Bab 14
TIADA satu patah perkataan pun yang keluar dari mulut Sufi saat ini. Dia hanya mendiamkan diri sementara menunggu Hail menyelesaikan hal berkaitan dengan Hamsyari. Dia memandang sekeliling. Tiada apa yang menarik pandangannya. Lalu, anak matanya dihalakan ke arah Baim yang kelihatan termenung panjang.
"Encik Baim..." panggil Sufi sambil mengawang-awangkan tangannya di hadapan wajah Baim.
Baim tersedar. Dia membalas pandangan Sufi dengan dahi yang bertindih-tindan.
"Apa dia?" soalnya pendek.
"Apa yang terjadi pada Am sebenarnya? Am sakit apa? Betul ke dia hampir bunuh diri?" soal Sufi ingin tahu. Sudah lama dia ingin bertanya, cuma hari ini baru berkesempatan.
"Baru sekarang awak nak tanya? Habis tu kenapa awak ikut Tuan Hail sampai ke sini kalau awak tak tahu apa yang jadi pada Tuan Am sebenarnya?" Soalan dibalas soalan oleh Baim. Sedikit terkejut dengan soalan yang diutarakan oleh Sufi.
Sufi hanya tayang sengih.
"Saya terpaksa ikut Tuan Hail sebab keselamatan adik saya. Saya tak nak dia apa-apakan adik saya sebab tu saya bersetuju untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Am walaupun saya tak tahu apa yang terjadi pada Am. Saya tak bersalah. Hanya Am yang tahu kebenaran tu," jawab Sufi.
Sebaik saja melihat keadaan Hamsyari sewaktu pertama kali mereka bertemu dahulu, hati Sufi kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah Hamsyari tidak menjadi dirinya sendiri. Lelaki itu meracau-racau. Malah, fizikalnya kelihatan lemah.
"Major depressive disorder..." ucap Baim tiba-tiba.
Bicara Sufi terhenti. Dia memandang Baim dengan lama.
"Apa?"
"Awak tanya Tuan Am sakit apa, kan? Itulah penyakit Tuan Am. Kalau awak nak tahu, dia bukan hampir membunuh diri tapi dia dah melakukan perbuatan terkutuk tu. Cuma nasib Tuan Am baik, Tuan Hail sampai tepat pada waktunya. Awak dapat bayangkan tak perasaan Tuan Hail waktu tu? Lihat satu-satunya adik yang dia ada, menderita sampai macam tu sekali disebabkan cinta. Tuan Am seorang yang baik, hatinya lembut walaupun dia seorang lelaki. Dia seorang yang sensitif. Dia tidak pernah dikecewakan. Tuan Hail sangat menjaga perasaan Tuan Am. Tapi sekarang awak tengoklah, apa yang awak dah buat..." balas Baim sambil menundukkan wajahnya.
Sufi melepaskan keluhan. Dia tidak menyangka Hamsyari akan bertindak sejauh ini. Benarlah kata orang, kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa saja meskipun perkara tersebut mendatangkan mudarat kepada diri sendiri. Tanpa iman, cinta mungkin boleh memusnahkan sekeping hati.
"Saya tahu walau beribu kali saya cakap, walau berbuih mulut saya ulang perkara yang sama, encik dan Tuan Hail takkan percayakan saya. Saya tak bersalah. Saya sanggup datang ke sini disebabkan keselamatan adik saya. Tapi percayalah, apa yang berlaku kepada Am bukan disebabkan saya," balas Sufi perlahan. Berharap agar Baim memahaminya.
Baim tersenyum sinis. Dia mendongak memandang Sufi yang kelihatan serius.
"Jadi, apa yang adik awak cakapkan tu bohong? Dia sendiri cakap yang awak adalah kekasih Tuan Am. Awak nak saya cari adik awak semula dan heret dia ke sini?" soal Baim turut serius.
Sufi tersentak. Spontan, dia menggelengkan kepala.
"Jangan! Jangan libatkan dia."
"Kalau awak tak nak adik awak terlibat sekali lagi, awak ikut saja arahan Tuan Hail. Dia tak pernah salah buat keputusan. Saya minta dengan awak, tolong pulihkan semuanya seperti biasa. Saya tak sanggup tengok Tuan Am murung macam tu dan saya tak sanggup tengok Tuan Hail berubah sampai begini sekali. Dia bukan dirinya yang dulu sejak Tuan Am jadi macam ni. Awak dah berjaya musnahkan dua jiwa sekali gus. Awak memang hebat!" sinis Baim dengan suara yang mendatar. Walaupun perlahan, tapi cukup menikam hati Sufi.
Sufi meraup wajah dengan kedua-dua belah telapak tangan. Kesalahan yang diletakkan di atas bahunya cukup berat. Dia dihukum tanpa sempat membela diri. Sampai bila dia dapat bertahan? Sufi sendiri tiada jawapan yang pasti. Dia kehilangan arah untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah.
"Apa kata doktor tentang penyakit Am? Dia boleh sembuh seperti biasa ke?" soal Sufi tanpa mengulas kata-kata Baim.
"Fizikal Tuan Am memang sihat tapi mentalnya masih belum sihat sepenuhnya. Dia tak nak bercakap dengan sesiapa pun. Kadang-kadang dia meracau. Kadang-kadang dia terlebih tidur. Doktor hanya bekalkan ubat dan Tuan Am akan jalani terapi dengan pihak psikiatri bagi mengelakkan depression dia bertambah buruk. Kebanyakan pesakit depression berakhir dengan commit suicide..."
"Apa?!" Sufi terkejut. Dia bangun daripada duduk. Terbuntang matanya memandang Baim.
"Sama ada awak percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Disebabkan itulah Tuan Hail sanggup buat apa saja bagi halang perkara itu daripada terjadi. Memandangkan awak penyebabnya, mungkin awak juga penawarnya. Saya harap awak faham kenapa Tuan Hail bertindak sejauh ini," ujar Baim lagi.
"Dengan kahwinkan saya dengan Am? Itu cara yang Tuan Hail fikirkan?" soal Sufi lagi.
"Itu saja pilihan yang dia ada. Tuan Am sayangkan awak sepenuh hatinya. Tiada apa-apa yang dia inginkan selain awak. Dia perlukan awak di sisi dia. Takkan itu pun awak tak boleh lakukan? Memang awak dah tak cintakan dia, tapi dia pernah mendapat tempat dalam hati awak. Tak boleh ke awak tolong dia sebagai seorang manusia?" soal Baim kembali.
Sufi mati kutu. Dia tidak tahu bagaimana harus diterangkan lagi. Setiap patah yang keluar dari mulutnya, tidak sedikit pun diendahkan oleh Baim apatah lagi Hail. Bagaimana dia ingin meyakinkan mereka berdua bahawa perkahwinan antara dia dan Hamsyari tidak mampu menyelesaikan segalanya? Haruskah dia menyingkap segala kebenaran walaupun kebenaran itu akan membahayakan nyawa orang lain?
"Dah habis bersembang?" sapa satu suara membuatkan mereka berdua berpaling.
Baim bingkas bangun sewaktu melihat batang tubuh Hail berdiri di hadapan mereka. Kelihatan Hamsyari berdiri di sebelah Hail. Riak wajahnya beku. Tidak ubah seperti patung yang bernyawa.
"Am..." panggil Sufi perlahan. Dia melangkah ke hadapan. Dia merenung Hamsyari dengan mata yang berkaca. Sebak melihat keadaan Hamsyari saat ini.
Hamsyari tidak membalas. Pandangannya ditebarkan ke tempat lain. Renungannya kosong. Sedangkan Baim dan Hail berpandangan sesama sendiri.
"Mesti sakit, kan... Maafkan saya..." ucap Sufi dengan air mata mula menitis di pipi.
Tidak dapat dibayangkan saat Hamsyari cuba mengambil nyawanya sendiri pasti lelaki itu menderita. Melihat keadaan Hamsyari tidak ubah seperti robot cukup menghiris hati Sufi. Ya, semuanya yang terjadi pada Hamsyari disebabkan aku. Kalau aku tak mulakan, semua ini takkan terjadi, detik hatinya. Menyesal.
Imbas kembali...
SUFI tersenyum sambil membelek-belek koleksi gambar yang berada di dalam telefon pintarnya. Sesekali skrin telefonnya digeserkan ke kanan bagi melihat gambar-gambar yang lain.
"Amboi, senyum sorang nampak. Tengok gambar boyfriend ke?" tegur satu suara mengejutkan Sufi. Dia mendongak.
"Am ni tak reti bagi salam agaknya. Terkejut saya, tahu tak?" getus Sufi sambil menjeling.
Hamsyari hanya tersengih. Dia mencantumkan kedua-dua belah telapak tangannya.
"Maaf, tak sengaja. Assalamualaikum, Sufi. Tengok apa tu?" ujar Hamsyari membetulkan kesalahannya.
Sufi hanya tersenyum melihat tingkah Hamsyari.
"Hah, macam itulah. Bersopan-santun. Saya tak tengok apa-apa pun, tengok gambar adik saya masa sambutan hari jadi dia kelmarin. Cantik betul dia," puji Sufi sambil matanya kembali fokus pada skrin telefon.
Hamsyari mengintai telefon Sufi yang diletakkan di atas meja. Jelas sekeping gambar seorang gadis yang sedang tersenyum ceria. Wajahnya memang cantik, malah lebih cantik daripada Sufi. Sekali pandang persis Asmirandah, pelakon terkenal Indonesia.
"Ni ke adik awak?" soal Hamsyari lantas dengan selamba merampas telefon Sufi.
"Am! Apa ni?" marah Sufi akibat terkejut dengan perbuatan Hamsyari. Dia ingin merampas kembali tetapi dihalang oleh Hamsyari.
"Kejaplah, saya nak tengok juga," ucap Hamsyari bagi menenangkan Sufi.
Sufi terduduk kembali. Dia hanya memerhatikan lagak Hamsyari yang kelihatan berminat dengan gambar Ariana. Tanpa sedar Sufi tersenyum sendirian.
Hamsyari merenung lama gambar gadis yang dikatakan adik Sufi itu. Cantik. Malah kecantikan itu begitu mempesonakan sehingga mencetuskan debaran di dalam dada. Saat dia memandang gambar adik Sufi itu tersenyum, bibirnya turut tersenyum.
"Cantik. Apa nama adik awak ni?" soal Hamsyari sambil pandangannya tidak lepas daripada menatap gambar tersebut.
"Seri Ariana. Kenapa, dah berkenan ke?" soal Sufi mengusik. Dia ketawa kecil.
Hamsyari tersengih. Dia menyerahkan telefon Sufi kembali. Hidungnya digosok dengan ibu jari menandakan dia sedang malu dengan soalan yang diajukan oleh Sufi.
"Kalau saya berkenan pun, belum tentu adik awak tu berkenan kat saya ni," ucap Hamsyari merendah diri. Dia memintal-mintal apron yang sedang dipakai.
Sufi mencebik. Kurang setuju dengan kata-kata Hamsyari yang terlampau merendah diri. Bagi Sufi, Hamsyari memang seorang lelaki yang baik. Jujur dan selalu mementingkan orang lain. Kalau segi rupa, memang dia yakin Ariana pasti akan tertawan. Hamsyari memang seorang yang kacak. Dengan ketinggian ala-ala model, kulit wajah yang putih kemerahan, badan yang tegap pasti lelaki itu boleh menawan hati Ariana. Cuma, Hamsyari seorang yang misteri. Sehingga sekarang, tiada sesiapa pun yang tahu asal usul dan keluarga lelaki itu. Jika ditanya, pasti pelbagai alasan yang dia berikan.
"Belum cuba belum tahu, Am. Siapa tahu kalau ada jodoh, awak boleh jadi adik ipar saya," ucap Sufi sambil mengenyitkan mata.
Hamsyari hanya ketawa lepas sedangkan dalam hatinya berbunga-bunga. Entah mengapa dia rasakan hatinya sudah tertawan dengan kecantikan Seri Ariana.
"Mengarutlah awak ni. Orang cantik macam tu tentu dah ada kekasih hati," balas Hamsyari tidak mahu berharap.
"Tak ada. Dia baru putuskan hubungan dengan bekas kekasih dia minggu lepas. Sekarang ni dia solo. Apa kata kalau awak cuba-cuba kenal dengan adik saya ni. Awak pun tak ada kekasih, kan? Mana tahu ngam?" ujar Sufi memberi pendapat.
Dia dapat rasakan yang Hamsyari dapat menjaga dan menyayangi Ariana dengan lebih baik. Dia sendiri naik penat apabila melihat Ariana yang tidak pernah kekal dalam hubungan cinta. Hari ini jadi kekasih, minggu depan pasti putus. Kalau dihitung, dalam sebulan tiga kali Ariana putus cinta. Kali ini dia dapat rasakan Hamsyari dapat mengubah Ariana.
"Jauh awak berangan ni. Saya nak pergi sambung kerja dululah," ucap Hamsyari lantas dia bingkas bangun.
"Am, nanti dulu..."
Belum sempat Sufi menghabiskan bicara. Muncul Ariana di hadapan mereka berdua. Langkah Hamsyari mati. Hanya anak matanya yang terkebil-kebil memandang gadis muda yang sedang berdiri di hadapannya. Ini ke Seri Ariana? detik hatinya.
"Hah, Ana. Kenapa datang sini?" soal Sufi sambil mengerling ke arah Hamsyari yang sudah terkaku.
Ariana memandang Sufi dan lelaki yang tidak dikenali itu silih berganti. Lelaki kacak itu kelihatan terpegun melihat dirinya. Ariana tersenyum menggoda. Sudah lali dengan pandangan begitu.
"Saja. Aku lapar. Bosan tak ada kerja nak buat. Saja datang lepak kat sini. Tak boleh ke?" soal Ariana pula.
"Boleh, apa yang tak bolehnya? Kenalkan ini kawan akak, Hamsyari. Panggil Am aje," ucap Sufi sambil memperkenalkan Hamsyari kepada Ariana.
Ariana tersenyum manis. Tangan dihulur untuk berjabat.
"Ariana. Seri Ariana..."
Seakan-akan tersedar daripada mimpi yang indah, Hamsyari menyambut huluran tangan Ariana. Lembut tangan gadis itu meresap jauh ke sanubari. Menggoncang hatinya. Dadanya mula berdetak tidak seirama sebaik saja melihat senyuman gadis itu yang manis. Ya Allah, aku dah jatuh cinta pandang pertama ke ni? detik hatinya.
Sufi hanya mengulum senyum melihat reaksi Hamsyari yang kelihatan gelabah. Nampak keserasian antara dua insan itu. Ternyata Allah permudahkan urusan dia untuk memperkenalkan Ariana kepada Hamsyari. Mungkin ada jodoh. Siapa tahu?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co