Truyen3h.Co

CALON MENANTU DADDY

Bab 12

karyaseni2u

HARI ini wajah bos mereka tidak seperti selalu. Laju sahaja langkah kakinya menuju ke biliknya. Langsung tidak dihiraukan beberapa suara yang menyapa.

Malah, tiada sebaris senyuman pun diraut wajah yang tampan itu. Pertama kali para pekerjanya melihat wajah gusar Datuk Syed Thaqif. Entah apa yang difikirkannya, mereka sendiri pun tidak pasti. Hairan pula melihat bos mereka yang sentiasa tenang dan ceria kelihatan begitu gusar dan gelisah sekali.

"Am, masuk bilik aku kejap," arah Syed Thaqif sebaik tiba di hadapan meja setiausahanya. Amar memandang pelik wajah masam di hadapannya itu. Syed Thaqif kelihatan gelisah dan terburu-buru mengatur langkah ke biliknya.

Amar yang mula melangkah masuk ke dalam bilik Syed Thaqif memandang hairan bosnya yang sekejap berjalan ke kanan dan sekejap ke kiri. Apa kena dengan bos aku ni? Dah macam sai dekat Marwah dan Safa pula aku tengok, omel Amar dalam hati.

"Bos okey ke tak ni?" soal Amar akhirnya. Pening kepala dia melihat tingkah laku bosnya itu. Dah macam orang hilang anak pun ada.

"Kenapa kau tak beritahu aku, Am?" soal Syed Thaqif dengan wajah yang serius sekali.

Amar mengerutkan dahinya. Beritahu apa pula ni? Kepala yang tidak gatal digaru tanpa sebab.

"Beritahu apa, bos?" soal Amar tidak tahu.

"Kau tahu tak yang Tan Sri Khalid tu sibuk cari calon menantu untuk anak dia?" ujar Syed Thaqif sambil meraup beberapa kali wajahnya. IPad di tangan dihulurkan kepada Amar.

Bulat mata Amar membaca apa yang tertera di skrin IPad tersebut.

"Dahsyatnya Tan Sri Megat Khalid. Siap buat interview lagi. Fuh..." ujar Amar seperti tidak percaya.

"Kelayakan mestilah warganegara Malaysia, seorang lelaki, masih single, kaya-raya dan berkerjaya," baca Amar lagi. Terkekeh dia ketawa ketika membaca syarat-syarat yang ditetapkan oleh Tan Sri Megat Khalid itu. Biar betul Tan Sri Megat Khalid ni? Bersungguh-sungguh dia nak cari calon menantu untuk anak tunggalnya itu.

"Macam mana ni? Apa aku nak buat?" soal Syed Thaqif tidak keruan.

Amar yang melihat sikap kelam-kabut Syed Thaqif melepaskan tawa besarnya. Rasa macam tak percaya pula bila melihat bosnya yang sangat berkaliber boleh berlakuan seperti ini. Kebanyakan orang sedia maklum bahawa CEO Golden Empire memang merupakan seorang jutawan muda yang sangat dikagumi disebabkan kejayaan yang dicapainya dalam dunia perniagaan. Tapi kebanyakan orang tak tahu yang bos aku ni sebenarnya cukup lemah dalam bab cinta. Itulah kekurangan sebenar dirinya. Amar bermonolog sendirian dalam hati.

"Tu la. Siapa suruh bos lambat sangat? Melepas la nanti." Selamba sahaja Amar berkata. Sengaja nak menghangatkan lagi keadaan.

Syed Thaqif mengeluh berat.

"Kau ni bukan nak tolong fikirkan jalan penyelesaian tapi buat aku makin tertekan ada la," leter Syed Thaqif.

Amar sudah terkekeh ketawa. Punggung mula dilabuhkan di atas sofa berhadapan Syed Thaqif.

"Sorry la, bos. Saya sebenarnya tak pernah tengok bos kalut-kalut macam ni. Bos kan selalunya cool aje. Jangan la gelabah macam ni," ujar Amar bersama tawa kecil di hujung katanya.

Syed Thaqif cuba berlagak tenang. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan-lahan.

"Kau bayangkan, dah bertahun-tahun aku tunggu dia. Mana boleh cool macam selalu. Aku kena buat sesuatu," ucap Syed Thaqif bersungguh-sungguh.

"Relaks, bos. Tan Sri Khalid baru nak cari calon menantu, bukan nak kahwinkan lagi anak dia. Lagipun ciri-ciri yang dia nak ni semua ada dekat bos," jawab Amar bersungguh-sungguh.

Syed Thaqif mula menongkat dagu sambil memikirkan sesuatu.

"Lagi satu kan bos, mana ada orang nak tolak CEO Golden Empire jadi menantu dia," tambah Amar lagi. Bersungguh-sungguh dia meyakinkan Syed Thaqif.

"Actually, aku tak nak dekati anak Tan Sri tu sebagai seorang CEO. Aku nak ajar dia sikit," luah Syed Thaqif.

Amar mula mengerutkan dahinya. Dia sebenarnya kurang faham dengan maksud bosnya itu.

"Maksud bos?"

"Kau sendiri pun tahu kan macam mana perangai anak perempuan Tan Sri Khalid?" duga Syed Thaqif. Sepantas kilat Amar menganggukkan kepalanya.

"Orang cakap dia berlagak sombong, angkuh, degil, tak reti nak hormatkan orang dan pisau cukur pula tu." Selamba sahaja Amar menjawab.

Syed Thaqif mula membeliakkan bola matanya.

"Kau ni agak-agak la nak kata dekat bakal isteri aku tu!" marah Syed Thaqif.

Amar tersengih panjang. Sentap pula bos aku ni.

"Orang yang cakap bukan saya. Tapi bos, anak Tan Sri Khalid tu memang hot, tiptop, cun habis. Serius, dia memang cantik. Meletop gitu," puji Amar panjang lebar. Tadi bukan main hebat dia mengata tapi kali ni bukan main bersungguh-sungguh dia memuji.

"Tadi bukan main hebat kau mengumpat, tiba-tiba bertukar jadi pujian pula kenapa?" perli Syed Thaqif.

"Saya serius la, bos. Saya kan pernah bertembung dengan dia waktu dekat Vistana Holdings hari tu. Princess bos tu memang cantik gila kut. Makin bertambah cantik bila dia senyum. Tak tidur malam saya kalau dapat girlfriend secantik dia. Sexy pula tu." Makin melambung pujian yang diberikan oleh Amar. Syed Thaqif sudah mula menggelengkan kepalanya.

"Ni dah lebih ni. Sekarang ni kau ke atau aku yang nak tackle anak Tan Sri Khalid tu?" perli Syed Thaqif lagi.

Amar tersenyum kecil mendengar pertanyaan bosnya itu.

"Mesti la, bos. Saya tak berani la. Lagipun, princess bos tu mana pandang orang macam saya ni," jawab Amar perlahan.

Kata-kata Amar itu membuatkan Syed Thaqif mula berfikir panjang. Ada sesuatu yang bermain dalam benak fikirannya saat ini. Akhirnya sebuah senyuman mula terukir di bibirnya.

"Aku rasa aku dah tahu cara nak tackle anak Tan Sri Megat Khalid tu," ujar Syed Thaqif tiba-tiba.

"Macam mana, bos?" soal Amar ingin tahu.

"Aku akan menyamar."

Jawapan Syed Thaqif menimbulkan seribu kedutan di dahi Amar. Bos ni suka cakap berbelit-belit. Ni yang buat aku tak faham ni, bebel Amar dalam hati.

Meletus ketawa kecil Syed Thaqif melihat kerutan di wajah setiausahanya itu.

"Aku tak nak dia tahu yang aku ni CEO, berharta semua tu. Aku nak dia terima aku sebab diri aku bukan sebab kekayaan yang aku ada. Nak test dia sikit. Layak ke tak jadi isteri aku," cerita Syed Thaqif.

Amar akhirnya melepaskan tawa besarnya setelah habis menganalisis kata-kata Syed Thaqif itu.

"Bos sendiri kan tahu perangai sebenar princess bos tu macam mana. Saya yakin bos tak akan berjaya sebab dia tak akan pandang pun orang yang tak setaraf dengan dia. Bos tengok aje la syarat yang ditetapkan Tan Sri ni. Mesti kaya! Confirm bos tak lepas pun interview tu kalau pergi sana dengan menyamar jadi orang lain," kata Amar panjang lebar. Dia seperti kurang yakin dengan idea bosnya itu.

Syed Thaqif masih berwajah tenang.

"Wait and see, Am. Aku akan pastikan aku berjaya. Datuk Syed Muhammad Thaqif Al-Emran tak pernah kalah pada sesiapa," ujar Syed Thaqif penuh bangga.

"Tapi kan bos, macam mana bos nak menyamar kalau ramai yang dah kenal bos? Saya yakin Tan Sri pun kenal la dengan CEO Golden Empire," luah Amar.

"Aku ada cara aku yang tersendiri, Am," jawab Syed Thaqif penuh yakin.

"Saya ni sebenarnya musykil tentang sesuatu la, bos. Macam mana bos boleh jatuh cinta dengan anak Tan Sri Khalid yang sombong tu? Lepas tu sanggup pula menunggu bertahun-tahun?" soal Amar seperti tidak percaya.

Syed Thaqif mula melepaskan tawa kecilnya.

"Panjang cerita dia, Am. She is my first love dan dia juga yang menyebabkan aku berusaha hingga berjaya ke tahap ni," ujar Syed Thaqif dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

"Macam serius aje dengar. Tak kesah la, bos. Apa-apa pun saya doakan semoga bos berjaya mengejar cinta bos. Fighting!!!" ujar Amar bersungguh-sungguh.

Syed Thaqif hanya tersenyum panjang mendengarnya. Insya-Allah. Semoga semua rancangannya berjalan lancar. Amin, doa Syed Thaqif dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co