Bab 6
Lama juga Halim bersembang dengan Parsha, Najmi dan Widad sambil menunggu Suhana selesai makan. Mata Halim memang tak lepas daripada memerhati tingkah Suhana yang makan sambil menjawab panggilan telefon. Pasti Zarief tak henti-henti memujuk.
"Kamu apa khabar, Arsh?" soal Halim yang cuba mengalihkan rasa risau kepada Parsha.
"Macam yang tuan tengok inilah." Parsha tersenyum.
"Saya bangga dengan semangat kamu. Walaupun pada mulanya kamu payah nak lakukan, namun sokongan yang tak putus daripada keluarga dan kawan sekeliling membuatkan kamu melangkah jauh ke depan. Saya nampak kamu yang dulu dah kembali. Malah lebih baik daripada itu. Kamu dah baca buku yang saya berikan tu?"
Halim melihat sebuah buku bersaiz A5 terletak kemas di atas meja. Dari warna kulit buku pun dia sudah tahu itulah buku yang diberikan kepada Parsha semasa melawat Parsha di hospital dulu.
"Ni dia buku yang tuan bagi tu. Buku Dahsyatnya Taubat Nasuha ni dah lama saya khatam, tuan. Dan sekarang saya baca sekali lagi. Ada unsur yang saya sedang hayati. Contohnya kisah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Ka'ab bin Malik."
Sudah menjadi kebiasaan Parsha akan berkongsi ilmu yang digalinya di dalam buku dengan orang sekeliling. Kupasan dan interaksi soal jawab itu membuatkan mindanya berfikir tentang kehidupan dan tanggungjawab.
"Mmm... Apa yang awak dapat daripada kisah itu?"
"Tuan suka pancing saya bercerita..." Parsha tersenyum sambil menggeleng.
Halim tertawa kecil. Dia memang suka bersembang dengan Parsha sebenarnya. Bukan sembang kosong.
"Hmmm... Ka'ab bin Malik ni merupakan salah seorang sahabat Rasulullah. Menurut sejarah, dia tidak pernah meninggalkan walau satu pun peperangan bersama Rasulullah melainkan dalam satu peperangan ni. Kalau tak silap saya dalam peperangan Tabuk." Parsha tersenyum lucu apabila dapat membaca fikiran Halim waktu itu.
"Ya. Ketika bala tentera Rasulullah berangkat, dia sedang memetik hasil buah-buahan dari kebunnya. Waktu itu semua pemilik kebun sedang tekun menguruskan kebun untuk dipasarkan dengan segera. Rancangannya adalah menyusul Rasulullah lewat sehari, kan?" bicara Halim.
"Betul tu, tuan. Dugaan datang dalam bentuk yang cukup mudah. Hasratnya tertangguh kerana tidak memperolehi barang keperluan yang dikehendaki di pasar untuk disediakan sepeninggalannya nanti. Dia bertambah gelisah dari sehari ke sehari sebab tak dapat menyediakan barang keperluan rumahnya sehinggalah dia terpaksa bersembunyi saja di dalam rumah hingga Perang Tabuk berakhir. Lepas itu dia pergi menghadap Rasulullah setelah dia sempurnakan solat sunatnya di masjid untuk memberikan alasan kenapa dia tidak turut serta... Dia berkata jujur. Rasulullah mendengar alasannya kemudian menyuruhnya pergi hingga Allah turunkan hukuman atas kesalahannya. Dia berdiri di tengah bandar selama lima puluh hari bersama dua lagi sahabatnya yang juga tidak menyertai peperangan itu. Mereka dicemuh dan dikeji oleh penduduk setempat..."
"Jawapannya; Ya Allah, aku tak akan sekali-kali menarik balik perkataanku ini dan aku tidak mahu membohongi diriku sendiri. Jadi selama itulah dia dipinggirkan oleh masyarakat. Kalau kita sudah meroyan, kan?" Halim cukup selesa mengupas isu akhlak dengan Parsha. Setelah mendampingi Parsha dengan lebih dekat, baru dia tahu yang Parsha ini bukan calang-calang orang rupa-rupanya. Parsha cukup berilmu pengetahuan. Cuma sebagai manusia, dia memang tak lepas daripada tergelincir dari landasan dek imannya tak cukup kuat melawan hasutan nafsu dan penyesalan.
"Betul cakap tuan tu. Saya rasa kerdil dengan kisah ini. Sebak dada saya bila mengenangkan kesabaran Ka'ab bin Malik ini. Rasa macam nak sujud syukur bila membaca bait hatinya yang berbunyi, benar-benar sesak kurasakan diri ini dan bumi yang luas terasa sempitnya... Subhanallah, itulah yang saya rasa, tuan. Cuma bezanya saya tak mendengar laungan dari puncak Gunung Sal'ein yang melaungkan perkataan, berbahagialah kamu wahai Nasrun Parsha..." cerita Parsha sambil tersenyum kelat.
"Ia sudah berbunyi, Arsh. Kamu saja yang tak dengar," pujuk Halim sambil tertawa lembut. Lucu juga berbual dengan Parsha ini.
Parsha terdiam. Ada benarnya kata-kata yang baru diucapkan Halim itu. Hatinya cukup tersentuh apabila mendengar bait kata gadis yang dicabulinya sewaktu di Munich tempoh hari. Gadis yang ada kena-mengena dengan Halim.
"Tuan, saya nak tanya sikit boleh?"
"Apa dia?"
"Kenapa tuan kena bersusah payah ambil tahu pasal anak saudara tuan tu? Papa dan abang dia mana? Atau tunang dia?" soal Parsha.
"Enna ni bukan saja anak buah saya, Arsh. Dia dah jadi anak saya. Papa dia ada urusan di luar negara. Esok baru balik. Abang dia memang dari kecik lagi dah angkat tangan. Nak redakan Enna ni dengan cara biarkan dia saja. Ni kerja tunang dialah. Dia lari keluar rumah sebab tak nak bersemuka dengan tunang dia. Dan selalunya bila dia dah macam ni, mereka serahkan kat papa dia. Bila dia buat perangai masa papa dia tak ada, tok ibu dia mesti cari saya. Pening mak saya dengan perangai cucu yang sorang ni. Risaunya macamlah Suhana ni budak kecik. Nak tak nak, saya terpaksalah campur tangan. Sayangkan mak yang dah uzur tu. Tak makan saman sebenarnya dia ni. Semua ikut kepala otak dia saja," bebel Halim lagi.
Najmi dan Widad yang mendengar bebelan Halim sudah tertawa kecil. Nampak saja lembut dan comel, perangai boleh tahan brutal rupa-rupanya. Parsha pula hanya menggeleng.
"Lepas ni apa tuan nak buat?" soal Parsha. Dia ingin membaca fikiran Halim dalam menangani isu Suhana yang dikatakan degil.
"Entahlah, Arsh. Saya rasa nak jaga kamu satu batalion ni lagi senang daripada nak jaga dia sorang. Psikologi kena kuat. Sabar usah cakaplah. Kalau saya tegas, dia lagi tak makan saman." Halim tersengih.
Belum habis mereka berbual, Suhana menghampiri meja mereka dengan muka kelat. Tiada senyuman manis di wajah Suhana.
"Pak long," sapa Suhana lembut.
"Dah nak balik? Jom, pak long belum solat isyak lagi ni," balas Halim lembut.
"Ini kunci kereta Enna. Pak long baliklah dulu. Johan dah sampai tu. Enna nak lepak kat Dine In dulu. Enna tak nak balik rumah lagi. Selagi dia ada di rumah, selagi itulah Enna tak nak balik," tegas Suhana membuatkan Halim mengeluh.
"Kut ya pun bergaduh dengan Rief, janganlah buatkan tok ibu tu susah hati. Enna sedap-sedap makan kat sini, entah-entah tok ibu kat rumah sana dah mati seleranya. Kesian kat tok ibu. Dia teringin nak makan ramai-ramai. Tiba-tiba aje Enna keluar macam tu," kata Halim lembut tapi berbaur nasihat.
"Enna minta maaf, pak long. Ini tindakan Enna yang terbaik buat masa ini. Enna dah penat nak menjerit. Enna dah penat terus terang pada dia yang Enna tak suka dengan apa yang dia lakukan. Enna sedar, Enna ni bukanlah Muslimah yang taat tunaikan suruhan Allah. Tapi sekurang-kurangnya Enna dah berniat untuk perbetulkan akhlak Enna. Cakap banyak pun tak guna, pak long. Enna rasa kepala Enna ni macam nak meletup aje. Pak long pandu kereta elok-elok. Semua ni Enna dah bayarkan. Enna pergi dulu, pak long," kata Suhana. Selepas bersalam dan mencium tangan Halim, Suhana terus berlalu.
"Mak oi, tegasnya mengalahkan tentera," komen Widad yang berkerut dahi mendengar bicara tegas Suhana dengan Halim.
"Mesti berat kesalahan tunang dia tu. Kalau tak mesti tak berangin sampai macam tu sekali. Buah hati saya ni Widad, kalau masuk tentera memang mencicit awak semua kena gulai. Dia ni jenis orang yang ikut buku aje. Tak ada main suap-suap. Tak main bodek. Kami kat rumah gelarkan dia beauty with unexpected thinker sebab tindakannya sebiji macam sniper. Senyap aje tahu-tahu saja kerja selesai. Tapi kawan universiti dia gelarkan dia ni Miss Otobot. Tak ada perasaan kata mereka."
"Bahaya macam tu ya, tuan. Sekarang dia kerja mana, tuan?" soal Najmi sambil memandang Parsha yang hanya memasang telinga saja dari tadi.
"Syarikat MSC di Cyberjaya sana. Eh! Dahlah, saya nak balik rumah dulu. Orang tua kat rumah tu mesti tak boleh tidur fikirkan hal cucu," kata Halim.
Hilang saja Halim dari pandangan mata mereka, Najmi terus menepuk bahu Parsha yang sedang meneguk sisa teh halia yang dipesan tadi.
"Bukan calang-calang dia tu, Arsh. Sniper tanpa perasaan," sakat Najmi.
"Tak baik kacau tunangan orang, Mie. Aku pun nak berlalu balik kondo. Kau orang ni kerja kan esok? Tak tahu nak balik awal ke?" balas Parsha membuatkan Widad menoleh ke arahnya.
"Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?" soal Widad.
"Si Arsh ni macam dah ditakdirkan lekat dengan sniper tanpa perasaan tu, Wid. Ini semua pasal penangan di Munich dulu," beritahu Najmi.
"Ya, memang selalu ditakdirkan terserempak. Ada masalah?" tanya Parsha, geram.
"Haaa, dengar tu, Wid. Mejar yang dah beku rasa ni dah menjawab. Aku rasa member gigit bibir aje dengar cerita tentang sniper tanpa perasaan tu. Dah terlambat!" sakat Najmi bertubi-tubi. Widad sudah tergelak kuat. Parsha terus ambil kunci dan berlalu meninggalkan meja. Habislah dia jadi bahan usikan mereka lepas ni. Khilaf yang ingin dilupakan rupa-rupanya semakin menggamit jiwa lelakinya. Ada sesuatu dalam hati yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co