Truyen3h.Co

Bila Kau Kata Cinta

Bab 8

karyaseni2u

Sehelai gaun malam yang berwarna hitam terletak elok ke tubuhnya yang tinggi lampai. Solekan tipis dioles pada wajah. Rambut disanggul rapi, menampakkan anting-anting yang tergantung di tepi telinga. Pendek kata, segalanya tampak sempurna.

Sara mengatur langkah menuju ke meja yang telah ditunjukkan oleh pelayan. Dari jauh Sara sudah melihat kelibat Idzham. Buah hatinya sedang berbual di telefon. Mukanya berseri-seri. Kembang hati Sara sebaik terpandang wajah lelaki yang sangat dikasihi tersenyum lebar sebegitu rupa.

Dengan langkah yang gementar, Sara cuba membayangkan saat lelaki itu melamar dirinya. Bagaimanakah reaksi yang bakal diberikan kelak? Mustahil dia mahu menjerit. Langsung tidak sesuai, nampak sangat dia tergila-gilakan Idzham. Atau hendak berlakon, berpura-pura terkejut? Kalau nak tunjukkan wajah yang sangat teruja, boleh tak? Sara sendiri tak tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Tengoklah nanti apa reaksi spontannya kepada waktu itu.

Idzham terpaku. Tidak berkelip matanya memandang dari atas ke bawah. Patutlah ramai orang tergila-gilakan gadis ini. Cuma Sara yang terlalu jual mahal.

"Hai, Id..."

Sara menghampiri meja. Tempat yang dikira paling strategik.

"Wow. You look so gorgeous, sweetheart. Terima kasih sudi datang. Id sangat hargainya." Idzham tersenyum manis. Dia menarikkan kerusi untuk gadis kesayangannya.

"Thanks."

Senyuman mereka saling berbalas.

Idzham tampak jauh lebih berbeza. Benarlah Idzham telah merancang sesuatu yang istimewa.

"Sweetheart, sebenarnya seseorang yang spesial akan join kita kejap lagi. Harap Sara tak kesah." Idzham mengangkat keningnya. Riak mukanya mempamerkan keterujaan. Matanya bersinar-sinar.

"Of course! Sara tak kesah." Walhal di dalam kepala sudah ligat memikirkan gerangan yang akan muncul sebentar lagi.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumusalam," jawab Sara dan Idzham serentak.

Sara panggung kepala. Matanya memanah ke seraut wajah yang bersih tanpa secalit mekap. Ternyata kecantikannya semula jadi. Bibir gadis itu merah bak ulas delima.

Sekali lagi Idzham bangun lalu menarik kerusi yang terletak bersebelahan. Mereka kelihatan mesra sekali.

Gadis bertudung biru laut itu mempunyai seraut wajah yang biasa-biasa sahaja tetapi manis dipandang. Siapakah gadis ini? Selama ini Idzham tidak pernah memperkenalkan gadis ini kepadanya. Terkedu Sara. Cuba mentafsir apa yang sedang berlaku.

"Sweetheart... Id kenalkan Sara kepada bakal isteri Id, Iftitah. Id nak sangat sweetheart kenal dengan bakal isteri Id. Dan Iftitah... I nak you jumpa best friend I, Sara." Idzham tersengih lebar. Pandangannya silih berganti antara Siti Sara dan Iftitah.

Erk! Tangan Sara secara automatik laju saja mencapai gelas dan meneguk air kosong yang sudah tersedia. Tubuhnya sudah terasa menggigil.

"Ohhh... Hai. I Sara. Siti Sara. Best friend Idzham, nice to meet you." Sara memperkenalkan diri kepada bakal isteri 'buah hatinya'.

"Me too. Banyak pasal you yang I dengar daripada Id." Lembut tutur kata gadis itu.

Sara terpempan. Saat itu dirasakan seketul batu besar sedang menghempap kepalanya. Dia berpeluh dingin. Sedang mencerna bait-bait kata yang terbit dari mulut Idzham. Ternyata telah meranapkan segala impiannya selama ini.

Kad undangan lebih membuatkan Sara terpempan. Namun sedaya upaya dia cuba mengawal perasaannya. Seboleh-bolehnya Sara mahu berlagak selamba. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sedangkan hakikatnya, Allah sahaja yang tahu. Sakitnya bukan sedikit. Walau apapun, Sara masih lagi waras. Kalau tidak, sudah lama dia menjerit sekuat hati mengatakan bahawa dirinya sedang disakiti.

"Ini kad pertama... Dan Id nak sweetheart orang pertama yang dapat. Actually dah lama Id nak sweetheart kenal dengan Iftitah. Tapi orang tu... Busy sangat. Maklumlah, dah naik pangkat." Ceria wajah Idzham seceria hatinya juga. Bibirnya sentiasa mengukir senyuman.

Sara menelan liur. Suaranya bagai tersekat di kerongkong.

"Pandai Id simpan rahsia. Tup-tup dah nak kahwin. Nasib baik Sara tak ada heart attack. Tahniah kepada Id dan Iftitah!" Sesungguhnya, apa yang dituturkannya tidak seiring dengan kata hati. Bibirnya tersenyum lebar. Hakikatnya, hatinya sudah terlalu parah.

Jauh di dasar hati, Sara akui kehebatan gadis yang bertakhta dalam hati Idzham. Sara cuba membandingkan dirinya dengan Iftitah. Ternyata beza mereka bagaikan langit dengan bumi. Gadis itu cukup sederhana dari segi penampilan. Dia berhijab. Sesuai sangatlah dengan kerjayanya sebagai jurutera. Manakala Sara pula hanya seorang pramugari. Kerjaya yang hanya melayan kehendak penumpang sehingga sampai ke destinasi. Terlalu kerdil Sara rasakan dirinya ketika itu.

Sara cuba berlagak tenang agar pasangan itu tidak mengesyaki apa-apa. Dan ternyata Sara berjaya. Badannya saja yang berada di situ tetapi hati dan perasaannya menyorok entah ke mana. Malu kepada diri sendiri dan malu kepada Idzham.

Dia pernah berangan untuk naik pelamin bersama juruterbang muda itu. Namun ternyata hasratnya tidak kesampaian. Malah orang lain yang bakal menggantikan tempatnya. Paling penting, dirinya langsung tidak menjadi pilihan Idzham dijadikan suri dalam hidupnya.

Makan malam itu diselangi gelak ketawa. Ketiga-tiga mereka sedang asyik berbicara. Namun hakikatnya, nasi yang Sara telan terasa berpasir.

Sara bangkit dari duduknya. "Terima kasih untuk makan malam yang indah ni. Rasa seronok sangat dapat makan malam dengan Idzham dan Iftitah."

Sara saling berbalas pelukan dengan Iftitah. Ingin keluar dari kemelut yang sedang menyeksa dirinya. Songket Lounge menjadi saksi betapa hatinya hancur dan kecewa.

Laju langkah diayun menghala ke tempat parkir. Sebaik dia bolos ke dalam perut kereta, air mata yang ditahan terhambur jua. Saat ini Sara mahu menangis sepuas-puasnya. Sara menangis kerana kebodohannya sendiri. Betapa dia buta dalam menilai erti cinta. Idzham tidak pernah mencintai dirinya.

"Kenapa aku bodoh sangat?!"

Sara menjerit dengan sekuat hati. Tangannya menghentak-hendak stereng kereta. Wajahnya juga turut disembamkan ke stereng. Basah stereng dek air mata. Agak lama Sara berkeadaan begitu sehingga akhirnya hatinya benar-benar tenang.

Dia menghidupkan enjin kereta dan memandu tanpa arah. Hanya mengikut kata hati. Terbayang jelas bagaimana redupnya panahan mata Idzham yang merenung Iftitah. Penuh rasa kasih dan cinta. Babak-babak mereka saling bertukar makanan turut membuatkan jiwanya merintih. Sesungguhnya Sara tidak cemburu kepada gadis itu. Cuma dia kecewa dengan dirinya sendiri. Dia yang terlebih perasan. Sedangkan Idzham tidak pernah sekalipun mengucapkan kata cinta kepadanya. Dia yang bodoh dalam menilai erti cinta sehingga tidak dapat membezakan antara cinta dan persahabatan!

Pon!

Sara tergamam. Kereta yang dipandu bergesel dengan sebuah kereta lain dan hampir melanggar sebuah kereta yang berada di laluan sebelah. Mujur dia pantas memulas stereng ke arah kiri. Jika tidak, mungkin dirinya sudah menjadi arwah saat ini. Dalam keadaan kelam-kabut begitu, kereta yang dipandu hampir hilang kawalan. Berdesit bunyi tayar kereta yang berjaya berhenti di bahu jalan.

"Astaghfirullahalazim." Sara meraup mukanya berkali-kali.

Dia menyandarkan kepala ke kerusi yang sedang diduduki. Cuba bertenang dan mengembalikan semangatnya yang hilang. Terkejut besar dengan kejadian yang tidak diduga.

Pemandu kereta yang bergesel dengan keretanya sebentar tadi, turut sama menghentikan kereta di hadapan kereta miliknya. Tentu juga orang yang sedang mengetuk cermin keretanya saat itu ialah pemilik kereta tersebut.Dalam banyak-banyak kereta di atas jalan raya, kenapa kereta mewah juga yang dilanggar? Lain kali langgarlah kereta yang murah sikit... Kereta Kancil misalnya. Taklah kopak duitnya. Nafas dihela panjang.

Tok-tok... Cermin kereta diketuk dari luar.

Dengan debaran yang menggila, Sara menurunkan sedikit cermin keretanya.

"Mabuk ke? Kalau nak mati sekalipun, jangan menyusahkan orang!" herdik suara garau dari luar tingkap.

Suara itu menyambar telinga Sara. "Errr. Maaf, encik. Saya tak sengaja. Walau apapun, encik jangan risau. Saya akan bayar kerugian encik." Sara cuba mengamati muka pemandu itu dalam samar cahaya lampu jalan.

"Ohhh! Awak lagi. Kenapa cuai sangat, Cik Siti? Kalau rasa-rasa dah tak nak hidup... Jangan libatkan saya sekali boleh tak? Orang macam awak memang selalu menyusahkan orang ke? So, macam yang awak cakap tadi, awak akan bayar kerugian saya. Esok saya akan hantar kereta ke bengkel... Dan akan pastikan awak bayar sepenuhnya. Sekarang, bagi nombor telefon awak. Nanti saya call awak." Panas hatinya apabila mendapati kereta BMW X6 miliknya calar di bahagian sebelah penumpang.

Eee... Apa pasallah mulut mamat poyo ni tak ada insurans langsung? gumam Sara sendirian. Hatinya sangat sebal tika itu.

Menyampah. Meluat, sakit hati dan segala macam rasa negatif. Apalah malang nasibnya. Selalu sangat tersempak dan bertemu dengan mamat poyo. Macam tak ada muka lain. Sampaikan muka ini juga yang sering hadir di depan matanya.

"Baiklah, encik. Ini nombor telefon saya. Encik jangan risau... Saya seorang yang berpegang pada janji. Berapa pun kosnya saya akan bayar." Sengaja Sara bersuara sehabis berbudi bahasa. Walhal dia ingin menyedarkan lelaki itu yang bahasanya tersangatlah kurang sopan.

Sara menghulurkan sekeping kertas yang bertulis nombornya.

"Ingat aku sengkek sangat ke? Helo, encik poyo. Ini Siti Saralah... Tak mungkir janji punya."

"Ulang balik?" ujar Khalif. Air mukanya juga turut berubah keruh. Matanya tajam menikam wajah minah cuai itu. Dia dengar dengan jelas apa yang gadis itu omelkan. Telinganya masih belum pekak lagi mendengar mulut itu berkata-kata.

"Saya cakap dekat sendiri aje. Dah awak tu annoying sangat." Dengan berani, Sara menyembur kemarahannya kepada mamat poyo itu.

"Apa?!" Khalif sudah mula bercekak pinggang. Merah padam wajahnya ketika itu.

"Jangan awak berani-berani lagi nak cakap macam tu!" tengking Khalif.

Cukup! Khalif tidak mahu lagi bertekak dengan gadis bermulut laser itu. Dia segera kembali semula ke keretanya. Sewel!

Sara juga bertindak demikian. Dia menghidupkan enjin kereta dan berlalu meninggalkan mamat itu begitu sahaja. Dia memandu pulang ke rumah dengan lebih berhati-hati. Peristiwa sebentar tadi benar-benar mengejutkan. Keadaan keretanya juga sudah tidak seperti kereta. Bahagian sisi badan keretanya sudah kemik dan berlekuk, sedangkan kereta lelaki itu sekadar tercalar sedikit. Itupun terlalu sedikit.

MUJURLAH penerbangan ke Kota Kinabalu hanya mengambil masa dua jam tiga puluh lima minit sahaja.

Serabut di dalam kepalanya, hanya Allah yang tahu. Makin cuba melupakan Idzham, makin teringat dia kepada wajah kesayangannya. Namun dia harus mencuba demi sebuah persahabatan. Bukan sehari dua Sara mengenali Idzham.

Sara menghempaskan badannya ke atas tilam. Sejurus melelapkan mata, telefon bimbitnya berbunyi. Sara membiarkannya saja. Namun telefonnya berdering untuk kali kedua. Dengan mata yang terpejam, dia cuba menenangkan hati supaya Idzham tidak mengesyaki apa-apa. Sara menjawab salam seadanya. Tidak sedia untuk berbicara dengan 'buah hatinya' buat masa ini.

"Id... Sara baru saja sampai KK. Boleh call kemudian tak? Sara penat... Nak tidur." Segera jarinya mematikan talian. Mata yang memberat itu kembali terpejam. Agak lama Sara tertidur. Sebaik sedar, seluruh ruang gelap-gelita. Rupa-rupanya waktu malam sudah pun mengambil tempat. Sara kemudian membuat pesanan untuk makan malamnya.

Sementara menunggu hidangan yang dipesan tiba ke bilik, Sara meneliti semula telefon bimbitnya. Jemarinya menari-nari di atas skrin.

Berkerut dahi Sara sebaik terpandang ke nombor yang tertera. Itu bukan nombor telefon Idzham. Siapa yang menghubunginya tengah hari tadi kalau bukan Idzham? Puas Sara mencari jawapan. Mungkin Idzham guna nombor lain. Sara menelah.

Telefon yang sedang dibeleknya berdering. Tanpa menunggu lama, Sara meleretkan jari untuk menjawab panggilan tersebut.

"Helo!" Garau suara di hujung talian sana menyapa telinga.

"Boleh saya tahu siapa yang bercakap?" balas Sara. Suara yang terlalu asing.

"Khalif ni. Saya nak beritahu awak yang saya dah hantar kereta ke bengkel. Esok siap. Kosnya lebih kurang empat ribu lapan ratus ringgit."

Serius. Tidak perlu beramah-tamah dengan orang asing. Apalagi dengan minah cuai ni. Lebih baik terus terang saja. Tidak buang masa serta dapat menjimatkan bil telefon. Sms dan WhatsApps pun tak perlu. Selepas ini nombor itu tidak perlu ada dalam simpanannya.

"Sebenarnya saya be..."

Belum sempat Sara menjawab, Khalif terlebih dahulu memintas. Apa pasal mamat poyo ni suka potong cakap orang? Kalau poyo sekalipun, biarlah orang habis bercakap dahulu. Barulah menyampuk. Tak beradab langsung!

"Saya tahu awak ada kat Kota Kinabalu. Bila awak balik? Jangan nak banyak alasan. Entah-entah awak nak lari, tak nak bayar!"

Tegas serta sinis suara Khalif.

Omg! Suara macam nak ajak bergaduh. Sara mencebik. Meluat dia mendengar suara mamat poyo itu. Memang malanglah perempuan yang menjadi isterinya. Langsung tidak pandai berdiplomasi. Hanya tahu mencari gaduh sahaja.

"Esok saya balik tapi sebelah petang baru sampai. Encik janganlah risau... Walaupun saya tak kaya macam encik, insya-Allah... Duit saya mencukupi untuk bayar kos baiki kereta mewah encik tu... Saya belum nak lari lagi. Kalau saya nak lari, saya tak jawablah panggilan encik."

Ambil kau sedas.

"Baguslah kalau macam tu. Jumpa esok!"

Tanpa salam, Khalif mematikan talian.

Khalif menghempaskan telefon ke atas sofa. Setiap kali membuka mulut, pasti minah cuai itu akan menyakiti hatinya. Muka dan bodi dah tahap boleh jadi model. Tapi sayang, mulut gadis tu tak ada insurans! Spesies begini tidak sesuai untuk didekati dan dikenali.

"Malanglah kau, Id. Ada girlfriend mulut puaka!"

Khalif membuat kesimpulan berdasarkan kata-kata gadis cuai itu tengah hari tadi terhadap dirinya yang disangka Id. Siapa Id, dia pun tak tahu.

"Harapkan muka aje..."

Khalif merungut sendirian tanpa menyedari mamanya sedang memerhatikan. Gelagatnya seperti cacing kepanasan. Serba tidak kena.

"Sejak bila Lif dah pandai membebel ni? Setahu mama, anak mama ni nak buka mulut pun susah," tegur Datin Rafizah yang sedang menuruni anak tangga.

Serta-merta mulutnya terkunci. Baginya, hal itu terlalu remeh untuk dikongsi bersama dengan mama. Masih ada rahsia besar lagi yang harus diberitahu kepada keluarganya. Lama Khalif merenung tingkah mama. Wanita itu nampaknya dalam mood yang sangat baik. Adakah ini masa yang paling sesuai?

Patutkah aku buka rahsia ini? Hatinya berdetik.

"Lif pun ada? Bila balik? Tak nampak pun kereta... Balik naik apa?" Datuk Izran menegur. Dia baru saja kembali dari masjid.

"Kat bengkel, pa. Arif yang hantar petang tadi." Khalif membetulkan duduknya.

"Apa halnya dengan kereta kamu... Rosak?"

"Bukan rosaklah, pa. Tapi ada sorang minah cuai ni, langgar kereta Lif semalam. Calar sikit."

Datuk Izran sudah melabuhkan duduk di samping Datin Rafizah. Seperti kebiasaan, surat khabar menjadi pilihannya. Datin Rafizah pula khusyuk menonton.

Khalif nekad. Dia terus melutut di hadapan orang tuanya. Nafas panjang dihela. Sukar untuknya meneka tindakan mereka. Akan mengamukkah mama sebaik mendapat tahu rahsia yang disembunyikan selama ini? Semuanya berlegar-legar menjadi satu. Namun Khalif yakin, papa dapat menerima berita itu dengan baik walaupun mungkin akan terkejut besar.

Mata mama sudah mencerun. Dia sangat yakin pasti ada perkara penting yang mahu disampaikan oleh Khalif.

"Ma, pa... Sebenarnya Lif dah bernikah dengan arwah Zulaikha. Setahun sebelum arwah meninggal," tutur Khalif perlahan. Dia menundukkan wajah.

"Apa?" Terkejut besar Datin Rafizah. Terlopong mulutnya sebaik mendengar pengakuan itu.

"Sampai hati Lif buat mama dengan papa macam ni."

Dia mengurut-urut dadanya. Nasib baik dia tiada sakit jantung. Lemah terus kepala lututnya. Pengakuan itu sesuatu yang tidak pernah diduga olehnya. Anaknya ini memang penuh dengan kejutan. Harapnya selepas ini tiada lagi kejutan begini. Boleh mati celik dia dengan sikap Khalif yang terlalu berahsia.

Datuk Izran menepuk perlahan bahu isterinya. "Fizah, cuba bertenang. Kita dengar dulu penjelasan Lif. Cuba awak bawa bersabar sikit." Datuk Izran cuba menenangkan isterinya.

"Mama... Papa... Maafkan Lif. Bukan niat Lif nak membelakangkan keluarga tapi Lif terlalu sayangkan Zulaikha." Jatuh juga air matanya.

Khalif menceritakan rahsia pernikahannya dengan lebih terperinci. Dia tidak mahu berselindung lagi. Biarlah kedua-dua ibu bapanya tahu segala yang telah berlaku. Semuanya diceritakan sehinggalah hal kewujudan arwah anaknya yang tidak sempat untuk melihat dunia.

"Hah! Dah dekat lima tahun baru Lif terangkan semua ni? Sampai hati Lif..." Datin Rafizah terkilan. Tersedu-sedu dia di bahu suaminya. Dia sedar, menangis air mata darah sekalipun sudah tiada gunanya. Perkara dah pun terjadi.

"Dahlah tu, Fizah. Lif pun dah minta maaf. Arwah pun dah lama pergi."

Datuk Izran tetap berfikiran positif. Dia tahu anaknya sudah cukup terdidik dengan pelajaran agama. Mungkin demi mengelakkan perkara yang terlarang terjadi, Khalif bertindak sedemikian.

Anaknya terus ambil jalan yang boleh menghalalkan hubungan dia dan arwah Zulaikha. Dia sedar, mereka suami isteri sepatutnya bersyukur kerana mempunyai seorang anak yang berfikiran matang dan tidak mudah lalai dengan pengaruh budaya di negara asing. Mujur pengaruh dari barat tidak diangkut pulang bersama.

"Ada apa-apa lagi yang Lif sembunyikan daripada kami?" uji Datin Rafizah lagi.

Matanya sudah merah. Reda dengan apa yang sudah terjadi. Hendak dimarah pun tiada gunanya.

"Kali ni mama maafkan Lif. Tapi dengan syarat! Dulu Lif buat keputusan sendiri untuk bernikah dengan Zulaikha hingga ketepikan keluarga. Kali ini mama nak Lif ikut pilihan mama pula. Setuju? Kalau Lif setuju... Mama tak ada masalah untuk maafkan Lif dan lupakan apa yang dah terjadi," ugut Datin Rafizah.

Dia juga pandai menangguk di air yang keruh.Mula-mula memang dia berkecil hati. Namun apabila difikirkan balik, hanya ini sahaja peluang yang ada. Dia melupakan niatnya untuk merajuk panjang. Inilah peluang keemasan yang sepatutnya diambil. Semuanya demi kebaikan Khalif Imran.

"Tapi ma, Lif still tak boleh lupakan Ika. Lif betul-betul sayangkan dia, ma," luah Khalif dengan linangan air mata. Harapannya agar mama tidak terlalu memaksa.

"No! Kali ini Lif kena dengar cakap mama." Datin Rafizah menegaskan pendiriannya.

"Lif... Papa bukan nak menyebelahi sesiapa. Tapi sampai bila Lif nak menyeksa diri? Lif masih muda. Masih perlukan seorang teman dan isteri. Buka pintu hati Lif untuk wanita lain. Insya-Allah, Lif akan kecapi bahagia tu sekali lagi. Percayalah cakap papa."

Datuk Izran menggosok kepala Khalif, persis memujuk anak kecil yang menangis kerana kehilangan gula-gula. Khalif sudah pun mendaratkan kepala ke lututnya. Sudah terdengar bunyi esakan. Sebagai seorang bapa, Datuk Izran fahami naluri anaknya.

Lama Khalif mendiamkan diri. Dia sedang mencerna kata-kata papanya.

"Mama... Papa... Maafkan segala dosa Lif. Lif yang bersalah. Lif setuju dengan syarat mama. Siapa pun pilihan mama... Lif terima. Asalkan famili kita bahagia," luah Khalif dengan hati yang berat.

"Lif! Papa tak mahu Lif buat semua ini kerana famili... Tapi kerana diri Lif sendiri. Belajar terima sesuatu dengan ikhlas!" ujar Datuk Izran tegas. 


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co