Bab 10
Kamarul duduk di ruang tamu sambil membaca buku kesukaannya. Tadi abang bersama ibunya, Toh Puan Hamidah menceritakan perihal Suhana padanya. Anak manjanya ini memang membuatkan hati tua ibunya risau.
Wajah muram Suhana yang lalu di hadapannya itu membuatkan hati tuanya pula dipukul resah. Takkanlah tak selesai lagi masalah Suhana dengan Zarief ni? soal hati Kamarul.
"Assalamualaikum, papa."
"Waalaikumussalam."
"Bila papa sampai? Tok ibu mana?" soal Suhana sambil duduk di sebelah Kamarul.
"Papa tunggu Enna. Lama tak sembang dengan Enna. Sejak dah bertunang ni, papa tengok Enna makin sibuk. Sabtu dan Ahad pun sibuk dengan shooting modeling tu," rungut Kamarul membuatkan Suhana terus membatalkan niatnya untuk baring di atas riba Kamarul. Wajah papanya direnung.
"Enna dah buat keputusan untuk berhenti modeling, pa. Shooting yang terakhir masa di Cameron Highlands dua minggu sudah. Sekarang Enna hanya nak selesaikan tugas di pejabat saja. Dah tak terkejar Enna," kongsi Suhana. Segalanya sudah difikirkan.
Dunia modeling adalah sebagai platform untuk bina dan melatih diri agar lebih berkeyakinan berdepan dengan rasa malu yang terlalu menebal dalam dirinya. Itu cadangan Anita masa di UK dulu hingga terbawa balik ke Malaysia. Alhamdulillah, cadangan itu membuatkan rasa malu itu sudah mampu diuruskannya dengan cukup sopan. Dan kini sudah sampai serunya untuk kembali kepada tujuan hidup. Kecantikan bukan untuk ditayang atau diperdagangkan. Itu semua hanyalah pinjaman Allah buat hamba-Nya sedar dan insaf atas kesempurnaan ciptaan yang Dia tunjukkan.
"Alhamdulillah. Itu yang terbaik, Enna. Papa fikir, sudah sampai masanya Enna belajar jadi isteri solehah. Lelaki ni tak suka berkongsi dengan orang lain apa yang dia ada. Terutama sekali kecantikan isterinya... Papa ada sesuatu untuk Enna..."
"Enna tahu, pa. Hmmm... Apa pulanya ni, pa?" soal Suhana lembut.
Kamarul menghulurkan sebuah kotak berwarna merah siap bereben emas pada Suhana. Dilihatnya wajah Kamarul penuh berseri macam baru lepas dapat kontrak puluhan juta yang tidak ada tempoh luput seumur hidup. Suhana pelik. Selalu kalau nak beri hadiah, tak pernahlah pula Kamarul berseri macam itu.
"Bukalah. Ini hadiah istimewa dari papa dan arwah mama. Benda ini sepatutnya papa serahkan pada Enna masa Enna balik hari tu. Tapi tak sempat. Macam-macam yang terjadikan hingga papa pun terlupa. Sampailah malam semalam, papa terjumpa masa kemas almari papa. Nah..."
Suhana menyambutnya dengan dada yang berdebar.
"Kami sudah lama restu jodoh Enna dengan Zarief. Kesungguhan Zarief untuk mendapatkan hati Enna membuatkan papa dan mama sendiri telah menemuinya tanpa pengetahuan Enna. Pada papa, Enna perlu dapat yang terbaik seperti yang Enna impikan..." terang Kamarul membuatkan Suhana terkedu. Memang dia tahu akan hal itu sebab Chinobe sudah jelaskan setelah disoalnya.
Reben berwarna emas itu dibuka perlahan. Di dalamnya terletak kemas sehelai kertas yang cukup dikenali tulisan tangan itu. Itu surat cintanya yang dituju kepada Yang Maha Esa suatu masa dulu. Macam mana boleh terlepas? Mata mulai kelabu dengan air mata yang bila-bila masa akan menitis. Surat cinta pada Yang Maha Esa itu dibukanya perlahan.
Bismillahirahmanirrahim...
Kepada Tuhanku Yang Maha Esa,
Enna bersyukur dengan limpah kurnia-Mu, rezeki-Mu dan rahmat-Mu sampai saat ini. Sudah 21 tahun Enna bernafas di bumi bertuah ini dengan keadaan sihat sejahtera dan bahagia selalu. Warkah ini Enna layangkan agar ia sampai melebihi langit ke tujuh sana. Sebagai tanda kesyukuran pada-Mu dengan nikmat kegembiraan yang tidak terhingga pada hamba-Mu yang terlalu meminta pertolongan-Mu ini. Terima kasih atas rezeki 9A dalam keputusan SPM yang cemerlang dulu hingga mampu membawa Enna menjejakkan kaki di bumi bertuah ini. Keputusan demi keputusan peperiksaan yang cemerlang atas dorongan-Mu, Ya Allah. Aku bersyukur, Ya Allah. Aku bersyukur.
Kepada Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang,
Sejahterakanlah keluargaku (papa, mama, along, Chinobe, tok ibu dan semua kaum kerabatku di mana jua mereka berada). Pada mama dan papa, Enna banyak sakitkan hati mereka. Permudahkanlah perjalanan hidup mereka dan bahagiakanlah mereka hingga ke akhir hayat mereka sepertimana mereka membahagiakan anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang. Enna sayang mereka. Sayang sangat-sangat!!!
Kedegilan Enna kebelakangan ini menjauhkan diri dari keluarga bukan kerana apa. Enna ingin kuat seperti mereka semua. Kuat dengan bekalan kasih sayang mereka untuk mencapai cita-cita Enna. Cita-cita ini yang akan menjadi kata-kata kemaafan penuh keampunan pada mama dan papa atas kesilapan Enna yang lalu.
Kepada Tuhanku Yang Maha Mengetahui,
Enna lebarkan sayap keinginan Enna dalam kehidupan mendatang untuk Enna lalui sepanjang hayat Enna. Berkatkanlah keinginan yang Enna usahakan ini dengan sepenuh hati atas landasan ibadah Enna pada-Mu, Ya Allah.
# Segulung ijazah – tiket kehidupan yang mampu membuka mana-mana pintu duniawi dengan berbekalkan kebolehan dan keinginan dalam diri Enna.
# Sebuah pekerjaan – minat dan ketekunan Enna mampu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencipta sesuatu yang mampu membantu masyarakat dalam kehidupan seharian bagi membolehkan mereka tidak lalai menunaikan ibadah mereka kepada-Mu, Ya Allah.
# Seorang lelaki bernama suami – uuuhhh... Setiap gadis impikan lelaki terbaik, terkacak lagi bergaya dengan kemewahan dan sikap yang romantik. Macam Ustaz Kazim pernah cakap, sebelum mencari pasangan yang sempurna, sempurnakan diri sendiri. Justeru cukuplah seorang lelaki yang mampu terima kekurangan dalam diri Enna dan membimbing Enna dengan seikhlas hatinya dan mendekatkan Enna pada-Mu, Ya Allah.
# Sebuah keluarga – inilah limpah kasih sayang-Mu. Enna berserah setelah berusaha membahagiakan diri sendiri dan sesiapapun di sekeliling Enna. Kebahagiaan adalah usaha menggembirakan hati, menyempurnakan tujuan hidup dan tanggungjawab pada-Mu, Ya Allah.
# Sebuah perniagaan – Enna bukan bercita-cita menjadi yang terkaya di dunia. Cukuplah mencontohi pemikiran dan tatacara Sayidatina Khatijah dalam perniagaan. Seorang anak jutawan yang punyai sifat suci lagi dihormati dan akhirnya menjadi termasyhur di kota Mekah. Izinkan Enna mengikut jejak langkahnya tanpa melalaikan ibadah dan tanggungjawab Enna pada-Mu dan keluarga Enna nanti.
Kepada Tuhanku yang amat aku kasihi,
Sebuah perjalanan hidup seorang anak perlukan restu dan doa mama dan papanya. Bukakanlah hati mama dan papa untuk dekat dengan-Mu. Agar mereka turut menadah tangan memohon perlindungan dari-Mu. Agar mereka turut menadah tangan minta bantuan-Mu demi kesejahteraan anak-anak mereka. Agar mereka turut tergolong dalam golongan Mukminin yang mendapat cahaya-Mu, Ya Allah.
"Papaaa!"
Suhana terus memeluk Kamarul. Surat ini ditulisnya selepas dia memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester semasa menyambut ulang tahun pertama Mubeenah Tazkia di bumi UK dulu. Bila masa pula surat tersebut terlepas pada mamanya? Dia sendiri tidak tahu kerana dia cukup pasti penerima surat ini adalah Yang Maha Esa bukan arwah mamanya, Nor Azizah.
"Dah tu, jangan menangis. Mama terjumpa surat ini secara tidak sengaja di atas lantai masa mama pergi rumah Enna dulu. Mama terus faks surat ini pada papa. Kami jatuh terduduk dengan kasih sayang dan doa anak kami. Enna banyak menjadi inspirasi mama untuk melakukan kerja sosial di samping sibuk dengan business. Kerana surat ini jugalah papa dan mama cungkil cerita Enna pada Bee. Sampai lubang cacing kami jejak kekasih Enna. Rupa-rupanya dia ni jejaka sebelah rumah Pak Long Halim," gelak Kamarul.
Suhana mati kata. Sudah tidak tahu nak cakap apa dengan Kamarul.
"Pak long pun berkenan sangat kalau Putera Kampung itu jadi calon suami Enna. Jadi kami sepakat semuka dengan dia. Alhamdulillah, usaha mama, papa, pak long dan mak long berhasil juga. Enna dah bertunang pun dengan Zarief."
Ya Allah! Mudahnya Kau uruskan jodohku. Suhana beristighfar dalam hati.
"Enna tak tahu dah nak cakap apa, pa," luah Suhana yang masih lagi terkejut dengan cerita surat itu. Malu usah cakaplah. Maka secara rasminya, lepas ini tiada lagi surat untuk Allah yang akan dititipkan. Cukuplah dia menadah tangan berdoa usai solat.
"Tak payah cakap apa-apa, sayang. Papa faham. So how's life?" soal Kamarul mesra. Suhana memang manja dan rapat dengannya. Mereka mampu berbual dalam bahasa yang mereka berdua fahami. Kamarul selalu meluahkan idea-idea businessnya pada Suhana sejak kecil lagi. Manakala Suhana pula seorang pendengar yang setia. Sesekali balasan pendapatnya menjadi inspirasi buat Kamarul.
"Tak seperti yang Enna bayangkan. Menjalani kehidupan bergelar tunangan orang ni sangat mencabar ya, pa. Menguruskan Mubeenah pun tak serumit ini. Tugas yang bersangkutan dengan hati dan perasaan membuatkan Enna kadang-kadang hilang pertimbangan akal."
Bicara Suhana membuatkan wajah Kamarul bertukar serius. Hati tuanya dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi antara Suhana dan Zarief. Nak korek masalah Suhana memang payah. Namun dia tetap cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku.
"Enna nak kongsi dengan papa? I love to hear it..." pancing Kamarul lembut.
Suhana yang mendengar terus tersenyum sambil menggeleng. Kalau resmi orang tua memang orang tua juga. Pasti tak nak lihat anaknya ditimpa kesusahan.
"Hal orang bercinta, papa. Payah Enna nak kongsi. Berapa lama papa dan mama dulu bertunang sebelum kahwin?" soal Suhana ingin mencari rujukan untuk menenangkan hatinya.
Kamarul tersenyum geli hati sambil menepuk pahanya. Suhana faham akan isyarat papanya itu lalu dia terus baring beralaskan paha Kamarul.
"Enna nak dengar cerita papa? Cerita bagaimana papa jatuh cinta pada aktiviti memanjat bukit?" usul Kamarul sambil membelai kepala Suhana yang masih berhijab. Anak manja kesayangannya ini memang tersembunyi sikit sikap manjanya. Dia banyak berlindung. Banyak sembunyikan rasa hatinya daripada ditatap orang lain. Payah orang yang bercinta dengannya nak menebak apa yang sedang difikirkannya sekarang ini.
"Pa, kita cerita tentang cinta dan hati. Bukan tentang aktiviti lasak papa tu. Enna ni bukan Bee, pa. Enna kurang minat semua tu," kata Suhana membuatkan Kamarul tertawa halus. Ditepuknya dahi Suhana perlahan.
"Listen, dear. Maksud cinta yang Enna tanya tu sama dengan maksud cinta papa pada climbing. Masa mula-mula papa belajar memanjat, papa disuruh memanjat dinding saja. Berbulan papa dilatih memanjat dinding. Cakap ajelah dinding kat bangunan mana yang papa tak panjat, semua papa dah panjat," cerita Kamarul sambil berjenaka. Suhana mengemam bibir. Tahu sangat papanya sedang menyindirnya dalam diam.
"Papa mainkan Enna, ya," ucap Suhana, geram.
"Okey. Okey, papa serius. Bila kali pertama papa cuba mendaki bukit papa rasa seronok sangat. Yalah, sudah berbulan papa panjat dinding aje. Bila dapat keluar, ooo... Nikmat. Hilang semua rasa takut melainkan satu aje rasa... Rasa nak tahu bagaimana payahnya untuk sampai ke atas puncak sana dengan tangan dan kaki ni saja. Dua puluh minit pertama papa betul-betul teruja sebab masa tu tangan dan kaki ni kuat menampung badan yang tergantung macam tu. Tapi lepas tu tangan dan kaki mula menggigil.
Masa tu dalam minda mulalah keluar segala macam suara negatif menyalahkan keputusan yang telah dibuat. Perasaan pula mulalah merapu benda yang tak bagus. Bila semua itu bercelaru, akal dengan mudah menguasai keseluruhan tindakan. Papa menjerit pada instruktor minta diturunkan. Papa dah tak mampu untuk teruskan memanjat. Dia kata papa cuma ada dua pilihan saja untuk turun. Satu, turun dari puncak bukit sana dan satu lagi dengan menjatuhkan diri ke bawah."
"Ganasnya."
"Dia seorang motivator yang bagus. Jadi papa tiada pilihan lain melainkan terus memanjat untuk segera sampai. Gila ke nak jatuhkan diri ke bawah. Tapi sebelum memanjat papa pandang ke bawah. Bila dah pandang bawah... Fuhhh... Tinggi gila. Jadi kaki papa lagi menggeletar."
"Kenapa pula?"
"Bagi orang yang memanjat, mereka tak digalakkan untuk memandang ke bawah semasa memanjat. Takut nanti semangat hilang untuk meneruskan langkah memanjat. Seorang pemanjat perlu kuat mental. Jadi papa kalah di situ. Dan papa menjerit sekali lagi, minta untuk dilepaskan. Papa dah tak sanggup padahal jarak papa dengan puncak cuma lebih kurang beberapa depa saja di atas sana. Instruktor tu geleng kepala dan mula bersembang dan memberi galakan pada papa untuk terus memanjat. Papa yang kepenatan ini pun tiada alasan lain kecuali ingin segera sampai di puncak. Benar kata instruktor tu. Bila dah sampai puncak akan lahir satu semangat baru dalam diri. Semangat di mana papa tak rasa gentar langsung akan apa jua cabaran yang datang pada papa.
Begitu jugalah dengan cinta, Enna. Sekali rasa cinta itu sudah muncul, kita diuji dengan pelbagai rasa. Ada bahagia, kecewa, suka, sedih, lucu, geram dan macam-macam lagi. Tak lepas juga dengan marah dan benci sebab sikap dia tak seiring dengan sikap dan didikan kita. Satu pesan papa, jangan kita tengok kesalahan semata-mata. Begitu juga dengan kekurangan dan keburukan sikapnya dalam membuat sebarang keputusan. Semua itu boleh berubah sekelip mata saja bila dia sedar dan berusaha untuk berubah. Ingat, biar dia berubah untuk dirinya kerana Allah bukan berubah kerana nak senangkan hati Enna. Itu kepura-puraan. Dan bila cinta itu sudah dimeterai dengan ijab kabul, ia masih belum selesai, sayang. Belum sampai ke puncak lagi. Rasa cinta itu masih perlukan perhatian kasih sayang, cinta, jujur, tanggungjawab, setia dan taat," cerita Kamarul membuatkan Suhana mengeluh perlahan.
"Beratnya rasa cinta tu, ya pa? Tali Enna tak sekuat tali climbing papa tu. Cangkuk Enna pun masih tak seteguh itu," balas Suhana.
"It's part of learning, sayang. Belajar mengenal erti hidup. Fokus pada matlamat. Cinta pun ada matlamat juga. Jika kita cinta kerana Allah, insya-Allah cinta itu juga yang Allah berikan pada kita. Tapi jika kita cintakan dia kerana harta, maka hartalah yang kita perolehi. Ingat pesan papa ni. Papa tak nak Enna lalui kehidupan macam papa. Bekerja siang malam cari harta hingga papa abaikan tanggungjawab papa pada keluarga sendiri. Maafkan papa, Enna. Bila papa sedar, semua itu seakan-akan terlambat buat papa," keluh Kamarul membuatkan hati Suhana cukup tersentuh.
Dia nampak usaha Kamarul sejak kebelakangan ini untuk mewujudkan suasana hidup sebuah keluarga Muslim dengan aktiviti usrah setiap malam Jumaat di rumah mereka.
"Enna ingat pesan papa tu. Terima kasih, pa. Terima kasih kerana berikan peluang untuk berubah ini pada kita sekeluarga. Enna tak rasa kosong macam dulu lagi. Enna tak rasa kosong macam masa Enna di UK dulu."
Sebak dadanya mengenangkan rasa kekosongan dan kesepian di dalam dada tika berada di UK dulu. Jika tidak kerana asas agamanya yang konkrit, mahu juga dia lalai dan hanyut. Kekosongan itulah yang membuatkan dia belajar mencari sinar hidup yang seimbang. Mentornya mudah, diambil daripada al-Quran dan hadis. Mubeenah Tazkialah yang menjadi kayu mengukur pada pembentukan sahsiah Muslimah dalam dirinya.
"Thanks to you, dear. Being a wonderful wake up call for me. Papa doakan Enna bahagia sampai jannah dengan Putera Kampung yang handsome tu," usik Kamarul. Suhana menggeleng sambil tersenyum.
"Sikap charming Putera Kampung yang handsome tu buatkan Enna sakit hati." Lepas juga rasa hati Suhana.
"Kes cemburulah ni. Orang kata cemburu tu tandanya sayang. Tapi biarlah berpada-pada, ya Enna. Papa rasa dalam hati Putera Kampung tu hanya ada Enna sorang saja. Kalau tidak, takkanlah dia sanggup tunggu sampai Enna habis belajar. Sabar betul dia. Apa kata sekarang ni Enna beri masa pada hati Enna untuk belajar kenal hati budi Rief dengan lebih jelas?" nasihat Kamarul.
"Hmmm... Enna penatlah, papa. Enna masuk dalam dululah."
Suhana tidak mahu mendengar bebelan Kamarul lagi. Nampak sangat Kamarul sayang lebih pada Zarief. Kamarul selalu menangkan Zarief apabila Suhana bercerita tentang Zarief.
"Budak ni, papa tak habis cakap lagi dia dah hilang," rungut Kamarul.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co