Truyen3h.Co

CALON MENANTU DADDY

Bab 14

karyaseni2u

TAN SRI MEGAT KHALID mengeluh berat. Sudah masuk seminggu sesi temuduga calon menantu berlangsung. Namun, sehingga kini dia masih belum berjumpa dengan calon yang sesuai untuk puteri tunggalnya itu. Memang dalam kalangan mereka semuanya kaya-raya tetapi rasa macam masih kurang sesuatu. Entah la. Belum ada dalam kalangan calon temuduga yang berjaya menarik minatnya lagi.

Tapi ada seorang calon yang bermain-main dalam akal fikirannya saat ini. Kenapa aku rasa dia yang paling layak buat masa ni? Apa kata aku beri peluang tu kepada dia? Pilihan aku tak mungkin salah. Aku suka dengan keberanian anak muda itu. Tan Sri Megat Khalid bermonolog sendirian sambil otaknya ligat mengingati kembali bagaimana pertemuannya dengan seorang anak muda yang cukup berani sifatnya. Kedatangannya ke Golden Empire beberapa hari lepas adalah disebabkan janji temu yang sudah diaturkan.

"Tan Sri, silakan masuk. Sekejap lagi Datuk Syed akan sampai," ujar seorang wanita bersama senyuman manis.

Tan Sri Megat Khalid turut mengukir senyuman tipis sambil melangkah mengikuti wanita di hadapannya itu. Rasanya, ini sudah masuk kali ketiga dia datang ke Golden Empire tetapi inilah pertama kali dia ingin bersua muka dengan CEO muda ini iaitu anak kepada Tan Sri Mukhriz. Sebelum ni datang jumpa bapa dia, hari ni datang nak jumpa pewaris dan satu-satunya anak lelaki dia pula.

"Tan Sri perlukan apa-apa? Coffee or tea?" soal wanita itu sekali lagi.

"Just a cup of tea. Thank you."

Tan Sri Megat Khalid mula memerhati bilik yang keluasannya mungkin lebih besar berbanding biliknya. Mana taknya, ini kan bilik CEO kepada Golden Empire.

Sebenarnya, Tan Sri Megat Khalid memang mengenali Tan Sri Mukhriz yang merupakan salah seorang pengasas Golden Empire cuma dia benar-benar ingin mengenali anak kepada Tan Sri Mukhriz ini.

Asyik benar mendengar khabar angin orang berbicara mengenainya dan dia masih belum diberi peluang untuk bersua muka dengan anak muda itu lagi. Matanya tiba-tiba tertancap pada satu bingkai gambar yang besar tergantung elok di dinding membelakanginya. Tan Sri Megat Khalid mula berdiri dan melangkah menuju ke arah bingkai gambar tersebut.

Oh... Jadi inilah rupa sebenar CEO muda ini. Datuk Syed Muhammad Thaqif Al-Emran. Lama matanya jatuh pada raut wajah di hadapannya itu. Kacak orangnya.

Makin lama dipandang wajah itu, rasa seperti pernah melihat pula wajah ini. Tapi inilah pertama kali dia akan bertemu dengannya. Otak Tan Sri Megat Khalid ligat berfikir sesuatu. Kenapa wajah anak muda ini seakan-akan begitu familiar?

"Assalamualaikum, Tan Sri."

Lamunan Tan Sri Megat Khalid terhenti apabila mendengar sapaan seseorang. Seorang anak muda yang raut wajahnya sama seperti di dalam gambar berdiri di sisinya sambil tersenyum manis.

Tan Sri Megat Khalid memandang lama raut wajah tampan itu sebelum terkejut apabila tangannya tiba-tiba dicapai dan disalami oleh anak muda itu.

"Datuk Syed Muhammad Thaqif?" soal Tan Sri Megat Khalid meminta kepastian. Cepat sahaja anak muda itu mengangguk.

"Jemput duduk, Tan Sri."

Mereka mula melangkah kembali ke arah sofa. Tan Sri Megat Khalid merenung lama wajah di hadapannya itu. Tingkah laku anak muda ini begitu sopan sekali. Raut wajahnya juga penuh dengan senyuman.

Mereka mula berbual dan berbincang tentang perniagaan dan projek besar terutama sekali tentang penubuhan Kolej Yayasan Al-Fateh. Tan Sri Megat Khalid begitu mengagumi anak muda ini yang penuh dengan idea-idea bernas, pendapat serta pandangan yang dilontarkan sepanjang perbincangan mereka.

Makin lama dipandang rasa seperti aku pernah melihatnya sebelum ini. Wajahnya seakan-akan mirip seseorang tapi siapa? fikir Tan Sri Megat Khalid sejenak.

"Tan Sri masih ingat saya lagi tak?"

Pertanyaan Syed Thaqif secara tiba-tiba itu mengejutkan Tan Sri Megat Khalid.

Timbul kerutan di dahi milik Tan Sri Megat Khalid. Siapa anak muda ini? Mereka pernah kenal ke sebelum ni? Pelbagai persoalan mula bermain dalam benak fikirannya.

"Saya tak pasti. Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?" soal Tan Sri Megat Khalid meminta kepastian.

"Tan Sri ingat lagi tak kemalangan ngeri sebelas tahun lepas? Waktu tu saya yang selamatkan anak Tan Sri, Eleya," beritahu Thaqif satu per satu.

Lama Tan Sri Megat Khalid terdiam dan mula berfikir. Akhirnya sebuah senyuman lebar terukir di bibirnya. Wajah berkerutnya juga sudah bertukar ceria sekali.

"Masya-Allah. Emran ke ni?" soal Tan Sri Megat Khalid seolah-olah tidak percaya.

Cepat sahaja dia menarik tubuh Syed Thaqif ke dalam pelukannya. Lama tubuh Syed Thaqif dipeluknya. Emran, nama itulah yang digunakan Syed Thaqif sebelas tahun lalu ketika memperkenalkan dirinya di hadapan Tan Sri Megat Khalid. Sehingga ke hari ini rupa-rupanya Tan Sri Megat Khalid masih mengingatinya.

"Uncle ingat dah tak dapat jumpa kamu. Kenapa kamu hilang macam tu aje sebelum ni? Puas uncle cari kamu, Emran," ujar Tan Sri Megat Khalid. Kepalanya digeleng berkali-kali. Bagaikan tidak percaya bahawa kehadiran anak muda inilah yang dia nantikan selama ini.

"Saya minta maaf, uncle. Saya tak ada pilihan waktu tu. Kami sekeluarga bergegas ke Australia selepas dapat berita kematian arwah datuk secara tiba-tiba. Then, papa dan mama terpaksa take over company arwah datuk dan saya pula sambung belajar dekat sana. Hampir lima tahun kami menetap dekat sana, baru kami pulang semula ke Malaysia," jelas Syed Thaqif panjang lebar.

Tan Sri Megat Khalid terus mengangguk mengeyakan kata-kata Syed Thaqif.

"Uncle faham, Emran. Uncle dah bersyukur dapat jumpa kamu kembali. Uncle tak pernah tahu rupanya kamu ni anak Mukhriz. Kecil dunia ni, Emran. Uncle tak sangka CEO Golden Empire yang memang uncle nak sangat jumpa rupanya kamu. Uncle betul-betul bangga dengan pencapaian kamu," luah Tan Sri Megat Khalid. Langsung tidak menyangka bahawa CEO yang dia begitu banggakan selama ini rupanya seseorang yang dikenalinya.

"Selama ni memang saya ada dekat sekeliling uncle aje cuma saya tak berani nak pamerkan diri. Saya takut uncle dah tak ingat diri saya ni. Saya takut nak bersemuka dengan uncle."

"Ke situ pula kamu ni. Uncle tak pernah lupakan kamu. Uncle terhutang budi dan nyawa dengan kamu, Emran. Syukur, uncle dah jumpa kamu semula sekarang ni. Boleh la uncle bayar budi kamu," ujar Tan Sri Megat Khalid.

"Saya tak minta pun untuk dibayar uncle. Ikhlas saya tolong uncle bukan sebab nak harapkan balasan apa-apa."

"Alhamdulillah... Lega uncle dengar," ujar Tan Sri Megat Khalid sambil menepuk lembut bahu Syed Thaqif.

"Tapi... Saya sebenarnya..."

Kata-kata Syed Thaqif mula menimbulkan kerutan di dahi Tan Sri Megat Khalid.

"Tapi apa, Emran? Beritahu uncle apa yang kamu inginkan? Barulah uncle dapat balas budi baik kamu itu."

"Tak... Tak, uncle. Bukan tu maksud saya. Saya sebenarnya ada hajat besar ni, uncle," beritahu Syed Thaqif perlahan. Berdebar pula dia nak bercakap. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan. Bismillah...

"Hajat besar? Maksud kamu?"

"Errr... Macam mana nak cakap, eh? Hurm... Errr..." Kepala yang tidak gatal mula digaru perlahan.

Tan Sri Megat Khalid sendiri pelik melihat wajah gelisah dan gelagat Syed Thaqif kala itu. Hajat apa yang dia hendak sampaikan ini? fikir hati kecilnya.

"Tak apa. Cakap aje. Mana tahu mungkin uncle boleh kabulkan hajat Emran tu," balas Tan Sri Megat Khalid dengan tenang.

"Errr... Macam ni. Saya... Sebenarnya... Nak... Nak..."

"Nak apa?"

"Nak lamar uncle..."

"Apa?"

"Eh... Tak, tak. Saya sebenarnya nak lamar anak uncle untuk jadi isteri saya." Lancar juga akhirnya.

Fuh... Lega rasanya, ucap Syed Thaqif dalam hati sambil mengurut lega dadanya. Apasal la susah sangat nak cakap? Bukan susah mana pun kan nak luah benda ni? Aishhh... Memalukan lelaki sungguh kau ni, Thaqif.

Seperti baru tersedar, Syed Thaqif cepat-cepat mengangkat wajahnya memandang Tan Sri Megat Khalid yang berada di hadapannya itu. Serius wajah Tan Sri Megat Khalid kala ini. Mungkin masih terkejut dengan 'statement' aku tadi. Drastik sangat ke tindakan aku ni? duga Syed Thaqif. Sengihan panjang dihadiahkan buat Tan Sri Megat Khalid yang berada di hadapan mata.

Tan Sri Megat Khalid cuba menghadam satu per satu kata yang baru terbit dari bibir Thaqif. Nak lamar anak aku? Biar betul dia ni? Betul ke apa yang aku dengar ni? Ke telinga aku yang salah dengar? Tertanya-tanya sendiri Tan Sri Megat Khalid dalam fikirannya.

"Errr... Saya tahu tindakan saya ni macam terburu-buru aje tapi saya dapat tahu uncle tengah adakan interview untuk cari calon menantu uncle. Boleh kan kalau saya nak turut serta sekali dalam interview tu?" sambung Syed Thaqif apabila melihat Tan Sri Megat Khalid seolah-olah terkejut dengan kenyataannya sebentar tadi.

Biar la Tan Sri nak anggap apa pun yang penting aku tak nak orang kebas hak aku. Macam nyanyian yang selalu kita dengar tu. Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia diambil orang, desis Syed Thaqif dalam hati.

Akhirnya, meletus ketawa kecil Tan Sri Megat Khalid apabila melihat sikap kelam-kabut Syed Thaqif.

"Are you sure? Betul ni Emran sudi untuk jadi menantu uncle?" soal Tan Sri Megat Khalid seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya itu. Ya la, hari ini pertama kali dia bertemu kembali dengan anak muda yang sudah lama menghilang tanpa berita.

Cepat sahaja Syed Thaqif mengangguk sebaik mendengar pertanyaan Tan Sri Megat Khalid.

"Emran dah jumpa dengan princess uncle tu?" soal Tan Sri Megat Khalid lagi.

Gelengan Syed Thaqif membuatkan bibir Tan Sri Megat Khalid tersenyum lebar.

"Biar uncle terus terang dengan Emran. Eleya bukan kanak-kanak tiga belas tahun macam dulu lagi. Dia dah banyak beza. Uncle sendiri pun tak tahu dekat mana salah uncle waktu didik dia. Dia langsung tak sama macam arwah mommy dia," cerita Tan Sri Megat Khalid. Ada keluhan berat di hujung katanya. Bagaikan sesal dengan sesuatu.

"Dia sangat degil dan susah nak dengar nasihat orang. Makin lama uncle biarkan, makin dia menjadi-jadi. Uncle sendiri tak tahu macam mana nak jelaskan pada Emran. Mungkin salah uncle sebab terlalu manjakan dia selama ni," sambung Tan Sri Megat Khalid lagi.

Syed Thaqif hanya mendiamkan diri kala ini. Mungkin inilah waktu yang sesuai untuk dia jadi pendengar yang baik. Tan Sri Megat Khalid seperti memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan yang terpendam itu.

"Mungkin ada orang luar yang akan mula bercakap belakang tentang uncle sebab sanggup buat interview bagai untuk cari calon menantu. Tapi sebenarnya, uncle lebih kenal puteri tunggal uncle tu macam mana orangnya. Niat uncle cuma mahu mencari pasangan yang sesuai untuk Eleya. 'Sesuai' dalam erti kata lain calon yang mampu mengubah anak uncle ke arah yang lebih baik. Bukan sahaja untuk mengubah, tapi dia la bakal menjadi ketua, pemimpin dalam rumah tangga dan ayah untuk cucu-cucu uncle nanti," ujar Tan Sri Megat Khalid. Itulah yang dia harapkan selama ini.

"Uncle harap calon uncle nanti dapat didik dan bimbing anak uncle ke jalan yang diredai Allah. Uncle tak nak dia terus hanyut, Emran. Uncle sedar yang uncle dah salah didik Eleya. Nak berpatah balik tu memang dah tak sempat tapi uncle harap dengan kehadiran seorang suami akan dapat didik dan bimbing dia dengan lebih baik selepas ni. Cuma dia satu-satunya harta kesayangan yang uncle ada."

"Saya faham niat uncle. Seorang bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak dia terutama sekali untuk satu-satunya anak yang dia ada. Saya tahu tindakan saya ni terburu-buru. Saya hadir dengan tiba-tiba ni pun dah buat uncle terkejut. Saya faham perasaan uncle. Cuma saya mohon satu saja peluang dari uncle. Peluang untuk saya buktikan bahawa saya memang calon yang sesuai dan layak untuk jadi menantu uncle," jelas Syed Thaqif. Wajahnya juga kelihatan tenang dan bersungguh-sungguh sekali.

Tan Sri Megat Khalid mula melebarkan senyumannya. Dalam diam, dia memuji keberanian dan semangat yang ditunjukkan oleh Syed Thaqif saat ini.

"Saya tak kesah uncle mahu uji saya macam mana sekalipun. Saya sanggup buat apa sahaja asalkan saya diterima sebagai calon menantu uncle," ucap Thaqif lagi.

Tan Sri Megat Khalid mula melepaskan tawa kuatnya. Aku suka dengan anak muda di hadapan aku ni. Aku suka dengan semangat berkobar-kobar yang ditunjukkannya ini, puji Tan Sri Megat Khalid dalam hati.

"Uncle suka dengan keberanian kamu. Baik. Bagi uncle masa untuk fikir semua ni," beritahu Tan Sri Megat Khalid sambil menepuk lembut bahu milik Thaqif.

Ketukan di pintu bilik pejabat Tan Sri Megat Khalid mengejutkannya dari lamunan jauh. Wajah manis setiausahanya Rita terjengul di sebalik pintu.

"Saya cuma nak ingatkan Tan Sri tentang meeting pukul sebelas nanti bersama dengan ahli lembaga pengarah syarikat kita. Semua dah ada dekat bilik meeting, Tan Sri," ujar Rita sebaik melangkah masuk ke dalam bilik majikannya.

"Baik, Rita. Sekejap lagi saya datang," jawab Tan Sri Megat Khalid. Hampir terlupa dia dengan mesyuarat tersebut. Semuanya kerana terlalu memikirkan tentang calon yang sesuai untuk anaknya itu. Mungkin ada yang akan pandang serong atas tindakan dia mencari menantu ini tapi ada dia kesah semua itu?

Yang penting dia cuma ingin mencari calon yang terbaik untuk anaknya. Mana mungkin dia melepaskan satu-satunya anak yang dia ada kepada orang sembarangan, ucap Tan Sri Megat Khalid dalam hati sebelum mula mengatur langkah ke bilik mesyuarat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co