Bab 1
"What? Esok ibu nak balik Malaysia?" Alisa terkejut dengan keputusan ibunya secara tiba-tiba.
Aleya terus saja bangun dari sofa apabila mendengar kata-kata ibunya.
"Ibu! Ibu dah janji takkan jejakkan kaki ke Malaysia. Kenapa tiba-tiba ibu nak balik ke Malaysia? Why?" Alisa melihat ke arah ibunya. Dia tak puas hati. Dia inginkan penjelasan.
Alina hanya duduk diam membisu di sebelah ibunya. Dia sedar kedua-dua kakaknya pasti tidak akan setuju dengan rancangan ibu mereka untuk pulang ke Malaysia.
"Abah kamu sakit," beritahu Munirah. Dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada Maria semalam. Maria merupakan sepupu suaminya. Kata Maria, suaminya kini berada di wad ICU.
Sudah seminggu suaminya terlantar akibat penyakit jantung malah doktor juga beritahu harapan untuk suaminya sedar juga amat tipis. Tujuan Maria menelefon adalah untuk mengajak Munirah pulang dan berjumpa dengan suaminya untuk kali terakhir. Puas semalaman dia berfikir dan akhirnya dia membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia. Dia tahu Aleya dan Alisa takkan setuju dengan keputusannya.
Alisa terdiam seketika.
"Abah sakit. Along, angah! Jomlah, kita balik jumpa abah buat kali terakhir," pujuk Alina.
"For what? Kenapa kita nak jumpa dia sedangkan kewujudan kita pun dia tak tahu. Tak ada faedah pun. Bukannya dia kenal kita. After all this time, ibu yang besarkan kita. Dia tak mainkan apa-apa peranan pun." Aleya bersuara. Nada suaranya tegas. Dia geram apabila Alina begitu senang menerima orang yang menghalau ibu mereka sehelai sepinggang hanya disebabkan ingin berkahwin dengan pelakon terkenal. Kerana pelakon itu, ibu mereka disisihkan. Habis madu sepah dibuang.
"Kenapa tiba-tiba saja kita perlu terima dia dalam hidup kita? Selama dua puluh lima tahun, kita tinggal di London! Ada tak dia cari ibu? Ada tak? Tak! Tak berbaloi kita buat baik dengan orang seperti itu," tegas Alisa.
Telinga Alisa panas mendengar kata-kata adik kembarnya. Walaupun mereka bertiga kembar seiras namun personaliti mereka jauh berbeza.
"Dia tu... abah kita! Walau apapun kesalahan abah, dia tetap abah kita. Ayah kandung kita," ucap Alina lembut. Dia tahu Aleya dan Alisa berdendam dengan ayah mereka sehingga menyebabkan hati mereka sukar untuk menerima abah dalam hidup mereka.
"It's easy for you to said!" Aleya merenung adiknya. Aleya tak mahu hati ibunya terluka lagi. Kembali ke Malaysia, bukanlah idea yang baik. Luka lama akan terbuka kembali.
"Kami takkan balik," tegas Alisa. Mereka berdua tetap dengan keputusan mereka.
"Ikut suka hati kamulah! Ibu malas nak cakap lagi." Munirah tiba-tiba bangun dan berjalan terus masuk ke dalam biliknya. Dia malas nak dengar anak-anaknya berbalah. Apa yang penting sekarang ni, sempatkah dia berjumpa dengan suaminya esok?
"Ibu!" panggil Alina apabila ibunya meninggalkan mereka. Alina menoleh ke arah kakaknya. Aleya dan Alisa terus memandang ke arah lain apabila Alina memandang ke arah mereka berdua. Alina mengeluh. Degil! Keras hati.
Hati Maria sayu melihat sepupunya yang terlantar di atas katil. Seluruh badan Dato Syed Mohd Kadir dipenuhi dengan wayar malah alat bantuan pernafasan juga digunakan untuk bernafas.
Sudah hampir seminggu Dato Syed Mohd Kadir berada dalam keadaan koma. Dia teringat permintaan Dato Syed Mohd Kadir yang terakhir sebelum memasuki bilik pembedahan minggu lepas. Dato Syed Mohd Kadir ingin berjumpa dengan Munirah. Dia ingin minta maaf kepada Munirah atas kesalahannya yang lalu. Sebenarnya selama ni Maria sering berhubung dengan Munirah tanpa pengetahuan Dato Syed Mohd Kadir kerana Munirah menyuruhnya merahsiakan perkara ni. Dia terserempak dengan Munirah sewaktu melancong di London bersama suaminya pada tahun lepas. Tiba-tiba Maria teringat kembali peristiwa ketika dia berada di London.
"Kak Munirah!" panggil Maria terus memegang tangan wanita yang berada di hadapannya. Wanita yang hilang tanpa berita sejak 24 tahun yang lalu.
Munirah terkejut dengan kehadiran Maria. Wajahnya berubah. "M... Maria!" Munirah menoleh ke arah Alina yang berada di sebelahnya. Dia takut.
Maria tersenyum. Sudah lama dia tak berjumpa dengan wanita itu sejak dia dihalau keluar oleh sepupunya. Sejak itu mereka terputus hubungan. Maria melihat wanita muda yang berdiri di sebelah Munirah. Wajahnya seiras Munirah. Rambut lurus yang melepasi bahu menambahkan keayuannya. Matanya berwarna coklat seperti Dato Syed Mohd Kadir. Pantas Maria menoleh ke arah Munirah dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
Perlahan-lahan Munirah hanya mengangguk. Dia tahu soalan di sebalik pandangan Maria terhadapnya. Dia tahu sesiapa saja yang melihat Aleya, Alisa dan Alina pasti akan mengaitkan mereka bertiga dengan suaminya kerana mata mereka yang berwarna coklat itu sama seperti suaminya.
"Abang Kadir tahu tak?" soal Maria.
"Tak tahu!" Lemah jawapan Munirah. Selepas dihalau keluar dari rumah, dia baru mendapat tahu yang dirinya hamil dua bulan. Dia terus membuat keputusan untuk berhijrah ke luar negara. Dia ingin memulakan lembaran baru dan melupakan kisah silamnya yang perit itu.
Dia berjanji takkan pulang ke Malaysia lagi malah dia tak ingin bertemu dengan suaminya. "Ini Alina." Munirah memperkenalkan anak bongsunya.
Alina terus bersalaman dengan Maria.
"Ini Auntie Maria. Sepupu abah kamu," beritahu Munirah.
"Oh... Auntie apa khabar?"
"Baik. Alhamdulillah. Alina buat apa sekarang ni?" soal Maria ingin tahu.
"Sekarang ni Lina doktor pelatih di Hospital St. Edward."
"Doktor rupa-rupanya." Maria tersenyum. Lamunan Maria tiba-tiba terganggu apabila mendengar suara Kartika. Maria melihat ke arah pintu.
"Oh... Kau rupa-rupanya! Laki kau tak marah ke kalau tiap-tiap hari asyik datang sini saja?" tanya Kartika sebaik saja masuk ke dalam bilik suaminya. Dia tak suka kehadiran Maria di situ.
"Apa pasal pula laki aku nak marah? Aku bukannya pergi berfoya-foya dengan lelaki muda. Aku melawat sepupu aku aje," balas Maria. Dia menyampah dengan perangai Kartika. Dah tua tapi perasan diri tu muda. Tengok pakaian kau pun, aku dah menyampah. Kalau nak pakai gaun ketat tu, buanglah lemak tu dulu. Tak malu ke? bebel Maria dalam hati.
Kartika mengetap bibir mendengar kata-kata sepupu suaminya. Kata-kata itu memang ditujukan tepat ke mukanya. Kartika malas nak layan dan terus duduk di atas sofa. Dia membaca majalah yang dibawa. Bosan betul duduk di sini.
Maria merenung Kartika. Dia geram dengan perangai Kartika yang langsung tidak menjenguk suaminya sendiri. Isteri apa ni? Abang Kadir telah membuat kesilapan besar apabila memilih janda beranak dua ni. Apa kelebihannya pun, aku tak nampak. Meluat lagi ada la, bebel hati Maria lagi.
"Mama! Mama!" jerit Suziela apabila melangkah masuk. Dia terus berlari anak-anak menuju ke ibunya. Dia langsung tak pedulikan kehadiran Maria di situ.
"Mama... Jenama Gucci dah keluarkan beg tangan terbaru. Jomlah, kita pergi beli cepat sebelum orang lain beli."
"Gucci?!" Bulat mata Kartika apabila mendengar kata-kata anaknya. Majalah yang dibacanya ditutup serta-merta.
"Mama! Cepatlah, nanti habis." Suziela merengek seperti budak kecil.
"Baiklah, baiklah!" Segera Kartika bangun. "Aaa...Maria, kau tolong jaga suami aku ni. Aku keluar sekejap," kata Kartika sepintas lalu sewaktu meninggalkan bilik itu.
Maria menggenggam erat beg tangannya yang berjenama Bonia. Sakit hatinya apabila lihat perangai Kartika. Laki dia sendiri, dia suruh aku jaga pula! Eee... Perempuan ni. Tak sampai lima minit duduk di sini, dah keluar. Apa punya isterilah? Perangainya jauh berbeza dengan Kak Munirah. Jika Kak Munirah, dia takkan sesekali tinggalkan Abang Kadir. Dia pasti akan sentiasa berada di sisi Abang Kadir. Maria menoleh ke arah Abang Kadir.
"Isteri macam ni ke yang Abang Kadir nak?" kata Maria sebelum berlalu pergi. Dia kesal kerana Dato Syed Mohd Kadir mensia-siakan Munirah.
Aleya melangkah masuk ke bilik ibunya. Dia menyandar tubuhnya di dinding bilik apabila melihat ibunya sedang memasukkan baju ke dalam beg.
"Do you think this is a good idea, ibu?"
Munirah berpaling. Pandangannya tepat pada anak sulungnya. Keluhan dilepaskan dengan kuat.
"Walau apapun yang terjadi, dia masih suami ibu yang sah. Walaupun kami dah lama berpisah, ibu tetap isterinya. Apa yang pernah terjadi selama ini, ibu dah lupakan," kata Munirah dengan lembut.
Dahi Aleya sedikit berkerut.
"Ibu tahu kan, kehadiran ibu di situ tak dialu-alukan? Tentang isteri kedua dia? Suddenly ibu muncul selepas 20 tahun lebih dan pada ketika itu pula suaminya sedang nazak. Ibu tahu kan apa orang akan fikir tentang ibu?"
"Apa sahaja mereka ingin fikirkan tentang ibu, ibu tak kesah. Mereka bebas berfikir apa sahaja. Yang penting, hanya Allah S.W.T sahaja tahu niat ibu. Ibu tak mahu menyesal kemudian hari. Biarlah ibu melihat dia untuk terakhir kali." Munirah cuba tersenyum
Aleya menggeleng beberapa kali. Dia hanya mahu melindungi ibunya daripada terluka lagi. Dia tak mahu melihat ibunya menderita sekali lagi. Cukuplah sekali ibunya menderita disebabkan lelaki tidak bertanggungjawab itu.
"Along, don't worry about me. Acu ada bersama ibu. Ibu tak akan paksa along dan angah ikut ibu pulang ke Malaysia. Kamu berdua dah besar. Ibu hormati keputusan along dan angah." Munirah bangun dan berjalan ke arah Aleya.
"Do you still love him?" Tiba-tiba soalan itu keluar dari bibir Aleya.
Langkah Munirah terhenti. Wajahnya pucat. Soalan Aleya membuat jantungnya berdegup kencang.
"Do you still love him, ibu?" ulang Aleya sekali lagi. Nada suaranya sedikit tegas.
Munirah masih terdiam.
"Thanks sebab ibu jawab pertanyaan along." Aleya mula melangkah keluar. Langkahnya terhenti dan Aleya berpaling.
"Have a nice trip, ibu." Aleya terus berlalu pergi.
Munirah masih kaku berdiri. Dia sendiri keliru. Kelibat Aleya sudah hilang dari pandangannya. Adakah aku masih mencintai lelaki itu? Perlahan-lahan Munirah mengatur langkahnya ke meja solek. Laci meja solek ditarik. Sebuah kotak berwarna hijau dikeluarkan. Munirah membuka kotak tersebut. Sekeping gambar lama dikeluarkan. Munirah merenung gambar itu. Air matanya mengalir tanpa disedari. Semakin deras air matanya membasahi pipi. Tangisannya semakin kuat... Dia mendakap erat gambar itu.
Aleya melihat di sebalik pintu bilik ibunya. Dia masih berdiri di situ memerhati gelagat ibunya. Hatinya sebak. Kenapa ibu masih mencintai lelaki yang tidak pernah menghargai pengorbanan ibu selama ini? Lelaki itu tak layak dapatkan cinta dan kasih sayang ibu, bisik hatinya. Bencinya kepada lelaki itu tidak akan pudar walaupun lelaki itu ialah ayah kandungnya sendiri.
Usai menunaikan solat subuh, Munirah mengangkat kedua-dua tangan. Kedua-dua tapak tangan dirapatkan untuk berdoa.
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan sejahtera dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang semulia-mulia pesuruh-Nya serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya."
"Ya Allah, hanya kepada-Mu aku berserah. Hanya kepada-Mu juga aku memohon. Ampunilah dosaku, Ya Allah... Ampunilah dosa hamba-Mu ini dan juga dosa anak-anakku. Berilah kekuatan kepada hamba-Mu yang kerdil ini untuk menempuhi setiap dugaan yang telah Engkau tetapkan untuk aku.
Sesungguhnya aku percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya... Aku reda! Ya Allah, berilah aku peluang untuk berjumpa dengan suamiku buat kali terakhir. Berilah peluang untuk aku meminta maaf kepada suamiku kerana selama ini aku gagal melaksanakan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri."
"Ya Allah, Engkau bukalah pintu hati anak-anakku untuk menerima ayah kandung mereka. Berilah petunjuk dan hidayah kepada kami. Ya Allah, permudahkanlah urusan dan perjalanan kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala-galanya. Amin Ya Rabbalalamin!" doa Munirah seikhlas hati. Dia membetulkan kedudukannya.
"Ibu!"
Munirah berpaling ke arah muka pintu biliknya. "Sorry, mengganggu," kata Alina yang sedang berdiri di muka pintu.
"Acu dah solat?" soal Munirah. Walaupun anak-anaknya membesar di London, ilmu agama sangat dititikberatkan.
"Dah, ibu."
"Along, angah? Dah bangun?"
"Dah ibu. Mereka berdua ada di dapur. Breakfast dah siap."
"Sekejap lagi ibu turun." Munirah bangun dan mula membuka kain telekung.
"Baiklah, ibu." Alina tersenyum. Langkah diatur menuju ke anak tangga. Satu per satu anak tangga dipijak sehingga ke tingkat bawah.
Munirah melipat kain telekung dan sejadah. Hari ini dia dan Alina akan balik ke Malaysia. Hatinya berdebar kuat. Pelbagai soalan mula muncul dalam fikirannya.
Sempatkah aku berjumpa dengan dia? Kalau dia tak maafkan aku, macam mana? Apa reaksi mereka jika tahu tentang Alina terutamanya Kartika? Ya Allah, apa yang aku fikirkan ni? Munirah beristighfar dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co