Truyen3h.Co

CALON MENANTU DADDY

Bab 6

karyaseni2u

JAM loceng di sisi katil mengejutkan Eleya. Tanpa menunggu lama terus matanya dibuka luas. Cepat sahaja dia bangun hari ini. Tidak pula liat seperti semalam dan hari sebelum ini. Mana taknya hari ini kan merupakan hari istimewanya. Hari ini genap usia Eleya dua puluh empat tahun.

"Daddy... El dah bangun!" jerit Eleya sepenuh hati. Cepat sahaja dia mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Wajah cerianya memang tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak sabar rasanya untuk mengetahui hadiah istimewa daripada daddynya tahun ini.

Tan Sri Megat Khalid yang sedang bersarapan tersenyum panjang mendengar jeritan kuat anak perempuannya itu.

"Kak Nab tengok la anak bertuah saya tu. Boleh pula dia bangun awal hari ni. Sebelum ni bukan main liat dia nak bangun, tambah-tambah lagi kalau hari bekerja macam ni," ujar Tan Sri Megat Khalid kepada Mak Nab yang merupakan pembantu rumah mereka.

"Kalau Tan Sri nak tahu, dari semalam lagi El tu beria-ia suruh saya kejutkan dia awal pagi hari ini. Tak sabar sungguh dia nak tunggu hari ini," cerita Mak Nab.

Meletus ketawa kecil Tan Sri Megat Khalid.

"Dah besar pun anak saya tu kan, Kak Nab? Sebelas tahun dia hidup tanpa kasih sayang seorang ibu. Mujurlah ada Kak Nab yang tolong jagakan dia untuk saya. Terima kasih, Kak Nab," ucap Tan Sri Megat Khalid.

Sejak pemergian arwah isterinya, Tan Sri Megat Khalid tidak pernah pun berniat untuk mencari ibu baharu buat Eleya. Cukuplah hanya dia yang menjaga anaknya itu. Dia tidak mahu kasih sayangnya dibahagikan nanti.

Sebak pula Mak Nab mendengar ucapan luhur majikannya itu.

"Apalah sangat jasa akak untuk keluarga ni. Kak dah cukup berterima kasih Tan Sri dan arwah Puan Sri ambil kak dan Abang Mat bekerja dekat sini. Lagipun, kak dah anggap El tu macam anak kak sendiri. Dari kecil lagi kak jaga dia," jawab Mak Nab.

Ya, sudah lama pun dia bekerja dengan majikannya itu. Hampir dua puluh lima tahun dia menjadi pembantu rumah di situ. Semuanya bermula apabila arwah Puan Sri Zulaika menawarkan pekerjaan untuk dia dan suaminya.

Asalnya dia hanyalah seorang peniaga nasi lemak manakala suaminya pula hanyalah bekerja sebagai buruh kasar. Mereka memang hidup susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Arwah kerap datang membeli nasi lemak darinya sehinggalah akhirnya arwah menawarkan pekerjaan untuk mereka berdua. Layanan daripada Tan Sri sekeluarga memang cukup baik. Malah, Tan Sri dan arwah Puan Sri juga turut menampung semua perbelanjaan untuk anaknya sambung belajar. Dia sekeluarga yang seharusnya berterima kasih kepada Tan Sri Megat Khalid dan arwah Puan Sri Zulaika.

"Saya pun dah anggap Kak Nab dan Abang Mat macam ahli keluarga saya. Mikail tu dah macam anak saya sendiri," balas Tan Sri Megat Khalid dengan senang hati.

Tersenyum lebar Mak Nab mendengar kata-kata Tan Sri itu. Alhamdulillah. Ya Allah, Engkau kurniakanlah pahala yang berlipat ganda kepada Tan Sri sekeluarga, murahkanlah rezekinya dan berkatilah rezeki yang Engkau berikan itu. Amin, doa Mak Nab dalam hati.

"Daddy..." Eleya yang baru sahaja turun dari tingkat atas terus memeluk Tan Sri Megat Khalid dari arah belakang. Sebuah ciuman manja turut melekap di pipi daddynya.

"Morning, Mak Nab," sapa Eleya kepada Mak Nab pula. Tubuh Mak Nab dipeluk manja.

"Cerianya wajah anak Mak Nab pagi ni. Ada apa-apa ke?" ujar Mak Nab. Tan Sri Megat Khalid pula tidak berkata apa-apa. Hanya menikmati sarapan di hadapannya.

"Mak Nab dah lupa la tu. Hari ni kan birthday El," beritahu Eleya penuh dengan senyuman di bibir.

"Tentu la Mak Nab ingat. Selamat hari lahir, sayang. Mak Nab doakan semoga El jadi anak yang baik, dengar cakap daddy, berjaya dalam hidup, bertambah cantik dan ceria selalu," ucap Mak Nab.

Eleya tersenyum panjang mendengar cakap Mak Nab itu. Eleya kembali memaut manja lekuk leher daddynya sebaik Mak Nab melangkah ke dapur.

"Daddy, where is my birthday present?" soal Eleya manja sekali. Tan Sri Megat Khalid pula masih berwajah selamba. Susu panas diteguknya perlahan. Eleya mula memuncungkan bibirnya.

"Daddy, El tanya ni. El nak hadiah El," ujar Eleya bersungguh-sungguh.

Daddy ni kenapa? Buat tak layan aku aje. Takkan dia tak tahu hari ni birthday aku? Ke dia masih marah pasal semalam? bebel Eleya dalam hati.

"No present for this year. Daddy sibuk. So, tak sempat nak sediakan apa-apa untuk El," jawab Tan Sri Megat Khalid.

Eleya mencebik geram bibirnya. Terus mati senyuman yang menghias di bibirnya sejak dari tadi lagi. Sibuk sampai tak ingat nak beli hadiah untuk aku? Itu dah melampau namanya! marah Eleya dalam hati.

"You're kidding me? Serius la, daddy. Takkan daddy tak ada belikan apa-apa untuk El?" soal Eleya lagi dengan nada tidak puas hati.

"No! I think that I spent too much money for you. Mungkin lepas ni tak ada lagi hadiah untuk El." Selamba sahaja Tan Sri Megat Khalid menjawab. Eleya merengus kuat. Kakinya dihentak kuat sebelum melangkah pergi dari situ.

"Nak ke mana tu? Tak nak breakfast dulu ke?" soal Tan Sri Megat Khalid apabila melihat kelibat anaknya yang semakin menjauh itu. Merajuk la tu. Baru acah sikit dah merajuk. Sensitif sungguh.

"El tak ada selera. Sampai hati daddy tak belikan hadiah untuk El. Tak ingat pula tu birthday anak sendiri. Nak merajuk la macam ni," rajuk Eleya seraya mengatur langkah ke luar rumah. Hilang terus mood gembiranya. Sampai hati daddy! marahnya dalam hati.

Tan Sri Megat Khalid hanya berwajah tenang. Briefcase dicapai seraya mengatur langkah mengiringi anaknya. Senyuman panjang mula terukir di bibirnya. Dalam kiraan satu, dua, tiga...

"OMG! Daddy!!!" Terdengar jeritan kuat Eleya dari luar rumah.

Eleya tergamam saat membuka pintu rumahnya. Sebuah kereta Audi TT Coupe berwarna merah terparkir elok di halaman banglo. OMG! It is real? Cepat sahaja dia berlari ke arah kereta idamannya itu. Aku tak mimpi, kan?

"Still nak merajuk dengan daddy ke?"

Suara Tan Sri Megat Khalid mengejutkan Eleya. Terus dia berlari dan memeluk kejap tubuh daddynya.

"I'm so sorry, daddy. Thank you so much. You are the best daddy in the world. Love you so much," ucap Eleya penuh ceria. Pipi Tan Sri Megat Khalid dikucupnya berkali-kali.

"Tadi bukan main muncung bibir tu. Merajuk kononnya." Sempat Tan Sri Megat Khalid menyakat sambil mencubit geram pipi anaknya.

"Daddy tu la. Siapa suruh berahsia sangat dengan El? El ingatkan daddy betul-betul tak belikan El hadiah untuk tahun ni. Thanks, daddy."

Tan Sri Megat Khalid tersenyum lebar. Kepala anaknya diusap perlahan.

"Dah besar pun anak daddy. Cepat sangat masa berlalu. Rasa macam daddy baru aje pegang tangan kecil sayang, gendong sayang, dodoikan sayang. Daddy betul-betul rindukan saat tu. Happy birthday, my pretty princess. Daddy loves you." Satu kucupan hinggap di dahi anaknya. Eleya terdiam. Sebak sekejap mendengar ucapan daddynya itu. Terus tubuh Tan Sri Megat Khalid dipeluk kejap.

"I love you too, dad. Thank you daddy for everything you have done for me. El janji akan jadi anak yang baik untuk daddy."

Tan Sri Megat Khalid turut merasa sebak. Dia terkenangkan arwah isteri tercinta saat ini. Zulaika, lihatlah betapa cantik dan gembiranya anak perempuan kita. Kecantikan dia diwarisi daripada sayang. Senyuman dia saling tak tumpah macam sayang. Abang rindukan sayang, ucap Tan Sri Megat Khalid dalam hati.

"Can I drive this car, daddy?" soal Eleya penuh keterujaan.

"It's your car, sayang. Ni kuncinya."

Eleya menjerit keriangan. Seperti tidak percaya bahawa kereta yang diidamkannya itu sudah berada di depan mata.

"I'm so happy today. Thank you so much, daddy," ucap Eleya sekali lagi.

"Mak Nab, Pak Mat, El dapat kereta baru ni. Cantik, kan?" soal Eleya kepada Pak Mat dan Mak Nab yang baru sahaja keluar dari rumah.

"Cantik sungguh kereta El. Cantik macam tuan dia. Kalau macam tu, kereta lama El bagi dekat Pak Mat la," acah Pak Mat dengan sengihan panjangnya.

Meletus ketawa Eleya mendengar kata-kata Pak Mat itu. Matanya mengerling sepintas lalu kereta BMW 3 Series yang berada di garaj.

"Ambil aje ,Pak Mat. El dah tak kesah," jawab Eleya diiringi ketawa kuatnya.

"Daddy, kalau El tak masuk kerja hari ni boleh tak?" soal Eleya bersama sengihan panjang. Tan Sri Megat Khalid sengaja menggelengkan kepalanya.

"Rasa macam daddy baru dengar aje janji sayang tadi. Kata nak jadi anak yang baik," perli Tan Sri Megat Khalid serta-merta.

Eleya menekup bibirnya.

"Opsss... Hampir terlupa pula. Kalau macam tu, hari ni Pak Mat tak perlu hantar daddy ke pejabat. El yang akan jadi driver daddy," pelawa Eleya bersungguh-sungguh. Punyalah dia tak sabar nak bawa kereta tu.

"Daddy no problem. So, let's go," ucap Tan Sri Megat Khalid seraya melangkah masuk ke dalam perut Audi TT Coupe. Amboi, Tan Sri Megat Khalid yang beria-ia pula sekarang ni nampaknya. Meletus ketawa kecil Mak Nab dan Pak Mat melihat kerenah dua beranak itu.

"Choose a mask and wear it well, so your true identity, no one can tell..."

Please join us for a Gold & Black Masquerade Party as we celebrate.

Puteri Eleya Imanina's 24th Birthday

Friday, 5 January 2016; 8.00 pm

The Grand Ballroom,

DoubleTree by Hilton Hotel,

Kuala Lumpur.

SYED THAQIF membelek lama kad jemputan yang berada di tangannya itu.

"Macam mana, bos? Bos nak pergi ke?" Suara Amar tiba-tiba menyapa gegendang telinga Syed Thaqif.

"Macam mana kau dapatkan invitation card ni?" soal Syed Thaqif pula. Pertanyaan setiausahanya masih belum dijawab.

"Ala... Bos tak perlu tahu la macam mana saya dapat kad tu. Saya ni banyak link tau. Kerja mudah aje semua tu," jawab Amar dengan nada yang cukup angkuh.

Hari tu bos aku ni yang bermati-matian suruh aku dapatkan kad jemputan tu. Bila aku dah dapatkan dia soal macam-macam pula. Aishhh... Bukannya aku guna cara haram pun, omel Amar dalam hati.

"Kau rasa aku patut pergi ke?" soal Syed Thaqif lagi.

Amar menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tanya kita pula dah. Hai la bos aku sorang ni, nak buat keputusan melibatkan perempuan cukup susah.

"Bos patut rebut peluang ni. Jumpa dengan princess bos tu," balas Amar bersahaja.

Thaqif hanya mendiamkan dirinya. Mungkin sedang berfikir sama ada mahu menghadiri majlis tersebut ataupun tidak.

"Dia akan cam aku tak?"

"Sesiapa pun tak akan cam bos sebab bos akan pakai mask. Bos tak perlu risau la pasal tu," jawab Amar bersungguh-sungguh.

Syed Thaqif hanya mengangguk mengeyakan kata-kata setiausahanya itu.

"Apa aku nak buat bila pergi sana?" Syed Thaqif menyoal lagi. Entah kenapa otaknya tiba-tiba sahaja menjadi 'blank'? Perasaannya juga menjadi berdebar-debar. Ni aku belum lagi berhadapan dengan dia. Kalau dah duduk depan-depan agaknya boleh pengsan aku ni, kata Syed Thaqif kepada dirinya sendiri. Apasal la kau ni lembab sangat dalam bab cintan-cintun ni?

Amar hanya mampu tersengih mendengar pertanyaan majikannya itu. Lama-lama aku kena tukar jawatan la jadi penasihat cinta untuk bos aku.

"Bos... Bukan selama ni bos cari masa yang sesuai untuk bersemuka dengan dia ke? So, bos tak payah fikir banyak. Pergi aje dulu. Buat cool macam biasa," nasihat Amar.

"Tapi Am..."

Belum sempat Syed Thaqif menghabiskan kata-kata, Amar cepat-cepat mencelah.

"Kalau bos tak nak pergi, biar saya aje yang pergi. At least saya dapat makan percuma malam tu." Selamba Amar berkata sambil menarik kad jemputan yang berada di tangan Syed Thaqif. Berani sungguh dia mengugut bosnya itu.

"Okey, aku pergi. Bak sini balik kad tu," balas Syed Thaqif.

Gelabah sebentar dirinya apabila melihat Amar yang tiba-tiba sahaja merampas kad jemputan itu darinya. Pergi aje la, Thaqif. Bukan peluang ni yang kau nantikan selama ni? Sampai bila kau nak bersembunyi dalam tempurung macam ni?

Amar tersenyum gembira melihat muka kelam-kabut bosnya itu. Tahu pun takut dengar gertakan aku. Dengan orang lain boleh la bos bajet cool tapi dengan saya semua pasal bos saya tahu, omel Amar dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co