Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 2

karyaseni2u

Dua tahun enam bulan selepas...

"Nur Adira Safiya Abdul Halim, aku ceraikan kau dengan talak satu."

Lafaz itu sudah enam bulan berlalu dan dia semakin bahagia. Biarlah dia berjerih untuk mendapatkan status 'janda' yang paling ditakuti ramai wanita itu, tapi yang penting dia sudah tidak perlu makan hati dan menderita lagi. Arghhh! Apa lagi yang dia inginkan dalam hidup melainkan rasa tenang dan bahagia yang tidak pernah dia rasa sejak bergelar isteri kepada Farhan? Apa guna ada suami kalau hidupnya terseksa? Sudahlah urusan rumah tangga, dia yang terpaksa tanggung semuanya tetapi ada hati pasang satu lagi dengan alasan kehendak batinnya diabaikan.

Helo! Kalau kau suami yang sempurna, sudah tentulah aku akan jadi isteri yang rela menyerahkan jiwa dan raga malah segala-galanya. Tapi sayangnya, suami itu hanya pada nama sahaja sedang tanggungjawab entah ke mana!

Paling menyakitkan hati, sejak bercerai, lagilah ke laut tanggungjawab Farhan. Anak-anak dibiarkan sahaja tanpa dia ambil tahu. Anak orang sibuk dijaga tapi anak sendiri dibiarkan macam tiada berbapa.

Lelaki... Itulah lelaki tak guna namanya! Pandai semai benih tapi selepas itu buat tak tahu seolah-olah dua anaknya itu bukan sesiapa dan bukan darah dagingnya. Haih! Mulalah lancang sahaja mulutnya mendendangkan lagu Yuna untuk lelaki tak guna macam Farhan!

Oh lelaki,

Tak guna kuberikan semua.

Oh lelaki,

Tak guna kuberikan semua.

Lelaki, lelaki...

Tak guna tak guna tak guna...

"Kau tak akan hidup senang juga, Farhan. Allah itu Maha Adil. Kau tahulah nanti!" Hati membentak geram. Dia bukan mendoakan tetapi biar kesusahan itu mengajar dan menyedarkan Farhan, balasan bagi orang yang lupa tanggungjawab dan menganiaya orang lain.

"Fiya..."

"Fiya!"

Terasa tepukan kuat di bahunya, Safiya tersentak dan pantas berpaling. Sebaik terpandangkan Zira, sahabatnya itu dijeling dan bahunya digosok. Haih! Badan kecil tapi bila memukul bukan main berbisa lagi rasanya. Itu belum lagi Zira mengeluarkan teknik cubitan ketamnya, memang berbiratlah jadinya.

"Menung jauh nampak? Ada masalah?" Zira kerutkan dahi dan terus duduk walau tidak disuruh.

"Masalah?" Kepala digeleng bersama tawa kecil di bibir. "I live my life with zero problem sekarang, Zira dan aku sedang menikmati zaman janda yang sangat menyeronokkan. Heaven, kau tahu tak?" Sengih dipamer pula.

"Hurm... Kau aje yang rasa status janda tu seronok, Fiya. Orang lain bukan main terseksa lagi dengan status tu." Zira cemikkan muka.

Pelik dia dengan Safiya. Apa tidaknya, sahabatnya itu langsung tidak terkesan dengan status janda yang disandangnya. Tenang dan semakin bahagia hidupnya. Hanya manusia sekelilingnya sahaja yang panas punggung dengan status 'janda' yang dimiliki Safiya. Masing-masing takut hak mereka dicantas agaknya. Memang mereka silap banyaklah kalau fikir Safiya jenis janda tak sedar diri begitu. Mengenali Safiya, dia tahu sahabatnya itu bukan jenis perempuan menggedik dan tak ada maruah diri. Dia juga tahu Safiya bukan jenis janda yang hadapkan suami orang untuk hidup senang!

"Zira, jadi janda tak berdosa tahu tak? Apa guna kalau kau ada status isteri tapi maruah kau diinjak-injak sesuka hati? Dan kewujudan kau langsung tak dihargai?" bidasnya.

"Tapi tak semua wanita di luar sana tu berfikiran macam kau. Ada tu sampai sanggup terseksa asal masih bergelar isteri sebab takut menjanda." Zira semakin beria-ia.

"Mereka jadi macam tu sebab masyarakat kita juga. Pandangan sinis kepada wanita-wanita yang bergelar janda itulah yang menyebabkan ramai para isteri rela menjadi hamba dan mangsa suami. Apa yang ada dalam fikiran mereka, setiap janda itu jahat dan tak bermoral. Oh! Please. Jangan kerana segelintir yang berkelakuan tak semenggah, semua janda dilabel begitu." Muka dicemikkan benci.

"Pada akulah, Zira. Kalau seorang lelaki betul-betul sayangkan isteri, dia tak akan jadikan wanita sebagai alat untuk kepentingan mereka. Dan sebagai wanita pula, mereka kena berani mempertahankan hak mereka sendiri. Bukan jadi lembu yang dicucuk hidung dan terima sahaja walau bagaimana diri mereka diperlakukan. Itu tak betul," balasnya mempertahankan tindakannya.

"Kena ingat, Zira. Kita perempuan bukan hamba kepada nafsu lelaki dan bukan juga hamba abdi mereka. Kita ada hati dan perasaan, bukan tunggul tak bernyawa," tegasnya lagi.

"Bagi aku, cukuplah aku jadi bodoh sebab cinta dan bertahan demi anak-anak. Dia lepaskan tanggungjawab dan biarkan aku tanggung semua, aku masih boleh bersabar tapi bila dia curang dan kahwin dengan perempuan lain, that's it. Sabar seorang isteri itu ada hadnya. Untuk apa lagi aku menyusahkan diri sendiri? Menangis dan meratap hiba sebab perangai laki yang tak guna macam tu? Lagipun kan Zira, apa guna ada suami kalau aku terpaksa hadap semuanya sendiri? Sebelum aku sakit jiwa, lebih baiklah aku angkat kaki dulu," sambungnya mempertahankan pendiriannya.

Biarlah orang kata dia bodoh sebab memilih untuk jadi janda, tapi dia peduli apa? Orang tak pernah tahu apa yang dia terpaksa lalui. Hidup dia biarlah dia yang tentukan sendiri. Kalau susah pun dia sendiri yang menanggungnya. Bukannya kalau hatinya sakit ada orang lain yang boleh kongsi deritanya. Orang cuma tahu mengata sebab masing-masing ingat akan hidup bahagia selama-lamanya agaknya. Tapi mereka lupa, suami itu adalah pinjaman sahaja. Bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil semula jika Dia mahu.

Zira mengangguk mengeyakan. "Aku faham. Lagipun aku rasa, tanpa dia, hidup kau pun tak ada yang kurang. Kau ada kerjaya yang bagus. Rumah dan kereta pun daripada hasil titik peluh kau sendiri. Jadi, kau tak rugi apa-apa pun. Pada aku, jantan tu yang rugi. Bodoh pun ya juga," marahnya. Dia, kalau ingat balik apa yang Farhan buat kepada Safiya, memang angin satu badan. Ada bini yang baik, cantik, masih buat perangai yang entah apa-apa. Pilih pula janda yang dua tahun lebih tua daripada dia. Farhan memanglah bangang!

"Aku betul-betul rasa tenang dan bahagia selepas kami bercerai, Zira. Biarlah dia abaikan anak-anak, sebab aku mampu untuk tanggung mereka. Dosa dengan anak-anak, biar dia jawab di akhirat nanti," tegasnya.

"Betul!" Sekali lagi Zira mengeyakan.

"Dia kedekut dengan anak-anak, dia pun tak akan hidup senang juga. Allah tu Maha Adil. Silap-silap, Allah tarik dan sempitkan rezeki dia."

"Sangattt, Fiya! Ha! Biar dia rasa. Eee! Geram betul aku!" tekan Zira sambil terangguk-angguk mengeyakan.

Baru sahaja Safiya ingin bersuara semula, terdengar nyaring telefon bimbitnya berbunyi. Beg tangannya ditarik lalu telefon bimbit di dalam beg dicapai. Melihat sahaja nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefon bimbitnya, air mukanya terus berubah.

Arghhh! Siapa pula ni? Entah lelaki mana pula yang sibuk menghubungi dia agaknya? Keluhnya sedang hati ragu-ragu sama ada hendak menjawab atau membiarkan sahaja panggilan tersebut tanpa balasan.

"Jawablah. Yang kau renung aje handphone kau tu dah kenapa?" Berkerut muka Zira apabila melihat reaksi sahabatnya itu.

Dengan riak yang masih seperti tadi, Safiya tersengih. Aku bukannya tak nak jawab, tapi aku takut nak jawablah, Zira, bisiknya dalam hati. Dan akhirnya panggilan tersebut dibiarkan tidak bersambut. Biarlah, dia sudah malas hendak menepis pujukan demi pujukan lelaki-lelaki hidung belang yang cuba untuk mendekatinya. Mereka ingat dengan status dia sekarang, dia senang untuk diusung ke sana ke mari agaknya. Hurm... Kalau perempuan lain mungkinlah. Tapi bukan dia, Nur Adira Safiya!

"Siapa?" Zira kerutkan dahi.

Bahu dijongket dan telefon bimbit diletakkan ke atas meja semula.

"Hurm... Secret admirerlah tu." Zira senyum mengusik. "Tengok? Farhan tak guna tu lepaskan kau, bukan main ramai lagi lelaki lain yang cuba untuk mendapatkan kau. Nampak tak dekat mana Farhan letak bodoh dia? Bukan dekat kepala tapi dekat tapak kaki!" Zira mengekek ketawa.

Safiya tersenyum. "Biarlah, Zira. Entah-entah dia dah bahagia dengan bini baru dia sekarang," ucapnya tenang. Marah dia kepada Farhan kerana curang memang sudah lama tiada, tapi sakit hatinya kerana kegagalan Farhan menunaikan tanggungjawabnya tak pernah padam.

"Aku tak rasa pun dia akan bahagia. Untuk setahun dua mungkinlah. Tapi untuk sampai ke syurga tu, entahlah," cemiknya.

"Tak baik doakan orang macam tu, Zira." Safiya mengingatkan.

"Betul cakap aku ni, Fiya. Ramai lelaki-lelaki tak guna yang kahwin lain sebab curang, hidup dalam penyesalan. Banyak dah contoh yang aku tengok. Kau rasa Farhan bahagia?" Kening dijongket.

"Pada aku kalau dia nak melingkup sekalipun lantaklah dia, tapi jangan nanti libatkan aku sudahlah. Enam bulan tak nampak muka dia, tenang sikit hidup aku."

"Betul tu. Kalaulah nanti tiba-tiba dia cari kau dan buat muka kesian, kau janganlah pula lembut hati. Kau biarkan aje dia, usah dilayan."

Safiya tergelak. "Tak kuasa aku nak melayan lagi, Zira. Lagipun aku tak mahulah dikatakan janda gatal nak goda suami orang," selorohnya.

"Bekas suami kau juga," balas Zira sambil ketawa.

"Tapi kalau kau layan dia, bagus juga. Biar bini muda dia rasa macam mana sakitnya rampas hak orang."

Safiya mencemik. Urghhh! Tak ingin dia!

Telefon bimbit di tangan direnung sedang hati berbolak-balik sama ada ingin menghubungi Safiya sekali lagi ataupun tidak. Sudah dua kali nombor Safiya dihubungi tetapi langsung tidak bersambut. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Atau perlukah dia menghantar mesej untuk memperkenalkan dirinya terlebih dahulu? Tentu Safiya akan terkejut nanti. Haih! Buntu pula dia dibuatnya. Maklumlah, dia bukannya pandai mengayat perempuan. Percintaan dia dengan Marina dulu pun berlaku secara natural. Tanpa perlu dia bersusah payah mengungkapkan kata-kata manis dalam perhubungan mereka kerana mereka sama-sama dewasa untuk memahami perasaan masing-masing.

"Khir..."

Izham angkat kepala dan keningnya dijongketkan.

"Ada masalah?" Jamil kerutkan dahi. Pelik dia kerana sejak setengah jam yang lalu, Izham bukan main tekun merenung telefon bimbit di tangan.

Izham berdeham dan kepalanya digeleng. Duduknya dibetulkan. Telefon bimbit diletakkan ke atas meja dan cawan kopi di atas meja dicapai lalu dihirup airnya.

Jamil tergelak kecil. "Aku tengok muka kau lain macam aje," usiknya.

Izham senyum segaris. Cawan di tangan diletakkan semula ke atas meja. Tubuh yang sedang bersandar di kerusi dikemaskan letaknya. Jamil pandai sahaja membaca riaknya.

"Tak ada apa-apalah," dalihnya. Mana mungkin dia berterus terang tentang apa yang bermain dalam benaknya.

"Mar apa khabar?" Tahu Izham tidak mahu bercerita, Jamil terus menukar topik perbualan mereka. Itulah yang mereka pegang selama ini. Walau bersahabat baik bagaimana sekalipun, mereka perlu menghormati privasi masing-masing. Kalau Izham ingin berkongsi cerita, dia akan dengar dan begitulah sebaliknya.

"Macam itulah dia. Masih tak ada perubahan apa-apa. Tapi keadaan dia dah tak selemah dulu."

"Kau tak cuba bawa dia berubat cara lain? Alternatif, maybe?" Dia memberikan cadangan.

Kepala digeleng. "Kau pun tahu kan keluarga dia macam mana? Lebih-lebih lagi yang monitor dia, mak cik dia sendiri. Aku bukannya boleh cakap apa pun. Beri cadangan apa pun tak boleh," balasnya dengan senyum segaris.

"Kau dengan dia pula macam mana?" Izham dipandang dan kening dijongket tinggi.

Izham terdiam dan nafasnya dihela. "Entahlah, Mil. Segala-galanya aku serah kepada Dia yang di atas sana. Buat masa ni biarlah keadaan kami begini saja."

Jamil terdiam dan raut yang sudah berubah keruh itu dipandang simpati. Insya-Allah, Khir. Semoga suatu hari nanti Allah akan balas semua kesabaran kau dengan sesuatu yang lebih indah, sahabat. Doanya dalam hati. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co