Bab 2
Aleya meletakkan jag yang berisi jus kiwi itu. Mata Aleya tepat melihat ke arah kerusi Munirah dan Alina. Selama ni, mereka berempat sering makan bersama tapi malam ni hanya mereka berdua. Kosong! Aleya mengeluh perlahan.
"Along, kenapa?" tanya Alisa. Dia dengar keluhan Aleya sebentar tadi.
"Nampaknya minggu ni kita berdua ajelah makan bersama." Aleya terus duduk. Tangannya mencapai jag lalu menuang jus kiwi ke dalam dua gelas yang berada di hadapannya.
"Along rasa ibu dan acu dah sampai ke?" Mata Alisa tepat melihat ke arah jam dinding di dapur.
"Agaknya belum lagi kut. Kalau dah sampai, pasti acu dah call," kata Aleya.
"Along rasa ibu marah kat kita tak?" tanya Alisa. Dia risau juga Munirah kecil hati dengan sikap mereka semalam. Inilah pertama kali mereka memberontak!
"Tak tahulah. Tetapi ibu beritahu, ibu hormati keputusan kita," kata Aleya. Semasa dia menghantar Munirah dan Alina ke airport, Munirah tak banyak cakap, hanya suruh mereka menjaga diri masing-masing. Itu saja.
"Aaa... Ni dah makan ke belum?" tanya seseorang secara tiba-tiba.
Aleya dan Alisa terkejut apabila ada seseorang menyapa mereka berdua. Mata mereka tepat memandang wanita yang sebaya dengan ibu mereka yang sedang ketawa itu.
"Aduh... Auntie Khaty! Kus semangat Leya! Hampir nak tercabut jantung ni dibuatnya." Aleya mengurut dadanya beberapa kali akibat terkejut dengan sapaan kawan ibu mereka yang juga merupakan rakan kongsi restoran yang dibuka oleh Munirah di kota London sejak 15 tahun yang lalu.
"Auntie ni guna ilmu apa masuk rumah sampai kami tak sedar?" soal Alisa.
"Ni berbuih mulut auntie beri salam pun tak jawab. Bila auntie ketuk pintu, tak ada apa-apa respons pun. Itu yang buat auntie risau, terus auntie masuk guna kunci rumah yang ibu kamu beri sebelum berlepas. Dia pesan suruh auntie jaga kamu berdua sementara dia tak ada."
"Ala auntie... Kami ni dah besar. Umur pun dah 25 tahun. Tahulah kami jaga diri kami. Auntie tak payah risau." Aleya tersengih.
"Hmmm... Malam ni masak apa?" tanya Khatijah.
"Nasi goreng!" jawab Alisa menunjukkan pinggan yang dipenuhi nasi goreng yang digorengnya sebentar tadi. Panas lagi.
"Nasi goreng aje?" Khatijah terkejut.
"Yalah. Habis tu nak masak apa?" soal Aleya hairan.
"Masaklah lauk apa-apa pun. Eh, kamu berdua ni reti tak memasak?"
"Eh.... Eh... Auntie Khaty, jangan pandang kami sebelah mata. Kami ni anak cef. Kalau kami tak reti masak, jatuh reputasi ibu. Semua masakan kami reti masak. Auntie cakap aje," kata Aleya.
"Auntie, sekarang ni rumah ni ada berapa orang?" soal Alisa secara tiba-tiba.
"Dua orang," jawab Khatijah. Dahinya berkerut. Apa kaitannya nasi goreng dengan soalan yang diajukan oleh Alisa?
"Ya, betul! Dua orang. Kalau kami masak pelbagai jenis lauk, siapa nak makan sedangkan kami berdua saja. So, kami masak nasi goreng, simple dan tak membazir. Lagipun membazir tu amalan syaitan." Alisa tersenyum.
"Gaya kamu cakap ni macam berada dalam court pula." Khatijah membuat mimik muka.
Aleya ketawa kecil mendengar kata-kata Khatijah.
"Sorry, auntie! Terbawa-bawa pula." Alisa bangun dan mengambil pinggan kosong di atas rak.
"Mentang-mentanglah kamu ni lawyer. Auntie cakap sepatah, beribu-ribu patah perkataan kamu jawab." Khatijah menggeleng. Alisa ni memang banyak cakap. Memang sesuai pun kerja peguam.
"Dah kebetulan auntie kat sini, apa kata auntie dinner sama-sama dengan kami? Bolehlah juga auntie rasa masakan kami ni. Selalunya auntie rasa masakan ibu saja, kan?" kata Aleya sambil meletakkan pinggan kosong ke arah Khatijah yang duduk di sebelahnya.
"Okey aje. Hmmm... Auntie nak tanya, kenapa kamu berdua tak nak ikut ibu dan Lina balik ke Malaysia jenguk ayah kamu yang sakit tu?" Khatijah merenung kedua-dua mereka. Mereka terus terdiam apabila mendengar pertanyaan Khatijah.
Betul kata Munirah. Apabila cakap saja pasal ayah mereka, pasti mereka berdua akan berubah sikap. Adakalanya melenting tak tentu pasal apabila bercakap pasal ayah mereka. Sekarang ni mereka diam membisu seolah-olah berpura-pura tak dengar pertanyaan Khatijah. Khatijah mengeluh. Menyesal aku beritahu kisah Munirah dan suami kepada mereka. Kalaulah mulut aku ni reti simpan rahsia, pasti mereka berdua ni tak jadi macam ni. Pendendam!
Suasana jadi sunyi saja. Aleya dan Alisa tiba-tiba saja menjadi pendiam.
"Aaa... Ikut suka hati kamu... Auntie malas nak cakap apa-apa. Aaa... Apa lagi? Kenapa tak letak nasi goreng tu atas pinggan auntie? Kamu nak auntie makan pinggan kosong ni ke?" kata Khatijah. Dia cuba menukar topik perbualan.
"Ingatkan auntie dah kenyang..." Aleya bersuara.
"Kenyang apa bendanya... Bila bercakap dengan kamu berdua ni, hilang habis tenaga auntie ni... Hah Lisa, mana airnya?" tanya Khatijah.
"Sekejap..." Alisa bangun dan mengambil sebiji gelas kosong lalu diletakkan di hadapan Khatijah. Khatijah tersenyum. Apa nak jadi dengan mereka berdua ni? Degil dan keras hati. Sensitif betul setiap kali isu ayah mereka dikatakan. Khatijah melihat telatah anak gadis yang sudah pun berumur 25 tahun itu.
Masa berlalu dengan pantas, Khatijah teringat semasa ketiga-tiga mereka dilahirkan. Munirah begitu tabah membesarkan ketiga-tiga anaknya tanpa bantuan orang tersayang di sisinya terutama suami dia sendiri.
"Auntie! Sempat berangan lagi," usik Alisa.
Khatijah terkejut apabila Alisa menegurnya. Dia tersenyum melihat Alisa dan Aleya yang sedang ketawa. Mereka berdua ni... Hmmm... Munirah dah sampai ke belum?
Maria membuka pintu bilik. Dia hairan melihat Munirah masih tercegat berdiri di luar bilik. Dari KLIA, mereka terus bergegas ke hospital. Alina menoleh ke arah ibunya.
"Kak... Kak Munirah, kenapa ni?" soal Maria dengan penuh tanda tanya.
"Aaa... Tak ada apa-apa," jawab Munirah. Dia menarik nafas panjang dan beristighfar beberapa kali. Dia memerlukan kekuatan sekarang ini.
Sebaik saja dia tiba di muka pintu, kakinya tiba-tiba menjadi berat. Jantungnya berdebar-debar untuk berjumpa dengan orang yang pernah menghina dan menghalaunya sejak 26 tahun yang lalu. Dia beristighfar beberapa kali. Dia memerlukan kekuatan sekarang ini. Dia perlukan kekuatan. Melihat suaminya, kisah lampau pasti menghantui dirinya kembali.
"Ibu jangan bimbang. Acu ada di sisi, ibu." Alina faham apa yang sedang bermain dalam fikiran ibunya. Alina memegang erat tangan ibunya. Sejuk!
"Kak!" panggil Maria lagi.
Munirah mengangguk. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke bilik itu. Matanya tepat memandang ke arah lelaki yang sedang terlantar di atas katil. Langkah Munirah diatur mendekati katil itu. Air mata Munirah jatuh berlinangan sebaik saja melihat keadaan suaminya yang kaku. Melihat tubuh suaminya yang dikelilingi wayar dan alat bantuan mesin membuatkan hatinya sebak.
Alina mengesat air matanya beberapa kali. Dia tak sangka akan berjumpa dengan ayahnya buat kali pertama dalam keadaan begini. Kurus namun wajahnya masih tidak dimamah usia.
"Abang Kadir ada pesan kat Maria. Dia suruh Maria cari kak. Katanya dia ingin mohon maaf kepada kak. Dia kesal dengan apa yang telah dia lakukan kepada kak. Dia ingin tebus segala kesalahannya," beritahu Maria. Dia menyampaikan hasrat sepupunya.
"Kak tak pernah pun berdendam dengan Abang Kadir. Apa yang berlaku dulu, kak dah lupa dan dah lama kak maafkan Abang Kadir. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kami tak ada jodoh," ucap Munirah dengan lembut. Perlahan-lahan Munirah memegang tangan kanan suaminya. Air matanya masih menitis.
"Awak! Segala kesalahan awak, dah lama Munirah maafkan. Halalkan makan minum Munirah sepanjang dua tahun kita bersama. Jika Munirah pernah buat silap kat awak, Munirah minta maaf." Munirah cuba menahan tangisannya.
"Ibu!"
"Lina, salam abah kamu ni," arah Munirah.
Giliran Alina pula memegang tangan ayahnya. "Abah! Ini Alina. Pasti abah terkejut sekarang ni dengan kehadiran Lina secara tiba-tiba dalam hidup abah. Walaupun kita tak sempat untuk mengenali antara satu sama lain namun Lina gembira kerana dapat berjumpa dengan abah akhirnya. Kami maafkan abah." Alina menangis teresak-esak. Dia memegang erat tangan ayahnya.
Tiba-tiba Alina teringat kakak kembarnya. Alina terkejut apabila melihat tangan ayahnya bergerak.
"Ibu!" Alina terus menoleh ke arah ibunya. Munirah dan Maria terperanjat melihat Dato Syed Mohd Kadir yang telah membuka mata dan memandang ke arah mereka. Matanya tepat memandang ke arah Munirah. Bibirnya terkumat-kumit seolah-olah ingin menyatakan sesuatu.
Munirah tergamam.
"Kak... Saya pergi panggil doktor sekejap!" kata Maria lantas terus bergegas keluar mencari Dr. Nazri.
"Abah!" Alina masih menangis. Dia memegang tangan ayahnya.
Dato Syed Mohd Kadir mengalihkan pandangannya ke arah wanita muda yang berada di sisinya. Matanya tak berkelip melihat wanita itu. Hampir seiras dengan Munirah. Mata wanita muda ni... Dato Syed Mohd Kadir mengalih pandangannya ke arah Munirah pula. Dia ingin menyatakan sesuatu namun suaranya seolah-olah disekat.
Dengan pantas, Munirah memegang tangan Alina dan menarik tangan Alina daripada memegang Dato Syed Mohd Kadir.
"Acu, balik!" tegas Munirah.
"Tapi ibu, abah dah sedar," ujar Alina. Dia hairan dengan tindakan ibunya.
"Balik! Tak guna kita berada di sini. Jom balik! Sini bukan tempat kita." Munirah terus memegang tangan anaknya dan menariknya keluar dari bilik itu. Alina akur dengan arahan ibunya. Sebelum keluar, dia memandang ayahnya sekilas pandang. Langkahnya diatur mengikut langkah ibunya yang bergegas keluar dari situ.
Alina menutup pintu kereta Mazda 2 dengan perlahan-lahan. Dia menoleh ke arah ibunya yang duduk di sebelahnya. Wajah ibunya pucat lesi.
"Ibu tak apa-apa ke?"
Namun tiada reaksi daripada ibunya.
"Ibu!" Alina memegang tangan ibunya. Sejuk.
Munirah terkejut apabila Alina memegang tangannya secara tiba-tiba.
"Ibu! Ibu tak sihat ke?" Alina risau.
"I'm fine."
"Tapi..."
"Ibu sihat." Munirah cuba menyembunyikan ketakutan yang bersarang dalam hatinya. Dia terkejut apabila Dato Syed Mohd Kadir tiba-tiba sedar daripada koma. Pandangan Dato Syed Mohd Kadir ke arah dirinya membuatkan badannya menggeletar ketakutan. Memori silam mula menghantui diri lagi. Apa yang Dato Syed Mohd Kadir pernah buat kepada dirinya menyebabkan Munirah berasa tidak selamat. Dia bimbang jika dilayan seperti dahulu.
"Ibu." Dahi Alina berkerut. Munirah seperti sedang mengelamun. Wajah ibunya serius.
"Ibu..." panggil Alina sekali lagi.
"Ya."
"Betul ke ibu tak apa-apa ni?"
"Yes!" tegas Munirah. Munirah menggenggam erat kedua-dua belah tangannya. Dia cuba mendapatkan semula kekuatannya yang tiba-tiba hilang. Nampaknya aku masih belum kuat lagi untuk berhadapan dengan dia. Aku sangka diriku kuat namun tidak, desis hatinya.
"Ibu..."
"Jom kita balik ke hotel."
"Tetapi abah..."
"Kita akan datang melawat sekali lagi selepas keadaannya stabil. Ibu tak mahu keruhkan lagi keadaan. Ibu penat. Ibu nak berehat di hotel." Munirah terus memejamkan matanya. Dia tak mahu Alina mengajukan soalan lagi.
"Baiklah." Alina akur. Enjin kereta dihidupkan. Kereta Mazda 2 bergerak laju meninggalkan pekarangan hospital.
Khatijah meletakkan kunci rumahnya di atas meja kecil kayu jati di sebalik pintu rumahnya. Dia melihat di sekeliling ruang tamu. Sunyi. Pasti suami aku belum balik lagi. Joe dan Yatt pasti tak balik dari kuliah lagi.
Tiba-tiba telefon bimbit Khatijah berbunyi, pantas Khatijah mengeluarkan telefon bimbit yang berada di dalam beg tangannya. Tanpa melihat siapa pemanggilnya, panggilan itu dijawab.
"Helo!"
"Assalamualaikum, Khaty."
"Munirah... Waalaikumussalam..." Nada suara Khatijah berbunga riang sebaik sahaja mendengar suara sahabat baiknya.
"Kau apa khabar?"
"Sihat saja. Kau pula? Bagaimana dengan keadaan suami kau? Kau dah jumpa dia ke?" soal Khatijah bertubi-tubi. Dia berjalan mendekati sofa berwarna merah di ruang tamu. Dia ingin tahu keadaan di sana. Hakikat yang sebenarnya, dia tak suka Munirah berjumpa lelaki tu tetapi sampai bila Munirah harus melarikan diri? Suka atau tak, Munirah perlu selesaikan kemelut ini.
Munirah mengeluh dengan kuat.
"Kenapa, Munirah? Suami kau dah meninggal ke?" soal Khatijah apabila mendengar keluhan Munirah. Dahi Khatijah sedikit berkerut.
"Tak. Isy, ke situ pula. Dia dah sedar daripada koma," jawab Munirah dengan nada suara lemah. Selepas ini apa pula yang akan terjadi? Munirah gelisah.
"Syukur alhamdulillah jika begitu... Tetapi nada suara kau macam tak suka saja suami kau dah sedar." Khatijah sedar ada sesuatu yang tak kena di sebalik nada suara Munirah.
"Bukan! Aku bersyukur kerana dia sudah sedar...Cuma aku tak tahu apa yang akan terjadi selepas ini, Khaty. Perasaan takut aku mula menghantui aku. Apa yang dia pernah buat kepada aku... Aku takkan lupa." Munirah menggenggam erat tangan kirinya yang menggeletar secara tiba-tiba.
"Tetapi dia tak tahu kau dan Lina ada di Malaysia kan... Kau jangan risau!"
"Dia nampak aku dan Lina, Khaty. Sekarang ini, pasti dia tahu kewujudan Alina. Aku takut, Khaty! Aku takut jika dia rampas Aleya, Alisa dan Alina daripada aku. Aku tiada sesiapa lagi di dunia ni melainkan anak-anak aku, Khaty."
Nada suara Munirah mula cemas. Air matanya mula berlinangan. Mereka bertiga adalah nyawa aku. Jika dia merampas mereka bertiga daripada aku, aku sudah tiada apa-apa lagi. Lebih baik aku mati, bisik hatinya.
"Munirah, calm down! Bertenang. Jangan fikir yang bukan-bukan. Tiada sesiapa dapat merampas mereka bertiga daripada kau. Kau dah lupa ke, Munirah? Anak-anak kau dah besar. Mereka mampu berfikir sendiri. Mereka tahu siapa yang bersusah payah membesarkan mereka bertiga selama dua puluh lima tahun ini. Lagipun, kau tahu perangai Aleya, Alisa, dan Alina, kan? Mereka bertiga takkan tinggalkan kau," pujuk Khatijah.
Munirah menundukkan kepalanya. Kenapa dengan aku ni?
"Thanks, Khaty! Aku terlalu emosional tadi. Kau memang best friend aku... Walau apapun aku mesti teruskan juga hasrat aku, aku mesti hilangkan perasaan takut aku ni sebelum aku berdepan dengan dia."
Munirah sudah membuat keputusan. Semalaman dia berfikir. Inilah keputusan yang terbaik untuk semua pihak.
"Hasrat apa?" soal Khatijah, hairan.
"Aku mahu dia lepaskan aku dengan cara baik. Selama lebih 26 tahun, kami hidup dengan haluan masing-masing. Aku tak sanggup tanggung dosa lagi, Khaty. Lagipun dia sudah ada famili sendiri. Aku ni orang luar. Sejak mula lagi, aku ni orang luar."
Munirah memegang erat telefon bimbit Samsung Ace miliknya. Munirah cuba mengawal sebak di dalam dadanya. Hatinya sakit.
"Munirah!" Nada suara Khatijah turut sama sayu. Dia dapat merasakan apa yang Munirah rasakan sekarang ini. Cinta Munirah kepada suaminya tak mungkin akan pudar walaupun bermacam-macam perkara telah dilakukan oleh suaminya.
"Munirah, jika kau mahu, aku akan temani kau di sana. Malam ni aku book tiket flight untuk awal-awal pagi esok."
"It's okay, Kathy. I'm fine. Aku boleh lalui semua ini."
"Betul ke?"
"Betul... Kalau kau datang sini, siapa nak jaga restoran kita? Tak payahlah, lagipun aku ada di Malaysia sekejap saja. Sebaik sahaja urusan aku selesai, aku terus pulang."
"Hasrat kau ni, Aleya, Alisa dan Alina dah tahu ke?" tanya Khatijah.
"Tak. Mereka tak tahu pun. Aku harap kau rahsiakan perkara ni dulu. Aku akan beritahu mereka apabila tiba masanya."
"Baiklah... Kalau kau ada apa-apa, kau beritahu saja aku. Jangan kau pendam dalam hati tu, lain pula jadinya. Kau boleh call aku bila-bila masa! Kau ingat tu..."
"Terima kasih, Khaty! Kaulah satu-satunya sahabat baik aku. Kau sentiasa bersama aku tak kira susah dan senang."
"Itulah namanya kawan sejati. Kau berehatlah. Selepas apa yang terjadi, kau pasti penat, kan? Esok aku call kau."
"Thanks, Khaty."
"Your welcome, my friend. Bye!" kata Khatijah sebelum mengakhiri perbualan.
Khatijah mengetap bibirnya beberapa saat. Kenapa aku tiba-tiba resah? Adakah ada sesuatu yang akan terjadi kepada Munirah? Hesy... Aku ni fikir yang bukan-bukan pula. Tiada apa-apa yang akan terjadi kepada Munirah. Khatijah cuba menenangkan dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co