Bab 9
"Khalif... Esok baru boleh siap. Hari ni memang tak sempat. Saya kena touch-up bahagian yang bercalar ni." Tauke bengkel itu menunjukkan bahagian kereta yang perlu diberi perhatian.
"Semalam you cakap hari ini boleh siap?" ungkit Khalif semula. Dia mengelilingi keretanya. Tidaklah seteruk mana.
"Sorry. Saya memang ingat boleh siap..." terang tauke bengkel itu lagi.
Sara yang berdiri berdekatan malas mahu masuk campur. Itu semua tidak termasuk dalam urusannya.
"Kalau macam tu, saya bayar dululah semua kosnya. Sebab esok saya ada hal yang lain." Sara mencelah supaya esok dia tak payah menghadap muka poyo itu lagi.
"Tunggu sekejap, miss. Saya ambilkan bil."
Khalif mulai resah. Talian Arif tidak dapat ditembusi. Menyesal dia kerana menyuruh Arif balik terlebih dahulu. Kereta yang dijangka siap rupa-rupanya hanya tinggal janji.
"Ah, sudah! Macam mana nak balik?" Khalif merungut sendirian.
"Encik, saya dah jelaskan bayaran. Sekali lagi saya minta maaf."
Sara bergerak keluar ke keretanya yang berada tidak jauh dari situ.
"Takkan awak nak balik macam tu aje?" soal Khalif tidak berpuas hati.
"Habis tu... Takkan saya tak boleh balik kalau kereta encik tak siap?" Soalan berbalas soalan. Sinis!
"Hantar saya balik."
"Saya?" Sara menuding jari ke mukanya sendiri.
"Hurmmm... Sebab awak, kereta saya masuk bengkel." Khalif menayangkan muka kelat. Tanpa mendapat sebarang persetujuan, Khalif membuka pintu kereta di bahagian penumpang serta melabuhkan duduk terlebih dahulu.
Sara mengetap gigi. Makin meluat dia rasa. Rasa mahu saja ditoreh-toreh muka mamat poyo itu dan campak isinya masuk ke dalam zoo. Bagi haiwan kat dalam kandang tu makan.
Sepanjang perjalanan, mereka hanya membisu. Sesekali Khalif menunjukkan arah jalan. Cara lelaki itu menunjukkan arah sebiji macam tuan besar. Tak padan dengan menumpang kereta orang. Dasar tidak sedar diri! Menyampah!
Sara menghentikan kereta betul-betul di hadapan pintu pagar banglo itu. Tidak sukar untuk ke situ. Dia pernah datang sewaktu kenduri dulu. Banglo yang kedudukannya yang sedikit mendaki untuk sampai ke pekarangannya.
"Eh! Apa pasal berhenti di sini? Awak nak suruh saya menapak?"
Gayanya seolah-olah memberi arahan kepada pemandu. Pada Khalif, memang gadis itu tidak menggunakan akal. Sudahlah hari makin menginjak ke senja. Orang mengejar waktu untuk bersolat. Minah cuai ni pula terhegeh-hegeh memandu. Tak solat maghrib agaknya.
Sara berdengus. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia memotong lidah mamat poyo itu.
"Ohhh... Terlupa. Saya bawa anak Datuk! Kalau berjalan jauh, patah pula kaki tu. Tak pun terseliuh... Kan, Encik Khalif? Kesian saya kepada anak-anak orang kaya ni... Berjalan sikit pun dah boleh patah tulang. Isy... Isy... Tak apa, saya hantarkan sampai ke dalam." Sara membidas tajam.
Memang dasar tidak tahu bersyukur. Sara akui jarak rumah dan pagar utama agak jauh, tetapi dia tidak suka cara mamat itu memberi arahan. Tidak bolehkah bercakap elok-elok?
"Dia ingat aku ni driver?" omel Sara perlahan. Namun dapat ditangkap dengan jelas oleh Khalif. Dia menyembunyikan senyuman.
Sebaik berhenti, Sara menarik brek tangan. "Sekejap encik, saya bukakkan pintu. Tak sanggup saya kalau jari pula yang patah nanti." Sara menayangkan senyuman sinis. Seolah-olah terlalu prihatin terhadap keselamatan lelaki itu. Terkocoh-kocoh dia keluar untuk membukakan pintu. Sara menunggu sehingga mamat poyo itu keluar dari dalam perut kereta.
"Wow! Kagum saya. Awak memang beri servis yang terbaik!" Khalif mengangkat keningnya tinggi. Senyuman palsu terpamer pada wajahnya. Khalif juga sudah panas telinga, teringin juga membidas minah cuai ini.
Lambat-lambat dia keluar dari perut kereta dan berdiri berhadapan dengan minah cuai itu. Sengaja merapatkan tubuhnya ke tubuh gadis itu. Wajahnya pula hampir berlaga dengan pipi si minah cuai. Khalif berbisik perlahan. Mahu tengok sejauh mana muka cuak minah cuai yang kononnya berani sangat.
"Well... Awak tahu tak, Cik Siti? Saya baru terfikir nak ambil seorang driver dan saya rasa awak calon yang sesuai. Kalau awak berminat, jangan segan-segan call saya, ya?" balas Khalif dengan senyuman yang amat puas. Suaranya memang sengaja dilunakkan.
Yes! Menang satu mata. Puas hati dia dapat mengenakan minah cuai ini.
Kakinya melangkah pergi meninggalkan si minah cuai. Gadis yang mulutnya tiada insurans sebegitu perlu diberi pelajaran. Biar masuk ke dalam kepala dan mengalir ke otak serta ingat sampai mati.
Sara terpempan. Mukanya sudah menyinga. "How dare you!"
Sara menghempas kuat pintu kereta dan segera berlalu. Ringan saja tangannya mahu hinggap ke muka itu. Dasar mulut tak ada insurans! Sara melepaskan geramnya. Stereng kereta dihentak kuat.
Baru saja mahu melangkah masuk, Khalif sudah ditegur oleh mamanya. Langkah Khalif termati di situ.
"Ma! Cepatnya mama balik. Kata ada hal?" Khalif tergamam. Janganlah mama fikir yang bukan-bukan tentang dirinya dan Sara. Walhal dia cuma mengacah gadis itu sahaja.
"Meeting kensel. Itu anak Haji Saleh, kan? Kenapa tak jemput dia masuk? Dah lama mama tak jumpa."
"Dia nak cepat, ma." Khalif sekadar mencipta alasan seraya berlalu meninggalkan mamanya.
Datin Rafizah menggeleng. Matanya jelas melihat riak nakal anaknya sebentar tadi. Dan dia juga tidak lupa yang anaknya hanya manusia biasa. Punya hati dan perasaan serta nafsu.
Datin Rafizah yakin Khalif juga ada menyimpan perasaan terhadap Sara. Jika tidak, masakan anaknya berani mendekati gadis itu tanpa sebarang sebab. Malahan sudi berkongsi kereta. Sedangkan selama ini anaknya tidak pernah berperangai begitu.
"Reen setuju tak?" Arif gusar andai kata-katanya ada yang menggores perasaan Zaireen. Sumpah dia tidak berniat begitu. Dia minta persetujuan Zaireen sahaja.
Zaireen yang berada di hujung talian terdiam. Terkejut dia dengan tindakan Arif yang tidak terduga. Walhal Arif Qamarul tidak termasuk dalam perancangannya. Namun jika pemuda itu mahu terlibat secara langsung, itu jauh lebih baik. Tidak perlulah dirinya bersusah payah.
"Abang... Kalau betul niat abang nak jadikan Reen isteri, suruhlah keluarga abang datang berjumpa dengan keluarga Reen. Kita kan orang Melayu. Ada adat. Kalau sudah tertulis yang abang ialah jodoh Reen... Siapa Reen untuk menolak?"
"Alhamdulillah. Thank you... Thank you, Reen."
Arif terkesima dengan persetujuan Zaireen. Dia tidak bermain-main dengan kata-kata apatah lagi ungkapan cinta.
"Kita tunang hujung minggu depan..." usul Arif yang sudah tidak sabar. Dia tidak mahu Zaireen terlepas ke tangan orang lain.
"Apa yang terbaik kepada abang, terbaiklah kepada Reen."
Zaireen akhirnya memberi lampu hijau. Sejujurnya dia dapat merasai kejujuran Arif. Cuma hatinya terlalu degil untuk menerima. Bukan Arif...
Sebesar hama sekalipun dia tidak ikhlas ketika menuturkan. Bibirnya hanya menerima Arif kerana abang iparnya. Tidak lebih dan tidak kurang. Hati kecilnya turut menyumpah seranah kerana bukan Khalif yang membuka mulut untuk menyunting dirinya. Malahan laluan itu diberi kepada Arif Qamarul.
Manakala Khalif Imran pula seolah-olah langsung tidak memahami kehendaknya. Jika Khalif terlalu sayangkan kakaknya, mengapa tidak memilih dirinya untuk menjadi pengganti? Sukar benarkah untuk Khalif faham gelojak hatinya? Butakah lelaki itu untuk menilai cintanya?
Sebaik mematikan talian, Arif tersenyum sendiri. Tidak sabar mahu berkongsi rasa hatinya dengan papa dan mama. Dia segera mendapatkan mama dan papanya yang berada di ruang tamu.
"Rif ada something nak bincang dengan mama dan papa," tutur Arif sebaik melabuhkan punggung ke atas sofa.
Wajah terujanya tidak dapat dibendung lagi. Senyuman menghiasi bibirnya. Pagi ini juga dia mahu kedua-dua orang tuanya tahu yang dirinya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
"Nak bincang pasal apa ni, Rif? Senyum sampai ke telinga. Selalunya muka happy macam ni, muka orang nak kahwin," tebak Tan Sri Azizul. Manalah tahu tekaannya tepat. Merasa juga dia menerima menantu sebelum menutup mata.
"Ya, pa. Rif nak kahwin."
Semangat hendak kahwin yang berkobar-kobar. Rasa tidak sabar nak jabat tangan tok kadi. Itulah yang sedang dirasai ketika ini. Sudah terbayang wajah manis Zaireen sedang duduk bersanding di sebelahnya.
Tan Sri Azizul terkedu untuk beberapa ketika. Mana tidak terkejut jika perkataan kahwin keluar dari mulut seorang buaya darat seperti Arif. Sejurus selepas itu, dia meraup muka.
"Syukur! Sampai juga seru anak papa ni. So, siapa gadis bertuah tu?"
"Zaireen."
"Zaireen?!" soal Puan Sri Nurhida dengan muka yang berkerut. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Rasanya dia pernah dengar sebaris nama itu tetapi tidak pasti yang mana satu. Maklumlah, ramai sangat perempuan gedik yang mendampingi anaknya. Tak cukup jari hendak mengira.
Arif berdesit. "Zaireen yang Rif pernah cerita kepada mama tu. Ala, doktor dari Alor Setar tu." Arif cuba mengingatkan mamanya.
"Ooo... Budak tu!"
"Awat cek tak habaq awai-awai?" seloroh Puan Sri Nurhida dalam dialek utara.
Berseri muka Arif ketika melangkah masuk ke pejabat pagi itu. Hajatnya untuk bersatu dengan Zaireen mendapat restu daripada kedua-dua orang tuanya. Hanya kepada Khalif yang belum dikhabarkan lagi.
Kaki dibawa melangkah ke bilik sahabatnya. Perlahan Arif membuka pintu dari luar. Khalif sedang tekun menghadap skrin komputer riba. Jemari lelaki itu juga turut menari di atas dada kertas. Sudah pasti sedang mencatatkan sesuatu yang amat penting jika begitu sekali khusyuknya Khalif membuat kerja.
"Bro, aku belanja kau lunch... Kat tempat biasa." Arif menyapa sebaik mukanya terpacul di depan pintu bilik sahabatnya.
"Hurmmm, okey. Bagi aku setengah jam." Khalif menyahut tanpa menoleh. Kenal benar dengan suara Arif. Faham benar tabiat sahabatnya yang dari dulu lagi suka menerjah.
Khalif terlalu sibuk beberapa hari ini. Banyak fail perlu disemak dengan teliti. Dia tidak gemar membuat kerja sambil lewa. Dia mahukan hasil yang terbaik. Bukan sekadar mengejar keuntungan semata tetapi untuk kepuasan diri sendiri.
Setengah jam berlalu, Khalif membelek jam tangannya. "Alamak!"
Dia menutup fail dan bergegas keluar dari biliknya. Dia sudah terlewat sepuluh minit.
"Sorry lambat. Nak guna kereta kau ke, kereta aku?" soal Khalif seperti biasa. Nadanya cukup mendatar.
"Tak payah naik kereta... Kita menapak ajelah. Nak makan kat tempat biasa ajelah," perli Arif kepada sahabatnya. Biasalah Khalif Imran kalau sudah mula membuat kerja. Hilang fokus terhadap perkara lain.
Khalif meraup rambutnya. Macam mana dia boleh tersalah dengar tadi?
"Oh, ya ke? Aku ingat kau ajak aku lunch tempat lain tadi. Yang kau tersengih ni apa hal?"
"Saja."
Banyaklah Arif punya 'saja'. Khalif sedar, di dalam kepala sahabatnya ada sesuatu yang sedang bersarang. Lambat-laun Arif akan mencari dirinya juga untuk bercerita. Buat masa ini perut harus diisi terlebih dahulu.
Mereka berdua menyusuri kaki lima kedai. Restoran yang terletak tidak jauh jaraknya dengan pejabat, menjadi destinasi. Sebuah restoran yang menyajikan masakan kampung itu memang menjadi tumpuan sewaktu makan tengah hari. Tidak terkecuali juga Khalif dan Arif yang sentiasa menjadi pelanggan setia.
Tengah hari itu Khalif memilih dua jenis lauk dan sayur masak lemak. Manakala Arif pula penuh pinggannya dengan nasi dan lauk yang menjadi pilihannya. Kedua-duanya makan dengan berselera sekali. Diam tidak berkutik sehingga habis licin sepinggan.
"Aku dah jatuh cinta, bro." Arif bersuara memecah suasana hening antara mereka.
"Jatuh cinta? Dengan siapa pula kali ni?"
Langsung wajahnya tidak menunjukkan sebarang riak. Seolah-olah tidak terkesan langsung dengan bicara sahabatnya. Bukan tidak percaya, bahkan terlebih percaya yang sahabatnya memang sedang dilamun cinta. Tengok muka pun dah tahu. Cuma seserius mana Arif Qamarul sudah jatuh cinta, itu yang sukar untuk ditelah. Selama ini sudah kerap kali Arif jatuh cinta tetapi hakikat sebenarnya, cinta lelaki itu belum pernah dimiliki oleh sesiapa.
"Bro... Bagilah sokongan moral sikit," sanggah Arif bersungguh. Tidak berpuas hati dengan sikap acuh tidak acuh sahabatnya. Tahulah dirinya tidak pernah serius dalam setiap perhubungan, tetapi kali ini dia cukup pasti. Nalurinya benar!
"Biar betul, bro?! Tahun ni aje aku dah dengar tiga kali kau jatuh cinta." Khalif bersuara. Hakikat sebenarnya dia tidak pernah mengambil serius kerana sudah acap kali dia mendengar ayat yang sama.
Arif berdesit. "Betullah. Bila masa pula aku main-main?"
"Okey, aku faham kau dah jatuh cinta. Tapi perempuan tu tahu tak yang kau dah jatuh cinta kepada dia?" soal Khalif lagi dengan nada yang bersahaja.
"Dia tahulah. Aku dengan Zaireen dah berbincang nak bertunang dalam masa terdekat ni."
"Apa?! Zaireen?" Khalif menelan liur. Berkerut keningnya. "Zaireen mana?"
"Zaireen... Zaireen mana lagi? Zaireen yang kau dengan aku kenallah."
Sekali lagi Khalif terpempan. Dia tidak menyangka yang Arif benar-benar menyimpan perasaan terhadap Zaireen.
"Wow! Betul-betul tak sangka... Akhirnya kau berjaya pikat Zaireen. Tapi ingat, kalau kau sakiti hati Zaireen, samalah macam kau sakiti hati aku."
Khalif menayangkan jari telunjuknya ke muka Arif. Tanda dia serius dengan apa yang diperkatakan. Apabila melibatkan Zaireen, dia benar-benar memaksudkannya.
"Insya-Allah. Aku akan cuba yang terbaik. Lagipun dah lama aku tunggu saat ni. Rugilah kalau aku nak sia-siakan peluang yang ada."
Khalif memahami apa yang dirasakan Arif. Dia dapat melihat kesungguhan Arif. Wajahnya saja sudah menggambarkan kebahagiaan yang bakal menjelma. Syukur... Akhirnya sahabatnya itu akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Dia tumpang gembira dan pasti akan mendoakan yang terbaik untuk Arif.
"So, bila nak langsung?" soal Khalif lagi. Tumpang teruja.
"Tiga bulan dari sekarang dan aku nak kau ikut sekali rombongan meminang minggu depan." Mendatar suara Arif sambil menghirup minuman yang masih bersisa.
"Uhuk... Uhuk... Tiga bulan lagi? Kau ni bro, gelojoh sangat!" Beberapa orang pengunjung turut memandang ke arah mereka setelah Khalif tersedak-sedak beberapa kali.
Tergamam. Bukan kerana Arif mahu bernikah tiga bulan lagi, tetapi kerana sahabatnya itu mengambil keputusan untuk bertunang minggu depan. Pantas sungguh Arif membuat perancangan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co