Bab 15
SEBAIK sahaja Suhana sampai di pekarangan rumahnya, Chinobe berlari-lari anak mendapatkannya. Tubuh Suhana dipeluk erat. Kamarul berdiri di muka pintu bersama Halim dengan wajah yang serius. Apa yang terjadi hari ini sangat rumit untuk diluahkan dengan kata-kata.
"Kak Enna..." panggil Chinobe sambil menangis.
"Bee," ucap Suhana sambil membalas pelukan Chinobe.
"I'm here for you, Kak Enna. We're here," pujuk Chinobe.
"I know, dear. I know. Thank you," balas Suhana.
"Bee! Enna! Masuk dulu. Eh! Sharif, Buhairah dan Parsha pun ada sekali? Masuklah dulu," pelawa Halim ramah. Dalam hati terkejut juga melihat kehadiran keluarga teman baiknya mengiringi Suhana.
"Maaf, tuan. Kami yang tak benarkan Suhana ni memandu pulang sendirian dari Alor Setar dalam keadaan dia yang tak tidur semalaman," cerita Haji Sharif.
"Laaa... Dia ke ladang kamu ke, Sharif? Subhanallah, kecilnya bumi ni. Pusing-pusing ke situ pula." Halim tersenyum. Lega hatinya mendengar penjelasan ringkas Haji Sharif.
"Suhana dengan orang kementerian melawat ladang lembu saya untuk satu projek kementerian. Saya pun tak tahu pada mulanya yang Suhana ni anak buah tuan. Bila saya jawab panggilan telefon itu, saya dapat cam suara tuan. Itu yang saya tanya Suhana," jelas Haji Sharif.
"Syukurlah dia bersama kamu semalam Sharif, Buhairah. Hati saya ni usah cakaplah. Tak tenang selagi dia tak ada kat sini. Yalah, dia ni anak buah yang pelik sikit. Emosi sukar nak dijangka. Dah tu, mari kita masuk dalam. Saya pun perlukan pandangan Sharif dan Buhairah dalam menyelesaikan hal bersangkut dengan agama ni sikit. Kita sama-sama permudahkan urusan ni," pinta Halim.
Haji Sharif dan Buhairah berpandangan. Kemudian mereka memandang Parsha yang hanya membalas dengan anggukan tanda setuju. Mereka semua melangkah masuk ke ruang tamu yang penuh dengan tetamu yang berwajah sugul.
Suhana terus memeluk tubuh Kamarul. Kamarul menyapu air mata yang mengalir di tubir mata Suhana.
"Papa faham," bisik Kamarul lalu memeluk tubuh Suhana. Semua yang ada di situ memandang tingkah dua beranak itu dengan pelbagai rasa. Tok ibu yang duduk di sebelah Mariam dan Asmah tak henti-henti menyapu hidungnya yang sudah berair.
Pilu hati Suhana memandang wajah insan-insan yang sangat disayanginya itu. Bibirnya masih lagi ligat berzikir agar hatinya sentiasa tenang mendengar cerita yang bakal menerjah telinganya.
Sepuluh minit kemudian, Zarief keluar dari dapur bersama Muslim dan seorang ustaz. Muka Zarief begitu sedih sekali. Melihatkan Suhana yang duduk dengan wajah yang pucat lesi membuatkan hatinya dirundung rasa bersalah.
"Bagaimana ustaz?" tanya Halim.
"Saya dah buang semuanya, tuan. Insya-Allah, dia sembuh," jawab ustaz.
"Alhamdulillah. Semua orang pun dah ada di sini. Encik Ramli, saya ni tidak memihak kepada sesiapa. Saya ini hanyalah orang tengah dalam menyelesaikan masalah budak-budak ni. Encik Ramli benarkan saya menjadi orang tengah?" soal Halim memohon persetujuan.
"Saya benarkan demi maruah anak saya, Sofia." Ramli membalas dengan tegas.
"Baiklah, terima kasih Encik Ramli. Kebetulan nak dipermudahkan oleh Allah, kita ada saksi yang cukup arif dalam hal agama. Tuan Haji Sharif bersama isterinya, Ustazah Buhairah dan adiknya Parsha. Mereka boleh menjadi saksi dan seterusnya orang tengah jika terjadi perbalahan yang berat sebelah nanti. Tunang Zarief yang ada tugas di Alor Setar pun saya dah panggil balik untuk sama-sama dalam perbincangan kita ini. Sebelum itu, boleh saya minta izin Encik Ramli untuk membenarkan Ustaz Leman melihat Sofia? Takut-takut mungkin terkena sihir juga. Saya bukan apa, untuk menyelesaikan segala yang bermain dalam benak orang tuanya ini. Boleh ibu Sofia dan isteri saya Mariam ke dapur menemani Sofia?" pinta Halim dengan penuh diplomasi.
"Kenapa pula nak lihat-lihat ni? Mereka ni ditangkap basah bukannya diserang oleh jin atau syaitan," marah Ramli. Halim diam seketika.
"Untuk pengetahuan Encik Ramli, ustaz ni baru sahaja merawat Zarief yang terkena ubat guna-guna yang menyebabkan dia hilang pertimbangan dan pendirian. Saya khuatir mungkin Sofia juga terkena benda yang sama. Dunia sekarang ni nampak aje moden, tapi masih ramai yang berfikiran kuno hingga sanggup percaya benda-benda syirik macam ni. Nak pula mereka ni kerja nak dapatkan projek besar, mesti ramai musuh dalam selimut," pujuk Halim.
"Papa, Sofi tak nak. Sofi dah malu. Sudahlah maruah dan harga diri dah hilang." Sofia mula menangis.
"Sofi, mama rasa ada betul juga cakap tuan ni. Mama pun terkejut apa yang terjadi pada Sofi ni. Sofi anak yang taat, tak mungkin Sofi mampu melakukan kerja-kerja macam ni," balas ibu Sofia.
"Sofi kata Sofi tak nak! Tak nak!"
"Kenapa Sofia? Sebab awak yang buat pada Zarief, kan?" Muslim tak tahan melihat sandiwara Sofia. Dia cukup geram dan marah dengan apa yang baru diketahuinya tadi. Memang betullah syak mereka selama ini. Sofia ada berniat buruk pada Zarief dan Suhana.
"Apa awak cakap ni, Muslim? Merepeklah."
"Kalau awak tak buat, kenapa pula awak perlu takut, Sofia? Awak tu perempuan. Maruah dan harga diri tu tinggi nilainya daripada wang ringgit," pancing Muslim.
Sofia terdiam seketika. Dia memandang Suhana yang diam membisu. Suhana tidak menunjukkan sebarang reaksi. Pelik. Lama ditenungnya wajah Suhana yang tenang memandang lantai.
"Ya, memang aku yang kenakan ubat guna-guna tu pada Zarief. Dan kami sudah pun bersama. Aku nak kahwin dengan Zarief. Zarief perlu bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan pada aku." Megah sekali ucapan Sofia.
Semua yang berada di ruang tamu terkejut dengan kata-kata Sofia. Ramli bangun dan terus menampar pipi Sofia. Malu. Teramat Malu. Zarief terduduk kelu. Suhana mengangkat muka memandang tepat ke arah Sofia. Mencari jawapan pada kata-kata Sofia. Chinobe memeluk erat tubuh Suhana untuk memberi kekuatan.
"Anak kurang ajar!"
"Sabar, Encik Ramli. Hal macam ni tak akan selesai kalau kita mengasari sesama kita. Bawa bertenang dan kita berbincang. Kami dah tahu akan hal ini sebentar tadi. Cuma kami nak dengar sendiri dari mulut Sofia atas apa yang telah dia lakukan pada Zarief. Sekarang semua sudah jelas. Terpulang pada Zarief untuk membuat keputusan."
Semua mata memandang Zarief. Zarief pula hanya memandang Suhana yang merenung tepat ke arah Sofia.
"Maaf, saya tak boleh terima Sofia. Hati saya dan jiwa saya hanya pada tunang saya, Suhana," ucap Zarief dengan mata yang berkaca-kaca.
"Zarief, you tak boleh buat macam tu pada I. You mesti bertanggungjawab. I love you so much, Zarief..." Sofia mula meraung-raung.
"Maafkan saya, Sofia. Saya tak mampu bohong pada diri sendiri. Jiwa raga saya hanya untuk Suhana, tunang saya. Kami dah bercinta lebih lima tahun. Semua yang berlaku ini di luar kawalan saya. Awak pergunakan saya untuk kepentingan diri awak, Sofia!" marah Zarief.
Suhana bangun. Dia tidak mampu lagi menyaksikan telenovela yang menyiat hati wanitanya. Berada terlalu lama mendengar setiap perbincangan mereka bagaikan menggantung diri sendiri di tali gantung. Hati meronta mahu berlari sepantas kilat keluar dari sini. Satu keluhan berat dilepaskan membuatkan semua mata memandang tepat ke arah Suhana.
"Enna," panggil Zarief yang cuak dengan Suhana yang tak bersuara dari tadi. Dia bangun lalu berdiri di depan Suhana.
"Maafkan Enna, abang. Papa, Enna nak cakap dengan papa sendirian. Please, pa," pinta Suhana penuh sopan. Dia ingin mendapat restu Kamarul terlebih dahulu. Keputusannya memanglah sakit, tapi dia perlukan sokongan daripada Kamarul yang merupakan walinya. Kamarul bangun dan membawa Suhana ke luar.
"Enna dah dengar, kan? Papa serahkan segalanya pada Enna. Mana yang terbaik buat Enna, itulah yang papa turut. Kebahagiaan Enna yang papa utamakan," kata Kamarul sebelum Suhana sempat bersuara.
"Pa, lebih kurang dua minggu lagi aje majlis nikah Enna akan berlangsung, pa. Persiapan semua dah buat. Papa dan tok ibu dah jemput ramai tetamu untuk meriahkan majlis Enna. Bee pun dah susah payah sediakan segala keperluan untuk majlis Enna. Pa, Enna tak nak maruah keluarga kita tercemar gara-gara Enna, pa," kata Suhana yang sudah menitiskan air matanya. Berat sungguh baginya untuk membuat keputusan. Kamarul menggenggam erat jari Suhana.
"Enna, dengar sini. Waktu sekarang ni, Enna fokus tentang masa depan Enna dan kebahagiaan diri Enna. Pasal maruah keluarga tu, kita tolak tepi dulu. Tahulah papa nak uruskan bagaimana nanti. Enna perlu buat keputusan segera. Ingat, papa sayang Enna. Apapun keputusan Enna, papa tetap sayang anak papa ni. Enna dah banyak sedarkan papa..."
Air mata Kamarul menitis. Sedih hatinya melihat kesengsaraan yang ditanggung oleh Suhana.
"Papa, Enna tak berdaya nak teruskan majlis pernikahan Enna. Ada wanita lain yang lebih layak daripada Enna. Walaupun hati Enna sakit sangat, tapi demi menjaga aib dan maruah wanita itu, Enna sanggup lepaskan cinta hati Enna. Sakit kecewa tu, insya-Allah biarlah masa yang ubati. Tapi jika Enna terima, wanita itu akan dikeji oleh masyarakat seumur hidupnya. Seumur hidup dia tanggung aib itu. Jika terbenih zuriat di dalam rahim wanita itu, Ya Allah... Tak dapat Enna nak bayangkan, pa. Maafkan Enna, pa," putus Suhana cukup jelas dan terperinci.
"Jika itu keputusan Enna, papa restu."
Tubuh Suhana terus dipeluk oleh Kamarul. Hati tuanya cukup tersentuh dengan penjelasan anaknya. Perbincangan masih belum selesai. Suhana memaut lengan Kamarul dengan erat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co