Bab 9
ELEYA melangkah masuk perlahan-lahan. Langkah kakinya cuba dikawal sediam mungkin. Matanya liar memerhati sekeliling, saling tak tumpah macam seorang perompak yang tengah aim barang yang ingin dicurinya.
Sebenarnya Eleya bukannya tengah aim barang tapi tengah aim kelibat daddynya. Eleya mengurut lega dadanya apabila tidak melihat kelibat Tan Sri Megat Khalid sewaktu melintas ruang tamu. Entah kenapa sejak dua menjak ni daddynya begitu care pasal dirinya? Semalam pun, daddynya sanggup tunggu sehingga lewat malam semata-mata ingin menegurnya.
Banyak pula masa daddy nak tunggu aku. Agaknya dah buang tabiat daddy aku tu. Memang la beberapa minggu yang lepas aku dah janji nak jadi anak yang baik untuk daddy tapi daddy kena la faham. Mana boleh berubah dengan mendadak begitu, kan? Perubahan ni perlu la secara perlahan dan memakan masa, omel Eleya dalam hati.
"Eleya..."
See... Baru habis mengutuk, daddynya dah muncul. Aishhh! marah Eleya dalam hati. Apa kena dengan daddy ni? Setiap malam akan tunggu aku balik. Banyak pula masa terluang dia sekarang ni?
"El tahu tak sekarang ni pukul berapa?" Tan Sri Megat Khalid yang baru muncul dari tingkat atas mula menghampiri Eleya dengan wajah yang serius.
"Apa lagi, daddy? Esok-esok la kalau nak marah. El mengantuk la sekarang ni," bebel Eleya. Pertanyaan daddynya tidak dijawab.
"Ingatkan dah tak tahu jalan nak balik. Kenapa you tak tidur terus dekat kelab malam tu?" perli Tan Sri Megat Khalid. Kalau dia dah start guna you tu maksudnya dia memang tengah marah dekat Eleya. Ada Eleya kesah?
"Daddy..." Manja sahaja Eleya memanggil Tan Sri Megat Khalid.
"Sampai bila you nak buat perangai macam ni? Asyik balik lewat malam, tak tahu nak duduk rumah. Daddy tak pernah impikan ada anak perempuan yang berperangai macam ni tau?" bebel Tan Sri Megat Khalid panjang lebar.
Eleya menjegilkan bola matanya. Tak impikan nak ada anak macam El? Amboi! Sampainya hati daddy cakap El macam ni. I ni darah daging you juga tau?
"Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasinya. Like daddy, like daughter." Selamba sahaja Eleya menjawab.
"Eleya! Jaga sikit mulut you. Daddy tak pernah ajar you kurang ajar dengan orang!" marah Tan Sri Megat Khalid dengan suara yang agak tinggi.
Eleya mencebik bibirnya. Wajahnya juga sudah bertukar masam. Kenapa dengan daddy ni nak marah-marah aku? Sebelum ni dia tak pernah kesah pun, ucap Eleya dalam hati. Selama ini belum pernah Tan Sri Megat Khalid meninggikan suara sehingga begitu sekali.
"Kenapa daddy nak marah-marah El ni?" bentak Eleya bagaikan ingin menangis di situ.
"Daddy tak marah tapi daddy tegur El. Sampai bila El nak jadi degil macam ni?" balas Tan Sri Megat Khalid perlahan. Mungkin kerana terkejut dengan reaksinya yang meninggikan suara terhadap Eleya sebentar tadi. Selama ini, mana pernah dia meninggikan suara terhadap satu-satunya anaknya itu.
"Sejak bila pula daddy sibuk sangat nak ambil tahu pasal El? Tiba-tiba semua benda daddy nak care. Apa yang El buat semua salah dekat mata daddy. Sebab apa, daddy?"
"Sebab daddy rasa El dah cukup besar untuk hidup berdikari. Dah cukup besar untuk hidup tanpa daddy."
Eleya mula ketawa sinis mendengar kata-kata Tan Sri Megat Khalid.
"Daddy, El dah lama hidup berdikari. Selama ni pun El memang hidup sendiri. Daddy selalu sibuk dengan kerja daddy. Mana pernah ada masa dengan El," luah Eleya.
"Berdikari El cakap? Berdikari apanya kalau semua benda daddy yang tanggung. Makan, minum, pakaian El, semua benda daddy yang tanggung. Kad kredit El pun daddy yang bayarkan setiap bulan. Bila masanya you berdikari?" bidas Tan Sri Megat Khalid.
Eleya menggenggam geram penumbuknya. Tidak menyangka bahawa daddynya akan mengungkit kisah ini semua.
"Tu kan dah memang tanggungjawab daddy," jawab Eleya dengan riak yang selamba.
"Habis tu macam mana pula tanggungjawab seorang anak terhadap ayahnya? Do you realize your responsibility as my daughter?" perli Tan Sri Megat Khalid lagi.
Terdiam Eleya. Dia jadi tidak senang berbalah begitu dengan daddynya.
"Berdikari tu maksudnya berdiri di atas kaki sendiri. Dengan usia El yang sekarang, rasanya El tak perlu nak bergantung apa-apa lagi dekat daddy," sambung Tan Sri Megat Khalid lagi.
"Dad, buat apa ada harta yang banyak kalau tak nak kongsi dengan anak? Lagipun, El ni kan satu-satunya anak daddy. Takkan tu pun nak kedekut?" bidas Eleya pula.
Tan Sri Megat Khalid sudah mula menggelengkan kepalanya. Sepatah yang aku cakap, berpuluh patah pula dia balas. Salah aku ke selama ni sebab tak pandai nak didik anak? Tan Sri Megat Khalid beristighfar panjang dalam hati.
"Memang kemewahan semua ni untuk El tapi daddy nak El belajar erti menghargai. Lagipun, harta semua ni tak menjamin you untuk masuk syurga, sayang." Selamba Tan Sri Megat Khalid berkata.
Eleya menjuih bibirnya. Tak habis-habis dengan tazkirah agamanya. Hari ni belum hari Jumaat lagi la, daddy. Selalunya setiap kali hari Jumaat pasti daddynya akan memberi tazkirah percuma kepadanya. Terpaksalah Eleya mendengar walaupun hatinya langsung tidak ikhlas untuk mendengar semua itu.
"Macam ni la, daddy. Why not you straight to the point. You nak I buat apa sebenarnya?" Selamba Eleya bertanya.
"Kahwin." Pendek dan ringkas sahaja jawapan yang diberikan Tan Sri Megat Khalid.
"What? Kahwin?" ujar Eleya seperti tidak percaya. Takkan la daddy ingat aku serius dengan kata-kata aku minggu lepas?
Tan Sri Megat Khalid hanya mengangguk laju mengeyakan kata-kata anaknya.
"Hari tu you kan yang nak sangat daddy carikan calon suami untuk you? Biar husband you tu nanti yang jaga you. Daddy dah penat hari-hari nak kena berleter dan tegur you. Lagipun, bukan you sendiri ke yang nak semua ni?" sambung Tan Sri Megat Khalid.
Eleya mengangkat sebelah keningnya. Kahwin? Dengan usia ni? Hahaha, gelak Eleya dalam hati. Biar betul daddy ni? Hari tu, dia bergurau aje la.
"Betul ke ni daddy nak El kahwin?" soal Eleya seolah-olah tidak percaya. Rasa mengantuknya juga sudah hilang ke mana. Pukul dua pagi Tan Sri Megat Khalid sedang bercakap tentang kahwin. Memang tak ada waktu lain lagi ke?
Pertanyaan Eleya dibalas dengan anggukan dari daddynya.
"You dah ada calon ke? Siapa orangnya?" soal Tan Sri Megat Khalid dengan wajah yang serius.
Pecah tawa Eleya mendengar pertanyaan daddynya itu. Hahaha. Calon tu memang la ada. Terlalu ramai sampaikan tak tahu nak pilih yang mana satu. Tapi...
"Macam yang El pernah beritahu daddy sebelum ni, why not you yang carikan I calon suami? Bukan apa, El punya taste ni kan tinggi sikit. I nak yang kaya-raya. Kalau boleh lagi kaya dari you," jawab Eleya dengan angkuh sekali. Sama dengan apa yang dia pernah katakan sebelum ini.
Tan Sri Megat Khalid mula mengeluh sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali. Tekad benar anak aku ini. Ya Allah, didikan apa yang aku telah beri pada satu-satunya anakku ini? Adakah aku terlalu manjakan dia? Selama ini aku terlalu limpahkan dia dengan kemewahan kerana cuba hendak menutup rasa kehilangan seorang ibu. Adakah cara aku salah selama ini? rungut Tan Sri Megat Khalid dalam hati.
"Betul ni you nak daddy yang carikan untuk you? Tak takut menyesal?" ujar Tan Sri Megat Khalid.
Laju sahaja Eleya menggelengkan kepalanya.
"Nope! I'm trust you, daddy. But make sure calon suami I tu nanti lebih kaya dari you. Sebab nanti boleh la I bolot harta dia. You kan dah jadi kedekut dengan I," perli Eleya serapat mungkin.
"Okay. Let's see who's gonna be my future son in law."
Eleya tersenyum lebar. Tidak pernah terfikir bahawa mereka akan berbicara tentang perkahwinan. Lagipun, selama ini Tan Sri Megat Khalid lebih banyak bercakap dengannya tentang business.
Macam tak percaya pun ada bila daddy tiba-tiba suruh aku kahwin. Lagipun, hari tu aku saja aje bergurau dengan daddy. Niat dalam hati nak diamkan daddy tapi tak sangka pula daddy anggap serius dengan aku apa yang aku katakan itu, desis Eleya dalam hati.
Eleya akui yang dia memang mempunyai ramai kawan lelaki tetapi hanya sekadar kawan. Belum terfikir lagi untuk serius dengan sesiapa. Malah, tidak pernah terlintas sekalipun perkataan kahwin dalam benak fikirannya. Yang dia fikir hanyalah keseronokan dan kemewahan yang berterusan. Ada duit semua benda jalan. Hahaha.
"Okay, daddy. El serahkan semua pada daddy. Tapi pastikan pilihan daddy tu menepati kriteria yang I nak. Kaya dan kalau boleh anak Datuk atau Tan Sri, kerabat Tengku lagi I suka. Then, lelaki tu kena la handsome, smart and bijak macam I, okey?" Panjang lebar Eleya meletakkan syarat buat bakal suaminya nanti.
Tan Sri Megat Khalid tersenyum mendengarnya sambil otaknya ligat memikirkan sesuatu. Dia sebenarnya mempunyai ramai kenalan terutamanya anak-anak kepada rakan perniagaannya. Malah, ada di antara mereka sememangnya berteman rapat dengan Eleya.
Tetapi ada ke di antara mereka yang benar-benar sesuai dengan anaknya? Mampu ke mereka bertahan dengan perangai anak aku ni? komen Tan Sri Megat Khalid dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co