Truyen3h.Co

Bila Kau Kata Cinta

Bab 1

karyaseni2u

Prolog

SEORANG gadis yang bertubuh kecil berdiri di tepi tingkap apartmen yang disewanya. Dia sedang membuang pandang ke luar. Melihat panorama petang di bumi asing ini. Lima tahun dia berada di sini. Jarak dan waktu telah menjadikan dirinya seorang yang bijak dan matang.

Banyak kenangan yang singgah di kota ini. Keindahan bumi asing ini akan disematkan ke dalam mindanya agar ia menjadi satu memori yang cukup indah untuk dikenang dan menjadi bahan cerita kepada anak dan cucu suatu hari kelak. Selepas ini mungkin dia tidak berpeluang menjejakinya lagi. Tanah ini jaraknya jauh beribu batu dari tanah air sendiri.

Beberapa ketika kemudian, bibirnya mengorak senyuman puas. Kali ini dia berjaya membuatkan lelaki itu datang kepadanya walaupun hanya untuk seketika. Sabarlah! Tidak lama lagi dirinya akan berada dekat dengan lelaki yang sepatutnya menjadi miliknya.

Punya aura yang bisa menggetarkan jiwa, pemuda itu tampak lebih matang seiring dengan usia. Ketampanannya juga kian terserlah. Senyuman yang menghiasi bibir bisa menggetarkan jiwa serta membuatkan sesiapa saja cair di dalam dakapannya.

Dia terlalu sayangkan lelaki yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan silamnya. Dia juga tidak mahu lelaki itu jatuh ke tangan wanita lain. Kasih, sayang, cinta dan pengorbanan yang dahulunya menjadi milik mereka harus dipanjangkan. Hanya dirinya yang berhak memiliki. Hati pemuda itu juga harus diikat simpul sampai mati sebelum jiwa itu dimiliki oleh wanita lain. Semestinya dia akan pertahankan hak itu sampai bila-bila.

Namun beberapa ketika kemudian, dia menggenggam kuat tangannya sehingga menimbulkan urat-urat kecil. Tekad. Selepas ini sesiapa sahaja yang ingin mendekati atau memiliki pemuda itu, tidak akan pernah merasai bahagia!

Pasti! Perempuan mana pun tidak berhak! Dia akan cuba menghalang... Walau dengan apa cara sekalipun.

"Kau tetap milikku..."


Bab 1

"Terima kasih kerana sudi terbang bersama kami. Kami amat berbesar hati dengan kehadiran tuan." Sara menguntumkan senyuman manis terhadap penumpang terakhir yang meninggalkan pesawat Malaysia Airlines Airbus 333.

Menjadi rutin anak-anak kapal untuk melayan setiap kerenah dan kehendak penumpang dengan sabar dan mesra. Walaupun pada hakikatnya mereka juga manusia biasa yang tahu erti penat. Sepanjang malam bersengkang mata demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

Sebaik keluar dari pintu pesawat, semua anak kapal berkumpul dan membentuk satu bulatan untuk mendengar taklimat akhir penerbangan.

"Guys, ada nak cakap apa-apa sebelum kita call off the day?" Nyaring suara Kharmizi sebagai penyelia penerbangan.

Dia memerhati setiap wajah krunya. Setelah tiada sebarang tindak balas daripada semua, Kharmizi menyambung bicaranya semula.

"Kalau macam tu, terima kasih untuk penerbangan hari ini. Semua telah jalankan tugas dengan baik dan saya harap kita dapat terbang bersama lagi nanti."

Kesemua mereka berjabat tangan sebagai tanda perpisahan. Selepas ini mungkin ada antara mereka yang tidak akan terbang bersama lagi dalam waktu yang terdekat.

Sara seperti kebiasaannya, akan berjalan beriringan dengan teman sekerjanya.

"Berseri-seri muka Hanim kalau dah sampai KL. Ada orang dah menunggu?" Sara menggiat Hanim.

Rakannya itu ralit membelek telefon bimbit. Nurhanim pergi dan balik pasti ada yang sanggup menghantar dan menjemputnya.

"Hesy... Kau ni, tak ada kerja lain, asyik nak menyakat aku aje." Tersenyum lebar Hanim mendengar usikan Sara.

Sara masih lagi menayangkan senyuman manis. "Yalah, orang ada buah hati yang menunggu." Sara giat mengusik.

Hanim memang dikenali sebagai playgirl. Teman lelakinya keliling pinggang. Tak cukup jari untuk dikira. Berbagai-bagai bangsa dan taraf hidup. Semuanya ada dalam senarai teman tapi mesra Hanim.

Mereka semakin laju menuju keluar melepasi pemeriksaan kastam.

"Yang kau tu pula, jual mahal sangat! Bukan tak ada orang yang nak... Berduyun-duyun kau tau tak? Kalau aku..." Kata-katanya termati setakat itu.

Hanim faham dengan sikap Sara. Bukan sembarangan lelaki yang berjaya mendekati rakannya itu, hanya Idzham lelaki bertuah yang telah berjaya menakluki hati rakan serumahnya itu.

"Takkanlah Sara yang cantik manis ni anti lelaki?" duga Hanim selamba.

"Nim, aku ada prinsip sendiri. Aku bukan benci ataupun anti lelaki. Tapi pada aku... Untuk dijadikan teman hidup biarlah seseorang yang bertanggungjawab, setia dan..." Sekilas dia menjeling ke arah Hanim.

"Bukan orang punya!" Hanim menyambung. Dia sudah masak dengan sikap Sara.

"Tau tak apa!" Sara tertawa. Bukan memilih. Tetapi untuk menjadi teman hidup bukan boleh tangkap muat saja. Silap hari bulan, diri sendiri yang merana.

Hanim menggeleng. Rugi jadi orang cantik seperti Sara, langsung tak pandai mengambil peluang. Seketika kemudian, dia melambai-lambaikan tangan kepada seseorang yang sedang menantinya.

"Kau nak tumpang aku tak?"

"Tak apa, aku bawa kereta."

Jika tidak memandu sekalipun, Sara lebih rela menaiki teksi. Tak sanggup menjadi minah pacak dalam perut kereta yang entah milik siapa. Hanim kalau dah berjumpa teman lelaki, jawabnya lambatlah sampai ke rumah.

"Kalau macam tu, aku balik dulu... Take care." Hanim mendahului. Dalam hatinya sudah ada rancangan yang tersendiri sebaik terpandangkan anak jutawan yang sedang menantinya.

"You too."

Sara lebih gemar hidup berdikari berbanding tinggal bersama keluarga walaupun jarak rumah keluarganya tidaklah berapa jauh dari rumah yang disewanya.

KINI, pesawat yang bakal berlepas ke Auckland telah terparkir di Bay C2 bangunan satelit KLIA. Semua kru penerbangan telah beriringan masuk ke dalam pesawat untuk memulakan tugas.

Sara juga tidak terkecuali. Dia jalan beriringan dengan Fatin. Sejurus masuk ke dalam pesawat, Sara harus memberikan fokus sepenuhnya. Segala rasa perlu dibuang jauh agar tidak mengganggu konsentrasi terhadap tugasan. Dia melakukan tugasnya dengan penuh ikhlas dan dedikasi.

"Rehatlah ya Datuk. Kalau perlukan apa-apa, panggil saja saya." Tangannya lincah membantu menyelimutkan tubuh penumpang yang sudah pun melaraskan tempat duduk untuk beristirahat setelah makan lewat malam dihidangkan.

"Thanks, Siti Sara... Hmmm, tapi bukan malam ni. Apa kata kalau malam esok? I datang ambil you dekat hotel." Senyuman nakal dan penuh makna dihadiahkan kepada pramugari yang cukup menarik perhatiannya. Manalah tahu kalau-kalau dirinya bernasib baik.

"Terima kasih atas ajakan tu, tapi saya minta maaf banyak-banyak, Datuk. Suami saya sedang tunggu saya tu. Kami nak sambut ulang tahun perkahwinan yang pertama dekat Auckland ni. Nak join sekali?" Alasan spontan yang terpacul dari mulut Sara.

Senyumannya masih melebar. Air mukanya tidak berubah. Sara harus bersikap profesional. Jika orang sebegini pandai bermain dengan kata-kata, Sara juga harus bijak menangkisnya. Walaupun kadangkala terpaksa mencipta alasan yang langsung tidak munasabah.

"Kalau macam tu, tak apalah. Happy anniversary," tambah Datuk itu pula. Sengaja bernada kecewa. Kalau jenis yang jual mahal seperti gadis ini, dia tidak perlu membelinya. Ramai lagi perempuan yang datang kepadanya walaupun dirinya tidak membuat sebarang tawaran.

"Thank you, Datuk. Good night and sleep well," balas Sara bersahaja.

SARA bersandar di atas sofa yang tersedia. Sekadar merehatkan diri seketika di ruang lobi. Sementara menunggu untuk mendapatkan kunci bilik, Sara memerhati ke segenap ruang lobi Hotel Heritage yang tampak mewah. Gabungan lampu kuning yang suram lebih menampakkan suasana eksklusif. Maklumlah, hotel yang bertaraf lima bintang, pasti mengujakan setiap tetamu.

Inilah sebahagian rencah hidup sebagai kru penerbangan. Makan malam di Malaysia dan makan tengah hari pula di bumi New Zealand. Satu kehidupan yang diidam-idamkan oleh ramai anak muda. Bebas terbang seperti burung tetapi kenalah pandai memelihara maruah diri.

Sara sebenarnya berhasrat untuk ke Christchurch atau Wellington untuk menikmati pemandangan menarik di sana. Tapi apakan daya, jarak perjalanan yang agak lama dari Auckland City membantutkan hasratnya. Cukuplah sekadar berpeluang mengambil angin di sekitar Devonport atau kawasan sekitar yang berdekatan seperti Bayswater, North Port ataupun ke Waiheke. Dengan menaiki bot, perjalanan hanya memakan masa lebih kurang lima belas ke dua puluh minit. Tambang pula amat berpatutan.

"Nah, untuk kau." Fatin mengeluarkan sekeping kad dari simpanannya.

"Siapa bagi?" soal Sara. Sekadar ingin tahu.

Kad yang dihulur, dibelek sekilas. Sara mencebik. Langsung tidak berminat. Sebenarnya Sara sudah lali dengan kad-kad yang sering diterima dan semuanya berakhir ke dalam tong sampah. Sudah mual dan loya dengan kata-kata manis penumpang yang tidak sedar diri. Separuh daripada mereka, rumah sudah kata pergi, kubur pun sudah mengalu-alukan kedatangan. Masih lagi ingin memikat perempuan yang berdahi licin.

"Kau ingat tak? Passenger yang duduk kat seat 7C tu."

"Hmmm... Mamat tu? Bolehlah... Not bad." Teringat dia seorang lelaki Melayu yang dilayan di dalam pesawat dari KLIA semalam. Berkemungkinan lelaki itulah yang memberikan kad tersebut kepada Fatin, memandangkan mereka bertugas dalam kabin kelas perniagaan yang sama.

"Tengok rupa dengan gaya pun dah boleh agak. Silap-silap anak dah sedozen. Ada hati lagi mau tackle perempuan. Sorry la, Fatin. Aku ni bukanlah memilih sangat! Tapi kalau hak orang ataupun bekas orang, memang dah jadi prinsip aku... Takkan layan punya. Pada aku, bujang biarlah sama bujang. Sama-sama belajar melayari alam berumah tangga. Barulah ada thrill."

"Pandainya kau teka. Manalah tau mamat tu single lagi. Cubalah positif sikit. Kalau macam ni, sampai ke tualah kau tak kahwin, Cik Sara oi." Fatin memerli.

"Apa-apa ajelah." Laju langkah dibawa ke lif berhampiran. Bantal dan tilam lebih menggamit matanya.

Dia tidak gemar apabila perkara tentang kaum Adam menjadi topik perbualan. Bukan Sara anti lelaki tetapi hatinya sudah pun dimiliki kala ini. Satu nama yang sudah terpahat kukuh dalam sanubarinya.

Idzham! Seorang lelaki yang sering ada apabila dirinya menangis dan ketawa. Sentiasa faham akan perasaannya dan tahu menghormati dirinya sebagai perempuan. Malah tidak pernah sekalipun cuba mengambil kesempatan. Walaupun sudah lebih dua belas tahun usia perkenalan mereka, tutur katanya saja boleh membuatkan hati Sara cair dan terkulai layu.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co