Bab 14
"Fiya pergi dengan saya."
Safiya menoleh. "Pergi mana?" soalnya pura-pura tidak faham walaupun dia tahu Izham maksudkan tentang urusan mereka di Terengganu pada minggu hadapan.
Izham senyum segaris. "Kenapa suka sangat bertanya sedangkan Fiya faham apa yang saya maksudkan?" Kening dijongket dengan senyum yang masih bersisa. "Atau Fiya sengaja nak curi masa supaya dapat fikirkan alasan untuk menolak?" duganya.
Safiya terdiam dan pandangannya dikalihkan ke arah pintu lif. Eh! Izham boleh baca ke apa yang sedang bermain di dalam kepalanya? Kalau tidak, macam mana Izham boleh meneka apa yang baru dia fikirkan?
"So?"
Safiya menoleh lalu pandangan Izham dibalas.
"Huh?!"
Izham ketawa lepas. "Fiya... Fiya. Kenapa suka sangat buat muka macam tu? Janganlah nak kacau-bilaukan perasaan saya," ucapnya dengan tawa yang masih bersisa. Wajah yang masih blur itu dipandang penuh makna.
Mendengar kata-kata Izham, dadanya tiba-tiba berdegup. Cuba untuk meredakan perasaannya ketika itu, Safiya berdeham perlahan dan pandangannya dibuangkan ke hadapan semula.
"Emmm... Saya rasa tak manislah kalau saya pergi dengan Encik Izham. Nanti apa pula yang orang lain akan mengata pasal saya?" Dia beralasan.
"Fiya lebih takut kata-kata orang daripada takut berdua-duaan dengan saya?"
Eh! Safiya kerutkan dahi. Confuse pula dia sebaik mendengar kata-kata Izham tadi. Sebenarnya Izham ikhlas mempelawa atau sengaja ingin menduga hatinya?
"Walau apa pun alasannya, saya tetap nak Fiya pergi dengan saya. Lagipun saya pergi seorang." Izham menyambung bicara.
"Kenapa Encik Izham tak pergi naik flight saja? Bukankah lebih senang?"
"Kalau saya naik flight, pergerakan saya terbatas. Saya nak ke mana-mana susah. Saya kalau boleh tak nak menyusahkan orang lain," jawabnya.
"Fiya temankan saya, ya?" ajaknya lagi.
"Maaf, Encik Izham. Tak boleh. Saya rasa tak selesa," akuinya jujur.
"Habis tu pergi dengan Hairi dan Fauzan, Fiya selesa pula?" tebaknya dengan wajah yang sudah berubah riak.
"Saya tak pergi dengan dia orang pun. Saya drive sendiri."
Wajah yang berubah kelat tadi tiba-tiba tersenyum.
"Kalau macam tu, saya pergi naik flight. Fiya ambil saya dekat sana. Macam mana? Orang pun tentu tak fikir yang bukan-bukan sebab kita tak pergi sekali." Izham memberi cadangan.
Keluhan kecil dilepaskan dan tangan dipelukkan ke tubuh. Pandangan Izham dibalas tidak beriak.
"Encik Izham ingat, dekat sana tak ada orang yang kenal kita ke? Encik Izham ingat apa yang kita buat dekat sana tak akan ada orang yang nampak?" soalnya. Senangnya cara Izham berfikir. Mulalah dia rasa mereka sedang curi-curi bercinta pula nak sembunyi-sembunyi begitu.
Izham hela nafas dan tubuhnya disandarkan ke dinding lif semula.
"Saya sebenarnya dah penat dengan macam-macam cerita tentang saya di syarikat ni. Encik Izham pun tentu ada dengar juga, kan? Jadi, saya tak nak selepas ini keluar pula cerita yang saya sedang menggoda Encik Izham sekarang," luahnya bersama keluhan.
"Tapi kita tak buat apa-apa pun, Fiya."
"Kita memang tak buat apa-apa, tapi orang lain akan sangka kita ada apa-apa. Sekarang pun dah ada yang mula bergosip tentang kita sebab saya naik kereta Encik Izham tempoh hari."
Izham mengeluh perlahan. "Sebab itulah saya terus melamar Fiya sebab saya tak nak sebarang gosip yang tak masuk akal tersebar. Kalau kita kahwin, tentu mereka tak akan cakap apa-apa."
"Encik Izham ingat dengan kahwin akan tutup mulut jahat mereka semua tu?" Kepala digeleng.
"Tak... Mereka tak akan diam. Kalau kita kahwin, lebih banyak spekulasi yang akan tercipta. Maruah saya dan maruah Encik Izham akan mereka injak-injak macam sampah. Saya akan digelar perampas dan Encik Izham akan dipanggil lelaki jahat kerana menduakan isteri yang sedang sakit sekarang. Encik Izham sanggup berdepan dengan semua tu?" soalnya.
Izham diam.
"Saya tak sanggup. Cukuplah dengan apa yang saya dah lalui dulu dan saya dah tak kuat untuk berdepan dengan keadaan yang lebih teruk lagi," luahnya.
"Dan sebab itulah saya tak boleh terima lamaran Encik Izham. Saya juga tidak mahu berada rapat dengan Encik Izham. Jadi tolonglah jangan terlalu mendesak saya. Encik Izham buat saya rasa serba salah. Kalau boleh saya nak hubungan kita kekal sebagai bos dan pekerja sahaja. Tidak lebih daripada itu. Kalau sekarang saya perlu berurusan dengan Encik Izham, saya faham. Tapi biarlah urusan kita atas dasar kerja dan bukan sebaliknya. So, please... Lupakan tentang lamaran Encik Izham kepada saya. Anggap saja yang Encik Izham tak pernah sebut pun tentang itu kepada saya," tegasnya.
Dari bersandar di dinding lif, Izham tegakkan tubuh. "Saya tak perlukan jawapan Fiya sekarang. Saya anggap kata-kata Fiya tadi bukan jawapan daripada lamaran saya dan saya beri Fiya masa untuk fikir sekali lagi." Izham mulai kalut. Dia tidak mendesak tetapi kenapa Safiya rasa tertekan dengan tindakannya?
Safiya menggeleng. "Selama mana pun masa yang Encik Izham beri, jawapan saya tetap sama. Saya tak boleh terima lamaran Encik Izham dan saya tak nak jadi yang kedua. Maaf," ucapnya bersama helaan nafas.
Izham terdiam dan kepala ditundukkan memandang lantai. Keluhan kecil dilepaskan dan wajahnya diraup. Demi Tuhan, kecewa dia dengan setiap patah bicara yang terluah dari bibir mungil itu. Salahkah dia untuk mencari walau sekelumit bahagia dari sisa-sisa usia yang masih ada? Salahkah dia andai jatuh cinta untuk kali kedua?
"Saya keluar dulu." Safiya menyambung bicara sebaik pintu lif terbuka. Izham yang masih tertunduk memandang lantai lif dipandang simpati tetapi apa mampunya? Suami orang tetap suami orang dan dia bukan perempuan yang tak punya hati, yang sanggup menyakiti hati perempuan lain demi kepentingan diri sendiri. Dia rela tidak bersuami daripada mengambil hak orang lain yang bukan sepatutnya. Tidak menunggu lagi di situ, dia terus keluar dengan perasaan yang sarat. Allah, kenapa hatinya rasa sebak melihat keadaan Izham begitu?
Farhan hela nafas. Sambil bermundar-mandir di ruang tamu, rambutnya diraup kasar. Masa yang diberikan kepadanya hanya tinggal dua minggu sahaja lagi tetapi wang yang dijanjikan masih belum nampak bayang. Ya Allah, mana dia hendak cari duit dalam masa sesingkat itu?
Bingung, keluhan berat dilepaskan.
"Hurm... Ke hulur ke hilir macam kucing hilang anak tu kenapa?" sindir Maya bersama renungan tajam.
"Tak senang duduk sebab tak dapat jumpa janda awak tu ke?" Muka dicemikkan dan dia terus duduk.
Farhan berpaling. "Boleh tak awak jangan nak fikir yang bukan-bukan? Kepala saya tengah berserabut sekarang ni, awak tahu tak?" bedilnya geram.
"Emmm... Marah? Pantang saya sebut tentang perempuan tu mesti awak melenting. Sayang sangat ke dekat dia sampai saya tak boleh sebut tentang dia langsung?"
"Apa yang ada di dalam kepala saya ni tak ada kaitan langsung dengan dia! Ni... Yang tengah buat saya macam orang gila sekarang ni adalah tentang anak awak tu!" marah Farhan dengan suara yang sudah naik seoktaf.
Berang tentang anaknya disebut, Maya bingkas bangun. Farhan dihampiri semakin dekat.
"Apa yang tiba-tiba kau sebut pasal anak aku? Dah mula nak mengungkit sebab dia orang tu anak tiri kau?" marahnya.
"Eh! Maya, kalau perangai dia orang tu bagus, aku tak adalah jadi macam sekarang ni!" Farhan mula naik angin. Maya lupa agaknya apa yang anak lelakinya itu lakukan.
"Apa yang anak aku dah buat kepada kau? Ha! Cakap!" cabar Maya.
"Oh! Kau lupa apa yang Si Amsyar dah buat? Kau lupa sebab Amsyar, aku sampai terpaksa pinjam duit dengan along?"
Maya mencemik menyampah. "Alaaa... Baru selesaikan sikit dah nak mengungkit," ejeknya.
"Sikit kau kata? Lima belas ribu kau cakap sikit?" berangnya. "Ha! Kalau kau ada banyak duit sangat, kau pergi bayar dekat Cina panas tu! Tak payah aku nak sesakkan kepala otak aku untuk fikir semua tu!" cabarnya.
"Aku nak cari duit dari mana? Kau lupa yang aku ni tak kerja? Hasil business kecil-kecilan aku tu pun aku dah gunakan untuk perbelanjaan rumah. Nama aje ada suami tapi satu sen pun tak guna," kutuknya dan Farhan dijeling semakin tajam.
"Apa kau cakap? Aku tak guna? Kalau dah tahu aku tak guna, kenapa dulu kau terhegeh-hegeh goda aku?" Farhan semakin berang. Jelingan tajam Maya dibalas dengan muka menyinga.
"Sebab aku ingat aku boleh menumpang senang dengan kau, tapi rupa-rupanya makin menyusahkan hidup aku!"
"Jadi kau nak mengungkit?"
"Nak mengungkit pun tak guna, Farhan. Nasi dah jadi bubur. Suka atau tidak, terpaksalah aku hadap! Kalau aku tahu aku terpaksa bersusah payah hidup dengan kau, lebih baik aku kahwin dengan orang lain," sindirnya semakin tajam lalu tangan dipelukkan ke tubuh dengan muka tercemik benci.
"Kau memang jenis perempuan tak guna, kan? Lepas kau dah porak-perandakan rumah tangga aku sampai aku ceraikan bini aku, sekarang kau cakap macam tu dengan aku? Jenis isteri apa kau ni?"
"Hei! Jangan nak salahkan aku, kau bercerai dengan janda kau. Kau tu yang gatal dan tak sedar diri. Sepatutnya aku yang salahkan kau sebab kau tipu aku. Berlagak kaya tapi hakikatnya pokai!"
"Kau!" Jari ditudingkan tajam ke arah Maya dengan muka yang berkerut-kerut geram.
"Aku kenapa? Kau nak tampar aku? Tamparlah! Ha, tampar!" cabar Maya sambil menghalakan wajahnya ke arah Farhan. Farhan ingat dia takut? Sekali tangan Farhan naik ke muka dia, berkali-kali dia akan balas semula. Farhan ingat dia jenis perempuan yang hanya diam apabila diperlakukan begitu? Kalau Farhan fikir dia begitu, Farhan memang silap banyak. Dia bukan seperti Safiya yang hanya tahu menangis dicurangi suami.
"Aku menyesal kahwin dengan kau!" bentak Farhan dan terus beredar dari situ.
"Kau nak ke mana tu, Farhan!"
"Ke mana pun aku nak pergi, bukan urusan kau!"
"Kau nak cari janda kau, kan?"
Langkah Farhan terhenti dan Maya direnung.
"Kalau aku cari dia pun itu bukan urusan kau!" bedilnya dan terus menyambung langkah.
Maya mendengus dan bantal kecil di atas sofa dicapai dan dicampakkan ke arah Farhan. "Kau memang tak guna! Sudahlah penipu!" jeritnya melepaskan geram.
Tidak mengendahkan amarah Maya, Farhan semakin melajukan langkahnya.
Maya semakin berang. Pasu bunga kecil di atas meja dicapai dan dicampakkan ke lantai. Tak guna kau, Farhan! Kau nak cari janda kau balik, kan? Kau ingat aku akan biarkan kau berbaik dengan janda kau semula? Jangan kau harap, Farhan!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co