Truyen3h.Co

CALON MENANTU DADDY

Bab 4

karyaseni2u

"KENAPA tiba-tiba ajak El lunch dengan daddy?" soal Eleya kepada Tan Sri Megat Khalid sebaik selesai memesan makanan. Daddynya tiba-tiba sahaja mengajak dia untuk makan tengah hari bersama. Semacam aje daddynya ni. Selalunya ada aje klien yang daddy dia nak jumpa waktu lunch macam ni.

"Takkan nak lunch dengan anak sendiri pun tak boleh?" Selamba sahaja Tan Sri Megat Khalid menjawab.

Eleya mencebik bibirnya.

"Bukan tak boleh tapi tak biasa la. Daddy kan selalu sangat sibuk," balas Eleya.

"Daddy rasa El pun selalu sibuk juga, kan? Jarang daddy lihat El dekat pejabat lepas waktu lunch. Where are you? Pergi jumpa klien ke?" duga Tan Sri Megat Khalid tiba-tiba.

Buk! Terkena batang hidungnya sendiri. Daddy ni ada aje yang dia tak puas hati dekat aku. Semua yang aku buat dia tahu, rungut Eleya dalam hati.

"Errr... El... Errr... El ada aje dekat office. Daddy yang tak perasan," balas Eleya bersama sengihan panjang. Tan Sri Megat Khalid mula menggelengkan kepalanya.

"Daddy harap sangat El serius dengan kerja. Lepas ni daddy nak serahkan syarikat tu untuk El. Risau daddy kalau El tak serius macam ni." Panjang lebar Tan Sri Megat Khalid menasihati anaknya.

Eleya mula buat muka bosannya. Asal dengan daddy aje mesti keluar cerita pasal syarikat. Bosan El macam ni. Kalau daddy risaukan El, kenapa nak serahkan syarikat tu pada El? Serahkan aje pada orang lain. El pun bukan minat sangat bab-bab syarikat ni. Kenapalah daddy tak faham yang aku langsung tak ada minat dekat syarikatnya itu? bebel Eleya dalam hati.

"Daddy, jom kita makan dulu. El dah lapar," jawab Eleya. Malas untuk dia bercakap panjang-panjang pasal syarikat.

Tan Sri Megat Khalid hanya memandang resah anaknya itu. Kenapalah El susah sangat nak dengar cakap daddy? rungut Tan Sri Megat Khalid dalam hati.

"Daddy ingat kan esok hari apa?" soal Eleya sewaktu mereka sedang menjamu selera.

Tan Sri Megat Khalid mengerutkan dahinya sambil cuba memikirkan sesuatu.

"Esok hari Selasa la. Kenapa, sayang?" jawab daddynya pendek.

Eleya memuncungkan bibirnya. Daddy ni memang tak ingat langsung pasal aku. Asyik ingat pasal syarikat dia aje! marah Eleya dalam hati.

"Saja aje El tanya," balasnya pendek siap dengan jelingan panjang lagi buat Tan Sri Megat Khalid. Meletus ketawa kecil daddy melihat keletah anak tunggalnya itu.

"El dah kenyang la. Tiba-tiba tak ada selera. Jom la kita balik," sambung Eleya.

"Sekejap la. Daddy belum habis makan lagi. Lagipun bukan senang daddy nak keluar makan dengan anak bertuah daddy ni."

Eleya memuncungkan bibirnya sambil memandang geram wajah Tan Sri Megat Khalid.

"Tak payah nak muncung sangat bibir tu. Mesti la daddy ingat. Esok kan birthday satu-satunya princess daddy."

Wajah Eleya terus bertukar ceria. Siap dengan senyuman lebar di bibir lagi. Makanan di hadapan kembali dijamahnya.

"Amboi! Tadi kata dah kenyang?" ujar Tan Sri Megat Khalid bersama tawa kecil di hujung katanya. Eleya tidak berkata apa. Yang pasti dia sudah tidak sabar untuk menghadapi hari esok. Tidak sabar untuk dia mengetahui hadiah yang akan diberikan oleh daddynya tahun ni.

"THANKS daddy sebab belanja El makan hari ni," ujar Eleya setelah mereka selesai makan dan beransur untuk pulang ke pejabat. Tan Sri Megat Khalid hanya tersenyum mendengar ucapan anaknya itu. Dia mengaku walaupun mereka kerja di tempat yang sama tetapi jarang sekali mereka dapat makan tengah hari bersama-sama seperti hari ini.

"Assalamualaikum pak cik, kakak." Tiba-tiba sahaja ada seorang budak lelaki muncul di hadapan mereka sewaktu mereka sedang berjalan ke tempat parkir kereta. Tan Sri Megat Khalid tersenyum manis melihat budak lelaki yang mungkin berusia sekitar enam atau tujuh tahun itu.

"Waalaikumussalam. Ada apa boleh pak cik tolong, nak?" soal Tan Sri Megat Khalid perlahan. Eleya pula sudah menjeling tajam ke arah budak itu. Ni tak lain tak bukan mesti datang nak minta sedekah, kata Eleya dalam hati.

"Saya ada jual surah Yasin. Pak cik nak beli tak? Banyak tau kelebihan kita baca surah Yasin ni," beritahu budak lelaki itu.

"Tak nak la, dik. Dekat rumah kita orang dah banyak surah Yasin." Cepat sahaja Eleya menjawab sambil menarik lengan daddynya supaya meninggalkan budak itu.

"Sekejap, sayang," ujar Tan Sri Megat Khalid sambil mengeluarkan dompetnya.

"Satu berapa, nak?" soal Tan Sri Megat Khalid.

"Satu lima ringgit, pak cik."

"Anak tinggal dengan siapa? Mak dan ayah ada lagi?" soal Tan Sri Megat Khalid.

"Saya anak yatim, pak cik. Saya tinggal dengan mak saya. Ayah saya meninggal waktu saya kecil lagi," beritahu budak lelaki itu.

"Kalau macam tu beri pak cik semua tu la," ujar Tan Sri Megat Khalid.

"Betul ke ni, pak cik?" soal budak itu seperti tidak percaya. Wajahnya terus bertukar ceria apabila melihat anggukan pak cik di hadapannya itu.

"Semuanya seratus ringgit, pak cik," ujar budak lelaki itu sambil menyerahkan dua puluh buah buku surah Yasin kepada Tan Sri Megat Khalid.

Eleya mula membuat muka tidak puas hatinya apabila melihat daddy menghulurkan duit kepada budak lelaki itu. Kenapa dengan daddy ni? Baik hati sangat dengan budak hingusan macam ni. Buat habis duit aje! bentak Eleya.

"Seratus aje, pak cik. Ni duit lebihnya," ucap budak lelaki itu apabila melihat ada dua keping wang seratus di dalam genggamannya. Tan Sri Megat Khalid tersenyum lebar melihat huluran itu.

"Seratus lagi tu pak cik sedekahkan buat kamu," jawab Tan Sri Megat Khalid sambil mengusap lembut ubun kepala anak itu.

"Alhamdulillah, Ya Allah. Terima kasih banyak-banyak, pak cik. Saya doakan pak cik dan kakak dimurahkan lagi rezeki oleh Allah S.W.T. Amin," ucap budak lelaki itu sebelum meminta diri untuk berlalu pergi. Dia juga menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Tan Sri Megat Khalid.

Eleya pula sengaja membulatkan matanya. Biar betul daddy ni? Boleh dia bagi dua ratus ringgit macam tu aje dekat budak yang dia baru kenal tak sampai beberapa minit. Aishhh...

"Jom, sayang. Apa yang tercegat lagi tu?" Sapaan daripada Tan Sri Megat Khalid mengejutkan Eleya.

"Daddy ni kenapa bagi duit macam tu aje? Budak macam tadi tu sepatutnya ada dekat sekolah bukan minta sedekah tepi jalan," bebel Eleya sebaik meloloskan diri ke dalam kereta. Tan Sri Megat Khalid tersenyum panjang mendengar pertanyaan anaknya itu.

"Dia berniaga sayang, bukan minta sedekah. Lagipun, budak tadi tu anak yatim. Tak salah kita bantu dia. Nabi Muhammad suka tau umatnya yang bantu anak yatim ni. Sayang nampak tak muka ceria adik tadi waktu daddy hulurkan duit untuk dia?" kata Tan Sri Megat Khalid.

"Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin." (Surah Al-Baqarah: Ayat 83)

"Daddy ni suka sangat tolong orang. Entah-entah budak tadi tu pura-pura aje jual surah Yasin? Tak pasal-pasal daddy yang rugi. Tu baru sorang budak macam tu. Kalau ada sepuluh orang, dah berapa ratus daddy rugi? Baik bagi duit tu dekat El aje," marah Eleya lagi.

"Tak baik bersangka buruk dekat dia. Biar la kalau dia nak tipu pun. Yang penting niat daddy memang nak tolong dia. El pun kena banyak bersedekah dan tolong anak-anak yatim," nasihat Tan Sri Megat Khalid.

Meletus ketawa kecil Eleya.

"Tunggu El tua macam daddy dulu la baru nak bersedekah semua ni." Selamba sahaja Eleya menjawab. Tan Sri Megat Khalid hanya berwajah tenang.

"Kalau El nak tahu, arwah mommy dulu suka sangat tolong orang. Tambah-tambah lagi anak yatim. Daddy harap El boleh jadi macam arwah mommy," luah Tan Sri Megat Khalid. Terkenang kembali bagaimana arwah isterinya itu rajin sekali terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Mulia sungguh hati sayang sebab tu la Allah ambil sayang cepat sangat dari abang, ucapnya dalam hati.

Eleya hanya mendiamkan dirinya. El bukan mommy. So, tak mungkin El boleh jadi macam mommy, kata Eleya dalam hati.

"So, daddy nak buat apa dengan buku surah Yasin banyak-banyak ni?"

"Kita boleh bagi dekat staf-staf syarikat tak pun letak aje dekat surau office. Nanti kalau ada majlis tahlil atau bacaan Yasin, tak perlu lagi dia orang nak bawa dari rumah," cadang Tan Sri Megat Khalid.

Eleya hanya menganggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan cadangan Tan Sri Megat Khalid itu. Apa-apa aje la daddy.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co