Truyen3h.Co

Cinta Infiniti

Bab 10

karyaseni2u

Maka aku pun jamahlah nasi di atas pinggan depan aku ni. Memang sedap, tambahan lagi perut aku memang tengah lapar ni. Nasib baik kat bawah ada lagi sebungkus habuan aku. Tak sabar nak makan dengan Nina nanti.

Nasi di atas pinggan aku adalah baki dalam dua ke tiga butir lagi tapi nasi atas pinggan dia macam tak luak aje. Mengelat dia ni, makan sikit-sikit. Kalau macam tu gayanya jam 5 petang nanti pun belum tentu habis nasi dia. Tak sibuk ke dia ni?

"Errr... Encik..."

"Apa? Apa Hani panggil saya?" Dia buat gaya macam tak dengar apa aku panggil dia tadi. Kerek juga mamat senyum senget ni. Nak juga suruh aku panggil dia abang, aku panggil Bangla karang baru tahu.

"Encik Umar Azharie..." Aku sebut nama penuh dia dan dia bulatkan mata pandang aku. Tanda tak puas hati.

"Encik kena makan cepat. Banyak kerja, kan?" Aku sambung cakap. Rasa nak bangun dah ni. Rimas semacam dah aku rasa.

"Untuk sayang, abang akan selalu ada masa..." Kali ni turn aku pula bulatkan mata pandang dia. Daringnya mamat senyum senget ni. Selamba aje dia pandang kat aku balik dan ambil nasi dengan menggunakan tiga jari. Perlahan dibawa nasi ke mulut. Geramnya aku tengok gelagat dia ni. Rasa nak aje kepalkan nasi tu sebesar penumbuk dan sumbat dalam mulut dia. Biar cepat habis!

"Hani tak nak panggil saya dengan panggilan abang tak apa. Sebagai balasannya saya akan panggil Hani dengan panggilan sayang mulai sekarang. Tak kiralah sama ada sewaktu kita berdua sahaja ataupun depan orang ramai." Dengan senyum senget juga, dia habiskan ayat dia tu. Memang kurang asam betullah. Main ugut-ugut pula.

"Mana boleh buat macam tu. Mengganggu dan melanggar hak asasi manusia. Saya boleh dakwa encik sebab mengugut saya..."

"Encik lagi? Well, mana ada orang dihukum kerana jatuh cinta dan meluahkan perasaan kepada orang yang dia suka? Kalau ada, dah tentu penuh penjara tu dengan orang-orang yang macam abang ni." Amboi, pandainya dia berkata-kata. Arkitek ke lawyer ni?

"Panggillah abang, saya jauh lebih tua daripada Hani." Lembut aje nada dia bercakap. Kalau Nina ada ni mau minah tu dah melompat atas riba Umar Azharie ni aku rasa.

"Tua berapa tahun daripada saya? Cukup tua tak untuk saya panggil pak cik?" Hehe... Padan muka dia, aku nampak muka bengang dia. Telinga dan muka pun dah merah tu.

"Panggillah pak cik kalau berani."

"Errr... Tak berani." Perlahan aku jawab dan dia bantai gelak dengar jawapan aku. Tapi gelak sopan sambil tutup mulut. Kalau dia gelak kuat-kuat, mesti orang yang sedang bekerja kat ofis tu akan dengar. Hailah... Tak ada ke orang yang nak datang buat air ke, basuh muk ke? Macam mana aku nak meloloskan diri ni? Eh, 'kembar' dia tak ada ke hari ni? Selalu asyik berkepit aje macam 'kembar' Siam.

"Encik Akmal Rizal tak ada ke?" Ishk... Aku tertanya pula soalan yang bermain dalam minda aku ni.

"Ada, tengah tidur kat bilik meeting tu. Malam tadi dia bekerja sampai tak balik."

"Takutnya."

"Takut apa?" Dia dah berhenti menyuap pun. Dah kenyang kut.

"Takut kalau dapat suami yang kena kerja macam tu. Sampai tak balik rumah." Jujur aje aku cakap apa yang ada dalam minda aku ni.

"Bukan selalu, kadang-kadang aje. Tapi kalau abang dah kahwin nanti, abang angkut aje wife abang ke ofis sekali." Senyum lagi dan pandang aku. Hoho... Bijaknya. Kalau dah ada anak nanti, nak angkut sekali juga, dengan susu, diapers, buaian dan sebagainya? Ishk...

Handphone aku berbunyi. Aku tengok skrin dan letakkan balik handphone tu atas meja. Umar Azharie pandang aku sambil angkat-angkat kening. Aku tolak handphone ke depan dia dan pantas dia angkat dan tengok skrin. Aku nampak dia menggumam nama Nina dengan mulutnya, tanpa mengeluarkan suara.

"Helo Nina, Hani dengan abang ni. Abang pinjam dia sekejap." Erkkk... Rasa nak tercekik air liur sendiri apabila aku dengar suara dia jawab handphone aku tu.

Ya Allah, aku langsung tak sangka dia akan jawab panggilan Nina. Matilah. Aku tunjuk handphone tu kat dia supaya dia tahu Nina sedang cari aku.

"Nina sibuk nak tahu kita ada kat mana." Dengan senyum simpul, dia letak handphone depan aku. Dia cakap kat Nina kita orang tengah dating. Ayooo... Matilah aku kena tembak dengan Nina nanti. Mesti macam-macam dia soal aku kejap lagi ni. Hati aku dah dup dap, dup dap ni.

"Kenapa cakap macam tu? Nina tu suka abang..." Geramnya aku dengan dia ni la.

"Ha, boleh pun!"

"Apa yang boleh?"

"Panggil saya dengan panggilan abang." Dia jawab sambil senyum. Aku mengeluh, itu pula yang dia perasan. Aku tak sengaja kut 'terpanggil' dia abang.

"Hani tahu kan yang abang suka Hani... Kenapa nak bangkitkan fasal Nina pula? Dah, pergi basuh tangan. Abang escort Hani turun."

"Tak payahlah, bukannya saya tak tahu jalan nak balik department." Aku bangun dan bergerak ke singki. Umar Azharie kemaskan lebihan makanan. Cekap aje aku tengok dia mengemas.

"Jangan degil boleh tak? Susah sangat ke nak ikut cakap abang?" Dia renung tajam kat aku dengan mata cantik dia tu. Aku cepat-cepat berpaling dan picit sabun pencuci tangan. Perlahan-lahan aku cuci tangan di bawah pancuran air paip.

Lima minit lagi pukul enam petang. Ikutkan, setengah jam yang lalu masa kerja dah berakhir tapi memandangkan banyak lagi data yang aku kena update maka aku kenalah balik lambat sikit. Nina pun tekun dengan sebeban dokumen kat depan muka dia tu.

Nina cakap sikit-sikit aje dengan aku lepas nampak aku dan Umar Azharie bergandingan ke mari. Umar Azharie berkeras nak hantar aku turun ofis, macamlah aku tak tahu kat mana letaknya ofis ni. Dia yang degil, kata aku pula!

Lepas tegur Jenny dan Lola, dia masuk dalam bilik mesyuarat kecil di mana aku dan Nina berada.

"Hai, Nina... Busy ke?" Apa punya soalan daaa... Dia tak nampak ke betapa azabnya kita orang kat dalam bilik yang semak dengan pelbagai kertas komputer yang bercetak dan fail-fail yang bertimbun tu. Aku pun dah explain kat dia tadi betapa busynya bahagian akaun sekarang ni.

"Busy sangat..." Nina jawab dengan nada tak mesra. Tak macam kebiasaannya, dia akan ceria, teruja dan menggedik apabila nampak Umar Azharie. Aku lihat Umar Azharie menghampiri Nina yang sedang tekun menyusun salinan dokumen di dalam fail.

"Esok kerja, kan? Abang nak belanja lunch dengan buah hati abang sekali." Umar Azharie cakap macam tu kat Nina sambil kenyit mata kat aku yang duduk jauh sikit daripada Nina.

"Buah hati abang? Siapa?" Lemah aje aku dengar suara Nina ni. Alahai.

"Tu, Farhani Idayu tu... Rekomen abang kat dia, ya? Susah nak tackle dia." Dia bercakap dengan nada perlahan, tapi aku masih boleh dengar apa yang dia katakan. Aku rasa dia memang sengaja nak aku dengar pun sebab sambil cakap sambil jeling manja kat aku. Hish!

Dan-dan tu juga Nina bangun, buat-buat ambil fail kat belakang bilik. Aku dan Umar Azharie berpandangan. Sah, Nina tengah bengang. Umar Azharie buat isyarat nak kembali ke pejabatnya dan aku cuma anggukkan kepala. Baru dia tahu Nina marah, tadi aku cakap dia tak percaya! Lepas tu Nina tekun aje buat kerja, tak bercakap-cakap dah sampailah sekarang ni.

"Nina, jom makan nasi beriani yang Mr. Danny belanja tu." Dah petang sangat dah ni. Nina ni dari pagi kut belum makan. Mesti dia lapar gila.

"Kau makanlah, aku tak lapar." Nina jawab tanpa pandang aku pun. Lecehlah, takkan dia nak marah aku kut. Marahlah Umar Azharie tu, dia yang tak sayang mulut walaupun dia mengaku sayangkan aku. Entah apa-apa entah.

"Nanti Mr. Danny kecik hati pula kita tak makan apa yang dia belanja." Aku nampak bilik Mr. Danny masih terang-benderang lagi. Sah dia ada kat dalam. Bagus bos ni, anak buah banyak kerja pun, bos balik lambat sama. Macam ni baru boleh dikatakan kepimpinan melalui teladan.

Tapi aku rasa lebih ramai staf yang suka dia tak ada di pejabat daripada ada. Sebab perangai dia juga, kan? Itulah, cubalah jadi manusia yang berbudi bahasa dan bertamadun sikit, tentu anak buah akan suka dan sayang kat dia. Ni, apa yang aku tahu, Lola tu sorang ajelah yang sayang kat dia. Hrmmm...

Aku paksa dan tarik tangan Nina ke pantri. Masam mencuka aje muka dia sambil duduk kat kerusi. Aku bukakan bungkusan nasi beriani dia. Letakkan pinggan dan mangkuk untuk isi nasi dan lauk. Masukkan ke dalam microwave sekejap. Lepas makan boleh buat minuman panas. Maghrib dulu siap-siap di sini nanti barulah aku akan balik. Aku dah beritahu mama dan papa seminggu dua ni aku akan balik agak lambat sebab kena stay kat ofis.

"Makan, Nina... Aku tahu kau lapar. Apa-apa masalah tolak tepi dulu, isi perut dulu." Aku letakkan nasi dan lauk kat depan dia. Kena tunggu nasi dan lauk aku dipanaskan pula.

Oleh sebab dia tak berganjak dari tempat duduk tu dan tak basuh tangan pun maka aku hulurkan dia sudu dan garpu.

"Girls... Tak balik lagi?" Mr. Danny terjengul kat pintu pantri.

"Sejam lagi baru nak balik." Oleh sebab Nina membisu maka aku jawab soalan Mr. Danny.

"Baru makan ke? Sedap tak?" Mr. Danny tanya sambil pandang muka aku yang baru aje nak baca doa makan.

"Kalau beli kat restoran ni biasanya sedap. Terima kasih, bos. Errr... Nak makan sekali? Nasi ada banyak lagi ni." Aku pelawa dia yang macam berminat aje pandang nasi beriani atas pinggan aku ni. Nina pun dah mula menyudu makanan ke mulut.

"Boleh ke I join?" Mr. Danny menapak menghampiri.

Bolehlah kalau Mr. Danny nak buruk siku! Tu jawapan dalam hati aku. Aku bangun dan ambil pinggan, sudu dan garpu untuk dia.

"Bagus awak berdua ni. Walaupun hanya menjalani latihan praktikal tapi bertanggungjawab, sanggup balik lambat nak siapkan kerja." Mr. Danny puji effort aku dan Nina yang sanggup stay back demi nak menyiapkan kerja-kerja yang melambak tu. Aku dan Nina senyum aje dengar puji-pujian dia tu.

Mungkin ada baiknya sesekali dia puji juga pekerja dia yang rajin bertunggu tangga kat pejabat ni. Kesian dia orang. Ni mesti kes tak cukup pekerja. Nak kata pekerja-pekerja yang ada tu tak cekap sehingga terpaksa bekerja lebih masa tak juga. Aku boleh nampak betapa bersungguh-sungguhnya dia orang buat kerja. Sampai ada yang hujung minggu pun terpaksa melangak di sini. Memanglah dapat duit lebih kalau buat kerja lebih masa, tapi bagi aku duit bukan segala-galanya. Kena ada masa berkualiti dengan keluarga juga.

"Sedaplah nasi beriani ni. Mungkin sebab you yang hidangkan." Mr. Danny senyum pandang aku. Nina dah angkat muka dan pandang wajah bos yang berkulit putih kuning tu.

"Hani hidangkan makanan untuk bos, macam isteri hidangkan untuk suami pula kan, bos?" Selamba aje Nina cakap macam tu kat Mr. Danny. Haaa... Kan dah tersedak kawan tu. Aku juga yang terkocoh-kocoh bangun dan tuangkan dia air dari dalam peti ais.

"Thanks." Mr. Danny angkat gelas yang aku letakkan depan dia dan teguk dengan agak rakus. Nina boleh bantai senyum aje. Gila betul kawan aku sorang ni, kalau Mr. Danny tu tercekik dan lepas tu padam siapa nak jawab? Grrr... Betullah.

"Sorry bos, tak sangka pula bos akan terperanjat sampai tersedak." Kali ni Nina tersengih-sengih pula. Memang tak ada keinsafan dia ni.

"It's okay... Bukan salah you. I yang gelojoh." Baik pula Mr. Danny ni. Tak marah pula dia. Seingat aku, Mr. Danny ni garang dan tak mesra alam orangnya. Sebab aku jarang nampak dia beramah mesra dengan staf-stafnya. Hari ni baik pula mood dia.

"Agaknya kalau I ada isteri, memang macam inilah hari-hari, kan. I duduk di meja makan dan tunggu dia hidangkan makanan untuk I. Best juga tu!" Rasa macam tak percaya pula dia bersikap ramah-tamah hari ni. Siap tersenyum-senyum lagi tu.

Huh! Kalau setakat nak ada orang hidangkan makanan untuk dia tak payah sibuk beristeri pun tak apa kut. Pergi ajelah makan kat restoran-restoran yang bersepah kat luar tu. Belum pernah lagi ada pelanggan yang kena hidang makanan sendiri melainkan kat food court yang mengamalkan konsep layan diri!

Lagipun ada ke perempuan yang tahan dengan perangai dia ni? Entah-entah masak termasin sikit pun terbang melayang segala pinggan lauk tu atas kepala. Hiii... Kalau aku, memang taklah nak kahwin dengan orang macam dia ni. Sebab aku selalu nampak dia 'terbangkan' kertas-kertas dan fail. Jenis 'ringan tangan' dia ni. 'Ringan tangan' yang tak berfaedah!

"Betul ke bos belum kahwin?" Nina bertanya dengan beraninya. Apalah dia ni, kan semua orang cakap yang Mr. Danny ni masih single, yang dia gatal mulut pergi tanya tu buat apa?

"Betul... I sedang mencari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri!" Boleh tahan juga dia melayan kata-kata Nina. Hmph! Mencari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri? Inilah lelaki, mesti nak calon isteri yang sempurna serba-serbi. Tak payahlah berangan isteri semulia Siti Khadijah kalau diri sendiri tak bersikap seperti Rasulullah S.A.W. Ini entah-entah suruh jadi imam pun tak lepas!

"Gadis idaman bos yang macam mana? Ciri-ciri gadis yang boleh dijadikan isteri. Kalau yang macam Hani ni menepati kriteria bos tak?" Ya Allah, aku rasa nak pengsan dengan kelancangan Nina bertanya soalan yang melibatkan aku secara langsung. Cara dia bertanya tu seolah-olah aku ni orang bunian yang dia tak nampak. Gilanya.

"Tentang kriteria nak jadi isteri tu biarlah rahsia. Kalau I kata sesuai pun bukannya Farhani boleh jadi wife I pun, kan? I dah tua... Orang secantik Farhani pasti dah ada yang empunya." Pandainya Mr. Danny ni berkata-kata. Nasib baik dia pandai jaga air muka aku. Kalau terang-terang dia kata aku bukan taste dia, mana aku nak letak muka? Tak sangka Nina sanggup nak aibkan aku.

"Saya minta diri dulu..." Aku bangun dan cepat-cepat basuh pinggan. Lepas tu aku terus menuju ke tandas. Aku rasa nak menangis dengan perbuatan Nina.

Sepuluh minit dalam tandas, akhirnya aku keluar dan pantri dah kosong. Dia orang dah siap makan. Masa aku masuk balik dalam bilik mesyuarat tu, aku nampak Nina dah ada kat situ. Dia tak pandang pun kat aku.

Masuk aje waktu maghrib, aku terus ke surau sebab aku tahu Nina sedang cuti. Aku angkut sekali beg tangan supaya aku tak payah masuk ofis balik. Aku tak cakap sepatah pun dengan Nina sebab aku memang bengang dengan tindakan dia. Biar dia tahu aku marah, aku pun ada hati dan perasaan. Bukan dia aje yang tahu marah dan merajuk!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co