Truyen3h.Co

Cinta Ajari Aku

Bab 3

karyaseni2u

Kesabaran Suhana sudah sampai hadnya. Dalam kesibukan melunaskan tugasan pejabat, dia terserempak Zarief berdua-duaan dengan perempuan yang sama. Kalau urusan kerja pasti pasangannya berbeza. Tapi kenapa pasangannya tetap Sofia? Sudahlah dengan penampilan Sofia mengalahkan model antarabangsa yang tak pernah cukup kain. Belum masuk lagi dengan sikap kekwat perasan cantiknya tu lagi. Itu yang membuatkan hati Suhana benar-benar bengkak.

Bukannya Sofia tidak tahu yang Zarief sudah bertunang. Berita pertunangan mereka diumumkan sendiri oleh Zarief pada majlis makan malam syarikat tiga bulan lalu. Cuma pada hari biasa, mereka jarang dapat mempamerkan kemesraan mereka di khalayak warga Cempaka International. Tuntutan tugas yang membataskan mereka bertemu.

Usai berurusan dengan Tan Sri Abdullah, Suhana terus menerpa ke bilik Zarief. Tersentak Zarief yang sedang menjawab panggilan interkom. Wajah Suhana yang tegas dalam tenang dipandangnya dengan pandangan mata yang penuh persoalan.

Terus Zarief memendekkan perbualannya. Kening terangkat menyoal Suhana.

"Abang, Enna tak selesalah tengok cara abang yang rapat dengan semua orang," luah Suhana terus terang tapi masih bernada lembut. Sikap Zarief yang terlebih mesra itu betul-betul membuatkan dia rasa cukup tak selesa. Bagi Suhana, walau bagaimana profesional mereka dalam melaksanakan tugasan, mereka perlu tahu batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Itulah akhlak hidup masyarakat Muslim.

"Maksud Enna?" soal Zarief sambil menyandarkan badan di kerusi.

"Sikap abang yang terlebih mesra itulah. Kalau ya pun nak close deal, jangan mempergunakan wanita."

Zarief tersenyum lalu bangun dan bersandar di meja sambil menghadap Suhana.

"Cik Enna sayang, dalam bidang kita strategi pemasaran dan jualan perlu tiptop. Itu lumrah hakikat zaman moden ini. Bukan abang buat apa pun. Bila dah rapat barulah senang kerja kita. Nak close deal pun mudah," jelas Zarief. Dia sering mendengar rungutan Suhana tentang isu yang sama. Dia sudah naik muak dengan cara pemikiran Suhana yang kuno dalam hubungan lelaki dan perempuan. Ini tak boleh, itu tak boleh. Rimas.

"Tapi Enna tetap tak selesa. Bagi Enna, ia akan menjadi penyebab dan dugaan pada hubungan kita. Enna tak nak nanti kita bergaduh kerana perkara yang tak munasabah. Majlis kita pun tinggal dua bulan aje lagi, bang. Cara abang ni buat Enna tak sedap hati," luah Suhana terus terang.

Zarief menggeleng lalu mengatur langkah merapati Suhana. Dia tahu siapa yang dicintainya. Dia tahu apa yang dilakukannya sekarang ini adalah yang terbaik buat masa depan mereka nanti. Semuanya terancang rapi dan direstui keluarga. Apa nak ditakutkan sangat? bebel hati Zarief.

"Abang tak buat apa pun, sayang oi. Abang kerja sama macam sayang juga. Enna dengar sini. Abang yakin dan percayakan Enna tanpa sikitpun rasa syak pada kesetiaan Enna. Dan abang nak Enna pun buat perkara yang sama juga. Fikir positif, sayang. Yakin dengan abang sepertimana abang yakin pada Enna. Boleh ya, sayang?" soal Zarief. Dia tak selesa Suhana mempersoalkan kejujurannya.

"Bukan itu maksud Enna, bang... Sebagai teman sepejabat, Enna sokong abang seratus peratus. Abang memang hebat dan membanggakan syarikat. Tapi sebagai tunang dan bakal isteri abang, Enna rasa tergugat dengan sikap abang yang mesra dengan semua perempuan yang abang kenal. Sikap layanan mesra abang itu membuatkan Enna rasa tiada keistimewaan dalam hidup abang. Perempuan ni lain, bang," jelas Suhana.

Zarief tertawa lucu. Cemburu! tebak hatinya. Zarief memegang bahu Suhana lalu memalingkan tubuh Suhana menghadapnya. Dia rasa cukup bertuah dan rasa diri sempurna sebagai lelaki apabila berdampingan dengan Suhana. Inilah pendampingnya sampai bila-bila. Tiada yang lain.

"Cemburu, ya?" usik Zarief. Mata Suhana ditenungnya.

"Cemburu itu memang mainan perempuan, bang. Tapi tidak pada Enna. Walaupun Enna cintakan abang, Enna masih sayangkan hubungan kita. Enna nak kita sama-sama berpimpinan tangan masuk ke syurga. Jika Enna silap, abang tegur. Begitu juga dengan abang. Enna harap sangat kita dapat merealisasikan impian kita dengan reda Allah... Enna tak nak kita berdua lalai. Kerana setiap kali lelaki dan perempuan itu berdua-duaan, pasti adanya yang ketiga," jelas Suhana cukup berlapik. Zarief dapat menangkap maksud di sebalik kata Suhana itu. Senyuman lega dilepaskan. Cemburu Suhana itu membuatkan dirinya rasa dihargai.

"Siapa yang Enna maksudkan?" soal Zarief inginkan kepastian.

"Sofia," jawab Suhana.

Zarief tersenyum dengan jawapan Suhana yang penuh yakin. Nampak sangat api cemburu di mata Suhana.

"Abang dengan Sofia tu tak ada apa-apalah, sayang. Dia engineer abang. Kami sama-sama buat projek ni. Please trust me. Sekali abang kata cinta, sampai bila-bila rasa itu tetap di sini," pujuk Zarief.

"Enna tak ada hak untuk melarang abang. Sungguhpun begitu, Enna rasa tak salah sekiranya Enna sampaikan rasa tak sedap hati Enna ini. Jika itu yang dah abang putuskan, Enna doakan kita sentiasa kuat. Lagipun Enna akan ke California selama dua minggu. Lepas tu Enna terus ke Kedah melawat ladang lembu," jelas Suhana yang tidak mahu memanjangkan cerita lagi.

Zarief merapatkan dirinya ke tubuh Suhana sambil memandang pintu pejabat yang tertutup. Sejak bergelar tunangan orang, Suhana sentiasa menyarung baju kurung atau seluar panjang ke pejabat. Tiada lagi skirt pendek seperti dulu. Hari ini Suhana ayu mengenakan selendang yang menutup kepalanya. Menghormati hari Jumaat kata Suhana pagi tadi.

"Gonna miss you, dear," bisik Zarief sambil membetulkan selendang Suhana yang hampir melorot.

"Doakan Enna sejahtera dan selalu ingatkan abang. Ada nak pesan apa-apa?" balas Suhana berbisik. Dia masih berkecil hati. Susah betul Zarief nak faham hatinya.

"Tak nak. Lagi dua bulan kita nak nikah. Nanti boleh pergi honeymoon di sana. Kita beli sama-sama, ya?" bisik Zarief.

"Hmmm... Kalau macam tu, Enna keluar dulu," ucap Suhana kemudian terus menolak tubuh Zarief ke tepi. Dia ingin keluar. Dia tak ingin bercakap dengan Zarief yang tak faham maksud hatinya. Bagi Suhana, sekali Zarief berbohong, tak mustahil Zarief akan melakukan perkara yang sama pada kemudian hari. Peluang sudah diberikan kepada Zarief untuk berterus terang namun Zarief masih lagi tegas dengan caranya.

"Enna!" panggil Zarief. Dia dapat rasakan Suhana masih marah kepadanya. Namun panggilannya itu langsung tidak dilayan oleh Suhana.

Zarief memerhatikan Suhana yang berlalu ke pejabatnya. Lepas mencapai tas tangan, Suhana terus berlalu keluar bersama buku nota hitam yang selalu dibawanya untuk berjumpa klien. Raut wajah Suhana yang masam membuatkan Zarief menggeleng tidak faham. Perempuan memang susah nak faham!

"Kenapa Cik Enna tu, bos?" soal Nina pelik.

"Datang bulan kut," jawab Zarief selamba.

"Ya ke? Macam tak percaya saja. Malam semalam Cik Enna call saya, tanya bos ada meeting dengan siapa kat Restoran Terapung. Saya katalah semalam bos tak ada cakap pun ada meeting. Saya tanya kenapa, Cik Enna kata dia kat sana. Dia nampak bos tapi tak nak kacau sebab bos kata ada meeting," jelas Nina.

"Allah! You kata macam tu ke, Nina? Hmmm... Patutlah dia mengamuk. Habislah saya," keluh Zarief sambil menepuk dahi. Kantoi sudah dia keluar makan dengan Sofia semalam.

"Haaa, bos dengan siapa semalam?" soal Nina yang memang serasi sebagai setiausaha kepada Zarief dan Suhana sejak Suhana bekerja di Cempaka International.

"Lepas habis kerja semalam, saya keluar makan dengan Sofia. Dah malam, lapar. Lupa pula nak cakap dengan Enna," cerita Zarief sambil menggaru belakang tengkuknya.

"Ooo... Patutlah Cik Enna bagi borang ni pada saya untuk serahkan pada Kak Imah. Kata Kak Imah, Tan Sri dah tawarkan syarikat Cik Enna untuk uruskan projek tu. Lembaga pengarah nak kerja tangan Cik Enna juga. Macam mana, bos?" soal Nina sambil menunjukkan borang visa yang sudah ditandatangani bersama salinan pasport dan dua keping gambar.

Zarief meneliti borang visa itu. Dia mengeluh panjang. Projek China itu bermula lima hari dari tarikh pernikahan mereka. Suhana sudah lupa ke? Kenapa Suhana tak berbincang dulu dengannya? soal Zarief dalam hati.

"Mana boleh, Nina. Dia lupa tarikh kut. Tarikh ni lima hari lepas kami nikah. Macam mana nak honeymoon?" gurau Zarief.

"No idea, boss." Nina tergelak. Lucu betul dengan pasangan romantis ini. Kalau orang tak tahu mereka dah bertunang, memang orang tak boleh nak agak mereka pasangan kekasih yang bakal bernikah tak lama lagi. Cara mereka meluahkan rasa sayang dan cinta itu sangat tersendiri. Belum pernah tingkah mereka sumbang di mata warga Cempaka International. Nak pula Suhana. Memang tak tunjuk langsung sikap mesranya dengan Zarief di khalayak ramai.

Dari segi kerjaya, Suhana memang seorang pengurus yang dedikasi dan bijak mengatur strategi perniagaan. Tindakannya membuka dan mengemas kini projek lapuk membuahkan hasil yang sangat membanggakan syarikat. Sekelip mata saja nama Suhana sudah bermain di bibir pengurusan tertinggi Cempaka International. Komitmen itulah yang telah merenggangkan Suhana dengan Zarief.

Walaupun penampilannya moden, berpelajaran dan senang dibawa ke tengah ke tepi, namun ada sesuatu yang Zarief kurang selesa tentang Suhana. Kolot! Kuno! Out dated! Nak bercinta pegang tangan macam pasangan lain pun Suhana tepis. Nak cium manja-manja lagilah. Dalam mimpi ajelah. Status tunang tak mampu menjadi lesen untuk dia menyentuh Suhana. Panasaran saja hatinya melihat Suhana dipandang dan dipikat oleh lelaki lain. Siapa yang tak tergoda dengan Nurul Suhana Kamarul Arifin, model yang semakin meningkat naik nama di sektor pengiklanan?

"Isy, bos awak ni, Nina... Lebih pentingkan kerja daripada saya. Kalau macam ni, terpaksalah saya cakap dengan Tan Sri minta kelonggaran. Bila nak buat anak kalau macam ni? Bising mak ayah kat kampung tu. Dahlah kahwin lambat," kata Zarief membuatkan Nina tergelak lucu. Macam-macam sungguh Zarief ni!

"Alah, cakap ajelah tak cukup masa nak bermanja, bos. Alasan mak ayah konon," usik Nina.

"Pengantin barulah katakan... Macamlah awak tak faham perasaan pengantin," jawab Zarief tidak mahu mengaku kalah.

"Tapi kalau macam ni punya taufan, rasanya macam pujukan bos tak jalan. Esok pula bos sekali lagi ke Bintulu dengan Si Sofia tu. Balik KL, Cik Enna dah terbang ke Singapura. Lepas tu terus ke California. Lepas tu terus ke Kedah... Hmmm, macam mana?" soal Nina dengan jadual Suhana yang cukup padat.

Zarief hanya tersenyum kelat sambil menggaru kepalanya. Kemudian dia berlalu masuk ke dalam bilik. Kepalanya ligat berfikir cara terbaik untuk memujuk Suhana. Hati Suhana perlu disejukkan sebelum dia ke Bintulu. Susah kalau melarat nanti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co