Truyen3h.Co

Cinta Infiniti

Bab 11

karyaseni2u

Takut juga nak turun basement sorang-sorang waktu senja macam ni. Nak tak nak, kenalah beranikan diri, bukannya aku ada pilihan pun. Sebaik melangkahkan kaki ke dalam lif, aku nampak Umar Azharie ada kat dalam tu. Berlenggang kangkung aje, nak keluar makan kut.

"Nak balik dah?" Umar Azharie tanya aku dengan senyuman.

"Haah..."

"Tak nak makan dulu?" Dia tanya lagi. Rambut dia basah sikit dan wajah pun nampak segar. Ohhh... Dia baru sudah solat maghrib kut. Kalau telahan aku betul, alhamdulillah... Mama dan papa selalu berpesan, kalau nak cari pasangan hidup carilah yang beriman. Perkara pertama yang mesti dititikberatkan adalah solat. Individu yang menjaga dan menunaikan solat insya-Allah akan mampu menjaga diri sendiri dan orang lain dengan baik.

"Baru aje makan sejam yang lepas, dengan Nina dan Mr. Danny. Errr... Makan kat pantri aje..." Jujur aje aku beritahu, patutnya aku tak payah sebut nama Mr. Danny sebab apabila dia dengar bos makan dengan kita orang, dia kerutkan dahi berlapis-lapis.

Lif berhenti di lobi, peliknya dia tak keluar pun. Tak tahulah kalau dia nak makan jauh dari kawasan pejabat ni pula. Sampai di basement, sebaik saja aku keluar, dia pun keluar dari lif. Tiba-tiba aje aku teringat apa yang dia cakap tentang aku kat Nina sehingga membuatkan Nina marah dan tak mesra macam selalu.

"Boleh Hani tanya sesuatu?" Aku dah sampai kat kereta masa tu, kereta dia kat sebelah sana aje.

"Tanyalah." Kami berdiri saling berhadapan dengan jarak beberapa kaki.

"Masa encik..."

"Abang!" Dia terus potong cakap aku.

"Susahlah Hani nak bahasakan encik dengan panggilan abang..."

"Cuba, biasakan... Lama-lama nanti senanglah." Dia ni memanglah, benda kecik macam ni pun nak dibesar-besarkan. Dia patut bangga aku panggil dia encik, panggilan hormat tu. Kalau aku panggil awak, kau ataupun hoi aje lagi aniaya.

"Tadi... Errr... Abang cakap apa kat Nina?" Dengar aku sebut abang, aje terus pamer senyum senget dia tu.

"Abang cakap kat dia abang suka Hani."

"Kenapa cakap kat Nina macam tu?" Aku tentang pandangan mata dia. Ya Allah, baru aku nampak betapa bersinar dan bercahayanya mata dia. Subhanallah... Cantik!

"Dah abang memang suka Hani, salah ke abang beritahu Nina? Kan abang minta tolong dia supaya lobi Hani untuk abang." Ini lagi sorang makhluk yang cakap ikut suka hati dia aje tanpa memikirkan penerimaan dan perasaan orang lain. Tak ambil pusing apa kesan dan akibat daripada perbuatan dia tu.

"Masalahnya sekarang ni, Nina marah. Dia tak tegur Hani dan tadi dia betul-betul malukan Hani depan Mr. Danny." Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa lancar aje mulut aku ni bercakap, mengadu kat dia ni. Tapi memang patut pun aku mengadu kat dia kut, dialah punca Nina marah kat aku.

Dengar pengaduan aku ni, makin berlapis-lapis dahi dia aku tengok. Ha... Baru nak buat muka cuak. Masa nak bercakap tu langsung tak nak fikir!

"Apa dia cakap fasal Hani kepada Mr. Danny?" Ek, eh... Dia bercekak pinggang pula dah.

"Dia tanya Mr. Danny... Hani ni menepati kriteria bos tak untuk dijadikan isteri?" Lebih kurang macam itulah rasanya apa yang Nina katakan tadi. Aku tak ingat sebiji-sebiji apa yang Nina cakap tapi memang kalau boleh aku tak nak ingat pun. Memalukan aku aje.

"What?!" Dia terjerit dan buat muka terkejut. Apa what-what? Pakai cawat la. Terkejut aku dengan reaksi spontan dia tu. Mujur aku tak terlompat.

"Kenapa dengan Nina? Mr. Danny cakap apa?"

"Tak perasan ke? Nina kan suka abang!" Bukankah Nina tu memang selalu cari peluang nak menggedik dengan dia? Ingat Nina tu jenis menggedik dengan semua orang ke? Setahu aku, dengan dia dan Akmal Rizal aje Nina tu nampak gedik sangat. Dengan lelaki-lelaki lain kat ofis ni Nina buat macam biasa aje. Kesimpulannya, dia menggedik dengan orang yang dia suka aje. Takkan itupun tak faham, tak ada logika betullah dia ni.

"Mestilah abang perasan dia suka kat abang. Sebab tu abang beritahu dia awal-awal abang suka Hani. Abang ingat lepas dia tahu abang suka Hani, dia tak kesah. Tak sangka pula dia bertindak macam tu. Jadi, apa jawapan Mr. Danny?" Eh... Sibuk pula nak tahu apa Mr. Danny cakap. Kalau aku goreng best juga ni.

"Dia cakap Hani memang perempuan ideal untuk dia. Kalau boleh dia memang nak cari yang macam Hani untuk dijadikan isteri..." Aku tunjuk diri sendiri sambil senyum. Aku nampak muka dan telinga dia merah. Aiii... Marah ke? Cemburu? Ataupun kedua-duanya sekali? Hrmmm... Cemburu kan tandanya sayang. Tapi janganlah marah aku pula.

"So, what do you say?" Sepasang matanya yang cantik tu dipanahkan ke muka aku. Tak mampu aku nak menahan pandangan tajam dia tu, aku tundukkan muka.

"What should I say? Bukannya dia melamar Hani pun!"

"Kalau dia melamar?" Aku angkat muka dan pandang wajah dia yang masih merah.

"Tak mungkinlah... Nonsense." Aku tak mahu menjawab soalan yang tak logik seperti itu. Memikirkan tentangnya pun aku tak mahu. Mr. Danny tu siapa dan aku pula siapa? Aku sedar tu!

"Stay away from Mr. Danny." Senang aje dia cakap. Lupa ke Mr. Danny tu big boss kat tempat aku sedang buat latihan ni? Lagipun, bukannya Mr. Danny pernah approach aku pun. Enah apa-apa dia ni.

"You, Encik Umar Azharie... You should stay away from me!" Aku cakap macam tu pula kat dia.

"Why?" Lagi sekali dia terjerit sambil tunjuk muka tak puas hati.

"Itu jalan terbaik, Hani datang sini nak lengkapkan praktikal supaya dapat segulung ijazah. Bukan nak cari musuh dan buat orang benci kat Hani. Errr... Bukan nak cari suami juga. Nina dah lain macam dengan Hani, macam mana Hani nak habiskan masa lagi empat bulan kat sini kalau Nina dah tak nak pandang dan bercakap dengan Hani? Seorang kawan yang rapat boleh menjadi musuh yang paling jahat tahu?" Walaupun Nina tak rapat sangat dengan aku masa study, kami ada juga bertegur sapa dalam kelas. Sebab kat universiti kami ada geng masing-masing. Tak lepak sama-sama. Nina dengan geng dia yang vogue. Sedangkan aku berkawan baik dengan Nadia. Malangnya kami tak dapat praktikal setempat. Kalau tidak, senang hati aku.

Aku rasa seronok sebab di sini Nina mula rapat dengan aku. Nina tu baik juga orangnya dan perangainya menyenangkan aku sehinggalah tadi. Aku sama sekali tidak sanggup memutuskan sebuah persahabatan demi seorang lelaki. Tak mungkin!

"Hani balik dulu... Dah lambat ni." Aku tengok jam tangan, dah melepasi jam lapan malam. Aku ada masalah silau yang agak teruk, bermasalah untuk memandu pada waktu malam. Sepatutnya aku kena pakai cermin mata ketika memandu. Tapi aku belum mendapat 'hidayah' nak buat cermin mata.

"Okey, baliklah dulu... Abang fikirkan macam mana nak selesaikan perkara ni. Pandu hati-hati, ingat orang tersayang." Dia cakap sambil senyum kat aku. Dah hilang seri kat muka dia tadi, sebab dengar masalah aku tadi agaknya. Tapi hati aku jadi lega sebab sekurang-kurangnya aku dah luahkan masalah aku kat seseorang. Dan Umar Azharie adalah seseorang itu. Nasiblah, kan? Memang dia calon yang sesuai pun untuk tolong fikirkan penyelesaian masalah aku ni. Sebabnya, dialah juga punca masalah aku.

"Kak ngahhh..." Kus semangat. Budak tingkatan empat ni ada kat rumah rupa-rupanya. Nasib baik dia sergah masa aku dah duduk elok-elok kat atas sofa di ruang tamu ni. Kalau tengah berdiri tadi mahu aku kejar dia.

"Semua orang dah makan ke?" Aku tanya mama, papa dan Iffah yang tengah berkumpul kat ruang tamu ni. Papa tengah baca surat khabar. Mama tengah menatap skrin iPad dia. Iffah tengah mencari-cari channel yang sesuai dengan selera dia, duk memicit-micit remote televisyen tu. Asal balik rumah aje, mesti conquer televisyen. Kemaruk sungguh dengan rancangan hiburan.

"Kak ngah tak masak, kita orang tak makanlah."

"Betul ke, ma? Semua orang belum makan lagi?" Aku tanya bersungguh-sungguh. Kesian pula kalau betul dia orang tak makan disebabkan aku. Tapi aku memang dah beritahu mama dan papa aku balik lambat.

"Baru lepas makan piza. Ada lagi balance kat dapur tu. Panaskanlah kalau kak ngah nak makan." Mama jawab sambil jeling kat Iffah yang tengah tersengih. Iffah ni memang, kerja nak menyakitkan hati aku aje, sebab tu aku selalu cubit dia. Suka sangat mengusik dan menyakat aku yang cepat gelabah ni.

Nasib baik dia orang dah makan. Kalau tak, aniaya aje aku kena masak. Jam dah dekat pukul 9.30 malam pun. Ada kemalangan dekat Jejantas Sg. Buloh tu tadi. Biasalah, rakyat Malaysia kan prihatin, kalau ada kemalangan memang ramai yang nak tolong tengok. Tu yang tak fasal-fasal aku pun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Aku cadang nak duduk kejap aje kat sini sebab masing-masing tengah sibuk dengan 'urusan' sendiri. Hehehe... Sebenarnya aku memang nak berehat dan tidur cepat. Sebab esok aku kena ke pejabat lagi. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co