Bab 15
"MULAI hari ni awak akan jaga Tuan Am dekat rumah. Setiap pagi sebelum awak mula kerja, awak kena jenguk Tuan Am terlebih dahulu. Pastikan Tuan Am makan dan ambil ubat. Kemudian baru awak ke ladang," terang Baim sewaktu mereka bertiga sampai di rumah lewat malam itu.
"Kenapa saya nak kena sediakan semua tu?" soal Sufi sambil memandang Hail dan Baim silih berganti.
"Sebagai latihan sebelum kau jadi isteri Am nanti. Jadi, kau kena biasakan diri," jawab Hail selamba.
Sufi ketawa kecil. Dia merenung tepat ke wajah Hail. Kecil saja dia melihat Hail saat ini.
"Gila! Bila Am dah sihat, tuan jangan terkejut kalau dia tak nak kahwin dengan saya. Satu saja saya nak cakap, apa yang tuan buat ni semuanya sia-sia!" balas Sufi berani.
Hail berpaling ke arah Sufi. Mereka beradu pandangan. Hail mengetap bibir. Lantas, dia menghampiri Sufi.
Sufi mula tidak keruan apabila menyedari langkah Hail semakin hampir. Dia melangkah setapak ke belakang namun kakinya tersekat di meja makan. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Bergetar hatinya saat ini.
"Apa ni? Jangan dekatlah!" marah Sufi. Suaranya kedengaran bergetar. Dia menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.
Hail menahan tawa melihat Sufi yang mula menggelabah. Dia menghentikan langkah.
"Aku akan pastikan apa yang aku buat ni takkan sia-sia. Kalau Am tak nak kahwin dengan kau sekali pun, aku akan pastikan kau jadi hamba dekat tempat aku ni. Itu harga yang kau perlu bayar sebab kau dah musnahkan hidup Am!" Keras suara Hail kedengaran.
Sufi menurunkan tangannya. Serentak, pandangan mereka bertembung. Sufi terdiam. Begitu juga Hail. Mereka hanya berpandangan tanpa berkata apa-apa.
"Sama ada awak percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Disebabkan itulah Tuan Hail sanggup buat apa saja bagi halang perkara itu daripada terjadi. Memandangkan awak penyebabnya, mungkin awak juga penawarnya. Saya harap awak faham kenapa Tuan Hail bertindak sejauh ini."
Kata-kata Baim kembali terngiang-ngiang di telinga Sufi. Dia meneguk liur. Benar, Hail sanggup melakukan apa saja untuk Hamsyari meskipun perkara itu salah. Dalam hati, Sufi kagum dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Hail tanpa memikirkan salah dan benar.
"Baik, saya akan jaga Am sampai dia sihat dan kembali jadi seperti Am yang dulu. Tapi saya ada syarat..." ujar Sufi.
Hail menjarakkan diri. Dia mencekak pinggang.
"Syarat? Apa hak kau nak bagi syarat pada aku?" soal Hail dengan garang.
"Dengar dulu. Syarat saya bukan susah sangat pun."
"Hah, apa dia?" pintas Hail pantas.
"Jangan tinggalkan saya berdua dengan Am dalam rumah ni. Saya tak selesa. Dia bukan ada apa-apa hubungan dengan saya," balas Sufi.
Hail terkelu seketika. Dia berpandangan dengan Baim. Baim hanya mampu menjongketkan bahu.
"Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Esok saya nak kerja," ucap Sufi lembut apabila tiada balasan daripada Hail.
"Kenapa saya rasa, dia bukan seperti yang kita fikirkan?" soal Baim sebaik saja kelibat Sufi hilang dari pandangan.
Hail berpaling. Lama dia memandang wajah Baim.
"Tak ada pencuri yang mengaku dia mencuri, Baim," balas Hail. Dia menepuk bahu Baim memberi ruang untuk lelaki itu berfikir.
"HARI ni kau kena asingkan baja. Bungkus dalam paket mengikut kilogram, lepas tu labelkan. Petang nanti akan ada lori yang datang ambil," terang Hail sewaktu mereka bertiga sampai ke bangsal yang memuatkan pelbagai jenis baja.
Sufi melopong seketika melihat baja yang berguni-guni. Terdapat juga baja jenis cecair yang diletakkan di dalam tong-tong berwarna biru. Aku nak kena bungkus semua ni ke? detik hati Sufi. Dia meneguk air liur.
"Dekat tempat ni pun ada jual baja?" soal Sufi ingin tahu. Dia memandang sekitar bangsal. Seorang lelaki tua dan perempuan dalam lingkungan usia 40 tahun memasuki ruang bangsal. Mereka menunduk hormat dan memberi salam kepada Hail.
"Ada. Syarikat Tuan Hail hanya membekalkan baja organik saja. Sama ada secara borong ataupun runcit. Semua baja-baja tu akan diproses di sini sebelum dibungkuskan dan diedarkan kepada pekedai-pekedai," terang Baim sedangkan Hail hanya mendiamkan diri. Dia lebih suka memeriksa stok baja-baja yang sudah siap diproses.
"Wah, baja pun proses sendiri. Jadinya, semua tanaman dekat sini menggunakan baja organik? Tak guna baja kimia ke? Lebih murah. Lebih cepat tanaman menyerap nutrien baja tu berbanding baja organik. Betul tak?" soal Sufi sambil merenung muka Baim yang jelas terkejut dengan pertanyaannya.
Hail turut berpaling. Dia cuba memasang telinga mendengar perbualan antara Baim dan Sufi. Dia tidak menyangka gadis bandar seperti Sufi mampu berbicara soal baja dan tanaman.
"Ya, betul. Semua tanaman dekat sini menggunakan baja organik. Memang baja kimia lebih murah tetapi jika kita bergantung semata-mata dengan baja kimia, macam mana kalau stoknya habis? Macam mana kalau pembekal tak dapat bekalkan baja tu pada kita? Susah juga, kan? Baja organik ni memang mahal tapi bahan-bahan untuk memprosesnya senang untuk kita dapat. Kita boleh gunakan najis binatang, kita boleh gunakan sisa-sisa ikan, serbuk teh dan tebu pun kita boleh jadikan sebagai baja. Jadi, kita tak perlu risau akan bahan-bahannya. Lagipun, baja organik ni baik untuk tanah. Ia boleh 'menguatkan' dan 'menghidupkan' tanah," terang Baim panjang lebar.
Hail hanya tersenyum mendengar kepetahan Baim menjawab soalan Sufi.
Sufi mengangguk tanda faham. Penerangan Baim membuatkan dia lebih berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang hasil pertanian yang dihasilkan oleh syarikat Hail. Tampak menarik sementelah lagi semenjak kecil dia memang sudah terbiasa berkebun. Neneknya juga seorang pekebun kecil. Jadi, sedikit sebanyak dia mengetahui tentang tanaman.
"Betul juga tu. Kalau guna baja organik tanaman lebih subur, kan? Tapi kat sini ada tak baja alfalfa?" soal Sufi. Dia cuba menjenguk label-label baja yang tertampal di guni-guni dan tong.
"Alfalfa? Apa kau tahu pasal alfalfa?" Hail menyampuk. Dia berdiri sambil memeluk tubuh. Dia ingin melihat sejauh mana pengetahuan Sufi tentang baja yang disebutkan tadi.
"Errr... Tak banyak yang saya tahu tapi rumput alfalfa ni salah satu rumput yang lama hidup kat dunia ni. Banyak khasiat rumput ni kalau jadikan baja. Nenek saya ada cakap rumput ni banyak kegunaan sama ada untuk tanaman, manusia dan ternakan. Tapi sampai sekarang saya tak dapat nak belikan baja dari rumput ni untuk nenek saya. Mahal sangat," ucap Sufi sambil tersengih. Apabila bercakap dengan Hail, tiba-tiba saja dia jadi kecut perut. Renungan lelaki itu seakan-akan menikam walaupun pandangannya pandangan biasa.
Hail mengangkat kening pada Baim. Memberi isyarat agar lelaki itu menunjukkan sesuatu kepada Sufi. Baim hanya menganggukkan kepala tanda faham. Dia tersenyum nipis sebelum menuju ke satu sudut.
"Sufi, datang sini sekejap," panggil Baim sambil menggamit tangannya memanggil Sufi.
Sufi hanya menurut. Langkah diayunkan menuju ke arah Baim.
"Inilah baja dari rumput alfalfa tu. Kebunnya ada berdekatan dengan kebun pisang, mungkin awak tak perasan sebab tumbuhan ni macam rumput. Rumput ni akan dikeringkan dahulu sebelum diproses jadi baja. Harga dia memang mahal dan kalau awak nak tahu, sayur-sayuran dekat kebun kita menggunakan baja jenis ni. Hasilnya memang cukup memuaskan. Permintaan baja jenis ni memang tinggi," terang Baim lagi.
Sedikit ternganga mulut Sufi melihat baja dari rumput alfalfa tu. Walaupun baunya kurang menyenangkan tetapi itu bukan penghalang bagi Sufi untuk menyentuhnya. Kalau nenek nampak baja-baja ni, gerenti dia suruh aku beli semua, desis hati Sufi. Tiba-tiba ada rindu datang bertandang untuk neneknya itu.
"Nanti saya nak tengok rumput tu boleh? Mesti best, kan?" soal Sufi sedikit teruja. Bersinar matanya membayangkan rupa bentuk rumput tersebut.
"Setakat rumput aje kau nak excited lebih ni kenapa? Selama ni kau tak pernah tengok rumput? Atau rumput pun kau tak kenal?" tempelak Hail setelah agak lama mendiamkan diri.
Sufi menjeling. Dia tidak suka kalau Hail menyampuk. Tiada satu pun perkataan yang keluar dari mulut Hail itu menyenangkan hatinya. Semuanya menyebalkan.
"Rumput biasa tu saya kenal tapi rumput alfalfa ni saya tak kenal. Nama pun pelik, manalah saya pernah jumpa. Nanti bila saya balik kampung, senanglah saya bercerita dengan nenek saya pasal rumput ni," jawab Sufi.
Hail hanya mencebikkan bibir. Nak balik kampung konon. Ingat aku nak benarkan dia balik sewenang-wenangnya selagi adik aku tak sihat? Kau memang bermimpi di siang hari, perempuan. Silap-silap hari bulan, mereputlah kau dekat kampung ni, monolog Hail dengan ketawa jahat memenuhi ruang hati.
"Tuan besar! Tuan besar!" Bunyi suara yang melaung memanggil namanya mematikan lamunan Hail. Dia berpaling ke muka pintu.
Kelihatan Pak Deris dan Abang Yunus berlari-lari anak mendapatkan Hail. Dia berpaling. Menanti bicara daripada Pak Deris dan Abang Yunus yang kelihatan tercungap-cungap cuba mengatur nafas.
"Ada apa ni Pak Deris, Abang Yunus? Macam kena kejar dengan hantu aje ni. Waktu sekarang ni sepatutnya abang dengan Pak Deris ada kat kebun cili, kan?" soal Hail. Spontan, nada suara kedengaran lembut. Tidak sekasar bila dia berbicara dengan Sufi.
"Kami dari kebun cili ni, tuan. Kami tergesa-gesa datang sini pun sebab nak tunjuk ni pada tuan..." Abang Yunus memulakan bicara. Dia menunjukkan beberapa biji cili besar kepada Hail.
Dahi Hail berkerut. Dia memandang Abang Yunus dan cili besar itu silih berganti. Lama dia mengamati cili besar tersebut sebelum matanya terbuka luas. Terdapat banyak bintik berpusar berwarna hitam pada buah cili tersebut.
"Cili ni dah buruk, tuan. Bukan satu atau dua tetapi kebanyakan pokok buahnya macam ni. Tak banyak yang kita boleh petik. Daun-daun cili pun ada bintik-bintik macam ni," tambah Pak Deris lagi.
"Ini penyakit antraknos. Kalau cili kita terkena penyakit ni memang kita rugi besarlah. Semasa pokok cili ni berputik buah, abang atau Pak Deris ada sembur racun kawalan yang saya belikan tu tak?" soal Hail masih lagi tenang. Dia membelek-belek cili yang sudah rosak itu dengan teliti.
"Ada. Tapi bukan masa cili ni berputik. Pak Deris sembur masa nak pindahkan anak pokok ni dari polibeg ke dalam tanah," jawab Pak Deris takut-takut berani.
Hail membuntangkan matanya.
"Masa cili ni masih anak pokok lagi Pak Deris dah sembur racun?" soal Hail sedikit terkejut. Tanpa sedar oktaf suaranya meninggi.
Pak Deris menundukkan kepala. Sedar akan kesalahan yang tak disengajakan.
Hail menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Cuba meredakan emosinya. Melihat wajah Pak Deris yang sugul membuatkan dia merasa bersalah kerana meninggikan suara kepada orang yang lebih tua daripadanya.
"Maaf, saya tak bermaksud nak tinggikan suara dengan Pak Deris. Mungkin silap saya juga tak terangkan betul-betul pada Pak Deris. Racun anti-antraknos tu sepatutnya disembur pada pokok cili dalam masa sekitar tiga puluh lima hari selepas pokok tu ditanam. Tak boleh terlalu awal. Tapi tak apalah, nak buat macam mana semuanya dah jadi, kan?" jawab Hail dengan senyuman nipis diukirkan buat dua pekerjanya itu.
Pak Deris dan Abang Yunus tersenyum lega. Sekurang-kurangnya Hail tidaklah melenting. Inilah yang mereka suka tentang Hail, lelaki itu tidak suka memperbesarkan hal yang sudah berlaku. Lelaki itu lebih suka bersikap tenang dan mencari jalan penyelesaian.
Sufi yang mendengar perbualan mereka bertiga cuba menjengukkan kepala ke arah Hail yang membelakangkannya. Dia cuba mengintai bagaimana agaknya rupa Hail sewaktu lelaki itu tersenyum. Namun, belum sempat dia dapat melihat, Baim terlebih dahulu mengetuk kepalanya menggunakan fail. Sufi memandang ke sisi. Dia mengecilkan mata memandang Baim sedangkan lelaki itu tegak memandang Hail yang masih lagi berbincang.
"Habis tu kita nak buat apa sekarang ni, tuan?" soal Abang Yunus.
Hail mengetap bibir. Dia memicit dahi memikirkan sesuatu.
"Abang ajak semua pekerja-pekerja kutip semua buah yang terkena jangkitan tu kemudian buang dekat tempat pelupusan sampah yang jauh dari kebun kita tu. Pastikan tak ada walau sebiji pun buah yang kena jangkitan tu ada kat kebun kita. Satu lagi, jangan bakar buah yang dah rosak tu..." Hail mengeluarkan arahan.
Abang Yunus dan Pak Deris menganggukkan kepala tanda faham. Jika itu arahan yang dikeluarkan, mereka hanya menurut.
"Kenapa tak boleh bakar?" sampuk Sufi tiba-tiba.
Kesemua mata memandang ke arahnya. Baim terlebih dahulu menjegilkan matanya pada Sufi. Tanda tidak suka Sufi menyampuk perbincangan Hail dan pekerja-pekerjanya.
Hail menoleh sejenak ke belakang. Soalan Sufi dibiarkan sepi untuk seketika sebelum dia kembali memandang wajah Pak Deris dan Abang Yunus. Kelihatan mereka berdua juga memandang wajahnya dengan seribu satu persoalan. Hail melepaskan nafas.
"Kenapa, tuan?" soal Pak Deris tidak lama kemudian.
"Haahlah, kenapa tak boleh bakar buah yang dah rosak tu?" tambah Abang Yunus pula.
"Kalau kita bakar buah cili yang dah ada jangkitan tu, jangkitan tu akan tersebar daripada debu-debu cili tu sebab jangkitan antrakos ni bermula dari spora. Satu cara aje yang ada, buang jauh-jauh. Faham?" soal Hail sambil mengancingkan giginya. Dia mengerling ke sisi. Kata-kata itu lebih ditujukan buat Sufi yang terlampau banyak soalan.
"Lepas siap buang semua cili yang rosak tu, barulah abang dan Pak Deris racun semula kawasan pokok cili tu. Racun yang saya beli tempoh hari ada lagi, kan?" sambung Hail lagi.
Abang Yunus dan Pak Deris berpandangan. Mereka tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Racun propineb dah habis, tuan," jawab Abang Deris dengan tergagap-gagap apabila menyebut nama racun tersebut.
"Dah habis? Racun azoxystrobin?" soal Hail mula resah. Dia menggigit kuku.
"Racun robin tu pun dah habis, tuan. Kami dah buat pesanan dekat pembekal tapi mereka kata stok belum sampai," jawab Pak Deris menerangkan hal yang sebenar.
"Racun tu pun dah habis? Dah tu kita nak buat apa sekarang? Pokok cili tu perlukan perlindungan," ucap Hail turut resah apabila memikirkan perkara yang tidak dapat dielakkan berlaku.
"Kita cuba cara kampung, tuan." Baim memberi cadangan.
Hail memandang Baim dengan penuh tanda-tanya.
"Kau tahu ke cara kampung nak buat racun tu?" soal Hail.
Baim hanya tersengih. Lambat-lambat dia menggelengkan kepala.
Hail menepuk dahi. Abang Yunus dan Pak Deris mula gelisah. Hanya Sufi yang tersenyum sambil anak matanya menghala ke atas. Jari telunjuknya mengetuk dagu sendiri. Tanda dia sedang berfikir.
"Hah, saya tahu!" ucap Sufi tiba-tiba.
Lalu, empat pasang mata memandang tepat ke wajah Sufi yang sedang tersenyum dengan kening yang terangkat.
"Apa yang kau tahu?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co