Bab 13
Lepas membantu Mak Zainab menyediakan sarapan, Suhana berehat di atas pangkin di tepi rumah yang menghadap ke sawah. Sejak sampai malam tadi dia tak keluar bilik. Alasannya dia terlalu penat. Zarief juga turut sampai tengah malam tadi.
Dalam rasa cuak dan takut, Suhana sudah membulatkan hatinya untuk bersemuka dengan Zarief. Hal semalam perlu dibincangkan. Itu belum lagi dengan urusan perkahwinan yang telah diselesaikan oleh Mak Zainab. Orang tua itu seboleh mungkin ingin mengadakan persandingan khas untuk tatapan saudara-mara dan kenalan rapat saja. Pelamin dijadikan tempat untuk bergambar saja. Suhana yang memang sudah sepakat dengan Zarief untuk tidak bersanding terpaksa beralah apabila Mak Zainab beria-ia ingin melihat mereka duduk di atas pelamin.
"Assalamualaikum. Jauh mengelamun," tegur Zarief cukup tenang.
"Waalaikumussalam..."
Suhana mengesat air mata yang bergenang di kelopak mata. Tiba-tiba rasa sebak apabila mendengar suara Zarief menegurnya.
"I'm sorry about yesterday."
Ucapan maaf Zarief membuatkan dada Suhana sebak. Air mata yang bergenang terus mengalir deras. Dia tidak sangka Zarief akan melakukan begitu pada dirinya.
"Enna... Please forgive me. Abang rindu sangat. Abang tak tahu macam mana boleh jadi macam tu," ucap Zarief penuh kesal. Memang dia kesal sangat dengan apa yang dilakukan pada Suhana. Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan mata.
"How could you, abang? Enna percayakan abang. Enna cintakan abang. Kita dah nak nikah pun, bang..." Suhana menahan sedih.
"Abang tak tahu, Enna. I have no ideas. Tiba-tiba abang rasa nak Enna sangat-sangat. Abang tak boleh kawal perasaan abang..." cerita Zarief membuatkan Suhana memandang tepat ke wajah Zarief.
Dia kenal Zarief dan boleh baca bahasa badan Zarief. Dia nampak kejujuran Zarief. Rasa cinta membuatkan Suhana matang menilai erti kemanusiaan. Erti kasih sayang. Erti tanggungjawab. Erti menerima dan bertolak ansur.
"Abang... Enna sayang abang. Enna juga cintakan abang. Tapi Enna takutkan Allah. Enna kasihkan keluarga Enna. Enna tak mahu tersasar dengan rasa cinta Enna pada abang hingga melanggar batas agama. Kita sudah berada di jalan yang betul untuk membina masjid bersama. Masjid yang direstui oleh kedua-dua orang tua kita. Kenapa kita perlu robohkan tiang keberkatan itu, bang? Kenapa?"
"Abang tak tahu, Enna. Abang tak tahu nak cakap apa. Rasa itu datang tiba-tiba," jelas Zarief bersungguh-sungguh. Suhana mengeluh.
"Enna kesal sangat, bang. Enna ni bukan malaikat. Enna ni bukan ustazah... Enna sendiri pun masih terkial-kial memperbaiki diri. Abang buatkan Enna rasa sedih sangat. Abang tahukan Enna cukup menjaga kesucian diri Enna hanya untuk seorang lelaki yang bergelar suami? Itulah hadiah Enna pada suami Enna. Itulah hadiah yang bakal Enna berikan pada abang. Kalaulah semalam Enna lemah, apa yang tinggal pada diri Enna, bang? Apa yang tinggal? Bahagiakah kita dengan apa yang dah terjadi?"
Suhana terus menangis. Zarief terdiam. Hatinya cukup rasa tak sedap. Otaknya sudah berfikir apakah tindakan yang akan Suhana ambil? Mengenali Suhana, dia tahu Suhana mampu mengambil tindakan nekad.
"Sebagai manusia yang lemah, kita mampu merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagiakan diri dan pasangan kita. Percayalah Enna. Abang bertanggungjawab sepenuhnya jika sesuatu terjadi pada Enna semalam. Selagi kita berusaha untuk membahagiakan diri dan pasangan kita, selama itulah rasa bahagia itu menjadi milik kita," jelas Zarief.
"Lebih kurang dua puluh satu hari lagi abang akan goncang tangan papa untuk terima akad dan dosa Enna. Betul ke abang serius nak memperisterikan Enna? Betul ke abang sanggup susah dan senang dengan Enna? Sanggup ke abang pikul dosa-dosa Enna ni?" soal Suhana, polos.
Sejak dia berhijab dan mendalami kelas agama, pandangan Suhana tentang Islam cukup tertib. Dia terus berazam ingin menjadi isteri yang solehah buat Zarief. Dia ingin menjadi anak yang patuh buat papa dan mentuanya. Semuanya kerana cahaya Islam yang begitu terang dalam hatinya.
"Enna... Abang pilih Enna bukan kerana rupa paras ataupun harta juga pangkat Enna. Abang pilih Enna, masa tu Enna masih hingusan lagi. Rasa itu Allah yang semaikan dalam hati abang. Masa Enna di UK, papa datang jumpa abang bertanyakan tentang kita. Terus terang abang cakap, hati abang secara spontan kata yang abang nak jadikan Enna sebagai isteri abang. Abang fikir betul ke apa yang abang lakukan ini. Alhamdulillah, setiap kali solat tahajud, setiap kali solat istikharah, abang mohon satu saja. Jika Enna ini jodoh abang, permudahkanlah segala urusan abang. Sekiranya Enna bukan tulang rusuk kiri abang, jauhkanlah Enna dari abang..."
Terhenti Zarief di situ. Peluh mula membasahi dahi. Seram sejuk dirasakan badannya. Wajah yang tadinya tenang kini sudah pucat. Beberapa imbasan peristiwa kelam menerjah mindanya.
"Abang! Abang okey ke?" soal Suhana yang pelik melihat perubahan wajah Zarief.
"Nak demam kut. Jom masuk. Kita minum dulu. Lepas tu bolehlah Enna beransur ke Alor Setar. Tak payah tunggu petang," kata Zarief memberi alasan pada Suhana.
"Mmm..." keluh Suhana. Hatinya masih tidak tenang. Persoalan dalam diri masih belum berjawab. Namun dia tetap mengatur langkah pulang ke rumah. Zarief masih duduk di atas pangkin memerhatikan langkah Suhana yang penuh cermat.
"Enna," panggil Zarief.
"Ya," sahut Suhana lantas berpaling memandang Zarief.
"Abang minta maaf atas kejadian semalam. Abang betul-betul kesal. Dan abang nak Enna tahu yang abang sangat cintakan Enna. Percayalah," kata Zarief meyakinkan Suhana.
"Emmm..."
Suhana mengangguk. Dia tersenyum nipis. Hati wanitanya cukup tersentuh dengan kata maaf Zarief yang dipayungi rasa bahagia dengan bicara keramat cinta itu.
Zarief memandang kelibat Suhana hingga hilang dari pandangan mata. Rasa bersalah dan kesal yang menggunung dalam hatinya membuatkan dia jadi bingung seketika.
Macam mana dia nak bersemuka dengan Kamarul? Dan apa yang dia nak cakap dengan Halim? Dengan perlahan Zarief berjalan masuk ke dalam rumah. Suara tawa Suhana yang sedang berbual dengan Mak Zainab dan Pak Hamdan membuatkan hatinya dipalu belati. Sakitnya.
"Mak cik tak payahlah beria-ia sangat. Mak cik kan tak sihat. Tak payah nak buat semua tu," pinta Suhana yang tak senang hati melihat Mak Zainab beria-ia menyediakan pelbagai buah tangan untuk para tetamu. Kesihatan orang tua itu bukannya elok sangat. Risau dibuatnya.
"Isy, bukannya banyak pun. Untuk dua ratus orang saja. Majlis marhaban campur sekali berzanji anak-anak yatim tu. Mak cik boleh uruskan sendiri. Enna tak payah nak susah-susah. Itu yang berkotak-kotak biskut yang Enna hantar tu pun dah lebih daripada cukup," kata Mak Zainab.
"Abang yang keluarkan duit tu, mak cik. Dia nak tetamu pulang dengan perut kenyang katanya. Enna ni tukang buat pesanan aje. Cukup masa, Enna pergi ambil. Lagipun taukenya Bee. Senang kira. Bab makan-makan ni, mak cik tak payah risau. Insya-Allah, semuanya boleh runding," kata Suhana sambil tersenyum manis.
Mana taknya, beg cenderamata untuk semua tetamu disediakan oleh Chinobe. Biskut sampai dua jenis. Coklat lagi. Memang cukup syarat betul di dalam beg comel yang baru dihantar oleh lori Dine In semalam.
"Lepas outstation ke Kedah, Enna ke mana pula?" soal Pak Hamdan yang risau mendengar jadual kerja Suhana dan Zarief yang sangat padat walaupun hampir menjelang hari pernikahan.
"Enna empat hari aje kat sana, pak cik. Lepas tu duduk kat pejabat sampailah cuti nak nikah. Cuma..." Terhenti bicara Suhana.
"Cuma lepas seminggu nikah Enna akan terbang ke China selama tiga bulan. Kami terpaksa tangguhkan percutian ke Eropah," celah Zarief.
"Laaa, macam tu pula?"
"Pejabat tak boleh hantar orang lain ke, along? Kamu berdua baru nikah, macam tak berperikemanusiaan langsung," kata Mak Zainab tak senang hati.
"Tak ada pilihan lain, mak. Ini semua kesanggupan Enna sebab dia dah hantar permohonan berhenti kerja. Bos terima tapi bersyarat. Itu yang Enna kena ke China tu. Tak apalah, mak. Ini untuk masa depan kami juga," sokong Zarief.
Zarief izinkan apabila mengetahui Mubeenah Tazkia ialah syarikat konsesi yang ditawarkan oleh Cempaka International untuk menguruskan projek di China adalah milik Suhana. Ini bermakna, walaupun Suhana sudah berhenti kerja, dia masih tetap berurusan dengan Cempaka International sebagai pembekal tenaga mahir. Bukan sikit tawaran yang diterima oleh Mubeenah Tazkia. Cukuplah untuk membuatkan syarikat itu mengorak langkah maju ke hadapan lagi.
"Kenapa Enna nak berhenti kerja? Bukan ke elok kerja tu?" soal Mak Zainab.
"Enna nak kerja sendiri, mak cik. Dah sampai masanya Enna fokus pada perniagaan kecil-kecilan Enna tu. Adalah sikit masa Enna dengan abang nanti. Tak adalah sorang ke hulu, sorang ke hilir. Mula kecik-kecik aje dulu," jelas Suhana.
Zarief yang mendengar terus tersenyum. Perniagaan kecik-kecik apanya? Dah sampai peringkat antarabangsa tak adanya kecik, jawab Zarief dalam hati.
"Kalau kamu berdua dah sepakat, kami doakan yang terbaik saja. Ingat dalam rumah tangga ni kena ada kata sepakat. Bincang. Nak bahagia pun perlu ada perancangan. Bukan main terjah macam tu aje. Timbang tara setiap keputusan yang dibuat secara adil dan saksama. Kamu berdua ni berpelajaran, tahu fikir mana baik dan mana yang buruk," nasihat Pak Hamdan.
"Insya-Allah, ayah," balas Zarief.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co