Truyen3h.Co

Cinta Ajari Aku

Bab 14

karyaseni2u

Masuk hari ni sudah tiga hari Suhana berada di Alor Setar dengan aktiviti melawat ladang lembu. Selama itu juga Zarief tidak menghubunginya. Terdetik juga dalam hati kenapa Zarief tidak menghubunginya? Adakah disebabkan kejadian tempoh hari? Tapi semua itu sudah diperjelaskan. Dan Zarief faham kenapa dia bertindak menolak kemahuan Zarief malam itu. Gelodak rasa sangsi dibiarkan sepi seketika.

Homestay berdekatan dengan ladang lembu, Pelindung Argo menjadi tempat penginapan Suhana. Suasana kampung dengan bunyi cengkerik dan deruan mata air di belakang rumah membuatkan hati Suhana terasa damai.

"Cik Enna, hari ni kita pergi melawat ladang lembu terbesar di Malaysia. Pelindung Agro Farm. Milik Tuan Haji Sharif dengan adiknya. Di sini Cik Enna boleh dapatkan segala maklumat yang Cik Enna perlukan untuk projek mega lembu tu. Mereka mengusahakan cara ternakan moden dan terkini. Teknologi canggih diperlukan bagi meningkatkan lagi pengeluaran syarikat," jelas Arif, pegawai dari pejabat haiwan negeri.

"Emmm... Bagus tu. Tak sangka pula di Malaysia ada ladang ternakan lembu besar-besaran macam di New Zealand," jenaka Suhana.

"Tuan Haji Sharif ni memiliki banyak ladang lembu. Di Indonesia dan Kemboja pun ada," jelas Arif lagi.

Suhana memerhati dua orang lelaki yang berjalan menuju ke arah mereka. Lelaki yang muda tu macam pernah dilihat sebelum ini. Tapi dia lupa di mana dia pernah bertemu.

"Assalamualaikum. Selamat datang ke Pelindung Agro Farm. Saya Haji Sharif dan ini adik saya, Parsha." Sharif bersalaman dengan dua orang pegawai kementerian.

"Saya Mansur dan Syaari dari kementerian. Ini Cik Suhana pegawai dari syarikat IT yang akan membuat spesifikasi projek ini nanti," terang Mansur. Suhana hanya tersenyum dan menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat.

"Kalau macam tu, kita masuk dalam makan tengah hari dulu. Lepas tu kita boleh sembang panjang."

Tiga jam berada di Pelindung Agro Farm membuatkan hati Suhana tersentuh mengingatkan lembu peliharaan papanya, Atan dan Minah di Sungai Buloh. Terbit rasa rindu yang menggunung. Dalam diam hatinya mengorak gembira dan bersyukur kerana makin ramai usahawan Melayu yang berjaya dalam bidang pertanian dan penternakan hingga ke peringkat antarabangsa.

Perbincangan Suhana yang rancak dengan pihak kementerian dan pengusaha Pelindung Agro Farm terhenti seketika. Suhana menjauhkan diri dari meja perbincangan untuk menjawab panggilan telefon daripada Halim.

"Assalamualaikum, pak long."

"Waalaikumussalam. Enna kat mana sekarang ni?"

"Enna ada kat Alor Setar tengah bincang pasal projek bersama pihak kementerian dan pengusaha. Ada apa, pak long?"

"Pak long dan papa nak Enna pulang ke KL sekarang juga. Ada hal mustahak."

"Pak long, Enna tengah kerja ni. Boleh tak Enna balik esok?" rayu Suhana. Kerja lebih utama waktu ini. Dia tak boleh ambil cuti sambil lewa. Sudahlah jadual kerjanya sangat padat sekarang ini.

"Ini antara hidup dan mati. Masa depan Enna. Papa Enna tak nak buat keputusan tanpa persetujuan daripada Enna."

"Apa pak long cakap ni? Enna tak fahamlah."

"Pak long nak Enna balik sekarang juga. Semua orang dah ada kat sini. Tunggu Enna sampai sahaja."

"Pak long, Enna tengah kerja ni. Kalau ya pun pak long nak Enna balik KL, bagi tahu Enna hal apa yang mustahak sangat tu sampai tak boleh tunggu esok? Peninglah Enna macam ni." Suhana mula naik angin.

"Zarief kena tangkap." Pendek jawapan Halim.

"Tangkap khalwat ke tangkap basah?"

Meluru sahaja persoalan itu keluar dari mulut Suhana yang terkejut. Peristiwa Zarief yang ingin menyentuhnya di pejabat beberapa hari lepas kembali terpapar dalam mindanya. Dadanya terus berombak kencang.

"Basah!"

Terus telefon pintar Suhana terlepas dari tangan. Suhana menyandarkan diri di dinding. Sharif yang memerhati terus berlari-lari anak mendapatkan Suhana yang terawang-awang. Sebuah kerusi ditarik untuk memberi Suhana duduk dengan selesa. Sharif mengambil telefon pintar yang terjatuh lalu dia menjawab panggilan tersebut.

"Cik Enna, banyakkan istighfar. Sekejap saya panggilkan isteri saya temankan Cik Enna pulang ke Kuala Lumpur. Cik Enna duduk dulu, ya."

"Tak apa, tuan haji. Tak payah susahkan isteri tuan haji. Saya nak selesaikan tugas saya dahulu. Memang jadual saya balik KL esok. Jadi, hari ini biar saya habiskan kerja saya dahulu." Tenang Suhana menjawab.

"Tapi Cik Enna..." Sharif terdiam.

"Bagi saya lima minit. Saya nak buat panggilan dulu. Kejap lagi kita sambung semula perbincangan kita." Suhana berlalu ke hujung ladang dan berbual dengan Halim.

Lawatan ke ladang lembu Pelindung Agro Farm selesai selepas solat asar. Suhana dipelawa untuk makan malam di rumah Haji Sharif namun ditolak lembut oleh Suhana yang inginkan waktu untuk bersendiri. Suhana memandu kereta menuju ke bendang. Dia duduk di tali air di tengah kawasan bendang yang luas dan menjerit sekuat hati. Kemudian dia menghamburkan tangisannya.

Tiba-tiba telefon pintarnya berdering. Suhana segera menjawab panggilan telefon daripada Chinobe.

"Assalamualaikum, Kak Enna," ucap Chinobe di hujung talian.

"Waalaikumussalam, Bee."

"Papa telefon Bee tentang itu. How are you, sis?" soal Chinobe yang terkedu mendengar cerita yang disampaikan oleh Kamarul sebentar tadi.

"I'm not..." Suhana menangis sepuas hati.

"Sama macam papa. Kak Enna tunggu, esok pagi Bee sampai. Bee batalkan niat untuk ke Mekah. I want to be beside you and papa. I love you so much..."

"Bee... Tak apa... Kak Enna boleh uruskan lagi," tegah Suhana.

"Kak Enna, Bee nak bersama Kak Enna. Sabar, ya. Bee tak sabar nak tengok permainan Abang Rief. Sampai hati dia buat macam tu," bebel Chinobe di hujung sana.

"Bee, kita tak tahu hal sebenar. Baik kita diam dulu. Kalau itu cakap Bee, jumpa esok ya. Have a safe journey, sayang."

"You too sister. Love you."

Masuk senja, Suhana bergerak ke surau berdekatan homestay yang didiaminya selama tiga hari. Selepas solat berjemaah, dia termenung seketika.

"Assalamualaikum," tegur seorang jemaah.

"Waalaikumussalam."

"Enna?"

Suhana mengangkat muka memandang wajah orang yang menegurnya. Subhanallah... Ustazah Buhairah rupa-rupanya. Ustazah yang menjadi tempat Suhana bersoal jawab tentang akhlak Muslimah terpuji dalam sebuah rumah tangga. Terus tubuh itu dipeluk. Dia menangis teresak-esak. Buhairah membiarkan sahaja Suhana melepaskan rasa sedihnya di dalam pelukannya.

"Saya lemah sungguh kali ini, kak," bisik Suhana perlahan.

"Ingatlah dik, Allah turunkan segala dugaan yang termampu kita tanggung. Tidak lebih daripada itu. Banyakkan meminta pada-Nya," balas Buhairah.

"Inilah yang sedang saya lakukan, kak. Tapi saya lemah. Air mata saya tak berhenti keluar. Payah nak kecap kebahagiaan rupanya."

"Bahagia ada dalam hati kita, dik. Kita yang cipta bahagia, bukan sebaliknya. Jom, ikut akak balik rumah. Kita boleh mengaji bersama di rumah," pujuk Buhairah.

"Kak Buhairah duduk sini?"

"Saya isteri Haji Sharif yang Enna jumpa tadi." Buhairah tersenyum.

"Ooo..." balas Suhana.

Usai mengambil barang di homestay, Suhana bersama Buhairah menuju ke rumah kampung Buhairah di kawasan Pelindung Agro Farm. Dia terpegun seketika melihat reka bentuk rumah kayu yang berunsurkan seni bina rumah Inggeris.

Sepanjang malam Suhana tidak boleh tidur. Dia duduk membaca surah Yasin di dalam biliknya. Berita yang baru didengarinya begitu payah sekali untuk ditelan. Besarnya dugaan yang datang. Tak tertanggung rasanya dek akal dan kudrat yang ada. Lewat jam lima pagi dia terdengar sayup-sayup orang mengaji di surau kecil di rumah itu.

Suhana yang lengkap bertelekung menjinjing sejadah untuk ke surau itu. Lama Suhana berdiri di muka pintu mendengar alunan bacaan ayat suci yang cukup gemeresik. Hatinya rasa tenang namun air matanya tetap laju mengalir. Esakan halusnya menghentikan suara yang sedang mengaji di sebalik tirai sana.

"Awak nak berjemaah dengan saya? Subuh dah nak masuk ni," soal suara di sebalik tirai.

"Maafkan saya sebab ganggu encik," ucap Suhana dengan suara yang masih serak.

"Awak tak mengganggu saya pun. Dah, kesat air mata awak. Mari jemaah dengan saya. Kita sama-sama merintih pada-Nya minta dipermudahkan segala urusan kita di dunia ini. Insya-Allah, kita akan diberi kesabaran oleh Allah," pujuk suara lelaki itu.

"Tunggu saya basuh muka sekejap," ucap Suhana. Dia akur dengan ajakan lelaki itu.

Usai mengucapkan salam terakhir. Hati Suhana tersentuh dengan doa yang dibacakan oleh lelaki itu dengan penuh khusyuk dan pilu sekali.

"Ya Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengetahui. Ampunkanlah segala dosa-dosa hamba-Mu ini. Ampunkanlah segala perbuatan mungkar yang pernah hamba-Mu ini lakukan sepanjang hidupnya. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Kau ampunkanlah segala dosa-dosa kedua-dua ibu bapa kami. Kau limpahkan rahmat-Mu pada mereka sepertimana Kau limpahkan rahmat-Mu kepada orang yang beriman. Ya Allah Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Memahami. Permudahkanlah urusan kami di dunia ini dan limpahkanlah rahmat-Mu buat kami reda dengan segala dugaan yang Kau letakkan di bahu kami ini. Ya Allah Ya Tuhanku, Kau limpahkanlah kasih sayang-Mu buat kami agar kami dapat kongsikan bersama mereka yang kami sayangi. Kaulah tempat kami mengadu. Kau jugalah tempat kami berserah..."

Doa lelaki itu cukup membuatkan esakan Suhana kedengaran. Rasa keinsafan menyerap ke seluruh urat sarafnya. Rasa kehilangan yang bertimpa-timpa membuatkan dirinya jatuh tersungkur menyembah bumi. Semua yang dipinjamkan oleh Allah, ditarik balik satu per satu. Belajar erti reda dan berserah tidak dapat disempurnakan seikhlas hati walaupun bibir sering merayu untuk melakukan begitu.

Suasana sunyi seketika. Suhana masih melayan hati laranya menangis sendirian di sebalik tirai surau.

"Kalau Cik Suhana perlukan teman, saya sudi mendengarnya," ucap lelaki itu.

"Saya... Saya..." Suhana serba salah. Dia tidak mengenali lelaki di sebalik tirai itu, namun lelaki itu cukup ikhlas ingin meringankan beban yang menimpa hatinya.

"Jangan khuatir, saya akan simpan luahan kesedihan Cik Suhana. Simpan kesedihan tak elok untuk kesihatan. Tangisan yang berlarutan juga tidak menyelesaikan masalah. Lepaskan rasa kecewa, kesal, sakit dan marah itu dulu. Lepas tu, akal baru boleh berfikir secara rasional. Percayalah," pujuk lelaki itu.

"Maafkan saya, encik... Saya sedar akan perkara itu. Tapi perkara ini bagaikan membuka aib diri saya sendiri. Saya sedih sangat dengan apa yang berlaku. Saya sedih sangat dengan diri saya yang terlalu ingin menyempurnakan tanggungjawab duniawi hinggakan saya terlepas pandang pada tanggungjawab saya pada tunang saya sendiri. Kami akan bernikah lebih kurang tiga minggu lagi. Segala aturan majlis semua sudah disediakan..."

Suhana terdiam. Hatinya bertambah sedih apabila mengingatkan apa yang telah terjadi.

"Jika sudah sedar akan keburukannya, buat apa lengahkan lagi? Percepatkan tarikh pernikahan. Perkahwinan dalam Islam tidak pernah menghalang isteri mahupun suami maju dalam kerjaya. Asalkan ia mengikut landasan yang betul. Cik Suhana faham, kan?"

"Saya faham. Tapi bukan itu masalahnya..."

"Masalahnya apa?"

"Tunang saya ditangkap basah dengan stafnya sendiri dalam keadaan yang cukup mengaibkan. Tunang saya tidak mengaku bersalah dan tidak mahu menikahi perempuan itu sedangkan perempuan itu mengaku bersalah dan ingin dinikahi..."

"Astaghfirullahalazim... Habis tu?"

"Kerana itulah saya dipanggil balik untuk membincangkan hal ini. Keluarga kedua-dua belah pihak ingin menyelesaikan hal tersebut. Perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Perkahwinan itu biarlah kekal hingga ke akhir hayat dengan izin Allah. Saya rasa tersepit..." kongsi Suhana dengan jujur.

"Cik Suhana cintakan tunang cik?"

"Hmmm... Kami kenal bukan sebulan dua. Kami kenal lima tahun. Masa tu saya di UK dan dia di Malaysia. Setiap hari berhubung membuatkan rasa sayang itu semakin tebal. Hinggalah saya pulang ke Malaysia, dia melamar saya untuk menjadi isterinya. Kami bertunang hampir setahun. Dalam tempoh pertunangan ini, kami belajar untuk mengenali diri masing-masing dengan lebih dekat lagi. Dia sangat bertanggungjawab, melindungi, membimbing dan mengasihi saya sepertimana yang saya inginkan dari dia..."

Suhana diam tidak bersuara. Suara keluhan lelaki itu jelas kedengaran.

"Cik Suhana, sayang dan cinta itu lain maksudnya. Rasa sayang itu membuatkan kita rasa terbuai dengan perhatian yang orang berikan pada kita. Dan sentiasa menyatakan kata-kata manis yang kita ingin dengar. Kehadiran orang itu membuatkan kita rasa bahagia. Namun tidak pada cinta. Cinta lahir daripada satu perasaan yang datangnya jauh dari lubuk hati. Cinta membuatkan kita rasa disayangi, dikasihi, dilindungi dan dihormati. Kerana cinta juga kita akan menyayangi, mengasihi, melindungi dan menghormati orang yang kita cintai. Kehilangan cinta membuatkan kita jatuh, sakit dan kecewa. Namun jika kita cintakan seseorang kerana Allah, insya-Allah, keikhlasan cinta kita itu dibalas dengan kebahagiaan."

"Maaf, encik. Saya tak hiraukan cinta saya dalam situasi ini... Bukan itu yang menyedihkan saya tika ini," jelas Suhana tenang.

"Jadi sebab apa Cik Suhana bersedih?"

"Saya sedihkan maruah perempuan itu. Saya risaukan pandangan masyarakat pada perempuan itu. Saya risaukan masa depan perempuan itu. Bagaimana dia perlu berkahwin dengan lelaki lain sedangkan dia sudah dirosakkan oleh tunang saya? Bagaimana sekiranya dia mengandung? Pasti zuriat yang dilahirkan dicerca oleh masyarakat seumur hidupnya. Saya tak mampu, encik. Saya tak mampu memikirkan keburukan yang bakal hadir kerana tunang saya enggan menikahi perempuan itu. Saya dapat rasakan itu..."

Tangisan Suhana kembali berbunyi.

"Jangan kita membuat tanggapan melulu sedangkan kita tak tahu hujung pangkalnya, Cik Suhana. Tindakan keluarga Cik Suhana memanggil cik pulang itu adalah tindakan yang bijak. Bermusyawarah mencari jalan penyelesaian dalam perkara ini."

"Dalam pada waktu yang sama, saya tersepit dalam menjaga air muka dan maruah keluarga saya sendiri, encik. Tok ibu saya orang yang berpangkat dan dihormati oleh masyarakat. Papa saya pula hartawan yang punya reputasi yang cukup membanggakan dalam masyarakat. Pak long dan mak long saya juga sangat dihormati dan dikagumi. Apa yang berlaku ini pasti mencalarkan maruah mereka. Majlis pernikahan sudah siap disusun. Tetamu sudah siap dijemput. Air muka mereka pasti tercemar jika saya batalkan majlis pernikahan itu."

"Cik Suhana buat solat istikharah dulu. Minta Allah berikan jawapannya. Saya pasti keluarga cik mahukan yang terbaik buat cik. Pulanglah dan dengar penjelasan mereka. Insya-Allah, Allah dengar luahan orang yang sabar. Sudahlah, pergilah cik bersiap dulu. Perjalanan cik ke Kuala Lumpur tu makan masa. Rehatlah. Saya tengok cik tak tidur pun malam tadi," suruh lelaki itu.

"Dalam keadaan sebegini, saya tak mampu untuk lelapkan mata. Saya mampu bohongi semua orang tapi saya tak mampu bohongi diri saya sendiri. Hmmm... Terima kasih, encik. Terima kasih kerana sudi mendengar cerita sedih saya ini walaupun encik tak kenal saya. Insya-Allah, saya akan ingat nasihat encik itu. Assalamualaikum," ucap Suhana lalu bangun meninggalkan surau.

Parsha melepaskan nafas panjang. Tanggapannya pada Suhana sebelum ini meleset sama sekali. Jernihnya hati Suhana yang memikirkan hati orang lain berbanding hatinya sendiri. Terngiang-ngiang ucapan Suhana setahun yang lalu.

"Tajam bahasa saya tidak sama dengan sakitnya hati saya melihat lelaki bangsa saya, juga saudara seagama saya menjatuhkan maruahnya sendiri kerana takut berdepan dengan masalahnya sendiri. Terhentak kepala saya memikirkan bagaimana bangsa saya akan maju jika seorang lelaki yang wajib menjadi khalifah bagi membimbing kami, wanita dan anak-anak Muslim di hadapan saya ini begitu lemah untuk berjihad melawan nafsu dan keegoannya sendiri."

Manusia berubah sepanjang masa, Parsha. Begitu juga diri dia dan diri kau juga. Tak semua orang dilahirkan sempurna walaupun zahirnya nampak sempurna. Menjatuhkan tanggapan pada orang hanya kerana keadaannya ketika itu adalah tidak tepat sama sekali. Walhal tika itu adalah waktu yang paling buruk yang mereka lalui... Tapi kenapa hati aku tenang sangat bila bersamanya? Kenapa hati aku bagaikan bersorak gembira melihat dia menghadapi masalah dengan tunangnya? Astaghfirullah... Jauhkanlah aku dari melakukan perkara mungkar, Ya Allah. Permudahkanlah hidupnya, Ya Allah. Limpahkanlah kasih sayang dan rasa cinta padanya sepertimana Kau limpahkan rasa cinta itu pada Saidatina Khatijah dan Nabi Muhammad, mohon Parsha dalam hatinya.

Suhana memasukkan beg ke dalam kereta. Haji Sharif dan Buhairah memandang tidak senang hati. Parsha hanya memerhati dari tingkap biliknya sahaja.

"Suhana," seru Buhairah lembut.

"Ya, kak."

"Akak tak izinkan Suhana memandu dalam keadaan sebegini meninggalkan ladang kami. Suhana tak cukup rehat. Jangan ikutkan hati sangat. Biar akak yang temankan Suhana hingga sampai ke rumah Suhana tu."

"Saya tak nak menyusahkan sesiapa, kak. Insya-Allah, saya masih boleh memandu perlahan-lahan," jawab Suhana memberi alasan.

"Kami pun nak pulang ke Kuala Lumpur, Suhana. Biar kami saja yang tumpangkan Suhana. Parsha boleh bawa kereta Suhana. Jika Tuan Halim Saad itu pak long yang Suhana maksudkan, kami kenal sangat. Dia banyak bantu Parsha. Isterinya, Kak Mariam pun kami kenal," pujuk Haji Sharif.

Suhana memandang Haji Sharif. Kecilnya dunia. Sudahlah Buhairah ini ustazah yang membimbingnya ilmu agama. Pusing-pusing mereka saling mengenali. Nak tak nak, Suhana terpaksa mengalah. Kepalanya pun mula kuat berdenyut kerana tidak tidur dan terlalu banyak menangis semalam.

"Yalah," akur Suhana.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co