Bab 2
Khalif Imran menarik bagasi menuju keluar dari balai ketibaan di Lapangan Terbang Heathrow, London. Dia menjejakkan kaki semula ke tanah Inggeris ini, setelah lebih empat tahun pulang ke tanah air. Walau pada mulanya berat untuk melangkah tetapi apabila mengenangkan Zaireen, hatinya tetap merelakan.
Di sini, kasihnya tertumpah. Di segenap ceruk kota London ini menjadi saksi cintanya bersemi. Menganyam kasih bersama insan teristimewa. Namakan saja tempat-tempat menarik di kota ini, semuanya telah dijejaki bersama kekasih hatinya suatu ketika dahulu.
"Assalamualaikum... Dah lama abang sampai?" tegur seorang gadis Melayu yang berada di tengah-tengah masyarakat Inggeris di luar balai ketibaan. Rupa paras dan susuk tubuh itu mengingatkan Khalif kepada seseorang yang pernah bertandang dalam hidupnya. Namun semua itu sudah menjadi sejarah.
"Waalaikumussalam. Adalah dalam sepuluh minit," jawab Khalif sambil menyambut huluran tangan gadis itu.
"Berapa lama abang kat sini? Kalau lama, Reen boleh tumpangkan abang kat rumah kawan Reen. Iman, budak medic juga."
Khalif tersenyum seadanya. "Tak apa, Reen. Abang dah tempah hotel untuk tiga hari. Abang tak boleh nak lama, kerja kat ofis bertimbun."
Kehadirannya ke sini bukan untuk menyusahkan orang lain. Pandailah dia membawa diri. Lagipun tempat ini bukanlah terlalu asing bagi dirinya. Bertahun-tahun dia hidup berdikari di sini.
"How was your life?"
Dia sememangnya tidak kekok mahu berbual dengan Khalif. Terbayang saat pertama kali pemuda itu menjejakkan kaki ke rumah mereka dahulu. Saat bahagia Khalif di samping kakaknya. Lelaki itu tidak pernah lokek walau apa sekalipun, hatta senyumannya juga. Bertitik tolak dari situ, Zaireen bertekad mahu memiliki lelaki seperti Khalif Imran. Dan rupa-rupanya perasaan itu semakin hari semakin segar, bercambah dan semakin subur setelah ketiadaan kakaknya.
Khalif memanah sepasang mata itu. Ya Allah! Mata yang sama seperti Zulaikha. Hatinya dijentik rasa sayu. "Okeylah, Reen. Tak banyak bezanya. Abang dengan Abang Arif pun selalu busy."
Khalif membalas senyuman Zaireen. Dia mengerling sekilas, gadis yang terlalu mirip dengan wajah kakaknya. Sungguhpun mereka berdua tak sama, namun terubat juga rasa rindunya terhadap Zulaikha.
"Thanks for coming." Perlahan Zaireen bersuara.
"My pleasure. Reen kan adik abang."
Khalif ikhlas dengan setiap ungkapan dan tindakannya. Zaireen adalah sebahagian ahli keluarganya. Dan hingga kini, Zaireen tetap akan menjadi adiknya. Hakikat itu tidak akan pernah berubah walau setelah ketiadaan Zulaikha.
Sekeping hati yang terluka. Namun kaya dengan kejujuran. Zaireen amat menyedarinya. Suatu masa nanti dia akan cuba mengubati luka itu. Pastinya dengan cara yang tersendiri. Itu janjinya!
"Abang tempah hotel mana? Reen hantarkan..." ujarnya manja.
"Hotel Copthorne Tara. Dekat High Street Kesington. Tak apa... Reen balik dulu. Esok pagi baru kita jumpa kat Malaysia Hall. Breakfast kat sana. Dah lama abang tak minum teh tarik kat London ni."
Mereka berpisah sementara menunggu hari esok. Khalif meneruskan langkah menuju ke arah stesen kereta api bawah tanah yang akan membawanya ke tengah ibu kota negara itu.
Sebaik sampai di hotel, Khalif merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Kedatangannya ke sini semata-mata mahu menghadiri majlis konvokesyen Zaireen. Itu sahaja. Dia datang dengan rela hati dan rasa tanggungjawab. Zaireen dan Zulaikha ialah dua beradik yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Zulaikha tak sempat menghabiskan pengajiannya. Dan kerana rasa bersalah yang menggunung itulah, Khalif tiba lagi ke kota ini. Dia sedar, semua yang terjadi kehendak Pencipta. Namun sebagai manusia biasa, Khalif tidak dapat lari daripada rasa bersalah terhadap keluarga itu. Maka, dia sanggup korbankan wang ringgit demi menebus segala rasa itu walaupun peristiwa itu telah lima tahun berlalu.
Zulaikha sudah tersenyum simpul. Dia membawa langkah mendekati si suami. Kedua-dua belah tangan menutup mata lelaki itu dari belakang. "Teka siapa?" Suara sengaja digaraukan agar suaminya terkeliru.
"Errr, Catherine... Veronica or Stephanie."
"Ooo... Ada hati nak menggatal..." Zulaikha memuncungkan bibir.
"Ala... Comelnya mulut dia, macam muncung itik." Khalif merangkul tubuh isterinya ke dalam pelukan.
Zulaikha seorang gadis pemalu. Kepalanya sentiasa ditutupi oleh kerudung membuatkan keayuannya kian terserlah dalam gaya yang begitu sopan. Dia juga bukanlah seorang gadis yang sempurna serba-serbi. Rupa parasnya juga biasa-biasa sahaja. Hanya gadis yang sangat sederhana. Cuma keikhlasan dan kelembutan Zulaikha yang telah memikat hati Khalif. Keputusan untuk mengahwini gadis itu, diputuskan tanpa pengetahuan keluarga di tanah air. Khalif sudah nekad.
"Kenapa termenung, Lif ada masalah?" Zulaikha menyoal. Kepalanya sudah disandarkan ke bahu suaminya.
"Tak... Cuma Lif teringatkan keluarga kat Malaysia. Especially mama dengan papa." Khalif berdalih. Tidak mahu memberatkan lagi kepala isterinya. Cukuplah Zulaikha yang sudah terbeban dengan tugasannya sebagai pelajar.
"Errr... Lif. Kalau Ika tanya sikit, Lif jangan marah tau. Hurmmm... Lif dah bagi tau dengan dia orang?" tanya Zulaikha. Tidak sukar untuknya meneka apa yang sedang berada dalam fikiran suaminya.
"Belum lagi. Kalau boleh, Lif tak nak bincang pasal ni dalam telefon. Faham sangat dengan perangai mama... Silap-silap malam ni juga dia fly ke sini." Khalif meraup mukanya. Buat masa ini biarlah rahsia akan tetap menjadi rahsia.
Sekurang-kurangnya sehingga mereka pulang ke Malaysia. Waktu itu barulah dia akan mengambil peluang untuk memperkenalkan Zulaikha kepada seluruh ahli keluarganya.
Zulaikha mengangguk kecil. Dia akur dengan keputusan suaminya walau sebenarnya dia kurang bersetuju dengan cara Khalif.
"Ika ada something nak bagi tau..." Manja suara Zulaikha berbisik ke telinga si suami.
"Hurmmm... Cakaplah." Khalif masih setia merangkul bahu isterinya.
Zulaikha mendaratkan tangan si suami ke perutnya dan mengangguk. Memberi isyarat bahawa wujud nyawa lain di dalam rahimnya. Permata yang tidak pernah mereka berdua rancang akan kehadirannya. Walau apapun, Zulaikha tetap bersyukur dengan anugerah ini. Tidak pernah menyangka, dia akan hamil dengan sebegitu cepat.
"Are you kidding?" Matanya membulat. Seolah-olah tidak percaya. Dia serta-merta berpaling menghadap isterinya.
"Dah masuk tujuh minggu. Semalam Ika pergi klinik."
"Kenapa Ika tak tunggu? Lif boleh temankan." Nadanya seolah-olah tidak berpuas hati.
"Ika pun tak tahu yang Ika pregnant. Janet ajak Ika teman pergi ke klinik... Dia demam. Masa tu tiba-tiba Ika rasa pening macam nak pitam. Penyudahnya Janet yang papah Ika masuk ke bilik doktor," ujar Zulaikha. Jemari kian erat menggenggam tangan suaminya.
"Lif happy tak?" Zulaikha melentokkan kepalanya ke atas bahu suaminya semula.
"Of course, honey." Khalif mencium ubun-ubun Zulaikha. Kasih yang tertumpah tidak berbelah bahagi lagi. Dia merangkul tubuh isteri yang dinikahinya tiga bulan yang lalu. Khalif sendiri tidak menjangka yang dia akan bergelar bapa secepat ini, namun dia tetap bersyukur.
Khalif cintakan Zulaikha dengan sepenuh hati. Kerana cinta, dia tidak sanggup berpisah dengan gadis itu. Kerana cinta, dia rela berkorban segalanya. Kerana cinta juga, dia tidak memaklumkan kepada keluarga tentang pernikahan mereka. Semuanya yang dilakukan adalah kerana cintanya yang mendalam terhadap Zulaikha.
"Ehem! Cukuplah tu. You all ni, saja nak bagi I jealous tau." Arif menyapa dari belakang.
Zulaikha pula cepat-cepat membetulkan duduknya. "You dari mana?" Zulaikha menegur. Sekadar mahu menutup malu kerana tertangkap bermesra dengan suaminya.
"Kelas."
"Oh." Zulaikha mengangguk kecil.
"Suka aku tengok kau orang ni. Harap-harap cepatlah dapat anak. Tak sabar aku nak jadi papa angkat ni." Arif berseloroh. Biarpun masih muda, tetapi Arif melihat kedua-duanya matang dalam melayari bahtera rumah tangga.
"Amboi-amboi... Kalau macam tu produce la anak sendiri." Khalif menempelak.
"Masalahnya, aweks-aweks tu tak nak kat aku. So, macam mana?" jawab Arif bersahaja.
Hakikatnya, dia belum lagi bertemu dengan gadis yang sesuai. Kalau setakat teman wanita, memang Arif akui dia punya ramai teman wanita. Tetapi spesies begitu tidak sesuai untuk dijadikan isteri. Tidak seperti Zulaikha, seorang yang kuat pegangan agama. Sejujurnya, Arif akui Khalif Imran sangat bernasib baik. Akhlak isterinya masih terpelihara.
"Correction... Kau yang tak nak kat aweks-aweks saleh tu." Khalif mengangkat kening.
"Jomlah kita pergi makan. Kesian kat baby aku ni, mesti dah lapar." Khalif mengusap perlahan perut isterinya yang masih lagi kempis.
"Apa?! Kau serius ke ni?" Terbeliak biji mata Arif. Tidak menyangka usikannya benar-benar menjadi kenyataan.
"Baru tujuh minggu," celah Zulaikha. Mengiakan tentang berita kandungannya.
"Huh! Hebat juga kau ni," usik Arif yang sentiasa ceria.
Khalif tersenyum penuh makna. Tangannya merangkul pinggang si isteri.
"Tahniah untuk kau orang berdua." Arif menepuk-nepuk bahu sahabatnya. Dia tumpang gembira dengan berita itu.
PULANG dari makan malam bersama Arif lewat petang tadi, mereka berpisah ke rumah masing-masing. Khalif menyewa sebuah rumah lain yang berdekatan.
Usai solat maghrib, Zulaikha merebahkan tubuh. Berjurai air mata apabila mengenangkan nasib diri. Lemah segala sendi dengan keputusan pemeriksaan kelmarin. Turut jua meranapkan segala impian dan cita-cita. Dia sendiri pun tidak kuat untuk mengharungi semua itu. Namun dia perlu tabah demi bayi yang sedang dikandungnya.
Nekad! Itulah keputusannya. Tekadnya sudah bulat untuk melahirkan benih cintanya. Dia sanggup mengharungi apa jua risiko yang mendatang. Doktor telah mengesahkan bahawa kandungannya membahayakan kesihatannya. Dia disahkan menghidap kanser payudara tahap dua. Tanda-tanda kecil yang sering dipandang ringan kini telah menjadi satu masalah besar dan mungkin akan meragut nyawanya sendiri. Nyawa bayinya juga turut menjadi taruhan.
Sisa air mata yang mengalir diseka. Tidak mahu Khalif melihat air mata yang gugur di musim luruh ini.
"Ika, Lif tengok muka tu pucat sangat. Kalau tak sihat, Ika berehat... Biar Lif yang buat semua kerja rumah," tegur Khalif. Sejak akhir-akhir ini masing-masing terlalu sibuk dengan urusan sendiri. Waktu tidur saja baru dapat bersua muka kerana jurusan yang mereka ambil juga berbeza.
"Ika letih sikit. Banyak sangat assignment lately ni." Zulaikha beralasan. Tidak mahu Khalif menanggung sama penderitaannya. Dia tidak mahu mementingkan diri. Keluarga suaminya sangat berharap dengan kejayaan anak lelaki tunggal mereka. Tambahan pula perbelanjaan pengajian Khalif ditanggung sepenuhnya oleh keluarga. Jadi biarlah segalanya menjadi rahsia.
"Dah solat?" Suara garau Khalif mematikan lamunan.
"Ya Allah! Dah isyak." Zulaikha segera menggelongsor dari katil dan melangkah longlai menuju ke bilik air. Dia tidak mahu kelihatan lemah.
"Cepat ambil wuduk. Kita jemaah sekali." Khalif menegur isterinya. Sambil itu tangannya ligat membentangkan sejadah. Keadaan isterinya yang mengandung membuatkan Khalif mengambil alih tugas rumah tangga.
Mereka menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Khusyuk dan tawaduk. Bacaan doa yang dibaca sangat jelas dan lancar. Menitis air mata Zulaikha ketika mengaminkan doa. Sayu dan menyentuh hati. Sebagai suami, Khalif sangat penyayang dan bertanggungjawab. Dalam diam Zulaikha mengakui kehebatan peribadi suaminya.
"Amin." Khalif meraup muka setelah selesai berdoa. Dia menyambut salam isterinya lantas mengucup dahi Zulaikha.
"Ika penat?" Khalif mengusap pipi isterinya.
"Kenapa kalau Ika penat?" Zulaikha sudah menjeling manja. Tahu sangat apa yang dikehendaki oleh suaminya.
"Dua, tiga hari ni Lif busy sangat. Balik aje terus tidur. So..." Khalif merengek manja.
Suis lampu bilik dipadamkan setelah selesai melipat sejadah. Samar lampu jalan terbias ke ruangan itu. Khalif merebahkan tubuh dan mengiring menghadap isterinya...
Berada di kota London ini membuatkan nafasnya sesak. Khalif tidak berhajat untuk ke mana-mana, kecuali menghadiri majlis konvokesyen Zaireen saja tengah hari tadi. Tidak ingin juga mengunjungi tempat-tempat menarik yang pernah dilawati suatu ketika dahulu bersama insan kesayangannya.
Ketika teksi melewati kawasan Hyde Park, lemah dirasakan urat sendinya. Masakan tidak, tempat itu menjadi tempat mereka sering beriadah. London... Kota yang terlalu banyak menyimpan kenangan terindah. Khalif tidak tega lagi untuk berada di sini. Walau untuk sehari sahaja lagi. Dia harus pergi.
Dia mahu segera pulang ke Malaysia walaupun tiket penerbangannya sepatutnya pada keesokan malam.
Sebaik keluar dari hotel, dia hanya berjalan kaki menuju ke stesen kereta api bawah tanah yang terletak di Earl Court. Jarak yang hanya mengambil masa 15 minit langsung tidak terasa. Di kota London ini, majoriti penduduknya menggunakan pengangkutan awam. Dan kerana itu dirinya sudah terbiasa dengan keadaan sekeliling. Hampir tujuh tahun dia belajar berdikari di kota ini.
Sebaik tiba di lapangan terbang, Khalif bergegas ke kaunter penerbangan Malaysia. Mahu menukar jadual penerbangan serta mendapatkan tempat duduk di dalam pesawat.
Mujurlah dia berjaya berbuat demikian. Kurang dari tiga jam lagi pesawat akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Khalif duduk di ruang menunggu di balai berlepas. Melayan perasaannya sendiri.
Masih segar dalam benaknya ketika menghantar Zulaikha untuk pulang ke tanah air dulu. Tempat ini turut menjadi saksi perpisahannya. Wajah itu rupa-rupanya ditatap untuk kali yang terakhir pada ketika itu. Itulah juga memori terakhirnya bersama Zulaikha. Saat penting itu terakam kukuh dalam mindanya. Langsung tidak terlintas olehnya pada ketika itu yang Zulaikha akan pergi buat selamanya.
"Lif izinkan Ika... Ika mohon restu Lif," bicara Zulaikha bersama sendu. Wajah yang sudah lencun dengan air mata.
Khalif mendongakkan dagu isterinya. "Boleh tak Ika fikirkan semula keputusan tu?"
Khalif sedaya upaya cuba memujuk isterinya. Manalah tahu Zulaikha berubah fikiran pada saat akhir. Satu permintaan yang amat berat sebagai seorang suami untuk menunaikannya. Dan... Khalif tetap kalah dengan pujukan dan rayuan Zulaikha.
"Please... Lif," rayu Zulaikha.
"Okey! Kalau Ika nak balik juga, kita balik sama-sama." Khalif pula yang merayu.
"Ika nak Lif teruskan pengajian. Kalau Lif tak boleh buat untuk Ika, buat demi anak kita. Segala yang Ika buat demi Lif dengan baby ni. So, tolonglah fahami Ika. Lif... Ika nak mohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika ada salah dan silap yang Ika pernah lakukan selama kita hidup bersama. Ampunkan Ika dan halalkan makan minum Ika selama ini." Bersama juraian air mata, Zulaikha mendakap tubuh suaminya. Nalurinya kuat merasakan itu adalah pelukan terakhirnya untuk suami tercinta.
Khalif membalas. Dia mendakap erat tubuh itu dan mengesat sisa air mata di pipi isterinya.
"Selama kita bersama, Ika tak ada dosa dengan Lif. Kalau ada sekalipun, dah lama Lif ampunkan." Luluh hati Khalif dengan pandangan sayu Zulaikha.
Panggilan akhir penerbangan Malaysia yang akan berlepas ke Kuala Lumpur berkumandang di corong pembesar suara membuatkan Khalif tersentak. Sekali lagi dia cuba untuk menenteramkan hatinya. Dia mencapai beg dan tenang berjalan menuju ke pintu pesawat.
Semua penumpang disambut mesra dangan kata alu-aluan. Tidak terkecuali juga dirinya yang menempah tempat duduk kelas perniagaan.
"Good evening, sir. Welcome on board," sapa seorang pramugari berkebaya batik. Senyuman meleret di bibir.
Khalif sekadar mengangguk dan menuju ke tempat duduk. Setelah selesai menyimpan beg ke dalam overhead compartment, dia melabuhkan duduk. Seperti kebiasaan, penumpang yang berada di kelas pertama dan kelas perniagaan dihidangkan dengan minuman selamat datang dan sehelai tuala panas.
"Encik Khalif, kami ada beberapa pilihan jus, encik boleh..." Belum pun sempat pramugari itu menghabiskan ayatnya, Khalif sudah pun menyampuk.
"An orange please," jawab Khalif tanpa memandang ke arah pramugari yang bertugas.
Saat itu Khalif hanya menayangkan muka ketat. Pramugari itu melayannya dengan senyuman manis. Dalam hatinya, biarlah senyuman itu semanis madu sekalipun. Padanya, senyuman Zulaikha tetap teristimewa buatnya.
Beberapa minit sebelum berlepas, pramugari tersebut muncul kembali untuk memeriksa kabin dan sekaligus mengumpul semua cawan dan gelas.
Penerbangan sudah menjangkau selama empat jam. Hanya berbaki lebih kurang sembilan jam sahaja lagi untuk tiba. Selepas makan malam, Khalif cuba memujuk matanya agar lena, namun gagal. Sesekali dia mengiring ke kiri dan ke kanan bagi menghilangkan lenguh badan. Mujurlah kerusi di dalam kelas ini boleh dilaras untuk keselesaan penumpang.
Lampu utama kabin telah lama dipadamkan, menjadikan ruang kabin di dalam kelas perniagaan ini lebih malap. Ia membolehkan semua penumpang tidur dengan selesa tanpa sebarang gangguan. Namun tidak pada Khalif, mata tidak seiring dengan kehendaknya.
Khalif membawa langkah menuju ke tandas berdekatan. Di antara galley dan kabin terdapat sedikit ruang kosong membolehkan dia meregangkan sedikit kakinya bagi melancarkan peredaran darah. Namun belum sampai seminit berdiri di situ, tak semena-mena lengan bajunya sudah dibasahi air.
"Ouch!!! Isy, apa ni..." Khalif mengetap gigi.
Nasib baiklah air sejuk. Kalau tidak... Dia menggeleng. Berada dalam penerbangan, tambahan pula pada waktu malam, air mineral yang bersuhu biasa pun boleh menjadi terlalu sejuk.
"Ma... maaf, Encik Khalif. Saya betul-betul tak sengaja." Cemas wajah pramugari itu. Apatah lagi setelah melihat air muka penumpang yang mencuka. Panahan matanya juga terlalu menikam.
Khalif sedar kesalahan memang berada di pihaknya. Tetapi ego lebih menguasai diri.
"Maaf?! Maaf boleh keringkan baju saya?" Tinggi intonasi suaranya.
"Maafkan saya, Encik Khalif," tutur pramugari itu. Tangannya mencapai beberapa helai tuala kecil. Dia membantu untuk mengelap lengan kemeja yang telah lencun. Niatnya hanya ingin membantu.
"Saya boleh buat sendiri!" Khalif meninggikan suaranya. Dia tidak rela mana-mana perempuan mendekati dirinya.
"Lain kali jalan pakai mata! Kalau muka cantik tapi otak kosong, buat apa!" Naik satu oktaf suara Khalif. Jelingan tajamnya membalas senyuman tawar pramugari itu.
"Maaf." Pramugari itu terpempan dan menundukkan wajah.
Khalif merentap kasar tuala yang dipegang oleh gadis tinggi lampai itu dan berlalu pergi.
Beg bimbit diambil dari overhead compartment. Sehelai baju dikeluarkan bagi menggantikan baju yang telah basah. Mujur dia ada memasukkan sehelai baju t-shirt ke dalam beg bimbitnya itu. Selesai mengganti pakaian, Khalif kembali ke tempat duduk dan cuba melelapkan mata.Akhirnya dia terlena beberapa jam kemudian sehinggalah dikejutkan oleh pramugari tadi untuk bersarapan pagi. Dua jam sebelum mereka mendarat di KLIA, pramugari itu tetap menjalankan tugasnya seperti biasa. Layanan yang diberikan tetap mesra.
Rasa bersalah menyelubungi dirinya. Khalif kesal. Walhal bukanlah sebesar mana pun kesalahan pramugari itu hingga perlu dia mengamuk sedemikian rupa.
Pesawat selamat mendarat di KLIA. Khalif sengaja menunggu hingga semua penumpang di dalam kelas perniagaan keluar terlebih dahulu. Dia mahu memohon maaf kepada pramugari yang sudah menjadi mangsa amarahnya semalam. Matanya sempat mengerling pada tanda nama pramugari itu. Sebaris nama yang cantik dan tidak terlalu moden, sesuai dengan perwatakan gadis itu.
"Errr... Cik Siti, saya minta maaf. Saya tak sepatutnya berkasar." Khalif bersuara.
"Tak apa, Encik Khalif. Memang patut Encik marahkan saya... Sepatutnya saya yang minta maaf," tuturnya ikhlas.
Tidak sedikit pun dia ambil hati dengan herdikan yang diterimanya. Cuma sebagai manusia biasa yang sama bangsa dan budaya, dirasakan ada baiknya jika lelaki itu lebih berbahasa. Cakaplah elok-elok. Bukannya tercedera pun!
"Saya dah pun maafkan." Mendatar suaranya. Khalif tidak mahu dihantui rasa bersalah setelah keluar dari perut pesawat kelak. Cukuplah dengan kenangan lama yang masih bersisa. Rasa bersalah yang tidak pernah surut.
"Terima kasih, Encik Khalif." Sekali lagi pramugari itu menghadiahkan sebuah senyuman.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co