Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 15

karyaseni2u

Grand Continental Hotel, Kuala Terengganu.

Masuk sahaja ke dalam bilik, luggage yang dibawa terus diletakkan di tempat yang disediakan. Tudung yang tersarung di kepala dibuka lalu ikatan di rambutnya dileraikan dan dikemaskan. Perut yang mula berkeroncong dipegang. Apa tidaknya, sejak pagi tadi dia hanya menjamah sebuku roti coklat sahaja. Memang menjadi kebiasaannya apabila memandu sendirian, dia tidak akan berhenti makan di mana-mana. Kurang selesa dan takut sebenarnya. Maklumlah, bila bersendirian macam-macam hal boleh berlaku.

Perutnya berbunyi lagi. Tidak terus tercegat di hadapan cermin, dia berjalan menuju ke katil. Telefon dicapai lalu nombor F&B ditekan. Setelah membuat pesanan, tubuh terus direbahkan ke atas tilam.

Perlahan-lahan nafas dihela dan matanya dipejamkan sambil menggeliat kecil untuk menghilangkan rasa letih kerana memandu sendirian hampir tujuh jam lamanya. Nasib baiklah dia bergerak seawal tujuh pagi, jadi dapatlah dia memandu dalam keadaan tenang. Hairi dan Fauzan pula akan bertolak dari Kuala Lumpur selepas maghrib nanti. Orang bujang seperti mereka bolehlah. Dia memang sudah tidak larat hendak memandu pada waktu malam. Hendak menumpang mereka, tak mahulah dia. Segan rasanya.

Izham? Entah, dia sendiri pun tidak pasti Izham ke situ dengan apa. Mungkin dengan kapal terbang atau memandu sendirian. Sejak perbualan mereka tempoh hari, mereka langsung tidak berhubung lagi. Izham pun hanya senyap sahaja. Mungkin sudah faham apa yang dia maksudkan agaknya.

Biarlah! Lagi senang hidup dia, desis hatinya. Teringatkan yang dia belum solat zohor lagi, dia bingkas bangun. Luggage dibuka dan telekung yang dibawa dikeluarkan kemudian tubuh terus diloloskan ke dalam bilik air. Usai menunaikan solat, tubuh direbahkan ke atas katil dan mata dipejamkan semula.

Baru sahaja dia ingin terlelap, tiba-tiba dia terdengar loceng pintu biliknya berbunyi. Mata dibuka dan pandangan dibuangkan ke pintu. Teringatkan pesanan untuk makan tengah harinya tadi, dia bingkas bangun. Tudung yang disangkutkan di kerusi dicapai dan disarungkan ala kadar ke kepala. Dengan tergesa-gesa kaki diayun menuju ke pintu. Tanpa menjengah melalui cermin kecil di pintu, daun pintu terus dikuak. Sebaik wajahnya diangkat, Safiya tergamam dan tetamu yang tidak diundang di hadapannya itu dipandang tidak berkelip.

"Assalamualaikum," sapa Izham dengan senyuman.

Safiya berdeham. Tudung yang hanya dililit ala kadar, lekas-lekas dikemaskan.

"Waalaikumussalam," jawabnya sedikit kalut. Haih! Macam mana pulalah Izham boleh tahu yang dia menginap di hotel itu dan tahu nombor biliknya?

"Maaflah kalau saya mengganggu." Melihat kekalutan Safiya, Izham serba salah. Dia pun main aci redah sahaja. Bukankah lebih elok kalau dia telefon Safiya terlebih dahulu sebelum dia ke situ?

Safiya sengih sahaja. Hendak mengakui yang lelaki itu sememangnya mengganggu ketenangannya, tidak terluah pula.

"Errr... Macam mana Encik Izham boleh ada dekat sini? Emmm... Maksud saya, macam mana Encik Izham boleh tahu saya stay dekat sini dan ini bilik saya?" soalnya polos.

Izham tergelak kecil. "Saya rasa tak susah nak tahu Fiya stay dekat mana." Kening dijongket.

Teringatkan penginapannya itu ditempah oleh HR, Safiya ketap bibir. Haih! Sudah tentulah Izham akan tahu! bisiknya.

"Hurm... Maknanya, Encik Izham pun stay di sini?" Teragak-agak dia bertanya.

Bersama anggukan, Izham tersenyum. "Bilik saya selang dua buah dari bilik Fiya." Biliknya ditunjukkan. Memang sengaja dia memilih bilik berdekatan dengan bilik Safiya.

Safiya ternganga. Bulat matanya memandang arah yang ditunjukkan lelaki itu. Jadi maknanya, dia menginap satu tingkat dengan Izham? Arghhh! Semakin dia cuba menjauhkan diri, semakin dekat pula Izham dengannya.

"Emmm... Fiya dah lunch?" Tahu Safiya tidak berapa senang dengan keadaan mereka ketika itu, Izham terus mengalihkan topik perbualan mereka.

Kepala digeleng. Tidak lama kemudian, diangguk pula.

Melihat reaksi Safiya, Izham ketawa kecil.

"Dah ke belum?" usiknya.

"Errr... Belum, tapi saya dah oder dari room service."

"Hurm... Jom kita pergi makan dekat luar. Saya pun belum makan lagi ni."

"Oder saya..."

"Fiya boleh cancel oder tu."

"Errr... Rasanya tentu dah nak siap kut sebab saya oder dah lama. Mungkin dia orang tengah siapkan. Encik Izham pergilah. Lagipun saya ingat nak berehat di dalam bilik aje petang ni," tolaknya lembut. Seboleh mungkin dia menolak. Tak mahulah dia cari pasal walaupun mereka jauh dari pandangan mata rakan sepejabat yang lain.

"Fiya tak sudi nak temankan saya? Saya seorang saja di sini." Izham bersuara perlahan.

Safiya terdiam. Haih! Kasihan pula melihat riak mengharap di hadapannya itu.

"Tak apalah kalau Fiya tak sudi. Maaf kalau saya ganggu Fiya berehat." Akhirnya Izham mengalah.

Dengan riak kecewa, langkah terus dibuka. Sudah berkali-kali ditolak, tapi masih tak sedar diri dan akhirnya dia yang kecewa sendiri.

Dengan wajah serba salah, nafas dihela berat. Tidak sampai hati membiarkan Izham terus pergi, dia terus keluar dari biliknya dan lelaki itu dipanggil.

Izham menoleh.

"Boleh tunggu saya bersiap sekejap?"

Senyum di bibir Izham terukir dan laju kepalanya dianggukkan.

"Saya bersiap dulu," ucapnya teragak-agak apabila Izham sudah berdiri di hadapannya.

Tubuh dipusingkan untuk kembali ke biliknya. Berdiri sahaja di hadapan pintu bilik, dahinya ditepuk. Arghhh! Fiya, cuainya kau! marahnya kepada diri sendiri apabila pintu biliknya sudah tertutup rapat ketika itu.

Melihat keadaan Safiya, Izham simpan tawa dalam hati. Bukan dia ketawakan kecuaian perempuan itu tetapi geli hati dengan reaksi spontan Safiya saat itu.

"Biar saya telefon reception," tawar Izham. Telefon bimbit di dalam poket seluarnya diambil dan nombor hotel terus didail. Setelah berbual seketika, talian dimatikan semula.

"Sekejap lagi mereka akan hantar housekeeping ke mari," beritahunya.

Safiya mengangguk dan tubuh disandarkan ke dinding.

"Maaf, sebab saya, Fiya terkunci di luar bilik sendiri." Izham turut merapatkan tubuhnya ke dinding bilik dan berdiri betul-betul di hadapan Safiya.

"Bukan salah Encik Izham pun. Saya yang cuai," kesalnya.

Izham buang senyum. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar dan sebelah kakinya dibengkokkan untuk menyelesakan keadaannya ketika itu.

"Fiya bertolak dari rumah pukul berapa?" Wajah polos yang tanpa secalit solekan itu diamati. Cantik, dalam keadaan begitu pun Safiya tetap nampak cantik. Wajahnya bersih tanpa sebarang noda. Bibir merah jambunya nampak begitu memikat, lebih-lebih lagi dengan adanya tahi lalat comel di bawah bibir kirinya. Alis keningnya juga elok terbentuk walaupun tidak dilukis.

"Pukul tujuh. Encik Izham datang sini naik apa?" tanya Safiya pula. Sambil berdiri, tangan dipelukkan ke tubuh.

Izham yang sedang berdiri santai itu dipandang. Izham walau hanya mengenakan T-shirt dan jean, tetap nampak segak. Kadang-kadang sukar untuk dia percaya bahawa lelaki itu sudah pun berumur empat puluh lapan tahun.

"Flight."

"Dari lapangan terbang ke sini?"

"Naik teksi."

Safiya kerutkan dahi. "Tak ada staf dari sini yang ambil Encik Izham di lapangan terbang?" soalnya pelik.

Senyum Izham terukir lagi. "Saya yang tak nak mereka ambil. Bukan susah pun naik teksi, yang penting saya sampai juga ke sini. Sesekali biarlah saya lakukan semuanya sendiri," jawabnya bersahaja.

Baru sahaja Safiya ingin bertanya lagi, terdengar suara seseorang menegur. Mereka sama-sama menoleh.

"Bilik yang mana satu ya puan, encik?" soal pekerja hotel ramah.

"Bilik saya yang ini." Cepat-cepat Safiya menjawab. Pintu biliknya ditunjukkan.

Pekerja hotel itu mengangguk lalu berjalan menghampiri pintu. Sebaik kad dileretkan, daun pintu terus dikuak.

"Terima kasih," ucap Safiya dan daun pintu ditahan dengan tangannya.

"Sama-sama," jawab pekerja hotel itu dan terus beredar dari situ.

"Saya bersiap dulu, ya."

Izham mengangguk. Safiya terus masuk dan daun pintu ditutup semula. Izham setia menunggu dengan senyum di bibir. Teringatkan kata-kata Jamil dua hari lepas, senyum terukir semakin lebar.

"Habis kau nak mengalah?"

"Dah tu, kau nak aku buat apa lagi? Dia dah jelaskan pendirian dia. Jadi, takkan aku bodoh sangat tak reti nak faham?"

"Khir, jatuh cinta tu tak salah dan tebalkan muka demi cinta itu pun tak berdosa. Macam yang aku cakap sebelum ni, kalau kau rasa dia pilihan yang tepat untuk kau, teruskan dan fight for your love. Aku yakin lama-lama nanti dia akan nampak keikhlasan kau dan insya-Allah dia akan terima kau. Jangan cepat putus asa, kawan. Ingat, yang terbaik biasanya memang susah untuk dimiliki."

Perlahan-lahan nafasnya dihela. Aku sedang berusaha, Mil, bisiknya. Sedang dia leka melayan perasaan sendiri, tiba-tiba dia terdengar suara Safiya menegur. Izham tersentak dan tubuh ditegakkan.

"Maaf kalau Encik Izham tunggu lama."

Kepala digeleng. "Sepuluh minit taklah lama mana," balasnya sambil ketawa.

"Jom kita gerak sekarang. Perut saya dah berbunyi dah ni," selorohnya pula.

Safiya mengangguk dan terus mengekori langkah Izham.

"Saya tumpang kereta Fiya, ya?"

Safiya mengangguk.

"Oh ya! Oder lunch Fiya tadi macam mana?"

"Saya dah beritahu dia orang tak payah hantar," sengihnya. Tak payah hantar tapi dia tetap kena bayar juga! Sudahlah mahal harganya. Arghhh! Melayang duit dia.

"Biar saya drive," tawar Izham sebaik mereka sampai di tempat kereta Safiya diparkirkan.

Safiya menggeleng. "Tak apa. Saya boleh drive," tolaknya walaupun dia cuak juga hendak memandu di sebelah Izham. Entah kenapa agaknya setiap kali berada di sisi lelaki itu, perlakuannya pasti tak seiring dengan apa yang difikirkan.

Akur, Izham mengangguk sahaja. Sebaik Safiya menekan penggera, dia terus masuk ke dalam perut kereta walaupun tidak dipelawa.

Melihat riak bersahaja Izham, Safiya lepaskan nafas. Entah kenapa hatinya tiba-tiba rasa berdebar. Pemegang pintu dibuka dan sekali lagi nafasnya dihela. Dengan degupan yang semakin berkocak, tubuh terus diloloskan ke dalam perut kereta.

Relaks, Fiya. Kau bukannya baru dapat lesen kereta, jadi kenapa perlu takut? Bawa kereta macam biasa, bisiknya menenangkan diri sendiri.

"Kenapa?" tegur Izham apabila melihat wajah Safiya yang tiba-tiba berubah riak.

"Huh?"

"Fiya okey?"

Laju kepala dianggukkan dan enjin kereta terus dihidupkan. Melihat keadaan kereta di hadapan dan belakang yang berada agak rapat dengan keretanya, peluh dingin mula membasahi tubuh. Debaran di dada ketika itu pula usah dikata. Mulalah rasa cuak untuk keluar dari tempat parkirnya. Bimbang dalam kalut, kereta orang lain yang akan jadi mangsa.

It's okay, Fiya. You can do it. Hati berbisik memberi semangat kepada diri sendiri. Spontan itu, gear R dimasukkan dan pedal minyak ditekan. Perlahan-lahan keretanya diundurkan ke belakang. Kemudian gear D dimasukkan pula dan pedal minyak ditekan sambil stereng dipusingkan ke kiri.

Arghhh! Tak lepas, bisiknya. Kereta diundurkan lagi kemudian dibawa ke hadapan pula. Masih tersangkut. Arghhh! Mukanya sudah panas membahang. Debaran di dada semakin kencang. Bukan setakat berdebar tetapi malu juga. Entah apa yang Izham fikir agaknya dan tentu Izham juga cuak naik satu kereta dengan dia!

"Kereta dekat belakang dan depan ni rapat sangat. Memang susah sikit kereta Fiya nak keluar." Izham bersuara cuba menenangkan keadaan. Melihat air muka Safiya sahaja dia tahu Safiya sedang kalut ketika itu.

"Fiya undur semula dan balas habis stereng ke kanan lepas tu balas habis stereng ke kiri dan jalan ke depan pula," suruhnya.

Safiya akur dan mengikut sahaja seperti yang disuruh. Setelah dua kali undur belakang dan jalan ke hadapan, akhirnya kereta dia lepas juga keluar. Fuh! Memang berpeluh dahi dia dibuatnya walau dalam keadaan sejuk pendingin hawa. Sebenarnya situasi begitu bukanlah luar biasa baginya, tapi entah kenapa berada di sebelah Izham, dia seperti orang yang baru belajar bawa kereta. Arghhh! Malunya dia padahal lesen memandunya sudah berusia hampir dua puluh tahun lamanya!

Sebaik Safiya berjaya membawa keluar keretanya di dalam keadaan yang agak sukar tadi, Izham hela nafas lega. Bukan dia tidak mahu menawarkan diri untuk membantu tetapi dia tidak mahu Safiya rasa tercabar. Perempuan seperti Safiya tentu tidak suka jika kredibilitinya dipertikaikan. Jadi sekiranya dia ingin memiliki perempuan seperti Safiya, dia perlulah menjadi lelaki yang mampu memberikan sokongan dan bukan sebaliknya. Lagipun memahami dan saling menyokong itu kan senjata yang paling utama dalam sebuah perhubungan? Izham... Izham... Jauhnya angan-angan.

"Encik Izham selalu datang Terengganu ke?" Izham yang sedang berselera menikmati udang dan sotong goreng tepung di hadapannya dipandang penuh minat. Suka dia melihat cara lelaki itu menikmati makanannya. Berselera tetapi tetap kelihatan sopan. Bukan hanya cara makannya sahaja tetapi perlakuan Izham juga sentiasa tertib. Kalau dia? Melantak macam tak ingat dunia. Tapi duduk di hadapan Izham terpaksalah dia jaga adab.

Izham menggeleng. Sotong goreng dicapai dan dicelupkan ke dalam sos kemudian disuapkan ke mulut lalu dikunyah perlahan.

"Kali terakhir saya datang ke sini dua tahun lepas. Masa tu ada mesyuarat dengan semua ketua cawangan dari pantai timur," beritahunya setelah makanan di dalam mulut selesai dikunyah. Dihembus angin petang yang sepoi-sepoi bahasa itu, matanya dipejamkan seketika dan nafasnya dihela.

"Pantai Batu Buruk ini adalah salah satu tempat yang paling saya suka singgah setiap kali datang ke sini. Saya suka suasana macam ni. Tenang, santai dan damai." Pandangan dibuangkan ke arah pantai yang berada tidak jauh dari gerai yang mereka kunjungi itu. Terpandangkan beberapa buah keluarga yang sedang berkelah di bawah pokok berhampiran pantai, bibirnya menguntum senyum. Bertuahnya mereka mempunyai masa begitu bersama keluarga. Seingat dia, dia dan isterinya sangat jarang meluangkan waktu begitu dengan anak-anak. Mereka masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Safiya mengangguk bersetuju.

"Fiya ada berapa orang adik-beradik?" Safiya dipandang semula.

"Lima," jawabnya kemudian air kelapa muda di hadapannya dihirup.

"Fiya anak keberapa?" Izham bertanya lagi.

"Anak sulung." Safiya tersengih.

"Patutlah Fiya nampak garang." Izham ketawa kecil.

Mata dijegilkan. "Saya garang? Tapi Encik Izham berani juga ajak saya kahwin," ejeknya.

Tawa Izham terhambur lagi. Lebih galak dari tadi.

"Saya mengagumi semangat Fiya dan keperibadian Fiya. Tapi garang Fiya saya belum nampak lagi," selorohnya.

"Kalau saya tunjuk garang saya, tentu Encik Izham pun tak nak dekat dengan saya."

Izham jongketkan kening dan menyambung tawanya.

"Show me," cabarnya.

Safiya mencemik. Macam mana hendak tunjuk garang tanpa sebab? Nanti Izham fikir dia gila pula. Malas mengendahkan cabaran Izham, dia terus mengalihkan topik perbualan mereka.

"Tadi Encik Izham dah tanya tentang saya, kan? Jadi sekarang giliran saya pula bertanya, adik-beradik Encik Izham ada berapa orang?"

"Tiga dan saya anak bongsu."

"Anak bongsu?" Anak bongsu dalam usia begini maknanya orang tua Izham pasti sudah berumur lewat tujuh puluhan.

Izham mengangguk. Air kelapa di dalam gelas dihirup.

"Emmm... Orang tua Encik Izham?" soalnya penuh minat.

"Orang tua saya dua-dua dah tak ada. Ayah saya meninggal hampir sepuluh tahun yang lalu. Emak saya pula meninggal lima tahun lepas. Kiranya saya ni anak yatim piatulah. Jadi Fiya kenalah layan saya dengan baik," giatnya.

"Emmm... Kakak sulung saya sekarang sudah lima puluh lima tahun. Kakak kedua saya lima puluh tiga tahun dan saya empat puluh lapan tahun. Beza sepuluh tahun dari Fiya dan saya juga adalah calon suami yang paling perfect untuk Fiya," ucapnya panjang lebar bersama senyum yang masih terukir di bibir.

Safiya terdiam. Izham dikerling. Dia tanya sikit sahaja tetapi jawapan Izham bukan main panjang lebar lagi. Siap mempromosi diri sendiri pula tu!

Geli hati melihat reaksi Safiya, Izham tergelak. Malas hendak merosakkan mood wanita itu, dia terus menyambung makannya. Tak apa, dia masih ada banyak masa lagi untuk lebih mengenali wanita itu. Apa yang pasti, sepanjang tiga hari di situ, dia akan gunakan semua peluang yang ada untuk mendekati Safiya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co