Bab 3
SARA terbaring lesu. Hanya rehat saja yang tubuhnya perlukan untuk detik ini. Terlalu letih setelah semalaman bekerja. Perjalanan dari kota London yang memakan masa lebih tiga belas jam tanpa henti benar-benar melelahkan. Namun apa yang boleh dikatakan lagi? Inilah kerjaya pilihannya.
Sara bangun dari katil lantas segera mencapai telefon dan bibirnya melirikkan senyuman. Hati sudah bersorak keriangan. Orang yang dinanti sentiasa muncul tepat pada masanya walaupun hanya dengan menghantar khidmat pesanan ringkas.
Hai sweetheart, you kat mana?
KL.
Ringkas mesej Sara. Skrin telefon disentuh untuk membalas mesej daripada Idzham.
Baru balik? Dari mana?
Yes, London.
Mereka saling berbalas mesej. Masuk lagi mesej baru daripada Idzham.
Nak jumpa kat tempat biasa pukul lapan malam.
Okey.
Terbang rasa letih apabila orang yang dirindui sudi bertanyakan khabar walaupun hanya sekadar menghantar pesanan ringkas. Sara tersenyum bahagia. Tidak sabar mahu bersua muka. Rindu mula bertamu setelah lebih dua minggu dia tidak bertemu dengan buah hatinya. Wajah yang sering menemani jiwanya. Sara rasa bahagia setiap kali berada di samping lelaki itu.
Usai solat maghrib, Sara segera bersiap. Sehelai gaun berwarna merah pulasan dikenakan ke tubuh. Labuhnya hingga mencecah ke betis. Gaun lembut beralun itu sangat sesuai sekali dengan bentuk tubuhnya yang tinggi lampai.
Sara sekadar mencalit lipstik dan berbedak nipis. Dia mencapai beg tangan Chanel yang baru dibeli beberapa bulan lalu. Kasut jenama kegemarannya, Salvatore Ferragamo berwarna senada dengan beg tangan. Satu kombinasi yang sepadan dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Sara menuruni anak tangga satu per satu. Ingin memanaskan enjin keretanya yang sudah beberapa hari tidak dihidupkan. Lantas kunci kereta yang tergantung dicapai. Belum pun sempat melangkah keluar, dia sudah ditegur oleh Hanim.
"Amboi!!! Cantiknya baju... Kelas kau, Sara. Vogue gitu. Bila kau beli?" tegur Hanim sentiasa peka dengan rakan serumahnya. Masuk bab fesyen, Hanimlah orang yang paling bergaya sekali.
"Haah... Cik Hanim. Baru beli di butik Zara semalam. Diskaun sampai tujuh puluh peratus... Mana boleh tahan. Terjebak juga aku. Haaa, barang yang kau pesan tu ada kat atas. Tunggulah sampai aku balik." Sara bersuara seolah-olah sedang mengiklankan produk. Apabila bercakap dengan Nurhanim memang kena over sikit. Sebab gadis itu pun jenis yang terlebih over.
"Alright, janji bagi. Jangan buat harta pula!"
"Jangan risau Nim, aku tak buat harta punya. Dan takkan lupa, yang aku dah dulukan duit aku. Bayar balik!" Sara 'melaser' kembali rakannya. Antara mereka bertiga tiada istilah berkecil hati. Sudah lama mereka hidup sebumbung. Sudah kenal hati budi masing-masing. Setakat bergurau mulut, apalah sangat!
"Kau dengan Idzham tu ada apa-apa ke? Aku tengok lain macam aje." Fatin mencelah. Dia baru terbit dari dapur.
"Hesy, kau ni... Mana ada! Dia kawan baik akulah. Sama macam kau orang juga. Jangan nak buat spekulasi. Dengar dek Idzham nanti, malu aku." Sara menyangkal telahan Fatin. Walhal hati bagai digaru detik ini. Semoga masin mulut rakannya itu. Amin.
"Alah, kalau ada apa-apa pun, apa salahnya? Dua-dua single lagi. Ehhh... Handsome apa Idzham tu, co-pilot lagi." Fatin mula serkap jarang. Melihat lirikan mata dan senyuman rakannya, dia sudah dapat meneka sesuatu.
"Huh! Kalau aku..." Belum pun sempat Hanim menokok, ayatnya sudah dipintas oleh Sara.
"Kalau kau dapat dia, bolehlah kau jadikan dia tukang bayar duit shopping kau, gitu?" Sara menjawab bagi pihak Hanim yang memang terkenal sebagai seorang kaki shopping.
Mereka bertiga sama-sama meledakkan tawa. Siapa yang tidak kenal dengan Nurhanim? Sebahagian besar gajinya setiap bulan menjadi simpanan. Duit untuk membeli-belah, ditaja oleh lelaki-lelaki yang mengharap cinta sejati gadis itu.
"Tepat sekali." Hanim masih dengan sisa tawanya.
"Aku gerak dulu. Layan kau orang sampai esok pun tak habis."
Bagaikan lipas kudung, Sara menyusup masuk ke dalam perut kereta. Malas hendak melayan rakan serumahnya itu. Maklumlah sesekali bertemu, sudah tentu banyak topik yang ingin digosipkan bersama.
Idzham menilik jam tangan. Sudah tidak sabar menunggu kehadiran gadis yang amat dirindui setelah beberapa minggu tidak bersua. Gadis yang cukup sempurna untuk dijadikan suri hidup. Kulitnya putih kuning. Bertubuh langsing dan rambut yang ikal serta beralun.
Saat perkenalan yang tidak pernah terduga.
Ketika hendak membuat bayaran harga makanan di kantin sekolah beberapa tahun dulu, tanpa Idzham sedar dia terlupa membawa dompetnya bersama. Terkial-kial dia menyeluk saku seluar, sedangkan sudah panjang barisan pelajar lain beratur di belakangnya.
Dalam kalut berbuat begitu, seorang pelajar perempuan sudi menghulurkan bantuan. Pelajar yang memakai tanda nama Siti Sara. Gadis yang sedang berdiri di belakangnya itu dengan baik hati menghulurkan wang sakunya sendiri. Sejak itu mereka berdua mula berkawan baik. Hingga keakraban mereka menjadi bualan.
Ketika itu dirinya berada di tingkatan empat dan Sara baru saja masuk ke tingkatan satu. Sejak detik itu Sara menjadi sahabat tunggalnya yang berlainan jantina. Ramai yang mengatakan mereka tidak akan kekal lama bersahabat. Sebaliknya akan menjadi pasangan kekasih. Dua gender yang berbeza, tidak mungkin akan kekal bersahabat kerana pasti akan ada terselit perasaan lain yang wujud di pertengahannya, iaitu cinta.
Sebaik matanya menangkap kelibat Sara yang baru melangkah memasuki ruang restoran, Idzham melambai-lambaikan tangannya. Terpegun dia dengan penampilan Sara. Gadis itu tampak ringkas namun tetap memukau.
Fuh! Nasib baik dia berbaju kemeja dan berseluar jean. Tidaklah terlalu ketara untuk duduk bersama.
Sara mengerling jarum jam. "Okey, Sara lewat dua puluh minit. Sorry. Id taulah kalau housemate Sara ada." Sara sendiri yang mengakui kesalahan dirinya. Walhal Idzham tidak sepatah pun bertanya tentang hal itu.
Sara menarik kerusi yang bertentangan dengan Idzham. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Entah mengapa jantungnya bergetar apabila melihat ke seraut wajah itu. Idzham baru mempamerkan senyuman saja, sudah cukup membuatkan Sara tidak tidur lena malam ini. Terlalu kuat aura lelaki ini.
Idzham mengenyitkan sebelah matanya. "Maaf diterima. Sebab sweetheart Id ni cantik sangat," puji Idzham. Akur dengan kecantikan Siti Sara yang kian terserlah.
Sara menyedut minuman yang telah tersedia. Tanpa gadis itu sedar, mata Idzham meliar memerhatikan penampilan Siti Sara. Dirinya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada kenalan gadis itu.
"Emmm... Banyaknya makanan?" Sara teruja. Dia sedar, Idzham sangat mengambil berat tentang seleranya. Apa lagi kalau bukan hidangan dari negara jiran di bahagian utara tanah air. Memang menjadi kesukaannya sejak dahulu lagi.
"Id oder siap-siap. Senang bila Sara datang, kita terus ngap. Semua ni favourite Sara, kan?" Idzham mengenyitkan sebelah matanya kepada Sara dengan senyuman yang masih tersungging di bibir.
"Ni yang buat Sara sayang kepada Id." Sara memuji. Dia benar-benar memaksudkannya.
"Id pun sayang Sara juga. So, bila touch down?" Idzham menyoal sambil meniup kuah tomyam yang masih panas.
"Pagi tadi. Id pula bila fly?"
"Esok malam. Fly to Amsterdam." Idzham menjawab walaupun mulutnya tidak berhenti mengunyah.
Sara dan Idzham adakalanya berpeluang untuk terbang bersama. Idzham hanya fokus kepada satu fleet kapal sahaja. Manakala Sara sebagai anak kapal terpaksa bertugas sekurang-kurangnya dua fleet kapal yang berlainan.
"Okeylah tu. Amsterdam sekejap aje."
Matanya tidak berkelip memerhati lelaki di hadapannya. Memerhati lelaki itu mengunyah makanan dan segalanya. Pendek kata semuanya yang melibatkan Idzham, Sara rasakan terlalu tertib dan sempurna.
Idzham berdesit. "Okey tu, memanglah okey. Tapi Id yang tak okey... Asyik teringatkan Sara aje. Susah betul nak fly sama," rungut Idzham. Sementara tangannya mencucuk-cucuk makanan di atas pinggan.
Sara berhenti mengunyah. Mata mereka bertembung pandang. Ah! Mata itu sungguh jernih. Meruntun jiwanya. Sudah ada rasa malu yang bertapak dalam dirinya sejak mereka sama-sama terlibat dalam dunia penerbangan sedangkan sebelum ini mereka boleh bergurau senda tanpa wujud perasaan itu.
"Sara sayang... Dengar tak apa Id cakap?" Idzham menggoyang-goyangkan tangannya di depan muka Sara. Ingin mengejutkan gadis yang telah jauh berkhayal itu.
"Hah! Aaa... apa Id cakap tadi?" Sara jadi malu sendiri.
Harapnya, janganlah Idzham sedar akan perasaannya kepada jejaka itu. Malu kalau dia hanya bertepuk sebelah tangan. Tetapi hatinya yakin Idzham juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya. Jika tidak, masakan lelaki itu memanggilnya dengan panggilan yang istimewa. Panggilan sayang... Itu yang boleh buat Sara tersenyum sorang-sorang. Dan membuatkan dia mengigau dalam lena.
"Hesy, anak dara Cikgu Saleh dah pandai mengelamun. Hmmm... Ada apa-apa yang Sara nak cerita kepada Id?" Idzham menyakat sambil menjongketkan keningnya. Senyuman kian mekar terukir.
"Tak! Mana ada. Pandai aje Id ni..." Sara berdalih.
Gila nak beritahu yang dia sedang berangankan lelaki itu?
"Betul ni? Ingatkan sweetheart Id dah jatuh hati kat passenger mat salih. Itu yang termenung panjang." Idzham tersengih menampakkan giginya. Seronok sesekali dapat peluang untuk mengusik gadis itu.
Sara menjeling manja. Hatinya merasakan sesuatu saat bersama dengan Idzham. "Actually Sara risau. Manalah tahu kena panggil pergi ofis. Biasalah, ada passenger kompelin," luah Sara. Sebenarnya untuk meredakan sedikit perasaannya.
"Muka macam ni punya lawa, senyum sampai ke telinga pun, masih ada orang kompelin. Tak patut betullah. Siapalah yang buta mata tu?" Idzham berjenaka.
Namun pujiannya terbit ikhlas daripada hatinya. Siti Sara seorang yang cantik. Sifatnya penuh dengan kelembutan dan pada masa yang sama gadis itu begitu tekun dengan tugas yang telah diamanahkan. Itulah Siti Sara yang Idzham kenali sejak dahulu lagi.
Idzham mengerutkan kening. "Kenapa dia kompelin? Mungkin sweetheart Id yang cantik manis ni tak layan dia kut? Ataupun sweetheart Id yang tak bagi nombor telefon."
Bukannya Idzham tak tahu, ramai yang cuba mengusyar Siti Sara. Selain penumpang, ramai juga rakan sekerjanya yang turut menaruh perasaan terhadap gadis itu.
Sara menggumam. "Alah... Kes kecil aje kut! Emo aje lebih." Acuh tak acuh suaranya.
"So... Pihak atasan tahu tak ni?" soal Idzham dengan nada yang lebih serius. Manalah tahu jika benar apa yang gadis itu katakan. Memanglah tertekan. Tak pasal-pasal, kena bersoal jawab dengan orang atasan.
"Tak. Tapi mana tau kan, hati orang. Susah nak teka. Tiba-tiba nanti Sara dapat surat 'cinta' dari ofis. Punahlah harapan Sara nak masuk kelas bulan depan." Sara mencebikkan bibirnya.
"Eh, masuk kelas? Kelas apa, berapa lama?" Bertalu-talu Idzham mengajukan soalan.
Baru dua minggu tidak berjumpa, banyak yang dia ketinggalan tentang gadis yang teristimewa dalam hidupnya. Sara pula langsung tidak mahu berkongsi apa-apa tentang maklumat itu.
"Adalah..." Sara masih mahu bermain tarik tali.
Idzham menggenggam tangan Sara. Matanya mencari sepasang mata itu. "Cakaplah, dah tak sabar ni," pujuk Idzham lagi.
"Tiga minggu lagi kelas Sara dah nak mula. Kelas leading stewardess. So, Sara harap tak ada apa-apalah." Nadanya sedikit hampa. Panjang dia berdesit dan wajahnya kembali mencuka.
Memang malang betullah dia bertemu mamat poyo itu. Kenapalah dalam banyak-banyak penerbangan ke Kuala Lumpur, penerbangan malam tadi juga yang mamat itu naik? Baliklah hari lain. Maka tidak terjadilah insiden air tertumpah pada baju. Tapi nak buat macam mana, perkara sudah pun berlaku.
"Wooo... Tahniah! I am happy for you. Lepas ni kena panggil Leading Stewardess Sara la."
Idzham menghulurkan tangan untuk berjabat tanda menyokong dan memberi semangat kepada gadis itu. Dia tahu Siti Sara amat berkelayakan. Gadis itu sangat tekun dalam menjalankan tanggungjawab.
"Sara kena buat dua fleet. Bosan betul."
"What fleet?"
"Airbus dengan 737-800. No more B777-200." Lirih suaranya. Riak hampa tergambar jelas.
"Nampaknya makin susahlah nak jumpa dengan sweetheart Id ni." Idzham pula bernada merajuk. Rajuk yang tidak tahu hendak ditujukan kepada siapa. Namun jauh dalam lubuk hati, dia tumpang gembira.
Sara menongkat dagu. "Macam tu la nampak gayanya."
Tertutup peluang untuk terbang bersama jejaka yang telah berjaya mencuri ruang hatinya. Sara akui, dia memang inginkan kenaikan pangkat. Tetapi dalam masa yang sama dia juga berasa sedih kerana semua itu akan menjarakkan lagi hubungannya dengan Idzham. Sara pasti akan merindui seraut wajah itu. Jika lama tidak bersua muka, Sara panasaran!
Nama Idzham sudah terlorek dalam hatinya.
SARA memandu dengan kelajuan yang sederhana. Rasa hatinya tidak dapat digambarkan saat ini. Terlalu kembang dan mekar mewangi. Dia menyimpul senyuman. Hatinya terusik dengan sikap romantis Idzham sebentar tadi. Saat itu Sara rasakan jantungnya bagaikan terhenti berdenyut. Lidahnya juga seolah-olah kelu tanpa kata. Dirinya bagai terawang-awang di udara.
Sebaik selesai makan malam, Idzham menemaninya ke tempat parkir yang terletak tidak berapa jauh. Dalam samar cahaya yang terbias, dirinya tiba-tiba hilang imbangan. Sepantas kilat tangan merangkul lengan Idzham. Sebelah kakinya terpijak botol air mineral yang masih penuh berisi. Untuk beberapa saat mereka saling berpegangan. Aroma wangian yang dikenakan Idzham bisa membuatkan Sara terbuai.
Dalam samar itu Sara sempat menangkap sepasang mata buah hatinya yang sedang merenung wajahnya. Idzham juga seolah-olah terkelu. Hanya degup jantung Idzham yang Sara dengar sedang berlari kencang. Mata mereka saling berbicara.
Semoga sinarnya sudah menyampaikan maksud yang selama ini tersimpan kemas. Biar lelaki itu tahu yang dirinya sudah bersedia untuk menjadi suri dalam hidup Idzham.
Sara masih melayan perasaan. Yang dia tahu hati ini sudah ada pemiliknya.
Sara menghentikan kereta di sebuah stesen minyak yang sudah tidak berapa jauh dari kediaman keluarganya. Selesai membuat pembayaran, Sara segera berpaling. Hampir saja dia merempuh seorang lelaki yang sedang berdiri di belakangnya. Namun sebaik Sara mendongak, dirinya benar-benar terkesima. Dia terkaku untuk beberapa ketika. Kelu lidahnya dan dia menelan kesat liurnya.
Baru saja dia mengadu kepada Idzham tentang lelaki ini, tidak sampai dua jam, wajah ini juga yang terpacul. Memang kuat badi lelaki ini. Setiap kali bertemu pasti akan meninggalkan insiden yang negatif.
Apalah malang nasibnya, sudah dua kali berjumpa dengan mamat poyo itu. Muka kacak pun tak guna kalau asyik mencuka. Sara juga tidak berminat untuk bersuara. Dia berpura-pura langsung tidak mengenali lelaki itu. Lebih baik berpura-pura bisu daripada disembur oleh mulut si naga.
Malas mahu ambil pusing, Sara terus menghampiri kereta yang terparkir dan mula mengisi minyak. Dalam ralit menunggu tangki minyak yang sedang diisi sampai ke amaun yang sepatutnya, suara seorang lelaki menegurnya.
"Cik Siti, awak ni memang spesies yang cuai ek? Tak sangka... Jual muka aje tapi perangai hancus. Dah buat salah tapi tak tahu nak minta maaf!"
Sara menoleh ke pam bersebelahan. Erk! Sah, mamat poyo sedang mengisi minyak.
Sara menjulingkan matanya ke atas. Meluat!
"Awak bercakap dengan saya?" soal Sara sinis.
Sara mencuri pandang ke arah lelaki yang sedang berdiri membelakangi dirinya.
Lelaki itu tertawa kecil. Lucu dengan soalan yang tidak berapa bijak itu.
"Taklah! Saya bercakap dengan perempuan yang tak berapa tahu adab. Agaknya selain daripada waktu kerja awak yang berembun, waktu sosial awak juga tak kurang hebatnya. Tengah malam macam ni pun, masih lagi berpelesiran. Itu sebab awak ni selalu cuai, macam orang mabuk," sindirnya tajam.
Pedas! Perempuan jenis begini, bukannya boleh diberi muka sangat. Nampak saja baik tapi perangai belum tentu lagi. Jika tidak, tak adalah malam buta begini masih lagi berada di atas jalan. Seorang diri pula tu.
"Excuse me! Siapa awak untuk judge saya? Awak tak ada kena-mengena dengan hal saya. So... Just shut your mouth!" Sara mulai berang. Bengang dengan tuduhan melulu lelaki yang dia sendiri sudah lupa namanya.
"Well, saya tak judge awak. Tapi kalau dah siku awak naik ke badan saya pun, awak tak reti nak minta maaf... Itu namanya kurang ajar!"
Khalif sedar kata-katanya agak kesat. Tangannya tangkas meletakkan kembali picu pam ke tempat asal. Dia mahu segera berlalu. Enjin kereta dihidupkan. Pedal minyak ditekan untuk beredar. Dari cermin sisi dia melihat wajah gadis itu juga sudah berubah. Mukanya sudah berona merah.
Hakikat sebenar, Khalif juga terkilan sebaik melihat wajah itu semasa berada di kaunter pembayaran tadi. Baru malam kelmarin mereka bersua dalam penerbangan, kini dia bertemu lagi dengan gadis cuai itu semula. Khalif sendiri tidak menyangka yang gadis pramugari itu juga tinggal di kawasan yang berdekatan dengan kediamannya. Itu sekadar andaiannya saja. Kalau tidak, buat apa gadis itu mengisi minyak di kawasan sekitar pada waktu lewat malam begini? Tapi entahlah, mungkin juga dia sudah salah meneka.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co