Bab 15
Aleya meletakkan pensel yang dipegangnya. Apa yang diceritakan oleh Alisa sebentar di luar jangkaan.
"What are you gonna do, sis?"
"Angah tak tahu lagi. Sekarang ni fikiran angah tengah buntu. Ibu tetap degil nak tinggal di sini sehingga proses perceraian selesai."
"Orang macam Datin Kartika tu takkan biarkan perkara ni begitu saja. You should be careful." Aleya risau.
"I know."
"Angah perlu lakukan sesuatu dengan segera. Sebelum dia bertindak, angah kena bertindak dulu. Jangan ingat dia boleh lakukan sesuka hati terhadap kita," tegas Aleya. Dia tak suka jika ada orang cuba membuli keluarganya.
"I know! Angah rasa angah tahu apa yang perlu angah lakukan." Tiba-tiba senyuman terukir di bibir Alisa.
"Good! Along akan selesaikan semua kerja di sini dengan segera. Along akan ke Malaysia bila semua kerja di sini selesai."
"Okey... I have to go. Angah tak nak ibu syak sesuatu," kata Alisa sambil melirik ke kiri dan kanan. Dia berdiri di luar bilik ibunya.
"Okey, kirim salam kat ibu."
"Baiklah," kata Alisa sebelum menamatkan perbualan mereka berdua. Aleya termenung seketika. Sebenarnya, hatinya bimbang. Bimbang jika sesuatu akan terjadi kepada ibu dan adiknya. Pantas dia mendail nombor telefon setiausahanya. Dia memaklumkan kepada Mary bahawa dia akan ke Malaysia selama sebulan. Dia meminta Mary merombak kembali jadual kerjanya.
Aleya bangun dan berjalan menuju ke tingkap. Dia melihat salji yang sedang turun. Sekarang musim salji sudah tiba, Aleya lihat halaman rumahnya sudah dipenuhi dengan salji. Aleya mengeluh! Walau apapun yang terjadi, dia akan bawa ibunya pulang.
Dato Syed Mohd Kadir tersenyum sebaik sahaja melihat Munirah keluar dari bilik air. Dia mengatur langkah mendekati Munirah dan ingin membantu.
"Tak payah. Munirah masih boleh berjalan lagi," tegas Munirah.
Dato Syed Mohd Kadir terdiam kaku.
Munirah duduk di atas sofa. Munirah membetulkan tangannya yang disimen. Berat!
"Bunga-bunga ni... Munirah harap awak jangan hantar ke sini lagi. Membazir saja."
"Tetapi, abang ikhlas... Semua bunga ni untuk Munirah." Dato Syed Mohd Kadir terus duduk di atas sofa yang bertentangan dengan Munirah.
Munirah melirik anak matanya ke arah lain. Ikhlas? Geli hati aku mendengarnya. Bunga ros ni bukan bunga kesukaan aku. Aku suka orkid. Nampak sangat dia tak tahu apa-apa tentang aku. Tiba-tiba Munirah tersenyum sinis. Tetapi, kenapa aku masih mencintai lelaki ini? Hati aku ni memang ada masalah.
"Munirah, kenapa?" soal Dato Syed Mohd Kadir hairan melihat Munirah tiba-tiba tersenyum.
Senyuman Munirah hilang sebaik sahaja mendengar pertanyaan Dato Syed Mohd Kadir.
"Dato Kadir, kenapa awak masih enggan tunaikan permintaan Munirah? Selepas apa yang terjadi, mustahil hubungan kita akan kembali menjadi suami isteri. Semua itu mustahil. Anggap saja kita tiada jodoh."
"Munirah, kenapa hati Munirah begitu keras untuk menerima abang kembali? Abang sedar apa yang pernah abang lakukan kepada Munirah begitu kejam sekali. Abang menyesal. Sebab itu, abang mahu kita mulakan hidup baru. Hanya kita bertiga. Abang berjanji, abang tak akan mensia-siakan hidup Munirah. Abang akan jadikan Munirah wanita yang paling bahagia. Cinta abang hanya satu. Hanya untuk Munirah," ucap Dato Syed Mohd Kadir. Dia menatap wajah Munirah. Cintanya kepada Munirah ikhlas.
Munirah berpaling. Wajah Dato Syed Mohd Kadir direnungnya tajam. Amboi... Manisnya mulut apabila bercakap. Dasar playboy. Sebelum ni, kau campak aku dan sekarang ni kau nak kutip aku balik? Tolonglah. Aku dah pun maafkan kau... Apa lagi yang kau nak daripada aku?
"Beginilah, Dato Kadir... Tujuan Munirah balik ke sini hanya satu, iaitu bercerai dengan awak. Keputusan Munirah takkan berubah."
"Munirah..." Nada suara Dato Syed Mohd Kadir separuh merayu.
"Sepatutnya apa yang terjadi antara kita dahulu, awak jadikan sebagai pengajaran. Awak jangan ulanginya lagi. Awak jangan lakukan perkara yang sama terhadap Kartika," nasihat Munirah.
"Munirah, selama dua puluh enam tahun kami hidup bersama, kami tak pernah bahagia."
"Tapi, dulu Kartika adalah pilihan awak, kan? Sekarang ni pula awak menyesal berkahwin dengan Kartika. Bagi awak, semua ini perkara mudah, kan? Awak anggap wanita ni barang mainan. Bila dah tak nak, buang saja," tegas Munirah.
"Bukan itu maksud abang..."
"Maksudnya tetap sama, kan?" Tiba-tiba ada suara yang mencelah. Alisa berdiri memerhati gelagat mereka berdua. Kehadirannya di situ tidak disedari mereka. Alisa merenung tajam ke arah lelaki itu. Tiada secalit senyuman di wajah Alisa.
"Lina!" Dato Syed Mohd Kadir terkejut. Dia sedar pandangan Alina berbeza daripada sebelumnya. Kenapa tiba-tba sikap Lina berubah? Dingin. Adakah Lina sudah mula membenci aku?
Munirah turut sama terkejut. Sejak bila angah ada di situ? Munirah risau.
Alisa berjalan dan duduk di atas katil Munirah. Dia buat tak tahu sahaja. Dia membelek telefon bimbitnya. Pandangan ibu tidak diendahkan.
Munirah mengetap bibir menahan geram dengan perangai Alisa. Budak bertuah ni... Dia tak salam pun dengan ayahnya. Apa nak jadi ni? Munirah sedar, pasti Dato Syed Mohd Kadir berasa hairan dengan sikap anak perempuannya mereka itu.
Dr. Nazri tersenyum melihat Alina yang sedang makan nasi goreng di hadapannya. Dia tak sangka dengan tiba-tiba saja Alina mengajaknya keluar. Hatinya berbunga riang. Sudah lama dia berangan-angan yang suatu hari nanti dia akan makan berdua bersama Alina.
"Actually, Lina perlukan pertolongan."
"Pertolongan?" Dr. Nazri terkejut. Matanya merenung mata Alina yang berwarna coklat itu.
"Yes... I need your help. About my mother. Lina nak bawa ibu balik hari ini. Lina perlukan kebenaran daripada awak untuk bawa ibu Lina pulang." Alisa terus berterus-terang tentang tujuannya mengajak Dr. Nazri makan tengah hari bersama.
"Apa?" Dr. Nazri terkejut.
"Lina nak bawa ibu balik."
"Tapi keadaan Auntie Munirah belum pulih sepenuhnya. Kenapa Lina nak bawa Auntie Munirah balik? Saya rasa lebih baik jika Auntie Munirah tinggal lama di hospital... Boleh saya pantau keadaan Auntie Munirah. Dia perlu terima rawatan lagi."
"Lina tahu... Tetapi, Lina perlu bawa ibu keluar hari ini juga. I hope you understand."
"Aaa... Uncle Kadir dah tahu ke tentang hal ini?"
"Dia tak berhak tahu tentang hal ini. Sebab dia, ibu jadi macam ni!" Alisa tiba-tiba meninggikan suaranya. Hatinya panas mendengar nama lelaki itu. Bencinya kepada lelaki itu semakin membuak-buak.
Dr. Nazri tergamam apabila Alina tiba-tiba meninggikan suara. Inilah pertama kali dia melihat Alina seperti ini.
"Aaa... Maaf, tadi Lina terlalu ikutkan emosi." Alisa tersedar. Alisa merenung lelaki itu. Walau apapun yang terjadi, aku perlu bawa ibu balik hari ini juga. Alisa mengeluh kuat.
"Awak tahu kan keluarga Dato Kadir macam mana Lebih-lebih lagi Datin Kartika? Kehadiran kami di sini tidak dialu-alukan. Lina bimbang jika sesuatu terjadi kepada ibu."
"Saya faham dengan situasi awak, Lina."
"Kalau begitu, awak setuju benarkan ibu Lina keluar hari ini? Lina janji. Selepas ibu sembuh, kita boleh keluar bersama-sama," janji Alisa seraya tersenyum manis. Kalaulah acu tahu aku promise mamat ni guna identiti acu, pasti teruk aku kena dengar ceramah. Sorry, acu! Keadaan emergency sekarang ni.
"Betul ke?" Dr. Nazri seolah-olah tidak percaya. Sudah beberapa kali dia mengajak Alina keluar tetapi bermacam-macam alasan Alina berikan. Tetapi, kali ini Alina sendiri yang mengajaknya keluar. Macam bermimpi pula.
"Ya." Alisa tersenyum.
"Hei, perempuan! Kau ni tak ada kerja lain ke? Teman lelaki orang pun kau nak rampas?!" marah Suziela yang tiba-tiba berada di situ. Alisa terkejut akan kehadiran Suziela. Orang ramai yang berada di kafe memandang ke arah mereka.
Alisa terus bangun. "What is your problem? Tak boleh ke bercakap seperti orang bertamadun. Ini tidak, datang sini saja terus menjerit macam orang gila. Kau sedar tak kau sekarang ni berada di mana?"
"Aku peduli apa? Yang penting sekarang ni, kau cuba rampas Doktor Nazri daripada aku! Kau ni memang perempuan tak tahu malu." Sakit hati Suziela melihat Dr. Nazri dan Alina sedang makan di kafe seperti pasangan kekasih.
"Suziela, kita tak ada apa-apa hubungan pun sekadar kawan biasa saja." Doktor Nazri mencelah. Suka-suka saja Suziela mengaku aku ni boy-friend dia. Dr. Nazri bimbang jika Alina salah faham dengan kata-kata Suziela tadi.
"Abang!" Suziela terkejut. Matanya merenung tepat wajah Dr. Nazri. Pertengkaran mereka menjadi tumpuan orang yang berada di situ.
"Sekarang ni siapa perempuan yang tak tahu malu?" perli Alisa sambil tersenyum kambing.
"Kau dengan mak kau sama saja! Perampas!" jerit Suziela seolah-olah seperti orang hilang akal.
Alisa ketawa. Lucu sekali mendengar kata-kata Suziela. Perempuan ni memang ada masalah mental. Entah dia sedar ke tak apa yang telah dia cakapkan tadi. Dahi Suziela berkerut melihat Alisa ketawa.
"Hei, dengar sini ya! Ibu aku isteri pertama, manakala mak kau bini kedua! Sekarang ni cuba kau guna otak kau berfikir, siapa perampas suami orang!" balas Alisa. Matanya bulat merenung kakak tirinya.
"Kau!" jerit Suziela geram.
"Jeritlah! Jeritlah sekuat hati! Biar bergegar seluruh hospital ni dengar suara kau! Jeritlah lagi!" perli Alisa. Langkahnya terus diatur meninggalkan Suziela. Alisa sedar, orang ramai yang berada di situ memerhati ke arahnya.
Adegan pertengkaran tadi menjadi perhatian orang ramai yang berada di kafe itu. Alisa hanya tersenyum.
"Crazy woman!" jelas Alisa kepada orang ramai yang berada di situ. Mereka hanya tersengih.
"Suziela, what's wrong with you? Tak malu ke?" marah Dr. Nazri. Sikap Suziela membuatkan dirinya rimas. Hidupnya tidak pernah aman sejak kehadiran Suziela dalam hidupnya.
"Malu? Abang sedar tak apa yang abang cakapkan ni! Perempuan tu yang tak malu! Dia..."
Belum sempat Suziela menghabiskan ayatnya, Dr. Nazri terus mencelah. "Suziela, boleh tak hentikan perangai seperti budak-budak tu? Walaupun Su dan Alina adik-beradik tiri, selaku kakak... Su sepatutnya tunjukkan contoh yang baik kepada seorang adik," marah Dr. Nazri.
"Dia bukan adik Su! Kami tak ada apa-apa pertalian darah pun. Su tak ingin ada adik macam perempuan tu." Suziela bengang apabila Dr. Nazri menyebelahi Alina.
"Abang tak tahu nak cakap apa lagi dengan Su!" Satu keluhan dilepaskan. Dr. Nazri sudah malas menasihati Suziela. Macam ni nak jadi girlfriend aku? Baik tak payahlah. Laju kakinya berjalan meninggalkan Suziela.
"Abang! Abang Nazri!" jerit Suziela. Kakinya dihentak beberapa kali untuk melepaskan geram. Tergamak dia tinggalkan aku seorang diri kat sini. Ini semua gara-gara Alina. Sejak kepulangan Alina dan ibunya, hidup aku dan mama kucar-kacir dibuatnya. Aku takkan biarkan perkara ni begitu saja. Suziela mengetap bibirnya menahan geram.
Kartika terkejut apabila pintu bilik dibuka dengan kasar. Dato Syed Mohd Kadir melihat Kartika seolah-olah ingin ditelannya hidup-hidup. Pintu bilik ditutup dengan kasar.
"Apa yang kau dah buat kepada Munirah dan Alina, hah?" soal Dato Syed Mohd Kadir dengan kasar. Dia terkejut apabila Munirah tiada sewaktu dia melawat Munirah di hospital. Munirah dah discharge tanpa pengetahuannya.
Sudah beberapa kali dia menelefon Alina dan Munirah namun panggilannya tidak dijawab. Lebih mengejutkan lagi apabila Dr. Nazri memberinya sepucuk surat yang ditinggalkan oleh Munirah kepadanya. Munirah bertekad untuk bercerai dengannya. Ini pasti ada kaitan dengan isteri keduanya.
"Apa maksud, abang? Tika tak faham."
"Kau jangan nak berlakon dengan aku, Kartika. Aku kenal sangat perangai kau yang sebenarnya. Apa yang telah kau buat sehingga Munirah tergesa-gesa keluar dari hospital?"
"Apa?" Kartika terkejut. Dia dah keluar hospital? Habis rancangan aku kali ni.
"Kau jangan nak berpura-pura terkejut. Aku nak ingatkan kau sekali lagi, kalau kau berani buat apa-apa kepada Munirah dan anak aku, tahulah nasib kau nanti." Dato Syed Mohd Kadir memberi amaran. Perangai Kartika semakin hari semakin menguji kesabarannya.
"Abang ni memang jenis kacang lupakan kulit. Abang dah lupa ke? Siapa yang berada di sisi abang selama dua puluh enam tahun ni? Tika, abang! Tika!" Kartika sudah naik angin. Dia geram apabila dirinya dipersalahkan.
"Ya, memang selama dua puluh enam tahun ni kau bersama aku tapi ada ke kau jalani tanggungjawab kau sebagai isteri? Tiada. Waktu aku jatuh sakit, terlantar di hospital, kau ingat aku tak tahu apa kau buat di belakang aku? Aku belum buta lagi, Kartika."
Pengakuan Dato Syed Mohd Kadir mengejutkan dirinya. Jadi selama ini dia tahu apa aku buat di belakangnya? Tak guna! Kartika mengetap bibirnya menahan geram.
"Buat kali terakhir aku ingatkan kau... Jangan sentuh isteri dan anak aku. Kalau kau masih berdegil juga, aku tahulah macam mana nak ajar kau," tegas Dato Syed Mohd Kadir. Kali ini dia mesti bertegas dengan Kartika. Dia bimbang jika sesuatu terjadi kepada Munirah dan Alina.
"Mama! Su benci dengan Alina!" jerit Suziela terus meluru masuk ke bilik. Kehadiran Dato Syed Mohd Kadir di dalam bilik itu mengejutkan Suziela.
"Ini seorang lagi. Nak masuk ke bilik, tak reti ketuk pintu dulu. Ini tidak, main redah saja," marah Dato Syed Mohd Kadir.
"Papa, kenapa tiba-tiba marah Su? Kalau ya pun tengah marahkan mama, jangan lepaskan kemarahan papa tu dekat Su. Ini tak adil," jawab Suziela dengan kasar. Sekarang ni aku dahlah tengah bengang dengan Alina, papa pula tiba-tiba naik angin.
"Suziela, ini ke cara kamu bercakap dengan orang tua? Tak hormat langsung. Kau sedar tak dengan siapa kau sedang bercakap sekarang ni? Perangai mak dengan anak sama saja. Kurang ajar!" marah Dato Syed Mohd Kadir sebelum mengatur langkah meninggalkan mereka berdua. Pintu dihempas dengan kasar.
"Mama, tengok papa tu." Suziela mendekati ibunya. Dia merengek meminta simpati.
Mata Kartika masih belum berganjak memerhati pintu biliknya. Kata-kata suaminya itu telah melukai hatinya. Sekarang ni pada mata abang, hanya ada perempuan tu saja. Dialah yang terbaik. Aku pula jahat. Tak apa, aku takkan biarkan semua ini begitu saja. Perempuan tu dan anaknya perlu diajar secukupnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co