Truyen3h.Co

CALON MENANTU DADDY

Bab 3

karyaseni2u

ELEYA melangkah keluar dari bilik air sambil menyanyi riang. Dengan tubuh yang masih berbalut dengan tuala, Eleya merenung lama dirinya di hadapan cermin.

Rasa macam dah gemuk sikit. Tak boleh jadi ni, lepas ni nak kena diet, omel Eleya di hadapan cermin. Jam yang menunjukkan hampir pukul satu tengah hari dipandang dengan penuh senyuman. Macam ni la hidupnya kalau tiba hujung minggu.

Bangun lewat, mandi lewat, turun-turun aje terus lunch. Senangnya hidup aku. Dah macam puteri raja, kan? Ni la untungnya jadi anak orang kaya. Dah la keluarga kaya, anak tunggal pula tu. Hahaha, gelaknya dalam hati. Masuk bakul angkat sendiri nampaknya Si Eleya ni. Sedang sibuk dia memuji diri sendiri, kedengaran bunyi ketukan di muka pintu biliknya.

"Masuklah, Mak Nab," ujar Eleya.

Sejak bila pula Mak Nab ni pandai nak ketuk pintu? Selalunya dia panggil aku macam tu aje. Daddy pula rasanya tak ada dekat rumah. Biasalah, hujung minggu macam ni pun dia sibuk jumpa klien, omel Eleya sendirian apabila bunyi ketukan masih kedengaran tetapi suara si pengetuk tidak pula kedengaran. Siapa pula nak main-main dengan aku ni? fikirnya sejenak.

"Mak Nab?" panggil Eleya.

Senyap aje. Bunyi ketukan pun dah berhenti. Apa kena dengan Mak Nab ni? Boleh pula dia nak main-main dengan aku? Perlahan-lahan Eleya melangkah ke arah pintu biliknya. Tangan sudah melekap di tombol pintu itu.

"Betul ke Mak Nab dekat luar? Aku dah la dengan tuala aje dekat badan ni." Sempat Eleya membebel seketika.

Tombol pintu dipulasnya perlahan-lahan. Kepalanya cuba dijengukkan ke luar pintu. Kosong. Aik, tak ada sesiapa pun? Takkan dia salah dengar kut? Rasa macam ada orang ketuk pintu ni. Timbul kerutan di dahinya. Pintu ditutupnya kembali. Cepat sahaja dia melangkah ke arah almari pakaiannya. Baru sahaja Eleya selesai menyarungkan pakaian, bunyi ketukan di pintu kembali kedengaran.

"Isyyy... Tengah hari macam ni siapa pula nak main-main dengan aku?" Tertanya Eleya sendirian sambil melangkah laju bersama perasaan bengangnya. Laju sahaja tombol pintu dipulasnya.

"Surprise!!!" Terjengul wajah seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan Eleya di hadapan pintu. Wajah bengang Eleya sebentar tadi cepat sahaja bertukar penuh ceria.

"Linda!" jeritnya seolah-olah tidak percaya. Dalam sekelip mata cepat sahaja mereka berpelukan dan mula melagakan pipi.

"I miss you so much, babe. Bila kau balik sini?" soal Eleya sebaik merungkaikan pelukan. Wajah teman rapatnya dipandang lama bagai melepaskan rindu.

"Rindu kau juga, El. Actually, lewat petang semalam aku tiba kat Malaysia," beritahu Linda.

"Tak ada bawa balik buah tangan apa-apa ke dari Paris?" gurau Eleya. Bukannya dia tidak tahu Linda pergi ke sana untuk menziarahi kakaknya yang baru sahaja melahirkan seorang bayi lelaki.

"El, rugi tau kau tak ikut aku pergi sana. Tadaaa... This is for you," ujar Linda sambil menghulurkan satu beg kertas yang sederhana besar kepada Eleya.

"Seriously? Ni untuk aku ke?" soal Eleya kembali seolah-olah tidak percaya. Cepat sahaja Linda mengangguk mengeyakan pertanyaan Eleya.

"Eh! Masuk la Lin, boleh pula kita berbual dekat depan pintu ni," ajak Eleya apabila baru menyedari bahawa mereka masih terpacak berdiri di hadapan pintu biliknya. Linda cepat sahaja melangkah masuk lalu membaringkan tubuhnya ke atas katil Eleya.

"Kau baru pergi seminggu Lin, aku rasa dah macam sebulan tak jumpa kau," luah Eleya.

Hidupnya agak kebosanan seminggu yang lalu apabila teman rapatnya tidak ada di Malaysia. Eleya akui yang dia memang mempunyai beberapa lagi teman rapat yang lain tetapi mereka semua tu tak sama dengan Linda.

Persahabatan Eleya dan Linda terjalin sejak mereka berada di sekolah rendah lagi. Bayangkan sudah beberapa tahun dia mengenali dan bersahabat dengan Linda. Teman sejati ke tu?

Meletus ketawa kecil Linda mendengar luahan Eleya itu.

"Itu la kau ni. Aku kan dah ajak kau ikut aku pergi sana tapi kau bagi macam-macam alasan pula."

"Masalahnya seminggu sebelum kau pergi tu kan kita baru aje balik dari Australia. Aku dah la baru dapat warning dari daddy. Tak pasal-pasal nanti dia tarik kad kredit aku," rungut Eleya.

Mana taknya, Tan Sri Megat Khalid sekarang ni dah macam bodyguard pula apabila dua puluh empat jam nak pantau apa yang Eleya buat. Boleh dikatakan hari-hari Eleya akan mendengar leteran daddynya. Teruk sangat ke eh perangai aku ni? Dah memang tabiat aku suka berjalan dan travel sana-sini nak buat macam mana, kan? soal Eleya sendiri dalam hati.

Linda terkekeh ketawa mendengar rungutan Eleya.

"Uncle marah sangat kat kau sebab kau tinggalkan kerja dekat office macam tu aje. Lain kali nak pergi mana-mana, siapkan dulu urusan kau dekat pejabat tu," balas Linda.

"Amboi! Kau pun dah sepakat dengan daddy ke nak kenakan aku? Kau bayangkan sekarang ni makin bertambah kerja aku dekat office. Daddy memang tak senang duduk rasanya kalau tengok aku kuat sangat travel. Dia cemburu la tu," bebel Eleya lagi.

Nak kata selalu travel tu tak ada la selalu sangat cuma dalam sebulan tu ada la satu dua kali dia akan bercuti ke negara luar. Eleya ni memang mengada-ada sikit. Kadang tu nak shopping pakaian pun standard shopping mall luar negara. Di dalam almari pakaian tu boleh dikatakan semua pakaiannya dari beraneka negara. Hebat ke tak?

"Bukan cemburu tapi sebenarnya dia risaukan kau. Risau kau habiskan duit dia. Hahaha..." ujar Linda bersama ketawa kuat di hujung katanya.

Eleya yang mendengar mula menjegilkan biji matanya.

"Kau memang sengaja kan perli aku?" Patung beruang besar di sisi katil dicapai dan diayun manja ke arah Linda. Suasana bilik itu riuh-rendah dengan gelak tawa mereka berdua.

"Sorry. Just kidding la, babe."

"It's okay. Aku dah biasa dengan kau. Lin, malam ni kita pergi club tau," ajak Eleya.

"Of course la, dear. Jangan cakap yang aku tak ada seminggu kau tak pergi club? Are you serious? Kau tak pergi dengan Ana, Sal?" soal Linda seolah-olah tidak percaya.

Takkan la Eleya yang kaki clubbing tu tak pergi club selama seminggu disebabkan aku tak ada di sini? Mustahil tu, fikirnya sejenak.

"Memang la aku pergi dengan dia orang. Tapi kau sendiri pun tahu kan Ana dan Sal tu macam mana? Mesti la dia orang heret sekali dengan teman lelaki dia orang. Lain la kalau kau ada. Kita berdua kan single and available. Baru fun sikit."

Linda tersengih panjang mendengar kata-kata Eleya itu.

"El, kenapa kau tak layan aje lelaki-lelaki yang selalu kacau kau dekat club tu? Pilih la salah sorang daripada dia orang. Kau tak teringin nak bercinta ke, El?" cadang Linda tiba-tiba sahaja.

Eleya mengangkat sebelah keningnya. Cinta? Eleya akui yang dia memang mempunyai ramai kawan lelaki tetapi tu la, belum pernah terlintas lagi dalam hatinya untuk bercinta dengan salah seorang daripada mereka.

Eleya memang tak minat sangat bercinta ni semua. Yang dia minat lebih kepada kekayaan dan wang ringgit yang lelaki tu ada. So, kebanyakan kawan lelaki Eleya semuanya dari kalangan orang bangsawan dan hartawan.

Maksudnya, hanya orang yang setaraf dengan dia yang boleh menjadi kawannya. Kadang tu ada juga Eleya kikis duit dia orang tu semua. Dia tidak kesah jika digelar playgirl atau pisau cukur. Yang penting dia bahagia.

"Rasa macam dah lama aku tak dengar perkataan cinta tu. Hahaha..." Selamba sahaja Eleya berkata.

"Aku pelik la dengan kau ni, El. Kau ada masalah ke? Fobia dengan cinta ke? Tapi sepanjang aku kenal kau, banyak aje lelaki yang nak kat kau. Cuma kau aje layan tak layan. Kadang tu, kau layan pun sebab nak sapu duit dia orang. Asal, eh? Kalau aku jadi kau, dah lama aku pilih yang mana satu. Tak pun aku buat spare part. Hahaha..." kata Linda.

Dalam diam sebenarnya Linda ada menyimpan rasa cemburu terhadap Eleya kerana Eleya sangat mewah dengan kehidupannya. Menjadi anak tunggal dan kesayangan Tan Sri Megat Khalid membuatkan apa sahaja yang diingini Eleya pasti akan dikabulkan oleh daddynya.

Walaupun Linda sememangnya berasal dari keluarga kaya tetapi dia mempunyai adik-beradik yang ramai. Kadang tu dia merasakan ibu dan ayahnya lebih menyayangi adik bongsunya malah dia kurang mendapat perhatian daripada mereka. Berbeza dengan Eleya yang sentiasa mendapat perhatian daripada Tan Sri Megat Khalid.

Malah, Eleya juga dikelilingi dengan teman-teman rapat yang begitu menyayanginya. Apa yang Eleya buat pasti akan mendapat perhatian dan pujian daripada orang lain. Linda juga akui yang dia cemburu apabila melihat Eleya dikelilingi dengan ramai lelaki berbanding dengan dirinya.

Sudah bertahun-tahun dia mengenali Eleya, sudah bertahun-tahun jugalah dia memendam perasaan cemburu dan iri hati kepada Eleya. Itukah yang dinamakan nilai sebuah persahabatan? Begitu bijak Linda menyembunyikan rasa cemburu dan iri hati sehingga Eleya tidak pernah sedar akan hal itu walaupun sudah bertahun-tahun mereka bergelar teman.

"Entah la, Lin. Aku tak kesah orang nak anggap aku playgirl ke, pisau cukur ke... Yang penting aku cuma anggap mereka tu kawan aje. Cinta tu tak berputik lagi. Mungkin sebab aku belum jumpa cinta yang betul lagi," kata Eleya bersama senyuman yang lebar.

Rasa nak ketawa pun ada bila bercakap tentang cinta ni. Aku berkawan dengan semua orang cuma aku tak bercinta aje dengan sesiapa. Sebab utamanya aku sendiri pun tak tahu. Entah la. Penting sangat ke cinta tu? Aku rasa wang ringgit dan kemewahan lagi penting dari segala-galanya, omel Eleya dalam hati.

"Actually, aku bukannya nak sapu duit dia orang pun. Kekayaan daddy aku pun tak habis dimakan aku sorang. Cuma dia orang tu yang beria-ia nak belanja dan beli aku macam-macam. Durian runtuh, kan? Takkan aku nak tolak pula?" sambung Eleya.

"Eleh, pandai kau putar belit cerita. Padahal kau sendiri memilih bila nak berkawan. Semua nak yang kaya-kaya. Kau memang tak pandang kan orang yang lebih rendah dari kau? Sombong tau kau ni." Selamba Linda berkata.

Meletus ketawa kecil Eleya mendengar kata-kata Linda itu. Dia dah biasa dengar orang label dia sombong. Dia dah tak kesah semua tu.

"Eh! Yang kau tiba-tiba bercakap pasal cinta dengan aku ni kenapa? Jangan cakap kat aku yang kau dah jumpa cinta sejati kau? Jejaka France ke, Lin?" usik Eleya.

Linda tersengih panjang di hadapan Eleya. Wajahnya juga sudah berubah warna. Memang sah kau dah ada seseorang ni, Lin, duga Eleya dalam hati. Habis la aku lepas ni. Semua kawan dah ada teman istimewa masing-masing. Takkan aku pun nak kena cari seseorang lepas ni? Anak Datuk mana eh aku nak target? Eleya sudah mula bermonolog sendirian.

"Dengan siapa, Lin? Tak nak kenalkan dekat aku ke?" Eleya kembali menyoal. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba aje Si Lin ni dah ada seseorang. Macam mana dia boleh tak sedar ni?

"Kalau aku beritahu, kau jangan marahkan aku tau." Takut-takut Linda berkata. Eleya mengerutkan dahi licinnya.

"Cakap aje la. Siapa?" pinta Eleya. Macam ada yang tak kena pula. Macam la dia kenal dengan siapa Linda bercinta tu?

"Megat Rayqal."

"What?! Lin, kau ni biar betul? Dalam banyak lelaki, kenapalah kau pilih Qal? Dia tu kan playboy besar," ujar Eleya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya.

Linda mula memasamkan wajahnya. Mungkin terasa dengan kata-kata Eleya itu. Salah ke pilihannya?

"Okey, aku minta maaf. Bukan apa, aku kenal sangat la dengan sepupu aku tu. Aku takut dia mainkan kau. Nanti kau yang akan sedih, Lin," beritahu Eleya bersungguh-sungguh.

"Tapi dia dah janji yang dia akan cintakan aku sorang aje. Aku percayakan dia, El."

Eleya menggelengkan kepalanya. Dah kemaruk cinta kawan aku ni. Aku cakap apa pun memang dah tak ada guna. Hurmmm... Kau jangan risau Lin, aku akan pastikan Megat Rayqal jaga kau baik-baik lepas ni. Kalau dia mainkan kau, siap dia dengan aku, ucap Eleya dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co