Truyen3h.Co

CALON MENANTU DADDY

Bab 7

karyaseni2u

GRAND BALLROOM yang bertempat di Hotel DoubleTree itu mula dipenuhi dengan teman-teman Eleya. Mereka yang hadir semuanya memakai topeng kena dengan tema Masqurade tersebut.

Syed Thaqif dan Amar yang baru tiba juga masuk dengan lagak selamba seolah-olah mereka juga merupakan teman kepada Eleya. Mujurlah ada topeng di wajah ini jika tidak pasti berasa lebih kekok. Amar dalam tak rela terpaksa juga mengikut bosnya ini. Nasib kau la, Am. Yang penting aku dapat makan percuma malam ni.

Amar kelihatan begitu teruja saat melangkah masuk ke dalam dewan serba luas itu. Wow... Boleh tahan dahsyat juga sambutan hari lahir anak Tan Sri Megat Khalid kali ini. Diadakan di dalam dewan seluas ini pasti jemputannya juga ramai.

Malah, dewan itu dihiasi cantik sekali dan kena dengan temanya iaitu 'Gold and Black Masquerade Party'. Ni dah macam nak sambut majlis perkahwinan pun ada. Memang macam ni ke kalau anak Tan Sri sambut birthday? komen Amar dalam hati. Bosnya di sebelah hanya mendiamkan diri sahaja sejak dari tadi. Mesti tengah gabra nak jumpa 'secret admirer' dia.

"Bos, saya nak pergi cari makan ni. Alang-alang tu nak pergi tackle la mana-mana perempuan. Bos nak stay sini ke?" ujar Amar tiba-tiba.

Sejak mereka tiba tadi, mereka hanya tahu berdiri di penjuru dewan itu. Kalau ikutkan bosnya itu rasanya sampai pagi esok pun dia akan berdiri di situ. Sindrom apa la kena dekat bos aku ni? Tertanya Amar sendirian.

"Am, kau duduk dengan aku aje la dekat sini." Itu sahaja yang Syed Thaqif mampu balas. Matanya kalut menerjah ke segenap ruang dewan itu. Orang yang dicari masih belum muncul. Perasaannya pula makin berdebar-debar. Selama ini aku hanya memerhatinya dari jauh dan hari ni aku berpeluang untuk bersemuka dengannya.

"Come on, bos. Takkan kita nak terpacak macam ni aje? Be gentleman. Relax and cool macam biasa, bos." Giliran Amar pula mengajar bosnya. La ni siapa bos dan siapa pekerja? Hilang mana habis sifat cool bos aku ni? Dahsyatnya seorang perempuan mampu buat seorang lelaki yang memang sangat tegas dengan kerjanya selama ini jadi lemah longlai macam ni sekali. Penangan seorang wanita itu rupanya sangat kuat.

Sedang mereka berbalah, lampu dewan itu tiba-tiba terpadam dan saat itu juga satu spotlight dihalakan ke arah satu kawasan. Susuk tubuh Eleya menjadi tumpuan kala itu. Tepukan gemuruh mula memenuhi ruang dewan itu. Saat itu juga bunyi instrumen lagu Happy Birthday kedengaran dari petikan piano.

Eleya yang sedang melangkah sambil dipimpin oleh seorang jejaka di sebelahnya kelihatan begitu cantik sekali dengan gaun berwarna keemasan membaluti tubuhnya. Wajahnya juga ditutup dengan topeng berwarna hitam keemasan.

"Am, siapa lelaki sebelah dia tu?" Kalut Syed Thaqif bertanya dengan nada tidak puas hati. Dari tadi lagi dia melihat Eleya dipimpin oleh lelaki itu. Sampai sekarang pelukan di lengan lelaki itu masih kemas pada pandangan Syed Thaqif. Nak kata daddy dia tapi nampak susuk tubuh macam orang muda.

"Mana la saya tahu. Nak saya pergi buka topeng dia ke?" ujar Amar dengan wajah selambanya. Bos ni tanya soalan tu biar la ada jawapan. Bukannya saya ni tukang tilik. Dah orang tu pakai topeng memang confirm la saya tak kenal dia, omel Amar dalam hati.

"Bos, rasa bergetar tulang rusuk kiri tak renung princess bos tu lama-lama?" Amar bersuara lagi. Ralit benar dia melihat Syed Thaqif itu merenung pujaan hatinya itu.

"Kau ni banyak cakap pula, Am. Dah la, pergi main jauh-jauh dari aku," balas Syed Thaqif.

Amar mula memuncungkan bibirnya. Amboi! Tadi bukan main pengecut sekarang ni berani la pula. Dasar lupa daratan bos aku ni, kutuk Amar dalam hati.

"Take care, bos. Jangan sampai pengsan depan princess bos tu sudah. Waktu tu saya tak nak tolong, saya nak buat don't know aje. Hahaha..." Sengaja Amar melepaskan tawa besarnya. Memang dia suka mengugut majikannya itu. Biar padan muka sikit.

Syed Thaqif mengangkat geram penumbuknya. Sejak bila setiausaha aku ni dah besar kepala? Pandai pula nak mengugut aku. Argh... Tak kesah la. Kelibat Amar yang semakin hilang dari pandangan hanya dipandang sepi. Syed Thaqif mengatur langkah ke arah mereka yang sedang mengerumuni 'birthday girl'. Mungkin tiba masanya untuk memotong kek.

Nyanyian lagu Happy Birthday mula kedengaran kuat daripada teman-teman Eleya. Kek bersaiz sederhana besar yang penuh dengan dua puluh empat batang lilin dipandang Eleya penuh teruja. Selesai sahaja mereka menyanyikan lagu Happy Birthday dan meniup lilin, laju tangan Eleya memotong kek yang turut berwarna keemasan di hadapannya itu.

"Happy 24th birthday, baby girl. Hope you stay healthy, beautiful and young as you are," bisik satu suara di gegendang telinga Eleya. Tersenyum lebar Eleya mendengar ucapan itu.

"Thank you so much Mika for coming and celebrate my birthday this year. Tapi jangan lupa hadiah El okey?" balas Eleya bersama senyuman lebar.

"Don't worry. Abang tak pernah lupa El, inikan pula hadiah untuk El. I brought something special from US for you," ujar Mikail dengan senyuman nakalnya. Kek yang dipotong kecil oleh Eleya sebentar tadi diambil oleh Mikail dan disuakan ke dalam mulut Eleya. Makin riuh-rendah tetamu di situ melihat kemesraan mereka berdua.

Syed Thaqif dari jauh hanya mampu melihat sambil menggenggam geram penumbuknya. Siapa lelaki di sebelah Eleya itu? Apa hubungan Eleya dengannya? Adakah itu teman lelakinya? Pelbagai persoalan mula bermain dalam benak fikiran Syed Thaqif.

"Honey, you look extremely gorgeous wearing that gown!" jerit Megat Rayqal kuat sekali dengan tiba-tiba. Linda di sisi hanya tersenyum mengeyakan kata-kata teman lelakinya itu.

Eleya tersenyum mendengar pujian melambung Megat Rayqal itu. Qal kalau tak puji memang tak sah.

"Absolutely, El. Mana kau dapat gaun tu? It's so beautiful." Ana pula sibuk bertanya. Serius cantik gila kut gaun berwarna keemasan itu, siap ada lace lagi.

"You look like a princess, babe. So beautiful," tambah Sally pula. Makin berbunga-bunga la Eleya mendapat pujian sebegitu.

Mereka mula menjamah makanan yang tersedia sambil sibuk bercerita dan bergosip tentang pelbagai isu dan topik. Ada yang sibuk mengambil gambar dan selfie dengan birthday girl dan ada yang sibuk makan segala jenis makanan yang dihidang.

Seketika kemudian, muzik tarian mula kedengaran. Bunyi instrumen yang sangat tenang itu membuatkan tetamu yang hadir terasa ingin menari. Beberapa pasangan sudah mula ke tengah dan mengambil peranan masing-masing.

"Would you like to dance with me?" Mikail yang berada di sisi Eleya mula menghulurkan tangannya ke arah Eleya. Bukannya dia tidak tahu Eleya memang suka bab tari-menari ni. Cepat sahaja tangannya diraih Eleya dan mereka mula melangkah ke arah bahagian tengah dewan tersebut.

"Lama tak abang balik kali ni?" soal Eleya saat mereka sedang ralit menari.

Mikail tersenyum lebar.

"Tiga hari aje, El. Then, abang kena bergegas balik ke US. Abang ada important meeting dekat sana," beritahu Mikail.

Eleya hanya mampu mencebik bibirnya.

"Tiga hari aje? Tak sampai seminggu pun? You're too busy with your work. Sama macam daddy yang tak pernah ada masa untuk El," rungut Eleya dengan bibir muncungnya.

Mikail cuba untuk tersenyum tipis.

"Okay, I'm sorry. Abang janji dalam tiga hari ni abang akan luangkan masa sepuasnya dengan El. Tak pun apa kata El ikut abang balik US?" ujar Mikail seakan-akan cuba memujuk.

"It's still the same. Kalau El ikut abang balik sana pun, abang tetap akan busy dengan kerja abang. Sebenarnya, abang dengan daddy tak ada beza pun. Dua puluh empat jam asyik dengan kerja. Mujur ada Mak Nab dan Pak Mat yang selalu ambil berat tentang El," rungut Eleya lagi.

Mikail cuba untuk tersenyum walaupun dia tahu Eleya yang bertopeng di hadapannya ini sudah mula memasamkan wajahnya. I'm sorry, El. Abang tak ada pilihan, jawab Mikail dalam hati.

Langkah tarian mereka juga mula bertukar perlahan sebelum Eleya mula membuat pusingan dan sekelip mata mereka sudah bertukar pasangan. Eleya hampir terjatuh ke dalam dakapan seseorang. Di hadapan Mikail seorang gadis yang dia sendiri tidak tahu siapa dan di hadapan Eleya juga seorang lelaki bertopeng yang tidak dikenalinya.

Muzik tarian juga tiba-tiba bertukar menjadi begitu romantik sekali. Masing-masing mula menunjukkan bakat dalam tarian waltz mereka. Mujurlah Eleya juga mendapat pasangan yang begitu pandai menari namun dia masih tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik wajah bertopeng di hadapannya ini?

Genggaman tangan dan pelukan di belakang bahu Eleya terasa kejap sekali. Malah hembusan nafas lelaki itu juga hangat menyapa wajahnya. Kedua-duanya bagaikan kelu tanpa bicara. Kedudukan tangan lelaki itu yang berada di belakang bahu Eleya tiba-tiba singgah ke belakang pinggang Eleya.

Cepat sahaja tubuh Eleya dirangkul kemas dan dibawa rapat ke tubuhnya. Tergamam Eleya di situ. Selama ini bukannya dia tidak pernah berpelukan dengan mana-mana lelaki tetapi entah kenapa Eleya tiba-tiba sahaja berasa begitu gementar dengan perlakuan lelaki di hadapannya itu?

Perasaan gementar itu menyebabkan dia makin menggenggam kuat jari-jemari lelaki itu malah sebelah lagi tangannya mula merangkul batang leher lelaki itu. Tidak pernah dia menjadi debar sebegini. Wajah lelaki itu dilihatnya semakin hampir dengan wajahnya.

"Happy birthday, my lovely princess," bisik lelaki itu dengan suara sensualnya.

Eleya berusaha mengawal riak dan kelakuannya waktu itu. Bisikan dan suara sensual itu kedengaran begitu romantik sekali di cuping telinga Eleya. Siapa lelaki ini? Eleya rasa macam nak cabut aje topeng di wajah itu semata-mata ingin tahu siapa pemilik wajah ini.

Aku yakin dia bukan dalam kalangan teman-teman aku tetapi yang datang ke sini semuanya dari kalangan teman-teman aku sahaja. Arrr... Bengang seketika memikirkan identiti lelaki bertopeng ini. Itu la El, siapa suruh kau buat tema pakai topeng ni semua? Kan kau sendiri yang terkena sampai tetamu jemputan kau pun kau tak kenal siapa, bebel Eleya dalam hati.

"Thank you but do I know you?" soal Eleya akhirnya. Senang-senang soal terus aje la dekat dia ni. Tak pun suruh dia buka topeng tu depan aku, ujar Eleya dalam hati.

Soalan Eleya masih belum dijawab oleh lelaki di hadapannya itu. Hanya senyuman manis yang terukir di bibir kemerahan itu. Makin la Eleya jadi curious nak tahu.

"I'm your prince charming," balas lelaki itu akhirnya.

Timbul kerutan di dahi licin Eleya saat mendengar jawapan itu. Main teka-teki pula mamat depan aku ni. Bila masa pula kau jadi prince charming aku? Siapa dia ni hah? soal Eleya dalam hati. Aku tengah serius boleh pula dia jawab main-main macam tu.

"Saya ada sesuatu untuk awak. Your birthday present," ujar lelaki itu sebelum mula melepaskan rangkulan di pinggang Eleya.

Mereka mula berhenti menari manakala orang di sekeliling mereka masih lagi hanyut dalam tarian yang tersendiri. Eleya hanya mampu melihat gerak-geri lelaki bertopeng itu yang sedang menggenggam penumbuk dan dibawa hampir ke wajahnya.

Apa hal pula ni? Tadi bukan main romantik takkan sekarang ni dia nak kasi penumbuk dekat muka aku pula? Dalam sibuk Eleya mengomel tiba-tiba sahaja seutas rantai terlayar di hadapan matanya. Seriously? Ada rantai ke dalam genggaman tangannya itu? Aku ingat dia nak bagi penumbuk percuma dekat aku tadi. Baru aje aku siap-siap nak bagi tendangan percuma dekat dia.

"Pejam mata awak. Saya nak pakaikan awak rantai ni," arah lelaki itu.

Eleya tidak berkata apa, hanya mengikut arahan lelaki itu. Terasa hembusan nafas lelaki itu menyapa lembut lehernya dan pada waktu yang sama juga terasa seolah-olah ada sesuatu yang berada di lehernya.

"Setiap kali awak pandang rantai ni, setiap kali tu awak akan ingat saya. Your superhero."

Bisikan itu menyedarkan Eleya. Terus matanya dibuka luas namun figura di hadapannya sudah tidak kelihatan. Lesap begitu sahaja. Takkan aku bermimpi? Tak mungkin! Ke mana dia pergi? Bola matanya kalut memerhati segenap dewan itu.

Ke mana lelaki bertopeng itu pergi? Siapa dia sebenarnya? Rantai yang terletak elok di lehernya dipegang kemas. Superhero? Awak ke orang yang saya nantikan selama ini? Tak! Tak mungkin dia, getus Eleya dalam hati.

"El..." Sapaan dan pegangan di bahu mengejutkan Eleya.

"Abang, nampak tak lelaki yang menari dengan El tadi?" kalut Eleya bertanya.

"Tak perasan pula. Kenapa? Dia ada buat benda tak elok dekat El ke?" Giliran Mikail pula yang menyoal kembali.

"Tak ada apa-apa la. Jom, El nak sambung makan kek tadi," ajak Eleya walaupun mindanya sebenarnya masih memikirkan lelaki yang bersamanya sebentar tadi.

Dia ke orang yang aku nantikan berbelas tahun ni? Kenapa sekarang baru dia nak muncul dan kenapa dia perlu muncul dalam keadaan wajah yang bertopeng? Semua persoalan itu mula bermain dalam fikiran Eleya. Biar aje la. Kenapa yang kau sibuk sangat nak fikir ni, El? Yang penting kau nikmati malam ni puas-puas.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co