Bab 1
PROLOG 1
Nur Adira Safiya
Aku Nur Adira Safiya. Umur aku tiga puluh lapan tahun. Seorang janda anak dua. Kembar lelaki dan perempuan berusia lima belas tahun. Kedua-duanya bersekolah asrama di MRSM Masai sekarang. Maknanya aku tinggal keseorangan sejak bercerai. Freedom! Yeah!
Berapa lama menjanda? Mesti kau orang nak tahu, kan?
Aku baru enam bulan menjanda setelah hidup berasingan dengan bekas suami selama dua tahun. Dalam tempoh dua tahun itulah aku naik turun mahkamah menuntut fasakh daripada bekas suami kerana dia enggan melafazkan talak. Semuanya disebabkan dendam dan sakit hati. Padahal ketika itu bekas suami aku dan perempuan itu sudah pun sah menjadi suami isteri. Sengaja dia membiarkan aku digantung tak bertali. Hurmmm... Memang terseksa dan bukan senang rupa-rupanya nak menjanda!
Kenapa bercerai? Puncanya sebab bekas suami aku yang tak sedar diuntung itu berkahwin dengan janda anak tiga yang lebih tua daripada aku. Aku yang masih cantik bergetah dia tinggalkan. Memang bodoh punya jantan! Tapi lantaklah, kan? Dia yang pilih tersesat di jalan yang tiada penghujung begitu. Kalau dia susah pun aku peduli apa? Paling tidak, aku tepuk tangan aje. Lagipun bak kata Azwan Ali... Why bother? Why bother?
Profesion aku? Aku bukanlah nak membangga diri tapi selain mempunyai rupa paras yang cantik dan perwatakan menarik, aku juga menggalas jawatan yang besar di syarikat aku bekerja. Jawatan aku, Pengurus Pemasaran dan Pengiklanan di salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia. Gaji? Alhamdulillah, sudah hampir mencecah lima angka nilainya setelah berbelas-belas tahun bekerja di tempat yang sama. Nampak tak? Aku memang setia orangnya cuma duda aku saja yang tidak reti untuk menilai permata di hadapan mata. Heh!
Nak kenal siapa duda aku? Namanya Ahmad Farhan bin Muiz. Umur empat puluh tiga tahun. Maknanya dia tua lima tahun daripada aku. Kami berkahwin ketika aku masih menuntut di UiTM lagi. Dia kata takut aku kena kebas orang, sebab itulah dia beria-ia nak ikat aku awal-awal. Emak dengan abah mula-mula membantah tetapi disebabkan anak dara dia orang dah suka gila dan gatal nak menikah, akhirnya orang tua aku terpaksa mengalah. Bekas suami aku tu kacak dan bergaya orangnya, sebab itulah aku tergila-gilakan dia dahulu. Tetapi itu cerita dululah. Sekarang aku dah move on. Kumbang bukan seekor dan jantan pun bukan dia sorang yang masih hidup di alam fana ini. Kalau aku nak, aku boleh petik jari aje. Bersusun lelaki yang hendakkan aku. Sungguh! Ini memang aku tak tipu. Emmm... Confident kena lebih. Ha! Ha!
Okey, berbalik kepada bekas suami aku. Dia pegawai kerajaan G44. Kau orang yang kerja kerajaan tu pandai-pandailah kira berapa gaji dia. Kalau ikutkan, dia memang mampu sangat tanggung aku dan anak-anak tapi dia ada gila lain yang aku tak mampu nak ubah. Setahun dua kahwin perangai dia okey aje, tapi bila dah ada anak, gila dia muncul tiba-tiba.
Mula-mula dia gila kereta. Modified kereta entah apa-apa. Lepas tu dia gila perempuan pula. Lelaki budget handsome macam dia memang suka cuba market agaknya. Setakat suka-suka, aku masih boleh sabar lagi. Konon sayang suamilah katakan. Tapi bila dia dah mula jabat tangan tok kadi, hurmmm... Sorry! Hai... Hai... Bye... Byelah jawabnya. Silap hari bulan, aku pula yang terpaksa tanggung makan pakai dia orang laki bini. Buat apa aku nak terus jadi bodoh? Dia ingat aku tak laku agaknya? Apa yang dia tak tahu, belum habis edah lagi dah ada beberapa orang lelaki yang datang melamar aku. Eh! Tiba-tiba aku rasa kehidupan janda itu begitu berharga. Ha! Ha!
Tapi sayangnya... Hurmmm... Sayangnya, semua yang melamar aku suami orang. Aku memang alergi dengan title 'suami orang' biarpun jenis poket tebal belaka. Aku reject semuanya mentah-mentah tetapi ada seorang yang aku rasa mahu saja aku langgar biar putus nyawa.
Orangnya, Datuk Helmi. Dia kaya tapi bini dah tiga. Kalau muda lagi tak apalah juga tapi rumah kata pergi dan kubur kata mari pun masih ada hati nak tambah satu lagi. Eee... Benci! Kalau dah gatal sekalipun, carilah perempuan lain bukannya aku. Paling aku menyampah sebab dia gunakan duit untuk dapatkan aku. Dia ingat aku mata duitan agaknya? Setakat hari ini aku masih boleh hidup dengan hasil titik peluh aku sendiri. Biar kerja stres nak mati tapi yang penting aku happy!
PROLOG 2
Khir Izham
Nama aku Khir Izham bin Johari. Umur 48 tahun. Berjawatan sebagai COO di sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia. Walaupun umur aku sudah hampir menjangkau 50 tahun tetapi aku masih lagi menjadi kegilaan kakitangan syarikat yang masih single, janda dan juga gadis-gadis yang baru belajar hendak hidup. Maksud aku, gadis-gadis remaja yang hampir sebaya dengan anak gadis aku sendiri. Mungkin disebabkan rupa dan pakej yang aku ada menyebabkan ramai yang ingin menyendeng. Oh! Tidak, aku bukan perasan tapi ini kenyataan.
Anak gadis aku kata, ayah makin berusia makin hot! Aku? Gelakkan saja pujiannya itu walau dalam hati terasa bangga jugalah bila pada usia ini masih digilai ramai wanita dan gadis.
Walaupun yang cuba memikat aku cantik-cantik orangnya tapi sayang, aku bukan lelaki hidung belang sebab itulah walau digoda kiri dan kanan, aku masih berpegang pada prinsip yang satu. Setia! So, sorry kepada semua wanita-wanita dan gadis-gadis yang terpaksa kecewa. Heh!
Hidup aku pada pandangan orang memang serba-serbi lengkap dan sempurna. Ada isteri yang cantik dan anak-anak yang cerdik. Hakikatnya, tiada siapa pun tahu apa yang aku lalui. Kekecewaan dan kedukaan aku, semuanya aku simpan sendiri walau kadang-kadang aku hampir tewas melawan perasaan dan juga amarah yang tak mampu aku tahan.
Tetapi, aku percaya kepada satu perkara. Allah itu Maha Adil dan aku pasti Dia akan aturkan yang terbaik buat aku atas segala kepahitan yang terpaksa aku pikul selama ini. Semoga dengan berkat doa dan kesabaran aku, Dia akan berikan sesuatu yang lebih baik lagi. Insya-Allah.
Di kala aku menolak banyak lamaran cinta yang hadir, tiba-tiba aku terpaut kepada seorang wanita yang sangat hebat pada pandangan mata aku. Dia bukan hanya seorang wanita yang hebat tetapi juga kuat, cekal dan tabah.
Selama dua tahun aku mengikuti setiap perkembangan dia dalam usahanya mencari kebebasan. Betapa jerihnya dia, aku tahu dan aku seolah-olah dapat merasakannya. Dia dicemuh, dikutuk dan pernah suatu ketika diserang oleh isteri rakan sekerja di pejabat tetapi peliknya, dia masih beriak tenang dan bersahaja. Kalau orang lain, aku rasa sudah lama angkat kaki dan cari kerja lain tetapi tidak dia.
Wanita yang berjawatan dan mempunyai pengalaman seperti dia bukannya susah untuk mencari peluang lain yang lebih bagus tetapi dia masih juga bekerja di sini walau berdepan dengan segala macam cemuhan dan tohmahan. Kagumnya aku dengan kekuatan yang dia ada. Bukan seperti aku yang langsung tidak berani untuk mempertahankan maruah sendiri. Ya, betapa gagalnya aku!
Disebabkan sikapnya dan apa yang dilaluinya itulah membuatkan aku mula jatuh cinta kepada dia walau aku tahu peluang aku untuk memilikinya sangat tipis.
Apa tidaknya, sejak sah bercerai, dia memang menjadi buruan tidak kira lelaki bujang, duda mahupun suami orang. Sayangnya, tiada seorang pun di antara mereka yang berjaya mencuri hatinya. Bagi aku, tentulah ianya sangat melegakan kerana wanita yang aku idamkan masih belum dikebas orang.
Takut gigit jari, akhirnya aku berani bertindak. Aku mulakan langkah walau aku tahu nasib aku pasti tak ada beza dengan lelaki-lelaki lain yang ingin mendekatinya. Tetapi, selagi dia belum berpunya, selagi itulah peluang aku masih terbuka luas. Betul tak?
Lagipun aku berpegang kepada falsafah Lao Tsu; being deeply loved by someone gives you strength, while loving someone deeply gives you courage.
Dan aku sedang mengumpul semua kekuatan aku untuk orang yang semakin aku cinta. Oh ya, nak kenal siapa yang berjaya mencuri hati aku untuk kali kedua?
Dia, Nur Adira Safiya. Sedap kan namanya? Kalau dicari makna setiap patah namanya bermaksud;
Nur - Cahaya
Adira - Kuat
Safiya - Yang bersih dan jujur.
Makna yang sangat sesuai dengan pemiliknya. Ya, pilihan aku bukan si dara manis tetapi seorang janda beranak dua. Hurmmm... Orangnya memang manis dan cantik. Secantik namanya tetapi bukan cantik yang aku lihat pada dirinya kerana kecantikan sikapnya melebihi kecantikan wajahnya.
Sebenarnya kami tak pernah bersemuka dan berbicara walau bekerja di bawah satu bumbung yang sama. Tapi, tanpa dia sedar, aku sentiasa ambil tahu tentang dirinya. Dan semakin aku kenal dia, aku semakin ingin melindungi dan memiliki dirinya!
BAB 1
Dua tahun enam bulan yang lalu...
Safiya mendengus geram. Farhan dijeling semakin tajam. Sudah terang-terangan bersalah tetapi Farhan masih lagi tidak mahu mengakuinya. Entah suami jenis apa Farhan agaknya?
"Memang abang yang gatal. Kalau bukan abang yang approach perempuan tu, benda ni semua tak akan jadi. Kalau dah dasar kaki perempuan!" bedilnya.
"Hurm... Perempuan tu pun gatal juga. Dah tahu abang tu suami orang, masih lagi nak menggedik dan terhegeh-hegeh. Dah tak laku sangat agaknya, sebab itulah sibuk kejar suami orang sampai sanggup gadaikan maruah sendiri!" ucapnya melepaskan amarah. Ya Allah, sakitnya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sungguh dia rasa dikhianati dan terhina sekali dengan apa yang Farhan lakukan.
"Fiya!" jerit Farhan dengan muka yang menyinga marah. Isterinya itu direnung dengan wajah mencerlung. Dia tidak suka apabila Maya, kekasih hatinya dihina seperti itu. Apa hak Safiya menuduh Maya begitu? Hati membentak geram.
"Kenapa? Salah ke apa yang Fiya cakap tu?" balas Safiya dengan suara yang juga sudah naik seoktaf.
"Jangan salahkan orang lain kalau Fiya punca semuanya ini berlaku!"
"Oh! Salah Fiya? Sebab nak kahwin dengan perempuan tu abang salahkan Fiya?" Kenapa dia juga yang perlu memikul segala kesalahan? Farhan yang gagal sebagai suami tapi hukuman diberikan kepada dia? Adilkah itu?
"Kalau abang nak kahwin dengan Maya pun tak salah sebab abang mampu. Lagipun dalam Islam, poligami itu tak salah. Lelaki dibenarkan untuk kahwin empat." Farhan membela diri dan membangkitkan haknya sebagai lelaki.
Safiya tergelak. Hendak berpoligami reti pula Farhan menyebut tentang agama. Farhan lupa agaknya, tikar sembahyang pun sekali-sekala sahaja dicium. Lantai masjid entah berapa kali sahaja dalam setahun dipijaknya?
"Mampu? Abang lupa agaknya selama ini siapa yang banyak tanggung perbelanjaan rumah? Makan pakai, sakit pening anak-anak? Lagipun, kalau setakat ikut sunnah dalam berpoligami sahaja pun apa gunanya kalau tanggungjawab entah ke mana! Islam mengharuskan poligami kepada yang mampu memikul tanggungjawab dan berlaku adil, tapi abang mampu ke?" sindirnya sinis.
"Jangan nak mengungkit, Fiya! Apa guna Fiya bekerja kalau tak boleh nak bantu suami?" Farhan mencemik menyampah. Itu sahajalah modal yang sering dijadikan bahan pergaduhan mereka. Itu jugalah yang menyebabkan maruahnya sebagai suami sering tercabar.
Amboi! Sedapnya Farhan berkata-kata!
"Bantu? Itu bukan bantu namanya, tapi menanggung. Selama ni Fiya sabar sebab fikirkan anak-anak, tapi ini yang abang balas kepada Fiya? Duit habis entah pada mana-mana perempuan. Dengan bini dan anak-anak berkira, kedekut!"
"Apa yang berlaku sebab salah Fiya juga. Fiya abaikan tanggungjawab Fiya sebagai isteri. Fiya tolak keinginan abang. Jadi jangan salahkan abang kalau abang ada perempuan lain. Abang lelaki, Fiya. Lelaki yang masih ada keinginan."
"Oh! Keinginan? Abang cuma pentingkan nafsu abang aje. Salah Fiya abang nampak, tapi salah abang pernah abang kaji? Cuba abang fikir selama berbelas-belas tahun kita kahwin, pernah tak abang jalankan tanggungjawab abang dengan sempurna? Kalau abang tak abaikan tanggungjawab abang kepada Fiya dan anak-anak, Fiya tentu akan lebih ikhlas melayan abang. Tapi abang buat Fiya macam tunggul dan anak-anak macam tak wujud. Abang tak pernah kesah tentang makan pakai kami, tentang sakit pening kami. Duit gaji abang lesap entah ke mana. Urusan rumah tangga semuanya Fiya yang kena usahakan sendiri. Kalau Fiya tak bekerja, Fiya tak tahulah macam mana Fiya nak teruskan hidup dengan anak-anak. Entah-entah kami dah mati kebulur agaknya?" Lantang dia bersuara melepaskan amarah yang telah lama terpendam.
Farhan tak habis-habis mengungkit tentang keinginan dia yang tidak terlaksana, tapi Farhan tak pernah pula fikirkan tentang penatnya dia terpaksa memikul semua tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Farhan bukannya pernah ambil tahu. Setiap kali dia luahkan kepada Farhan susah payahnya dia, balasan yang dia terima semakin menyakitkan hati. Cara yang terbaik dia lakukan, tunjukkan protes dan abaikan keinginan Farhan. Dia tahu dia berdosa, tapi dia hendak Farhan sedar bahawa dia bukannya patung yang tiada perasaan.
Farhan mendengus. Tak habis-habis mengungkit tentang kegagalan dia menjalankan tanggungjawab kepada keluarga! Bosan dia mendengarnya.
"Abang tak kira. Abang tetap akan berkahwin dengan Maya. Maya tak macam Fiya. Maya lemah lembut, manja dan pandai melayan abang. Dialah isteri yang abang inginkan dan abang yakin dia mampu bahagiakan abang," tegasnya. Dia tak kira Safiya izinkan atau tidak, dia tetap akan berkahwin dengan Maya. Lagipun dia memang sudah berjanji dengan Maya yang dia akan mengahwini wanita itu. Apa yang berlaku menguatkan lagi keinginannya ke arah itu.
Mendengar puji-pujian yang dilemparkan Farhan kepada kekasih gelapnya itu, Safiya hela nafas. Dada yang terasa memberat ditepuk untuk meredakan sakit yang terasa. Tidak betah untuk terus berbalah dengan Farhan dan menambahkan lagi sakit dalam hatinya, dia bingkas bangun. Tubir mata yang sudah mula bergenang, lekas-lekas diseka.
Dia tidak mahu nampak lemah di mata Farhan. Dia tidak mahu jadi perempuan yang tidak punya harga diri di hadapan suami sendiri. Tidak, dia tidak akan merayu atau meratap hiba. Dia tidak mahu menjadi perempuan yang menganggap dunia ini terhenti jika penceraian sahaja jalannya. Cukuplah usahanya mempertahankan rumah tangga sebelum ini dan sekarang dia sudah putus asa. Dan seandainya ini pengakhiran ikatan yang telah berbelas-belas tahun dibina, dia reda. Dia kuat dan dia akan terus kuat! Hati berbisik yakin.
"Boleh, abang boleh kahwin dengan perempuan tu tapi abang ceraikan Fiya dulu!" tegasnya dan terus buka langkah untuk naik ke biliknya.
Ya, biarlah dia jadi janda dari terus hidup dengan lelaki seperti Farhan. Ada suami tetapi hidup terseksa pun apa gunanya? Lebih baiklah dia hidup sendiri dari terus sakit hati!
"Tak, abang tak akan ceraikan Fiya walaupun abang kahwin dengan Maya. Abang nak Fiya tahu bagaimana rasanya hidup digantung tak bertali!"
Langkah Safiya terus mati. Tubuh dipusingkan menghadap Farhan semula. Wajah bengis yang tiada perasaan itu direnung tanpa riak. Sampai begitu sekali kejamnya Farhan ingin menindas dia? Tidak cukup lagikah selama ini dia ditindas? Tapi Farhan ingat dia akan diamkan? Sorry! Farhan memang sudah tersilap orang. Kalau sebelum ini dia banyak mengalah, tapi kali ini tidak lagi.
"Abang ingat Fiya takut? Tak, sikit pun Fiya tak takut. Abang nak kahwin, silakan. Tapi Fiya tetap akan tuntut hak Fiya. Fiya akan lawan di mahkamah untuk mendapatkan kebebasan Fiya!" nekadnya. Negara ada undang-undang. Farhan ingat dia bodoh sangat agaknya? Biarlah selama mana pun dia perlu berjuang untuk mempertahankan haknya, dia akan lakukan. Untuk dia tunduk mengalah di kaki Farhan, memang tidak sekali-kali!
Allah ada... Dan dia yakin Allah akan sentiasa bersamanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co