal pada aku. Barang-barang semua aku dah letak di dalam bonet kereta. Lagipun Si Khairul ni memang jenis memandu malam. Insya-Allah tak ada apa-apa. Aku memandang Khairul. Kening dinaikkan, meminta pendapatnya. Khairul hanya membalas dengan senyuman.
"Tak apalah, mak cik... Pak cik... Kalau bergerak esok, lambat pula sampainya. Lagipun esok dah Ahad. Sekejap sangatlah pula dekat rumah nanti."
Ayah Atiqah menggeleng.
"Jangan dikejarkan sangat masa tu. Fikirkan keselamatan kamu tu dulu. Lagipun dah sehari suntuk kamu buat kerja hari ni."
Khairul hanya tersenyum.
"Tak apa. Petang tadi pun saya dah dapat tidur sekejap."
Ternaik kening aku mendengarkan kata-kata Khairul. Bila masa pula Khairul dapat tidur? Jangan-jangan dia tidur dekat dalam kereta. Tidak mahu menyampuk, aku hanya diam mendengarkan perbualan antara ayah Atiqah dengan Khairul.
"Kalau macam tu, tak apalah. Hati-hati memandu. Kalau mengantuk, rehat dulu di mana-mana R and R." Pesanan ayah Atiqah kami terima dengan senang hati.
Bergerak jam lapan malam dari rumah Atiqah, kami tiba di Kulai hampir pukul dua pagi. Sepanjang perjalanan, aku hanya melelapkan mata. Apabila Khairul ajak turun untuk pekena kopi panas pun aku dah tak larat nak bangun. Letih sehari suntuk berpanas dan bergerak ke sana ke mari. Hai... Kalau Si Khairul punya walimah nanti, aku tak tahulah sibuknya macam mana.
"Hanis? Bangunlah... Kita dah sampai dah ni." Sekali lagi Khairul bersuara apabila aku masih lagi tidak keluar dari kereta.
Tangan menutup mulut yang menguap. Mengantuk! Kalah Si Khairul yang memandu dari tadi.
"Masuklah dulu. Biar abang yang angkat beg."
Aku mengangguk. Tudung yang sedikit senget aku betulkan. Kemudian perlahan-lahan aku bergerak keluar dari perut kereta dan melangkah masuk ke dalam rumah.
"Kak ngah dah sampai!"
Spontan mata aku terbuka luas mendengarkan suara Nisa.
"Tak tidur lagi? Kan dah pukul dua lebih ni?"
Nisa tersengih.
"Onlinelah, kak. Bila lagi? Nanti balik asrama dah tak ada dah Internet," ujarnya membela diri.
Aku hanya mampu menggeleng. Inilah masalah budak zaman sekarang. Tak ada Internet tak boleh hidup!
"Abang Wan dah tidur?"
Belum sempat Nisa menjawab, Ikhwan muncul dengan muk di tangan.
"Belum, kak ngah!" balasnya.
Aku mengangguk.
"Wan, tolong along angkatkan beg dekat dalam kereta. Akak penatlah," kataku sambil buat muka kesian.
"Okey, boleh... Tak ada masalah!"
Ikhwan terus meletakkan muk ke atas meja. Senang menyuruh budak ni. Kalau aku suruh Nisa nanti, ada sahaja alasannya. Anak bongsulah katakan... Manja! Tapi tak boleh lawan manja aku dengan Khairul lagi. Aku terus menuju ke bilik mak dengan ayah. Pintu bilik aku ketuk. Setelah dua tiga kali ketukan tak berjawab, aku terus bergerak ke bilik. Masa untuk beradu di dalam bilik sendiri!
Selepas menyalin pakaian, aku terus meluruskan belakang di atas katil. Subhanallah, nikmatnya! Baru badan mengiring ke kiri, mata terpandangkan bingkai gambar bersaiz empat R di atas meja kecil di tepi katil. Perlahan-lahan bingkai itu aku capai. Gambar kami sekeluarga yang diambil sewaktu hari raya yang lepas aku tatap. Bibir menguntum senyuman. Kemudian, laju jari aku mengeluarkan sekeping lagi gambar tiga R yang terselit di belakang. Gambar mak bersama seorang lagi wanita yang tengah tersenyum ceria. Persisnya mirip sekali dengan wajah aku. Hati aku mengeluh. Umi...
"Tak tidur lagi?"
Aku mengangkat muka memandang Khairul yang berdiri di muka pintu.
"Belum." Bingkai gambar tadi aku capai, ingin menyelitkan kembali gambar umi.
"Gambar siapa tu? Aiman?" Belum pun sempat aku selit, Khairul dah menyoal. Kakinya melangkah masuk ke dalam bilik.
Aku mengerutkan dahi.
"Dari mana pula datangnya Aiman ni? Abang mengigau, ya? Pergi tidurlah. Dahlah satu malam bawa kereta."
Khairul buat muka tak faham. Dia ni, tak mengantuk ke? Aku yang duduk sebelah ni pun mengantuk tak ingat. Khairul mengambil bingkai gambar yang telah aku letakkan kembali ke tempat asalnya. Tangannya laju mengeluarkan gambar umi. Aku pandang ke arah lain. Buat tak nampak kelakuannya.
"Hanis teringatkan dia, ya? Rindukan dia?"
Aku diam. Rindu? Aku sendiri tak tahu. Bukannya aku pernah bersua dengan arwah umi pun.
"Kenapa ni?"
"Tak ada apa-apalah... Abang yang banyak sangat fikir bukan-bukan."
"Kalau Hanis tak pelik, abang tak tanya."
Aku buat-buat menguap. Muka mengantuk aku tayangkan. Malas mahu bersoal jawab dengan Khairul.
"Pergi tidurlah! Hanis pun dah mengantuk dah ni."
Khairul memandang dari hujung mata.
"Dia yang duduk sebelah driver, tidur sepanjang jalan... Dia yang lagi mengantuk, ya? Kalah driver! Nasib baik abang ada, abang jadi driver. Macam tu Hanis nak drive seorang dari Ipoh balik Johor?" Khairul meletakkan gambar umi di bahagian kanan meja.
"Hesy! Dah ambil tu, letaklah balik dekat tempatnya. Sengajalah tu. Pemalas betul!" rungutku.
"Hrm! Yalah tu. Sorry. Okeylah, sebelum tidur tu jangan lupa baca doa sebelum tidur dan baca tiga Qul. Lepas tu sapu dari kepala sampai ke kaki," pesan Khairul bagaikan aku budak kecil. Aku hanya menggeleng melihatkan telatah dia.
"Dan lagi satu..."
Khairul mencapai kembali gambar umi yang dah lebih dua puluh lima tahun diambil.
"Dia ni wanita hebat, Hanis. Hanis beruntung sebab ada umi macam dia... Darah dia mengalir dalam diri Hanis."
Kata-kata Khairul membuatkan aku terkelu. Mataku memandang Khairul yang dah melangkah keluar dari bilik aku. Suis lampu bilik ditekan. Serta-merta seluruh bilik menjadi gelap.
"Good night!"
Night... balasku dalam hati. Ya, umi memang seorang yang hebat. Jika tidak, masakan umi sanggup mengandung dan melahirkan aku? Walaupun aku tak pernah kenal siapa ayah, sekurang-kurangnya aku tahu siapa umi aku. Umi yang tahan dengan umpat keji orang dengan membawa perut tanpa seorang suami. Ya! Aku sepatutnya rasa beruntung kerana darah umi mengalir dalam diri aku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co