Truyen3h.Co

Cinta Ajari Aku

Bab 2

karyaseni2u

Suhana duduk diam sambil mendengar pembentangan laporan setiap unit dalam mesyuarat pengurusan yang wajib dihadirinya. Muk kopi panas dipusing-pusing sambil memandang ke arah Zarief yang duduk setentang dengannya. Lagak macam tiada apa-apa pun yang berlaku antara mereka.

"Babe, kau kenapa?" soal Anita berbisik. Muka serius dan ketat Suhana membuatkan dia tertanya-tanya. Apa yang tak kena?

"Tanpa cinta tiadalah cerita," kata Suhana berkias.

Anita telan air liur. Dalam fikirannya mula mengesyaki yang Suhana bergaduh dengan Zarief. Dulu masa belajar ada sekali Suhana sentap dengan kekasih alam maya. Sampai berjela-jela puisi cinta yang dikarang dan dilekat pada papan putih di depan meja belajar. Macam tak percaya pula budak kejuruteraan komputer boleh jiwang macam budak sastera. Tapi itulah hakikatnya. Dalam diri Suhana memang tersembunyi jiwa sastera.

"Dah nak nikah kut. Sabar, Enna. Sabar... Mana ada perhubungan yang tak diduga. Jangan ikut sangat sakit hati tu. Kata cinta sama cinta," nasihat Anita yang faham sangat fiil Suhana.

Suhana menoleh ke arah Anita. Hati rasa berat nak bercerita. Ya, benar mereka bertunang atas dasar cinta sama cinta. Percintaan alam maya yang bersulam hampir lima tahun tanpa dia sendiri peduli siapa empunya diri. Cukuplah dikenali dari nama samaran saja. Mereka tetap berhubung seperti biasa. Pertemuan pertama ketika si dia memperkenalkan diri membuatkan Suhana terkejut tak percaya. Suhana teringat kembali detik-detik tersebut.

Cik Enna: Abang, saya dah sampai kat lobi Cyberview lounge. Abang di mana?

Putera Kampung: Jumpa waiter di kaunter. Abang dah tempah meja untuk dua orang. Enna makan dulu. Abang terlewat sikit. Kejap lagi abang sampai. Dalam perjalanan.

Cik Enna: Okey, saya dah duduk di meja ni. Abang kat mana ni? Ke abang tak jadi datang?

Suhana berlalu ke kaunter bufet untuk mengambil sepotong dua kuih bersama sepiring buah sementara menunggu Putera Kampung hadir. Hampir setengah jam menunggu, datang seorang pelayan ke arah Suhana. Jambangan 101 kuntum bunga mawar merah dihulur.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi minta dijawab. Mata Suhana melirik pada skrin telefon bimbit yang tertera nama Putera Kampung.

"He... lo," ucap Suhana cemas.

"Kenapa lambat sangat Enna jawab panggilan abang ni? Tak cantik ke bunga tu?" soal Putera Kampung lembut.

"Bukan pasal bunga tak cantik..."

"Dah tu?"

"Terkesima..." jawab Suhana yang masih keliru.

"Hailah, Cik Enna. Sekarang Enna pandang ke belakang," arah Putera Kampung.

Suhana akur dengan arahan Putera Kampung. Dia menoleh ke belakang. Dia memandang seorang pemuda yang masih memegang telefon duduk di atas kerusi roda. Pemuda itu masih menyembunyikan identiti diri di sebalik topeng putih yang hanya menampakkan dua biji mata saja.

"Sayalah Encik Putera Kampung awak, wahai Cik Nurul Suhana." Putera Kampung masih berkata-kata menerusi telefon.

"Awak Putera Kampung saya?" Jantung Suhana berdebar kencang.

"Enna terkejut bila tengok abang yang cacat ni ke?" tanya Putera Kampung.

"Tidak! Cuma apa yang saya lalui malam ni sungguh mendebarkan. Abang buatkan jantung saya kerja lebih masa malam ni." Sempat Suhana berjenaka bagi meredakan keresahan dalam diri.

"Enna tak kesah abang cacat?"

"Tidak."

"Abang tak boleh pimpin tangan Enna ketika berjalan bersama."

"Saya tak kesah."

"Abang tak sehebat Enna, sempurna dan cantik."

"Saya tak peduli."

"Nanti orang buli Enna, kutuk Enna kerana bersama abang."

"Biarlah mereka. Penat nanti mereka akan berhenti."

"Betul Enna boleh terima segala kekurangan abang?"

"Betul dan ikhlas. Cuma..."

"Cuma apa?" Putera Kampung cemas. Gementar seluruh badan seketika.

"Saya tak boleh hidup dengan manusia yang bertopeng," jawab Suhana terus terang.

"Topeng ini untuk sementara sajalah... Setelah Enna jawab soalan terakhir abang, baru abang boleh tanggalkan topeng ni."

"Soalan apa lagi ni? Apa lagi yang abang nak tanya? Tak cukup lagi ke debaran yang abang hadiahkan pada saya ni? Hmmm... Apa dia?" Suhana melepaskan keluhan. Debaran di dalam dada tak usah cakaplah. Cemas tak terkata selagi Putera Kampung tak perkenalkan siapa dirinya yang sebenar.

"Sabarlah, sayang. Janji ini yang terakhir. Sebelum tu abang nak ke tandas sekejap. Gemuruh juga ni."

"Nak Enna bantu?"

"Boleh juga."

Suhana bangun dan menolak kerusi roda Putera Kampung. Sampai di depan pintu tandas, tiba-tiba Putera Kampung terjatuh dari kerusi dan tersungkur di atas lantai. Suhana sudah cemas tak tahu nak buat apa.

"Abang! Abang! Abang okey ke?"

"Betul Enna sayangkan abang?" soal Putera Kampung yang sudah duduk bersila. Suhana rasa tak sedap hati. Hatinya mula sangsi dengan Putera Kampung ketika ini. Dia terus berdiri.

"Abang main-mainkan Enna, kan? Abang tak cacat, kan? Sanggup abang tipu Enna sebab abang sangsi dengan keikhlasan Enna terima abang, kan? Isy... Stupid!"

"Tidakkk! Abang tak tipu Enna. Abang cuma perlu tahu adakah Enna benar-benar ikhlas terima abang?" ucap Putera Kampung lembut. Terkejut juga dia melihat ketegasan Suhana. Tak pernah dilihatnya Suhana bereaksi begitu serius sekali.

"Abang... Enna beri macam-macam alasan pada papa untuk keluar jumpa abang senyap-senyap malam ni. Enna layan semua kerja gila abang yang tak masuk akal ni. Macam orang bodoh abang buat Enna. Itupun abang masih sangsi dengan Enna? Masih tak yakin dengan keikhlasan Enna terima abang? Haishhh..." Suhana cukup geram. Rasa macam nak siku-siku Putera Kampung hingga dia melutut minta maaf.

"Abang suka tengok muka Enna bila geram. Tak payah pakai blusher pun dah cukup merah pipi tu." Ketawa Putera Kampung berpanjangan.

"Eee... Encik Putera Kampung ni!"

Suhana terus berlalu meninggalkan Putera Kampung yang masih duduk bersila di atas lantai. Terkejut Putera Kampung dengan tingkah Suhana lalu dia berlari-lari anak mengejar Suhana.

"Enna! Enna! Okey! Okey, serius. Abang minta maaf. Abang ingat Enna tak kesah," jelas Putera Kampung.

"Abang, kita bukan kenal sehari dua, sebulan dua, setahun dua... Kita dah kenal lima tahun. Setiap hari kita bersembang walaupun hanya di alam maya. Takkanlah abang tak nampak betapa ikhlasnya Enna berkawan dengan abang? Enna tak kesah siapa abang. Janji Enna tak kacau suami orang. Tak kacau hak orang lain. Betul tak?"

"Ya! Ya! Betul. Abang terlepas pandang siapa Enna sebenarnya. Maaf, ya? Janji tak buat lagi."

Suhana melepaskan keluhan.

"Betul ni?"

"Ya."

"Kalau betul nak Enna maafkan, buka topeng ni. Enna tak suka orang yang tak yakin dengan keputusannya. Enna tak suka orang yang tak bersedia menghadapi kenyataan hidup. Cantik atau buruk paras rupa itu bukan pengukur baik atau jahatnya orang tu di mata Enna."

Putera Kampung menyambung kembali tawanya. Bahasa Suhana malam ini cukup lucu pada pendengarannya.

"Apa gelak-gelak?"

"Ya. Ya. Jom ke meja kita semula. Abang akan buka topeng ni di sana."

Suhana akur. Dia berjalan beriringan dengan Putera Kampung menuju ke meja mereka. Kerusi roda tadi dibiarkan saja di tepi pintu tandas. Ikatan topeng di kepala dibuka perlahan-lahan.

"Bos! Encik Ahmad Zarief?"

"Hi, princess. Sayalah Encik Putera Kampung awak. Peaceee..." Dua jari diangkat.

"Dah lama buat kerja ni?" Suhana memukul lengan Zarief.

"Dah lima tahun," ucap Zarief selamba dengan senyuman menggoda.

"Lima tahun? Maknanya... Eee..." Suhana menekup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. Maknanya identiti dirinya sudah diketahui oleh Putera Kampung sejak mereka mula berkawan? Patutlah Putera Kampung selalu memberi alasan setiap kali dia minta gambar.

"Kenapa pula ni?" soal Zarief.

"Malu."

"Sejak bila pula Cik Nurul Suhana ni pandai malu-malu?" Zarief menarik tangan Suhana yang menutup muka.

"Sejak Putera Kampung Enna bertukar menjadi Encik Ahmad Zarief, bos Enna yang sengal."

"Siapapun abang, Enna tetap kekasih hati yang membuatkan abang tak senang duduk. Bukan senang abang nak dapat hati Enna ni tau. Lima tahun tu pun belum pasti kalau abang tak berkeras dengan hubungan kita ni. Dan... Mengenal Enna tidak pernah membuatkan abang kenal rasa kesal. I need you... Sebab Enna dah buat abang cintakan Enna sepenuh hati abang," jelas Zarief penuh romantis.

Suhana diam memandang Zarief. Semua yang berlaku ini bagaikan mimpi. Biasanya kisah sebegini hanya wujud dalam drama cinta dongeng semata-mata. Kepala Suhana masih berputar mencari kebenaran.

"Enna..." Zarief menggenggam kedua-dua belah tangan Suhana. Sejuk tangan masing-masing.

"Mmm..." Suhana jadi tidak keruan diperlakukan begitu romantis sekali. Tak tahu nak buat apa. Hilang rasa geram dan marahnya pada kejutan Zarief. Matanya asyik memandang tangannya yang dipegang oleh Zarief. Haram! Halal! Haram! Halal! Bergema dalam benaknya.

"Apa jawapan Enna dengan pertanyaan abang tadi?"

Perlahan-lahan Suhana menarik jarinya daripada terus digenggam oleh Zarief. Dengan senyuman kelat Zarief memohon maaf. Dia tahu Suhana tidak suka disentuh. Dalam keterbukaan minda, Suhana agak konservatif dalam perhubungan dan sentuhan lelaki dan perempuan.

"Soalan ni tak ada pilihan jawapan ke?"

Zarief menggeleng lalu tersenyum.

"Tak ada, sayang. Kalau ada pilihan jawapan, pasti A, B, C dan D jawapannya saya sudi," balas Zarief berjenaka. Mana mungkin Suhana punya pilihan jawapan sedangkan hati mereka berdua sudah suka sama suka.

"Ooo... Parah. Perut Enna dah lapar ni. Pilihan tu boleh kiv dulu tak? Lepas makan baru jawab." Suhana berusaha meredakan suasana canggung buat dirinya. Cinta di alam nyata ini membuatkan deria rasanya tunggang-langgang. Minda jadi semput tiba-tiba.

"Nooo... Jawab dulu baru makan."

"Enna pilih E."

"E? E tu apa?" Zarief minta penjelasan.

"E tu setuju dengan syarat papa dan tok ibu yang restu dan izinkan dahulu. Keputusan semua di tangan mereka. Enna cuma ikut sahaja."

"E? Betul Enna pilih E? Kalau macam tu dah lama dicap lulus dah." Zarief lega. Terasa ringan sekali beban yang ditanggung selama ini. Rasa cinta semakin menebal sejak Suhana muncul di depan mata.

"Ya ke? Tak tahu pula Enna. Tak apalah, nanti Enna tanya papa. Jadi sekarang boleh tak Enna makan dulu? Enna lapar sangat. Risau punya pasal, selera pun hilang."

"Risau? Risau pasal apa?"

"Risau abang tak boleh terima Enna seadanya."

"Gilalah kalau abang tak boleh terima Enna. Itu dah kira tolak rezeki. Tapi sebelum abang cakap lebih banyak, abang nak minta maaf. Abang bukan sengaja nak sembunyikan identiti diri ni. Tapi abang tiada pilihan. Abang takut. Abang takut Enna tak boleh terima abang. Lebih-lebih lagi bila Bee dan mama Enna cakap jangan berterus terang dulu. Tunggu sampai Enna balik. Kalau jadi apa-apa, Enna ada di depan mata mereka," terang Zarief.

"Mama tahu? Maknanya keluarga Enna tahu?" soal Suhana tidak percaya.

"Yup. Bila cinta dah semakin mekar, abang sendiri pergi jumpa papa Enna. Abang minta izin untuk hantar rombongan meminang, tapi papa Enna kata kena tunggu sampai Enna habis belajar. Kalau abang betul-betul serius, abang sanggup tunggu Enna dan tak kacau study Enna," cerita Zarief lagi.

"Habis tu?"

"Abang setuju dengan rancangan mereka. Keluarga dah setuju dan restu. Hanya tunggu empunya badan balik aje. Tiba-tiba lepas habis belajar Enna buat perangai. Nak tinggal sana seketika. Fuhhh, masa tu abang rasa macam nak pergi sana dan heret Enna balik KL dan-dan tu juga."

"Hah! Keluarga dah restu? Keluarga abang pun?"

"Ya, sayang. Semua dah restu. Kami rahsiakan dari pengetahuan Enna aje. Sepatutnya masa sampai hari tu semua ni dah terbongkar. Tapi kemalangan mama Enna membuatkan abang tak sampai hati nak terus terang. Papa Enna pun minta tangguh. Emosi Enna tak stabil masa tu. But now, I'm ready. Abang nak Enna jadi suri hidup abang. Abang tak nak tunggu lagi. Balik nanti Enna jumpa papa," suruh Zarief yang tertawa kecil melihat raut wajah Suhana.

"Hmmm... Enna tak tahu nak cakap apa. Ini satu kejutan yang Enna tak dapat nak fikir. Ingat bercinta di alam maya ni tak ada orang tahu. Rupa-rupanya... Eee, Maluuu! Tak tahu nak letak muka kat mana," jelas Suhana sambil menggeleng.

"Dahlah tu. Benda dah lepas. Yang penting kita suka sama suka dan keluarga restu. Betul tak?"

"Tapi..."

"Apa lagi, sayang?"

"Wo xihuan ni de ai dai lai jing xi." Suhana menjongketkan sebelah kening.

"Mulalah mengumpat abang tu," rungut Zarief. Dia tak suka kalau Suhana bertutur dalam bahasa Kantonis. Tahulah Suhana berdarah campuran Cina. Mamanya mualaf.

"Taklah. Maksudnya saya suka dengan kejutan cinta abang."

Bunyi cincin terjatuh membuatkan Suhana beristighfar panjang. Dia tersedar dari lamunan panjang. Dia tidak mampu memberi fokus kepada tugas buat seketika kerana emosinya berkecamuk. Rasa cinta diduga dengan akal. Apabila ditimbang tara dengan akhlak agama, dia jadi tewas. Tewas dengan rasa cemburu pada sikap Zarief yang ramah dengan sesiapa saja. Pergaulan Zarief dengan rakan-rakan wanita di pejabat mesra sekali. Tiada beza layanannya walaupun sudah bertunang. Apabila ditegur, dikatanya Suhana tidak berfikiran terbuka. Suhana juga yang makan hati. Semakin pudar rasa cinta yang diimpikan sebelum ini.

"Kenapa?" soal Anita yang cukup risau. Cincin tunang Suhana yang melorot di atas lantai sempat ditahan dengan kaki. Ini sudah kes berat ni, fikir Anita.

"Kenapa kebahagiaan tak semudah yang digambarkan? Keindahan cinta rupa-rupanya sangat menyakitkan," bisik Suhana. Dia terus bangun dan keluar dari bilik mesyuarat tanpa toleh ke belakang.

"Enna!" seru Tan Sri Azman membuatkan langkah Suhana terhenti.

"Maaf, Tan Sri. Ada panggilan sekejap. Excuse me," kata Suhana memberi alasan.

Anita memandang Zarief yang menyoal dengan pandangan mata dan dibalas dengan gelengan oleh Anita. Ini mesti ada rahsia yang Suhana sembunyikan daripadanya. Pasti!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co