Bab 9
Parsha mengeluh sambil mencampak kunci motornya di atas meja. Dia terus duduk di sofa sambil memandang tepat pada kaca televisyen yang baru dipasang. Ketika mahu balik tadi, dia menerima panggilan telefon daripada Tengku Harith yang sedang lepak di Dine In. Kenangkan lama tak jumpa, dia terus memandu ke Mont Kiara.
Ketika masuk ke Dine In, dia melihat aksi seorang lelaki memujuk seorang gadis yang dikenalinya. Gadis yang pernah dicumbuinya ketika separuh mabuk di Munich dulu.
Entah kenapa, hatinya menjadi sakit dan perit ketika melihat air mata gadis itu mengalir. Masakan seorang gadis yang degil dan tegas seperti itu mampu mengalirkan air mata hanya kerana seorang lelaki? Pelik!
Parsha teringat kembali perbualan ketika di Dine In tadi...
"Pandang-pandang tu berkenan ke?" usik Tengku Harith.
"Taklah. Aku macam pernah tengok tapi tak ingat kat mana," ucap Parsha.
"Laaa... Itulah model yang sedang hot tu. Suhana Kamarul," kata Tengku Harith.
"Ooo..." balas Parsha.
"Aku kenal dia. Kalau nak kenal, aku boleh kenalkan kau dengan dia," cadang Tengku Harith.
"Laaa, ya ke? Tak naklah. Serik. Model macam bekas isteri aku juga. Biarlah aku cari orang biasa-biasa aje nanti," kata Parsha. Pengalaman lalu banyak mengajarnya erti sebuah perhubungan. Waima mencari kawan pun biarlah molek akhlak dan agamanya. Cantik itu jatuh di tempat yang terakhir.
"Dia tak seperti macam kau cakapkan tu, Arsh. She's beauty with brain. Budi bahasanya pun aku suka. Otak business ni," kongsi Tengku Harith lagi.
"Kau pernah berurusan dengan dia ke?"
"Adalah rancangan nak buat macam tu. Tapi belum berkesempatan. Dia ni tak ada sembang kosong kalau nak bercakap tentang business. Dan kau salah kalau hanya fikir dia ni macam model lain. Pentingkan status, kecantikan dan perhatian."
"Hmmm..."
"Yang satu ni kau mesti terkejut. Dia memperjuangan sistem perniagaan berkonsepkan halal. Otak geliga. Anak-anak perempuan Dato Kamarul ni memang bijak berniaga. Mereka nampak peluang yang orang kata remeh dan tak nak buat. Dia melihat benda kecil yang mampu dibesarkan. Tak macam usahawan lain yang memandang projek besar saja," cerita Tengku Harith.
Lamunan Parsha terhenti apabila telefon pintarnya berbunyi. Nama Buhairah tertera di skrin telefon. Bibirnya terus tersenyum. Pasti Buhairah ingin mengetahui di mana dia berada sekarang. Yalah, sejak kakinya pulih, dia jarang berada di rumah kakaknya. Dia sungguh terhutang budi pada Buhairah yang tak pernah merungut semasa dia dalam keadaan kelam. Malah ramai yang sanggup berada di sisinya untuk memberi sokongan agar dia segera pulih dan segera menjalani kehidupan yang normal.
Kakak dan adiknya, Melati inilah yang paling ke depan untuk memastikan dia pulih. Dia teringat kembali ketika dia sudah menyerah kalah semasa terselamat dalam kemalangan motor empat bulan lepas.
"Angah," panggil Buhairah.
"Mmm... Ya, kak long," sahut Parsha lemah.
"Maafkan diri sendiri, dik. Belajar sayangkan diri sendiri dulu. Kak long dah tak sanggup tengok angah macam ini. Jodoh... Ajal... Maut... Semua itu rahsia Allah, dik. Allah sudah beritahu segala cabaran yang diturunkan pada hamba-Nya, hanyalah setakat yang termampu untuk diharungi. Apa yang Tuan Halim cakap masa di hospital tempoh hari sangat betul, dik. Arwah mama tidak akan dihidupkan kembali walaupun angah berkabung seribu tahun pun. Kembalilah angah... Angah masih ada peluang untuk perbaiki diri. Angah masih ada peluang untuk berhijrah. Dengarlah suara hati yang ingin menjadi umat yang soleh itu, dik... Dengarlah," rayu Buhairah yang tidak dapat menahan rasa sedih yang bersarang di dalam dadanya. Dia tidak mampu melihat Parsha tenggelam dan terus tenggelam.
Parsha terdiam. Hatinya terdetik rasa bersalah. Kesedihannya memberi impak yang sangat besar pada orang sekeliling terutama sekali pada kakak dan adiknya yang sangat disayanginya itu. Lama Parsha memandang raut wajah Buhairah yang lemah dan kalah dengan kelemahannya itu.
"Kak long..." seru Parsha lemah.
Buhairah pilu melihat bahasa mata Parsha yang nampak sangat berada dalam kesakitan. Kekuatan Parsha sudah mati. Semangat yang dulunya berkobar-kobar telah hilang.
"Angah minta maaf, kak long... Angah minta maaf. Rasa bersalah itu tebal sangat di dalam dada ni, kak long... Tebal sangat... Mungkin kemalangan ini ada hikmah supaya angah kembali kenal diri sendiri... Dan apa tujuan hidup angah yang sebenarnya..." luah Parsha yang terdetik kekuatan dalam sanubari untuk bertaubat.
Melarikan diri dari masalah dan mencemuh diri sendiri akan kesilapan yang lepas bukanlah jalan penyelesaian yang dapat membetulkan keadaan. Makna reda dalam menerima itu sungguh payah namun tidak mustahil untuk dilakukan. Semua orang yang melihat dan ingin membantu pasti akan menyatakan perkataan sabar dalam menerima qadak dan qadar.
Namun semua itu sukar buat seorang bernama Nasrun Parsha. Semua kena datang dari dalam dirinya sendiri. Rahsia kejadian itu perlu dikupasnya sendiri. Muhasabah kesilapan diri sendiri. Allah sudah tunjukkan di mana silapnya dan bagaimana untuk perbaikinya. Mohon saja bantuan daripada-Nya. Berusaha! Berusaha!
"Doakan angah terus kuat, kak long. Doakan angah kembali pada sinar cahaya Islam sepenuhnya..."
Rintihan Parsha yang penuh penyesalan membuatkan Buhairah menangis teresak-esak. Dia turut merasai kesakitan adiknya itu. Itulah kekuatan kasih sayang dalam sebuah keluarga.
"Indahnya rahsia Allah itu, dik," ucap Buhairah sambil mengusap kepala Parsha penuh kasih sayang.
"Bantu angah, kak long... Bantu angah, kak long..."
Parsha mengongoi bersungguh-sungguh di riba Buhairah.
"Sentiasa angah... Sentiasa adikku, Nasrun Parsha..." Buhairah kalah lagi. Air mata turut sama jatuh tanpa dapat dihalang lagi.
"Sepanjang empat bulan ini, angah akan duduk di sini. Dekat dengan surau. Angah nak belajar agama semula. Angah nak dekatkan diri dengan Allah, kak long... Itu saja ubat bagi kesakitan dalam hati angah ini... Bimbing angah, ya kak long?"
"Ya, dik. Insya-Allah. Kita usaha bersama-sama," pujuk Buhairah.
Melati yang duduk di kerusi roda turut sama mengalirkan air mata melihat drama sedih antara kakak dan abang kandungnya itu. Kehilangan arwah mama yang penuh tragedi membuatkan seluruh keluarga diserang trauma. Lebih-lebih lagi Parsha. Anak lelaki tunggal dalam keluarga dan merupakan harapan serta kesayangan semua kini patah hati sehingga menjejaskan prestasi tugasnya sebagai juruterbang tentera.
Ya Allah, hanya pada-Mu aku memohon dan meminta. Permudahkanlah perjalanan hidup abangku. Lapangkanlah dadanya dari rasa kesakitan. Celikkanlah mindanya untuk mendalami ilmu-Mu dengan mudah. Kami sayang dan kasih akan dirinya. Kembalikanlah semula keceriaan dan kebahagiaan dalam keluarga kami ini. Amin...mohon Melati sambil mengesat air mata yang membasahi pipi.
"Angah, angah ingat tak yang Baginda Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam riwayat Abu Daud berbunyi; Sesiapa yang membiasakan amalan beristighfar, maka Allah S.W.T melapangkan kesempitannya dan memudahkan segala kesulitannya dan memberi rezeki kepadanya dari arah yang tiada disangka-sangka... Along yakin pesanan ini akan membuatkan angah lebih kuat semangat untuk bangun bukan untuk kak long, bukan untuk Melati, bukan untuk papa dan umi, bukan untuk kawan-kawan rapat angah, tapi untuk diri angah sendiri. Be yourself, angah. Be the best of Nasrun Parsha you can be. Proud of yourself. Remember Allah will always be with us no matter how bad we are," nasihat Buhairah lembut.
"Kak long, I'm bad person. Angah banyak ingkar suruhan Allah. Angah munafik pada diri sendiri. Berjanji namun tidak dituruti. Kejadian kemalangan itu sebab angah mabuk, kak long. Angah rasa arak saja yang mampu hilangkan rasa sakit angah ni. Maafkan angah, kak long. Maafkan angah," cerita Parsha.
"Along tahu, angah... Along tahu. Abang long dah ceritakan pada along. Angah rasa tenang ke selepas mabuk? Semua masalah selesai?" soal Buhairah dengan lembut. Parsha hanya menggeleng.
Riak wajah Parsha semakin kelam. Buhairah menggeleng perlahan. Ini dah lebih teruk daripada kes anak remaja yang putus cinta nak terjun bangunan. Parsha hilang terus keyakinan dirinya untuk hidup berpaksikan agama yang indah iaitu Islam. Buhairah memperkemaskan duduknya. Kekuatan akal diperkukuhkan. Parsha bukan calang-calang orang untuk diperlekehkan tentang ilmu agama. Dia cukup terdidik dengan ilmu agama yang tinggi. Namun gangguan emosi itu membuatkan Parsha hilang arah. Emosinya tak stabil.
"Angah, along yakin angah pasti ingat lagi perkara ni. Tak apa, hari ni biar along imbas semula satu perkara yang asas dalam kehidupan." Buhairah cuba memperbetulkan tuturnya.
"Apa dia, along?" Parsha membuka ruang berdiskusi yang luas pada Buhairah.
"Dalam surah Al-An'am ayat 6:2 ada menyebut, manusia ialah makhluk ciptaan Allah S.W.T yang dicipta daripada tanah. Ia tersusun daripada panduan dua unsur iaitu tanah dan roh ciptaan Allah S.W.T. Apa tujuannya? Tujuannya adalah beribadah pada Allah. Apa maksud ibadah? Ibadah yang dimaksudkan adalah merujuk kepada ketaatan, tunduk dan rendah hati kepada Allah S.W.T yang digabungkan dengan unsur kecintaan kepada-Nya berasaskan akidah Islam," jelas Buhairah satu per satu.
Parsha mengangguk tanda faham akan maksud yang disampaikan oleh Buhairah yang merupakan guru agama. Pandangannya jauh terarah pada kebun sayur. Fikirannya melayang sekali lagi. Mengingati dosa-dosa semalam. Mengingati tingkahnya sewaktu bercinta dengan arwah isterinya, Tania. Rasa cinta yang membuak membuatkan tingkah lakunya banyak yang sumbang. Bisikan makhluk bertanduk itu memang sentiasa bermaharajalela menguasai Parsha sepanjang perhubungan yang belum dihalalkan. Hukum-hakam semua dilanggar bulat-bulat.
"Angah sedar, along. Itulah yang angah mohon bimbingan along tadi. Bimbinglah angah. Tegurlah angah. Angah ingin perbetul dan perkemaskan akidah angah dahulu..." luah Parsha penuh yakin membuatkan Buhairah mengukir senyuman.
Syukur! Rasa taubat itu perlu jelas dan ikhlas dari hati. Barulah akhlak taubat itu sempurna jalannya.
"Apa itu akidah, angah?" soal Buhairah tepat pada Parsha. Parsha tersenyum nipis apabila dirinya diajak berdiskusi tentang ilmu secepat itu.
"Along, cepatnya nak menduga pengetahuan angah? Biar betul ni?" soal Parsha kembali.
"Refreshing knowledge is the brilliant things to enhance our ability to understand the subject well, Mejar Nasrun Parsha."
Senyum manis mulai tersungging di bibir Buhairah. Parsha duduk menghadap Buhairah. Ini lumrah biasa apabila mereka duduk bersembang. Tiada ruang kosong untuk dibazirkan. Inilah didikan keluarga sejak mereka remaja lagi.
"Akidah berasal daripada kata aqd yang maksud lateralnya adalah lawan rungkai atau ikat kemas. Ia diertikan sebagai sesuatu yang disimpulkan dalam hati yang disamakan dengan iman dan keyakinan. Kak long faham maksud angah?" soal Parsha menguji Buhairah yang angguk dan tersenyum.
"Teruskan..." balas Buhairah.
"Secara mudahnya kepercayaan dan pegangan hidup yang kukuh dan tidak hanya tersemat dalam hati tetapi turut disertakan ketaatan dan amalan terhadap apa jua yang diperintahkan dan meninggalkan perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T," jelas Parsha penuh yakin.
"Bagaimana caranya?" Saja Buhairah menyoal Parsha.
"Membenarkan dengan hati, berikrar dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan," jawab Parsha selamba.
"Then why you standing here? Simplify issues by acknowledge the problems and take action. Forgive and forget. People do make mistakes and learn from that too."
Nasihat Buhairah umpama semangat baru buat Parsha.
"Terima kasih, kak long. Kak long tak pernah jemu berada di sisi angah. Kak long tak putus asa melayan kerenah angah. Angah nak minta maaf, kak long," luah Parsha.
"Tidak jadi masalah, angah. Ini sudah menjadi tanggungjawab along sebagai kakak sulung. Angah ni harapan along. Harapan keluarga. Harapan negara. Harapan bangsa. Harapan agama. Buktikan pada mereka yang harapan mereka itu tak akan sia-sia. Angah seorang yang kuat semangat dan tak akan gentar dengan segala cabaran yang datang," ucap Buhairah sambil menepuk dagu Parsha berkali-kali. Bersyukur.
"I guess that a biggest challenge for me, kak long." Terbeliak Parsha. Masakan dia mampu pikul harapan yang tinggi itu.
"Nothing is impossible to achieved in life, Mejar Nasrun Parsha." Buhairah memberikan keyakinan pada Parsha.
Parsha mendepakan tangan lalu disilangkan di belakang kepala. Hatinya dipenuhi rasa syukur dan bertuah kerana dikelilingi mereka yang hebat dan penuh dengan kasih sayang. Kini cinta nafsu yang terpahat dalam hatinya perlu disingkirkan untuk mencapai impian masa depannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co