Truyen3h.Co

Bidadari

Bab 3

karyaseni2u

Aku tersedar apabila waktu sudah masuk enam empat puluh pagi. Berebut aku bangun untuk menunaikan solat fardu subuh. Inilah padahnya kalau tidur lambat malam tadi. Rancak sangat berbual dengan Si Nik dan Imah, sampai dekat pukul tiga baru tidur. Nik dengan Imah sampai sini dalam pukul sebelas malam tadi. Disebabkan dah lama tak berjumpa, memang semua ceritalah yang terkeluar. Teringat kenangan zaman belajar dulu. Ada sahaja benda nak diceritakan.

Mujurlah bilik pengantin ni memang ada disediakan pili air di penjuru bilik. Mungkin tujuannya untuk memudahkan penghuni bilik ni mengambil wuduk. Bagus juga idea ni, lagi-lagi waktu ramai orang macam ni. Tidaklah berebut dengan orang yang nak menggunakan bilik air. Lagi satu, tak adalah aku kantoi dengan keluarga Atiqah yang aku bangun lambat. Kalau Atiqah ada abang yang masih bujang, memang aku kena tolak untuk dibuat menantu.

"Hah! Baru bangun?" Nik menegur apabila dia masuk bilik selepas membersihkan badan. Aku yang tengah melipat telekung terhenti sekejap.

"Kenapa tak kejut aku? Nasib baik tak terbabas subuh tau."

"Eh! Tolong sikit. Aku kejut, tau! Lebih tiga kali. Lepas tu Si Imah kejut. Yang kau, hmmm, okey, ya... Tapi tak bangun-bangun juga!" kutuk Nik.

"Kau ni... Empat tahun serumah dengan aku, macam tak kenal aku lagi aje," balasku.

Yalah, aku ni kan tak boleh tidur lepas pukul tiga. Kalau tak, jadi macam tadilah. Nyaris terbabas. Paling malang kalau terbabas betul. Teringat masa sekolah menengah dulu, Ustaz Zain pernah cakap. Kalau kita tahu kita tak boleh bangun awal untuk menunaikan solat subuh jika kita tidur lewat pada sebelah malam, jadi berdosa kalau kita melewatkan tidur kita. Aduhai...

Aku meletakkan kembali telekung di atas rak. Kemudian, aku mendapatkan beg pakaian dan mengambil beg kecil berisi berus gigi dan pencuci muka. Pakaian untuk hari ni memang dah tergantung awal-awal dalam almari Atiqah agar tak mahu ia renyuk.

"Kenal memang kenal. Tapi... "

Itu dia... Ustazah Nik Izzati dah bising. Aku menayangkan senyuman tak bersalah.

"Kau ni, Nik... Dahlah kita susah nak jumpa. Sempat kau bebelkan aku, ek? Aku selalu bangun awal kalau dekat rumah. Ini aje setelah sekian lama, baru aku bangun lambat. Imah mana? Ramai orang tak dekat bilik air?" Sengaja aku menukar topik.

"Imah tengah mandi. Tak tahulah ramai ke tak. Tadi macam tak. Kau pergilah tengok."

Aku mengangguk faham.

"Bagus juga ya Atiqah ni duduk kampung. Semua saudara-mara rumah dekat-dekat. Tak berhimpit duduk rumah Atiqah."

Nik hanya mengangguk tanpa memberikan apa-apa komen. Selepas menyarung tudung, aku melangkah ke pintu. Belum sempat kaki hendak menyapa lantai luar, Nik bersuara.

"Hanis, tadi masa kau tidur, handset kau lebih lima kali berbunyi. Tak tahan dengar bunyi, aku angkat juga. Bising!"

Kening aku terangkat. Disebabkan tak fokus dengan kata-kata Nik, aku jadi keliru dengan apa yang dia sampaikan. Bunyi panggilan ke bunyi alarm clock?

"Kau angkat?"

Nik mengangguk.

"Hrm... Abang kau. Amboi... Abang mana ni? Siap dia sebut cik adik sayang. Kau pagi-pagi memang akan dapat wake up call, ke? Siapa abang tu? Tak cerita pun malam tadi?" Kalau tak kerana tak cukup nafas, mesti ada lagi soalan yang Nik hendak bertanya.

Aku sudah tergelak apabila melihat Nik yang sudah salah faham.

"La... Dah aku tulis Abang, abang akulah maknanya..." Bikin orang salah faham aje Khairul ni. Nik pandang aku tak puas hati apabila aku membiarkan dia tanpa sebarang penjelasan. Tak ramai kawan-kawan yang tahu tentang keluarga aku kerana aku jarang bercerita dengan mereka.

Tepat jam sembilan pagi, kami sudah berkumpul beramai-ramai di surau yang berdekatan dengan rumah Atiqah untuk majlis pernikahan dia dengan Zhafran. Imah yang jadi pengapit duduk di sebelah Atiqah. Sekali tengok dah macam dia yang pengantin. Liplap-liplap bajunya boleh tahan!

"Muhammad Zhafran bin Jamaluddin, aku nikahkan kau dengan anak perempuan aku, Nurul Atiqah binti Hamdan dengan mas kahwinnya seratus satu ringgit tunai..." Panjang ayah Atiqah melafazkan ijab.

Aku pandang muka Zhafran. Kamera aku fokuskan kepada Zhafran yang nampak yakin. Tidak lama selepas Pak Cik Hamdan melafazkan ijab, Zhafran sudah bersedia membuka mulut untuk menjawab.

"Aku terima errr..." Aku ternampak dahi Zhafran dah berpeluh.

Aku dah tersenyum. Kalau tak dikawal aku rasa suara aku boleh gegarkan surau ni. Cis! Aku sudahlah tengah rakam video. Habis rosak gambar! Bergegar satu badan aku nak tahan gelak. Ya Allah, aku ni pun sakan menggelakkan orang. Kasihan Zhafran.

Tok kadi mengarahkan supaya ijab kabul diulang semula. Masing-masing dah menumpukan perhatian. Tapi agaknya disebabkan perasaan gementar masa kali pertama tadi tak hilang lagi, ayah Atiqah pula yang tersalah cakap pada hari bersejarah ni.

Kalau selalunya pengantin lelaki aje yang menggelabah, hari ni wali dengan pengantin lelakinya sekali menggelabah. Mana tak gelabahnya, kalau mula-mula Si Zhafran yang silap, kali kedua ayah Atiqah pula yang tersalah sebut mas kahwin. Kali ketiga, Si Zhafran pula terdiam lama sehingga tok kadi terpaksa menyampuk untuk menyedarkan Zhafran yang hilang fokus. Aduhai...

"Aku terima nikahnya..." ujar Zhafran buat kali keempat.

Alhamdulillah! Akhirnya! Aku rasa satu surau duk pasang senyum. Bagus juga tok kadi tadi, bagi pilihan dekat Zhafran untuk cakap 'aku terima nikahnya' aje. Lafaz ijab qabul ni, yang wajib adalah jawab dalam satu nafas dan nama pengantin perempuannya kena jelas. Kalau wali sudah sebut nama pengantin dengan terang, jelas lagi nyata, boleh saja pengantin lelaki sekadar menyebut 'aku terima nikahnya'. Perkataan 'nya' itu dah merujuk kepada pengantin perempuan. Mahar itu pula sunat sahaja. Kalau dah kes macam tadi, entah berapa lama lagi ambil masa untuk akad nikah. Kasihan pengantin lelaki.

"Amboi... Sakan menggelakkan pengantin lelaki, ya?" Khairul berbisik di telinga aku.

Aku menoleh ke kiri. Bibir menguntum senyuman. Kenangan tadi kembali bermain dalam fikiran. Akhirnya ketawa aku lepas.

"Okey, Hanis tahu tak baik ketawakan... Tapi kelakarlah, bang. Paling tak tahan bila ayah Atiqah yang menggelabah. Tak pernah Hanis jumpa tau wali yang tersilap sebut!" Aku membalas perlahan. Tak naklah pula ada orang lain yang terdengar. Mata memerhatikan Imah, Nik dengan pengantin perempuan berjalan di hadapan.

"Hanis tahu tak, masa itulah masa paling nervous untuk lelaki tau. Kalau masa budak-budak, nervous kena jumpa tok mudim. Ni dah besar panjang, kena jumpa pula tok kadi."

Aku ketawa besar.

"Banyak betul lelaki ni kena jumpa tok, ya? Jangan jumpa tok bomoh sudah!" usikku geli hati.

"Tapi kan bang, kalau pengantin yang nervous tu logiklah. Ini tak sangka wali pun sampai tersalah-salah!" sambungku.

"Eh! Atiqah kan anak perempuan sulung. Logiklah kalau nervous. Dengan perasaan bercampur baur lagi nak lepaskan anak perempuan dekat lelaki lain..." Itu sahaja komen Khairul.

Aku mengangkat bahu. Mungkin juga!

"Majlis pukul berapa, ya? Laparlah. Tak makan apa lagi ni. Nak keluar cari kedai mamak tadi, kunci kereta dekat Hanis."

"La... Awat tak minta pagi-pagi tadi?"

"Nak minta apanya kalau Hanis bangun lambat. Subuh tak pagi tadi? Ke period?"

"Tak cuti pun. Bangun lambat aje. Hah, abang telefon pagi tadi sebab nak kunci ke? Takkan subuh-subuh minta kunci kereta?"

Khairul menggeleng.

"Tak adalah. Macam tak biasa pula dapat wake up call daripada abang, daripada mak. Ke ada orang lain yang telefon?" Dia cuba menyerkap.

Spontan tangan aku naik ke lengan dia.

"Jangan nak mengada-ada buat cerita!"

"Mana ada abang buat cerita! Yang Hanis nak cubit-cubit dah kenapa? Ada apa-apalah tu yang dia sorok daripada abang!" tegur Khairul lalu mengusap bekas cubitan aku.

"Hanis!" Suara Nik memanggil mematikan perbualan aku dengan Khairul. Spontan mata aku mencari Nik.

"Siapa tu?" Khairul bertanya perlahan. Langkah kami masih tidak berhenti.

"Kawan Hanis." Kami berhenti apabila berdiri betul-betul di hadapan Nik dengan Imah. Atiqah dah masuk ke dalam rumah.

"Ada apa?"

"Nak sarapan dulu?" Nik menyoal. Matanya memandang ke arah Khairul sekilas.

Aku mengangguk.

"Boleh juga." Khairul pun dah lapar. Elok juga dapat makan dulu walaupun hanya menikmati kuih-muih sementara nak menunggu majlis nanti.

"Kalau macam tu, jom. Kita duduk sana," kata Imah.

Telunjuknya mengarahkan ke meja yang masih kosong. Kami berempat bergerak serentak. Tidak lama kemudian, Imah memanggil kawan dia yang datang sekali. Baru aku sedar kewujudan Shamsul dekat sini. Rakan sekerja Imah rupa-rupanya. Entah-entah, dia orang ni ada apa-apa tak? Pelik aje ajak rakan sekerja datang majlis perkahwinan orang.

"Siapa nama dia?" Sekali lagi Khairul merisik tentang Nik.

"Nik? Kau nak kuih apa? Aku tolong ambilkan." Sengaja aku menjawab dengan cara begitu.

Nik menggeleng.

"Tak apalah. Biar aku ambil. Kau ambil air, boleh?" pintanya. Tetapi matanya bagaikan ingin aku mengenalkan siapa Khairul. Sengaja aku buat-buat tak faham.

"Eh, tak apalah. Awak duduk. Biar saya ambilkan. Hanis, tolong ambilkan air, ya?" Khairul dah bangun mendapatkan meja yang diletakkan kuih di atasnya. Mata aku sempat menangkap tangan Imah yang menyenggol lengan Nik. Shamsul hanya menjadi pemerhati.

"Tak pernah cerita pun pasal Nik? Pandai simpan kawan cantik macam tu, eh?" Khairul cuba mengorek maklumat yang baru. Tangannya ligat meletakkan beberapa biji kuih daripada pelbagai jenis ke atas pinggan. Aku pandang dia tak puas hati. Takkan nak mengurat kawan aku, kut?

"Buat apa Hanis nak cerita?"

"Yalah... Boleh juga abang kenal kawan-kawan Hanis."

"Tak payah nak menggatal dengan kawan Hanis!" Laju aku membidas.

Khairul ketawa besar.

Tak suka! Tak suka! Nak cari awek, jangan nak mengada-ada cari kawan aku. Huh!

Majlis bermula apabila tetamu sudah mula datang pada jam sebelas. Di tangan aku dah bersedia kamera milik Khairul. Sesekali gambar orang tengah makan aku tangkap. Khairul duduk lepak di meja tadi dengan video kamera milik aku. Biar dia pula yang jadi videoman hari ni. Sedang aku berteduh dekat bawah pokok, Khairul datang dan berdiri di sebelah aku.

"Hanis..."

Aku menoleh.

"Lapar lagi..."

Aku mengerutkan dahi.

"Baru makan tadi, kan?" Aku menjeling jam di pergelangan tangan.

"Baru sebelas setengah, takkan dah lapar? Abang nak makan sekarang ke?"

"Hrm! Kita makan dululah sementara orang tak ramai ni. Nanti orang dah ramai susah nak duduk. Takut Hanis pengsan pula."

Aku mencebikkan bibir.

"Dia yang lapar, kita pula yang pengsan."

Khairul hanya tersengih. Mata aku ligat memerhatikan ke sekeliling khemah.

"Mana Nik dengan Imah?" Aku bertanya apabila tak nampak kelibat mereka berdua.

"Dia orang masuk dalam masa Hanis pergi tadi," beritahu Khairul.

Aku tersengih nakal.

"Kesiannya dia... Nampaknya, Nik tak berminat dengan abanglah! Lupakan ajelah niat abang tu..."

Khairul menjegilkan mata. Terus ketawa aku meletus. Hesy! Tak sanggup aku tengok Si Khairul dengan Nik.

Kaki melangkah ke arah meja yang menempatkan makanan yang disediakan secara bufet. Melihatkan makanan yang tersedia, bibir aku tersenyum. Nasi putih dengan beberapa jenis lauk lain yang dimasak secara kampung menjadi menu untuk majlis hari ni. Aku menoleh ke arah Khairul sekilas. Lauk kegemaran dia pun ada! Gulai lemak ikan masin yang dimasak bersama labu. Cukup mengecurkan air liur!

Khairul menghulurkan pinggannya ke arahku. Dia dengan rela hati pergi mengambil air. Aku pergi ke arah meja yang masih kosong. Meja yang kami duduk tadi dikosongkan untuk keluarga sebelah lelaki. Memandangkan kami ni bukan jurugambar rasmi, bolehlah take five waktu-waktu macam ni.

"Ehem!"

Suara lelaki kuat berdehem di sebelah membuatkan aku berhenti memerhatikan Khairul yang tengah melangkah ke sini dengan dua gelas air di tangan. Aku menoleh ke kanan. Aiman tengah memandang aku dengan seorang perempuan berdiri di sebelah dia. Dada aku berdegup kencang. Spontan aku bangun dan menghulurkan tangan. Tangan perempuan yang aku yakin hampir separuh abad itu aku salam dan aku cium.

"Mak ke?"

Aiman mengangguk.

"Inilah Hanis, ya?" Mak Aiman bersuara.

Aku masih lagi tersenyum. Kepala dianggukkan. Leher dah terasa berpeluh. Aduh! Kenapalah sekarang ni aku kena jumpa mak Aiman ni?

"Mak cik berdua aje? Nur tak ikut? Pak cik mana?"

"Kami bertiga. Nur ada kerja kena siapkan. Jadi tak dapatlah datang. Kami ni tadi pergi kenduri juga. Itu yang Aiman ajak terus ke sini. Pak cik tengah cari tempat letak kereta lagi tadi. Kami turun dulu." Lembut mak Aiman berkata.

Aku hanya mengangguk tanda faham. Lidah dah terkelu nak berkata-kata. Cuak weh kali pertama jumpa mak Aiman! Tapi kalau difikirkan balik, kenapa aku perlu cuak? Nafas aku tarik dalam-dalam. Cepat, Hanis! Apa nak berbual ni?

"Oh! Aiman tak bawa sekali calon bidadari dia?" Aku menjeling Aiman.

"Mana? Kata semalam nak bawa?" Ni yang aku nak tuntut janji ni. Tapi kalau memang betul-betul Aiman bawa, menangis tak berlagu aku nanti! Ada sepanjang perjalanan balik Johor nanti mata aku bengkak kerana menangis.

Mak Aiman memandang kami berdua silih berganti. Pelik.

"Bidadari?"

Muka Aiman memerah.

"Kau ni..." Dia menjeling aku. Marah ke?

"Umi jangan layan budak ni. Dia tak betul sikit!"

Berderau darah aku apabila Aiman cakap macam tu. Oh tidaaak! Habislah jatuh saham aku!

Umi Aiman menyenggol lengan Aiman.

"Apa cakap macam tu, Man?"

Aku nyaris tergelak apabila umi dia menyebelahi aku. Muka Aiman yang tadi dah tenang kembali merah. Aku pula, laju tangan menutup mulut sebelum gelak aku terhambur depan-depan umi Aiman.

"Gelak... Gelak!" Aiman mengugut.

Aku tersengih. Khairul dah berdiri di sebelah. Gelas diletakkan di atas meja.

"Hanis." Dia memanggil seperti biasa.

Lengan aku dicuit dan keningnya diangkat sebagai tanda bertanya. Aku menelan air liur. Janganlah Aiman dengan umi dia salah sangka akan kemesraan kami. Aiman dengan umi dia dah tengok aku semacam. Aku dah kalut tak tahu nak buat apa. Alahai... Kalau Si Aiman dengan umi dia salah faham, melepaslah aku nak jadi menantu umi Aiman! Aduh!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co