Truyen3h.Co

Cinta Ajari Aku

Bab 7

karyaseni2u

SEBAIK sahaja Suhana sampai di Dine In, dia terus berlalu ke pejabat. Dia tahu Chinobe tidak akan berada di sini. Masuk sahaja di pejabat, dicapainya gitar kapuk milik Chinobe lalu dibawa turun ke pentas kecil di hujung restoran. Dek rasa marah dan geram yang membuak dalam hati, terus hilang sifat pemalunya. Dia ingin lepaskan segala yang terbuku dalam hati.

Johan terlopong melihat gaya Suhana yang selamba. Tiada langsung sifat malu bak daun semalu yang digondolnya dulu. Petikan gitar Suhana sambil diiringi piano menyerikan suasana tenang Dine In. Memang waktu malam begini Dine In menjadi tempat lepak bagi golongan profesional yang inginkan suasana santai dan selesa untuk janji temu perniagaan. Setiap malam pasti ada alunan muzik instrumental secara live di sini. Itu menjadi tarikan unik buat Dine In.

"Kak Enna tu kenapa, bos?" Seorang pramusaji bertanya pada Johan yang memerhati dari kaunter pembayaran.

"Demam kus-kus dia menyerang kut. Biarlah. Pergi buat kerja," suruh Johan.

Alunan lagu Have You Ever Been In Love dendangan Celine Dion dialunkan dengan penuh perasaan hingga tanpa sedar air matanya turut mengalir. Suhana menundukkan kepala sambil memejamkan mata. Selesai lagu tu, Suhana merapati pemain piano dan berkata sesuatu. Kemudian dia menarik mikrofon. Johan yang duduk memerhati kini sudah berdiri tegak. Ini kali pertama dalam hidupnya dia melihat Suhana seberani itu.

"I want one moment in time,

When I'm more than I thought I could be,

When all of my dreams are a heartbeat away,

And the answers are all up to me,

Give me one moment in time,

When I'm racing with destiny,

Then in that one moment of time,

I will feel... I will feel eternity..."

Suara Suhana bergema dengan penuh emosi. Lagu dendangan Whitney Houston bertajuk One Moment In Time menggambarkan apa yang terbuku dalam hatinya tika ini.

Selesai saja, tepukan gemuruh daripada kakitangan Dine In mengejutkan Suhana yang masih lagi mengelamun hingga membuatkan pipinya berona merah. Barulah dia tersedar dari rasa marah dan geram yang terkumpul dalam hatinya tadi.

"Lega?" soal Johan sewaktu Suhana menghampirinya.

"Lega tapi malu. Lupa diri sekejap," ucap Suhana yang sedang menekup pipinya.

"Sedap suara Enna. Boleh setanding dengan Bee," puji Johan ikhlas.

"Bee tu bukan tandingan Enna, Abang Joe. Dia dah kira profesional. Enna ni nak kata amatur pun tak. Dik, buatkan Kak Enna jus epal kurang ais, ya." Suhana meminta penuh sopan pada pramusaji yang lalu di hadapannya.

"Minah tu tak payah ceritalah. Dia biasa karok. Kalau tidak, tak ada maknanya pentas tu ada kat situ. Mujurlah sejak dah bernikah ni jadi pemalu sikit. Taklah terkinja-kinja sangat macam dulu. Ayu aje Abang Joe tengok. Bagus bimbingan cinta Chad tu," puji Johan membuatkan Suhana angguk tanda setuju.

"Jodoh, bang. Kenal sekejap lepas tu kahwin lebih baik daripada cinta bertahun lepas tu renggang," balas Suhana kemudian mengeluh perlahan.

"Gaduh dengan Rieflah ni, ya? Enna... Enna... Biasalah tu adat orang bercinta. Mana ada gembira aje. Mestilah ada pasang surutnya. Nak pula kau orang berdua ni dah nak dekat kahwin. Memang akan bergaduhlah. Jangan ikutkan sangat kata hati tu. Godaan-godaan masa bertunang ni getir sikit. Enna kena dekatkan diri dengan Allah. Jangan layan sangat bisikan-bisikan songsang yang berlagu tu," nasihat Johan kepada Suhana.

"Entahlah, bang. Dada Enna sejak dua menjak ni memang tak tentu arah langsung. Puas Enna cari jawapannya. Mungkin bila dah berjauhan nanti baru pulih kut."

Perbualan Suhana dan Johan terhenti apabila pramusaji menghantar pesanan Suhana bersama sepiring pai epal berbentuk hati.

"Kak Enna, apple pie ni kiriman orang dapur yang teruja dengar suara Kak Enna menyanyi tadi. Best! Kalau boleh nak satu lagi lagu. Tapi lagu Melayu. Boleh tak, Kak Enna?" soal pramusaji itu membuatkan mata Suhana membulat besar.

Johan sudah mengulum senyum. Nak juga tahu apa balasan yang akan diberikan oleh Suhana. Suhana menoleh ke belakang memandang ke arah pintu dapur yang separuh terbuka.

"Lagu apa?" soal Suhana tanpa perasaan.

"Errr... Boleh ke?" Teragak-agak pramusaji itu menjawab. Macam tak percaya pun ada juga.

"Kalau kena dengan lagunya, apa salahnya."

"Kalau Kasih Tercipta versi karaoke tu boleh tak, Kak Enna? Lagu tu memang tiptop kalau dinyanyikan oleh Bee dengan arwah puan," cerita pramusaji itu lagi.

Suhana sudah terkedu. Dia tahu memang itu lagu kegemaran arwah mamanya. Kata arwah, lagu tu punya jiwa yang luhur. Kasihnya tiada tandingan. Arwah pun pernah menyanyikan lagu itu ketika memujuknya pulang dulu. Kenangan terimbau kembali saat dia kehilangan arwah mamanya...

Setibanya dari KLIA, hatinya berdegup kencang tika melangkah masuk ke vila milik Kamarul di Bukit Damansara. Jenazah yang terkujur kaku di ruang tamu itu direnungnya dan perlahan-lahan mukanya beralih melihat satu per satu wajah sugul di sekitar rumah. Kamarul masih memegang erat jari-jemari Suhana. Anaknya ini memang sukar untuk ditafsir tindakan yang bakal diambilnya. Emosinya memang boleh mengalahkan Taufan Katrina.

Perlahan-lahan bahu Suhana dipeluk dan dipimpin masuk ke dalam rumah. Hisyam Aiman memerhati dari hujung sana. Dia bersama Farish sedang memujuk Chinobe yang terkulai menahan sedih.

"Mama dah pergi tinggalkan kita, Enna," bisik Kamarul lembut.

"Bagaimana? Bila? Kenapa?" soal Suhana perlahan dengan langkah yang lemah.

"Accident, sayang. Kecederaan teruk di kepala," jelas Kamarul sebak.

Tubuh Suhana menggigil. Tangan dan kakinya sudah menggeletar. Dia menepis perlahan tangan Kamarul yang ingin memeluk bahunya. Tak semena-mena dia jatuh terduduk di hadapan jenazah. Wajahnya sudah merah menyala menanggung kesedihan. Kamarul bingung seketika. Semua tetamu turut sayu melihat kelakuan Suhana. Mereka dapat mengagak inilah anak Allahyarhamah yang dikatakan dalam perjalanan pulang dari UK.

"Tak mungkin. Tak mungkin mama tinggalkan Enna. Tak! Tak! Semalam sebelum berlepas Enna cakap dengan mama... Tipu! Papa tipu!" Suara Suhana semakin lama semakin kuat dengan air mata yang mulai deras membasahi pipi.

"Mama baru meninggal sekejap tadi, sayang. Pembedahan mama tak berjaya. Kami tunggu Enna sampai dulu sebelum kami sempurnakan jenazah mama untuk dikebumikan," sambung Kamarul yang turut sama menangis.

"Mama! Kenapa tak tunggu Enna balik? Enna dah cakap dengan mama, kan... Enna dah cakap yang Enna sampai malam ini. Enna nak mama. Enna rindu sangat dengan mama!" Suara Suhana bertambah kuat bergema di ruang tamu.

Suhana memukul lantai. Benarkah apa yang didengarnya ini? Atau ini hanya mainan mimpinya saja? Air mata mengalir deras dengan tubuh yang menggeletar menahan rasa terkejut, kesedihan melampau, kekecewaan yang menggunung dan keperitan yang sungguh menyakitkan. Rasa kesal dan bersalah menyelubungi dirinya.

"Mama! Arghhh!!!" Satu jeritan kesakitan dilepaskan Suhana bagi membuang rasa resah dalam diri. Lantaklah orang lain nak marah ke, dia terlalu sedih. Terlalu terkilan! Terlalu menyesal!

"Enna, bawa mengucap, Enna. Kita doakan mama sentiasa bahagia di sana. Menjerit begini tidak selesaikan masalah. Arwah pasti terseksa di sana," pujuk Mariam, lembut. Kamarul sudah tidak mampu berkata apa-apa. Dia turut sama terduduk kaku di sisi Suhana. Semua mata memandang Suhana.

"Arghhh! Mama!!!" jerit Suhana sekali lagi.

Dia sudah bersujud di atas lantai dengan badan yang terenjut-enjut menangis. Dia rasa kesal dengan tindakannya yang tidak segera pulang ke tanah air setelah tamat pengajian enam bulan yang lalu. Dia masih mahu menghabiskan sisa tugasnya di Mubeenah Tazkia sebelum pulang ke tanah air. Jika tidak, dia masih berpeluang bersama dengan mama. Masih boleh terubat segala kerinduannya pada mamanya. Terlewat sehari sahaja. Bagaimana nak lepaskan rindu yang menggunung tinggi pada mama yang telah tiada?

Sayu hati Kamarul melihat kesedihan yang ditunjukkan Suhana. Tubuh itu terus dipeluk erat. Hisyam Aiman dan Chinobe turut menghampiri Suhana dan melakukan perkara yang sama. Mereka memeluk tubuh Suhana yang terenjut-enjut menangis. Kegembiraan yang diharapkan memberi sinar baru kepada keluarganya ketika sampai ke tanah air rupa-rupanya kesedihan dan kekecewaan yang terdampar menyambut kepulangannya. Suhana pasrah dalam keterpaksaan.

"Sudah tu, tak elok begini. Kamarul, ajak anak-anak istighfar. Enna pergilah jenguk jenazah dulu. Kemudian boleh Enna dan Bee sama-sama sempurnakan jenazah. Kita kena kebumikan segera jenazah ni," pujuk Halim meredakan rasa sedih mereka.

"Mari Enna, mak long pimpin ke jenazah mama, ya," pujuk Mariam. Tak sanggup membiarkan Suhana melayan kesedihan yang panjang sedangkan jenazah belum disempurnakan lagi.

"Mak long, betul ke mama Enna dah tak ada? Betul ke, mak long?"

Mariam mengangguk. Tubuh Suhana dipeluknya. Suhana mengongoi di dalam pelukan Mariam. Kelibat Anita yang baru tiba sejurus mendengar berita sedih itu daripada keluarganya membuatkan Suhana menerpa terus ke arahnya. Anita dipeluknya tak lepas. Berkongsi kesedihan yang sama.

"Nita, mama..." Suhana bersuara penuh sendu.

"Ya, Enna. Saya tahu. Banyakkan bersabar, Enna. Saya ada dengan Enna," pujuk Anita sambil memeluk tubuh lesu Suhana. Dia turut tumpang terpukul dengan apa yang melanda sahabat baiknya ini. Simpati menyelubungi diri kerana impian sahabat baiknya ini tak kesampaian. Ucapan tahniah dan syukur diharapkan rupa-rupanya bertukar salam takziah yang menyakitkan.

"Enna dah terlambat, Nita. Enna tak sempat nak buat kejutan pada mama. Mama tak adil, Nita. Mama tak adil," rintih Suhana.

"Enna... Enna... Dengar sini, ini semua qadak dan qadar Allah. Sebagai hamba-Nya, kita perlu belajar erti reda dan bersedia menempuh kehidupan. Sekarang, Enna perlu tengok mama dulu. Kesian dia lama-lama di sini. Lagi cepat kita uruskan jenazahnya, lagi tenang dia di sana," pujuk Anita sambil memegang bahu Suhana. Air mata yang mengalir di pipi Suhana dikesatnya dengan jari. Semua yang melihat terkedu dalam sendu.

Suhana angguk sambil menguatkan diri melangkah menuju ke jenazah Nor Azizah yang bersedia untuk dimandikan. Wajah bersih itu ditenung lama. Air mata tak henti-henti mengalir. Tangannya tidak henti-henti mengesat air mata.

"Mama, maafkan Enna... Enna degil tak nak dengar cakap mama... Enna nak buat kejutan buat mama dan papa... Enna sudah berubah, ma. Enna bukan lagi gebu macam dulu. Enna bukan lagi cengeng macam dulu. Enna dah jadi macam yang mama inginkan. Kenapa mama tak nak tunggu Enna sampai? Enna nak tengok wajah mama yang tersenyum gembira. Enna nak lihat wajah rindu mama. Enna nak kita keluar jalan-jalan macam kita di Paris dulu. Mama! Mama! Bangunlah, ma. Cakaplah, tengoklah muka Enna ni, ma..." Suhana tidak dapat menahan sedih hingga mengongoi di tepi jenazah Nor Azizah.

Kamarul mendapatkan Suhana lalu memeluknya erat. Suhana ditarik ke tepi agar menjauhi jenazah. Kamarul perlu menenangkan Suhana sendirian. Suhana terlalu terkejut. Esakan Suhana jelas kedengaran. Hisyam Aiman dan Chinobe menundukkan kepala kerana tidak sanggup melihat kesedihan Suhana yang menyiat hati mereka. Rasa kehilangan yang turut sama dirasai oleh mereka. Tetamu yang berada di situ turut sama merasai kesedihan yang ditanggung Suhana. Tok ibu sudah menutup muka dengan sapu tangan untuk menahan sedih. Suhana, cucu yang membawa diri ke benua Eropah demi meneruskan pengajiannya kini pulang disambut dengan kehilangan mamanya.

"Kamarul, boleh kami angkat jenazah untuk dimandikan?" soal Halim lembut. Di belakangnya berdiri sekumpulan lelaki berbaju Melayu siap bersongkok kemas untuk mengusung jenazah ke ruang mandi. Di sana sudah berdiri dua orang pengurus jenazah wanita yang akan dibantu oleh kaum keluarga Kamarul yang lain.

"Pak long tolonglah... Tolonglah berikan Enna sikit masa dengan mama lagi," rayu Suhana.

"Enna, tak baik mengongoi dengan pemergian jenazah. Ia menyakitkan jenazah. Kawal rasa sedih," bisik Halim kepada Suhana.

"Emmm..." Suhana akur dengan teguran Halim.

Suhana mengengsot kembali pada jenazah Nor Azizah yang suci bersih. Pipi jenazah diusapnya lembut. Tangan lesu Nor Azizah dibawa keluar lalu dikucupnya lama. Bekas jahitan di kepala Nor Azizah dilurut perlahan-lahan. Lama Suhana menatap wajah Nor Azizah yang kaku. Hatinya merintih lesu dan tak berdaya.

"Mama, Enna minta maaf ya, ma. Ampunkan segala dosa-dosa Enna, ya. Halalkan segala makan minum Enna selama ini ya, ma. Enna janji akan menjadi anak yang baik dan taat pada keluarga. Mama... Enna sayangkan mama... Rindu sangat pada mama," ucap Suhana dengan bibir yang bergetar.

Suhana mengucup pipi kiri dan kanan Nor Azizah. Kemudian tubuh kaku itu dipeluknya sekuat hati.

"Sudah Enna?" Soal Halim yang melihat Suhana kembali duduk.

"Pak long... Kenapa rasa rindu ini tak terlepas? Enna rindu mama. Enna nak peluk mama lagi..." Teresak-esak Suhana menangis. Halim yang berada di sebelah Suhana turut sama berlinangan air mata. Sayunya kasih seorang anak yang kehilangan mamanya.

"Sabar, Enna. Berilah pak long usung jenazah mama Enna ni dulu. Kami nak angkat supaya dapat dimandikan dengan segera. Tak baik kita lengah-lengahkan pengebumian jenazah. Terseksa dia," jelas Halim sambil memujuk Suhana.

Sekali lagi Suhana mencium dan memeluk Nor Azizah semahunya. Pelukan yang tiada kehangatannya itu membuatkan Suhana tidak puas. Kasihnya tersekat. Dia memerhati dengan hati yang berat apabila sekumpulan lelaki mengusung jenazah ke ruangan tertutup untuk dimandikan. Suhana turut masuk ke dalam ruangan tertutup tersebut. Arahan daripada dua orang yang menguruskan jenazah itu dituruti tanpa banyak bicara. Chinobe tidak mampu melakukannya kerana terlalu sedih. Dia hanya memerhatikan saja.

"Enna," tegur Mariam. Suhana yang membelai wajah dan tangan Nor Azizah tersedar.

"Ya, mak long..." Perlahan sahutan Suhana.

"Lepaskan mama dengan ikhlas, nak," pinta Mariam membuatkan bibir Suhana bergetar. Air matanya mengalir lagi. Mana mungkin dia mampu melepaskan sebegitu mudah. Dia tak bersedia.

"Enna berdosa pada mama, mak long. Enna belum balas lagi jasa mama melahirkan dan membesarkan Enna. Cepatnya mama pergi tinggalkan Enna... Enna sayang mama, mak long. Enna sayang mama sangat-sangat," luah Suhana yang teresak semula.

"Jika Enna sayangkan mama, kita sempurnakan jenazah ni secepat yang mungkin. Kesian, nak. Kesian jenazah dilengahkan untuk dikebumikan," pujuk salah seorang pengurus jenazah yang turut simpati dengan Suhana. Suhana angguk. Akur dengan pemintaannya.

"Enna sayang mama," kata Suhana setelah kembali semula ke alam realiti. Senyuman kelat diberikan kepada pramusaji dan Johan. Anggukan diberikan tanda dia setuju dengan pemintaan mereka. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co