Bab 6
"Fiya!" Zira terus menyerbu masuk ke dalam bilik Safiya sebaik mendengar cerita yang sahabatnya itu dipanggil oleh COO syarikat pagi itu.
Safiya yang sedang leka menilik brosur iklan pakej terbaru keluaran syarikat, terus angkat kepala. Melihat Zira yang sedang termengah-mengah di hadapannya, wajahnya dikerutkan.
"Apa hal kau ni? Macam kena kejar hantu aje?" soalnya hairan.
"Adoilah, Fiya. Penat aku berlari panjat tangga dari tingkat lima, kau tahu tak?" Nafas dihela untuk melepaskan lelah.
"Siapa suruh kau panjat tangga? Lif kan ada," selamba Safiya sambil ketawa. Kalau sudah beria-ia begitu, tentu adalah cerita panas yang hendak digosipkan.
"Tunggu lif lambat. Aku nak cepat. Errr... Kau okey ke?" Wajah Safiya ditilik. Nampak biasa sahaja tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh rakan-rakan sekerja mereka.
"Kenapa?" Semakin pelik dia melihat reaksi Zira ketika itu.
"Dia orang kata kau... Eh! Tak." Kepala digeleng. Haih! Tiba-tiba berbelit-belit pula lidah dia.
"Dia orang tu siapa?" Pening dia melihat kalut Zira. Cuba untuk menenangkan sahabatnya itu, kaki terus diayun dan Zira dihampiri.
"Cuba kau bawa bertenang dulu." Kedua-dua bahu Zira dipegang.
"Tarik nafas dalam-dalam dan lepas," suruhnya dan pegangan tangannya dilepaskan.
Zira akur dan mengikut sahaja apa yang disuruh. Nafasnya ditarik kemudian dihela panjang.
"Okey, sekarang kau cerita dengan aku. Apa halnya?" Punggungnya disandarkan ke bibir meja dan tangan dipelukkan ke tubuh. Zira yang masih kelihatan kalut itu dipandang.
"Aku dengar kau kena panggil dengan Encik Izham pagi tadi. Betul ke?"
Kepala diangguk. "Betul," jawabnya mengeyakan.
Zira melepaskan keluhan kecil. "Kenapa Encik Izham panggil kau? Ada masalah dengan kerja ke?" soalnya resah. Dia bukannya apa, risau juga kalau jadi apa-apa dengan Safiya. Maklumlah, sahabatnya itu bekerja sendirian untuk menyara anak-anaknya.
Kepala digeleng pula. Dia rasa hendak ketawa pun ada melihat reaksi Zira. Tentu ada mulut-mulut puaka yang bawa cerita kononnya dia diberi amaran oleh pihak atasan, padahal apa yang berlaku adalah sebaliknya. Langsung tiada kena-mengena dengan kerja.
"Habis tu, kalau bukan berkaitan dengan kerja, kenapa Encik Izham panggil kau?" Zira terdiam seketika kemudian air mukanya tiba-tiba bertukar ceria.
"Kau nak naik pangkat eh?" soalnya teruja.
Safiya tergelak. Haah! Kalau dia setuju dengan permintaan Izham tadi, memanglah dia naik pangkat jadi isteri kepada kepada lelaki itu. Tapi tak inginlah dia, bisiknya dalam hati.
"Bukanlah. Tak ada kaitan dengan naik pangkat, naik gaji atau kena warning pun. Dia panggil aku sebab nak tanya tentang... Emmm..." Kepalanya digaru. Alahai! Apa pula alasan yang perlu dia bagi?
"Emmm... Dia nak tahu status tentang promosi kita yang terbaru," sambungnya dan terus buka langkah kembali ke tempat duduknya semula.
"Takkan pasal tu pun panggil kau? Bukan Encik Rosli ke yang kena beri laporan kepada dia?" Zira kerutkan dahi. Pelik ni. Macam ada benda lain aje yang Safiya sembunyikan.
"Betullah, buat apa aku nak tipu pula? Encik Rosli kan busy, jadi mungkin dia tak nak ganggu Encik Rosli." Safiya beralasan. Zira tahu saja bila dia tidak jujur. Haih! Tapi masakan dia hendak bercerita apa yang berlaku sepanjang dia di dalam bilik Izham tadi? Mahu terbelalak mata Zira mendengar ceritanya nanti. Dia pun sebenarnya tidak mahulah memalukan Izham dengan cerita-cerita begitu. Dia sudah menolak, jadi biarkan kisah itu berkubur begitu sahaja. Tapi teringatkan kata-kata akhir Izham tadi... Arghhh! Risau pula dia memikirkannya.
Zira terangguk-angguk walau alasan itu seolah-olah tidak masuk di dalam kepalanya.
"Kalau tak ada apa-apa, baguslah. Aku tengok kaki-kaki gosip bukan main suka lagi kalau kau kena warning. Entah dengki kenapa dengan kau agaknya?" bebelnya.
"Biarlah. Aku tak hairan pun apa yang orang nak cakap pasal aku. Tapi aku dengar, satu company sibuk bergosip tentang kisah aku menuntut cerai dulu sampai Encik Izham pun tahu kisah aku. Tak sangka glamor juga aku dekat sini rupa-rupanya," selorohnya walau ada nada kesal di sebalik kata-katanya.
Membuntang mata Zira mendengar kata-kata sahabatnya itu.
"Encik Izham tahu?"
Kepala diangguk.
"Dia tak ada cakap apa-apa ke pasal tu dengan kau?" Zira cuba mengorek sesuatu.
Kepala digeleng pula. "Tak ada. Cuma dia bersimpati dengan nasib aku. Itu aje," dalihnya.
"Eh! Kau tak ada kerja ke duk menempel dekat dalam bilik aku ni?" tanyanya. Sengaja dia mengubah topik perbualan mereka kerana takut terlepas kata. Dia kalau dengan Zira kadang-kadang semua benda hendak dicerita.
Zira tersengih. Teringatkan sesuatu, kepalanya diketuk.
"Adoiii! Nasib baik kau ingatkan. Encik Rosli nak jumpa aku tadi, tapi aku singgah bilik kau dulu. Maklumlah, ada cerita panas," sengihnya.
"Haih! Mampuslah aku kena bebel dengan orang tua tu," sambungnya dan tergesa-gesa buka langkah untuk beredar. Tapi tiba-tiba langkahnya terhenti semula. "Petang ni kita pergi mengopi dulu sebelum balik nak?" ajaknya. Sebenarnya dia masih hendak mengorek rahsia lagi sebab belum berpuas hati dengan jawapan Safiya tadi.
Laju Safiya gelengkan kepala. "Petang ni aku nak ke rumah adik aku dekat Cheras. Ada hal keluarga sikit," tolaknya. Itu lagi satu hal yang perlu dia selesaikan segera. Kalau tidak, tentu tidak senang duduk emaknya di kampung.
"Oh! Okey," balasnya pendek dan terus beredar. Tak apa, hari ini Safiya mengelak, esok-esok pasti dia tahu juga. Dia kan ada radar spesial dekat pejabat mereka. Ngeh!
"Kak long," sapa Safwan agak terkejut apabila Safiya tiba-tiba sahaja muncul di hadapan pintu pagar rumahnya. Dia pasti, tentu ada sesuatu yang tidak kena. Kalau tidak, Safiya tak mungkin akan ke situ.
"Terkejut tengok kak long tiba-tiba datang rumah kau?" Safiya membalas sinis.
Safwan tersengih dan kepalanya yang tidak gatal digaru.
"Tak nak ajak kak long masuk ke?"
"Eh! Masuklah, kak long." Kalut Safwan mempelawa. Pintu pagar rumahnya dibuka.
"Nuri mana?" tanyanya berbasa-basi. Kasut dibuka dan dia terus masuk.
"Ada dekat dapur. Tengah masak agaknya."
"Ayum mana?" Mata diliarkan memandang sekeliling mencari anak saudaranya yang baru menginjak lima belas bulan itu.
"Ada dalam bilik. Tengah tidur."
"Maghrib-maghrib ni dibiarkan aje budak tu tidur?" Kepala digeleng dan dia terus duduk walau tidak dipelawa.
"Dari dia meragam, biarlah dia tidur, kak long." Safwan ikut duduk.
"Kak long datang tak beritahu pun. Kalau tidak, boleh masak sedap sikit," selorohnya walau sebenarnya hati dia sudah cuak saat itu.
"Kak long datang bukannya nak makan dekat rumah kau," selamba Safiya.
Safwan sengih. Cuba meredakan gelora hatinya, nama isterinya dipanggil. Tidak lama selepas itu, muncul Nuri terkedek-kedek keluar dari pintu dapur.
"Kak long," sapanya dan Safiya disalami.
"Masak?"
Kepala diangguk. "Lama dah kak long sampai?"
"Baru aje." Safwan dipandang.
"Kak long nak solat maghrib dulu, Wan." Safiya bingkas berdiri.
"Kak long solat bilik tengah tu, ya?" Bilik tengah bersebelahan biliknya ditunjukkan.
"Yang, bagi kak long telekung dengan sejadah." Isterinya dipandang pula.
Nuri akur dan terus masuk ke dalam bilik. Tidak lama selepas itu, dia keluar semula dengan telekung dan sejadah di tangan.
"Telekung dengan sejadahnya, kak long," hulurnya.
Huluran Nuri disambut dan Safiya terus buka langkah masuk ke bilik tengah rumah teres setingkat itu.
"Awak ada cakap apa-apa dengan kak long ke?" bisik Safwan rapat ke telinga isterinya tetapi dalam nada yang agak dalam. Dia yakin, Safiya ke rumahnya, pasti tentang dia.
"Mana ada. Saya tak pernah pun call kak long," nafi Nuri sambil tarik muka.
"Kalau awak tak cakap apa-apa, kenapa tiba-tiba kak long datang rumah kita?" Safwan masih belum berpuas hati.
"Kenapa? Abang takut ke?" sindir Nuri sinis dan terus buka langkah untuk kembali ke dapur semula. Kalau betul pun Safiya ke situ untuk menegur suaminya, memang dia bersyukur sangat. Apa tidaknya, perangai Safwan sejak kebelakangan itu semakin menjadi-jadi. Bila ditegur, dia pula yang dimarahinya.
Safwan hanya memandang sahaja langkah isterinya dengan muka berkerut geram.
"Kau dah sembahyang, Wan?" tegur Safiya apabila melihat Safwan sedang santai di ruang tamu sambil menonton televisyen.
Safwan yang tersentak kerana ditegur, menoleh ke sebelah. "Ada apa, kak long?" tanyanya.
"Kak long tanya, kau dah solat?" Safiya mengulangi pertanyaannya tadi.
Safwan tersengih dan menggeleng.
"Dah tu, kenapa tak solat lagi? Dah pukul tujuh setengah dah tu," bebelnya. Pelik dia. Sejak bilalah Safwan culas bab-bab solat. Selalunya tidak perlu ditegur, tapi hari itu boleh pula Safwan buat bodoh begitu?
Kepala digaru dan Safwan bingkas bangun. Tidak mahu dibebel lagi, dia terus bergegas masuk ke dalam biliknya.
Safiya menggeleng dan terus duduk di atas sofa sementara menunggu. Setelah hampir dua puluh minit menunggu, akhirnya Safwan keluar dari bilik dan terus menghampirinya.
"Nuri dah solat ke?" tanyanya. Rasanya sejak tadi dia tidak nampak adik iparnya itu keluar dari dapur.
"Nuri cuti, kak long." Safwan terus duduk.
"Oh!" Kepala diangguk.
"Ada apa sebenarnya kak long datang ke rumah Wan tiba-tiba ni?" Safwan memberanikan diri bertanya. Maklumlah, Safiya memang dikenali adik-beradik dengan ketegasannya. Kata-kata kak longnya itu lebih terguna pakai di hadapan orang tuanya berbanding adik-beradik yang lain.
Safiya membetulkan duduk dan nafasnya dihela.
"Semalam mak telefon kak long..."
"Kenapa?" pintas Safwan mematikan kata-kata Safiya. Dadanya mula berdebar.
"Wan rasa sebab apa?" Safiya bertanya kembali.
Safwan terdiam.
"Siapa perempuan tu?" Terus terang Safiya bertanya. Malaslah dia hendak pusing belit sana sini. Cakap terus terang saja senang.
Serta-merta itu air muka Safwan berubah.
"Perempuan mana pula ni, kak long?" dalihnya dengan nada suara yang mulai gugup.
"Kalau tak ada angin, pokok tak akan bergoyang, Wan. Kalau Wan tak buat, tentu cerita macam ni tak sampai ke telinga mak."
Safwan terdiam. Rambutnya diraup.
"Tak kesian dengan Nuri? Dulu masa Wan nakkan dia, sungguh-sungguh Wan pikat dia. Bila dah dapat, Wan buat dia macam tu pula? Apa kurangnya Nuri yang ada pada perempuan tu? Cuba cakap dengan kak long sebab kak long dah rasa semuanya. Kak long tahu macam mana sakitnya hati Nuri bila suami buat perangai macam tu dekat luar," ucapnya tenang. Dalam keadaan begitu biasanya memang dia tidak akan membebel tak tentu hala tetapi berbicara dengan penuh hemah.
Safwan semakin resah di tempatnya. Rambut dan wajahnya diraup lagi. Berkali-kali.
"Nuri! Mari sini," panggil Safiya apabila Safwan hanya diam di tempatnya. Biar dia dengar sendiri dari mulut kedua-duanya apa yang berlaku sebenarnya.
Dengan terkocoh-kocoh, Nuri terus keluar ke ruang tamu rumah. "Ya, kak long," sahutnya perlahan. Suami yang sedang menunduk memandang lantai dikerling.
"Dah siap masak?" Nuri dipandang.
Kepala diangguk.
"Duduk. Kak long ada benda nak tanya dan dengar dari mulut kau orang berdua," suruhnya.
Akur, Nuri terus duduk.
"Okey, sekarang cuba cerita dengan kak long, sejak bila Wan ada perempuan lain? Nuri tahu dari mana?" soalnya.
Nuri tundukkan kepala seketika kemudian diangkat semula. "Nuri tahu sebab Nuri terbaca WhatsApp abang dengan perempuan tu. Yang Nuri tahu dah dekat tiga bulan abang dengan perempuan tu ada hubungan istimewa," jawabnya perlahan.
Safiya hela nafas. Nampaknya memang perkara itu betullah, bukannya sengaja direka-reka. "Perempuan tu siapa?" Safwan dipandang semula.
"Kawan sekerja abang," jawab Nuri lagi apabila suaminya hanya diam tidak bersuara.
"Wan..." panggilnya apabila Safwan masih diam menekur memandang lantai.
Safwan angkat kepala.
"Apa yang kurangnya Nuri sampai Wan cari perempuan lain? Kahwin belum sampai dua tahun dah buat perangai," bebelnya geram.
Nuri dipandang sekilas sebelum dia memandang Safiya semula. "Nuri dah banyak berubah, kak long. Dah tak macam masa Wan kenal dia dulu. Kak long tengoklah dia sekarang macam mana. Penampilan langsung tak terjaga. Baru anak satu tapi dah macam anak ramai. Wan tengok pun tak ada selera," selambanya dan Nuri dijeling pula.
"Astaghfirullahalazim! Itu aje alasan kau cari perempuan lain, Wan?" Kepala digeleng. Kalau dah lelaki memanglah lelaki.
Nuri sudah mula teresak kecil di tempatnya. Kecil hati dia mendengar kata-kata suami.
"Wan bukan tak nasihatkan dia, tapi dia langsung tak ambil kesah," luah Safwan melepaskan rasa kurang senangnya.
"Abang cuma nampak kurang Nuri aje, tapi pernah abang kaji kurangnya abang? Sejak kita kahwin, semua benda Nuri kena buat sendiri. Abang bukannya nak bantu. Sejak ada Qayyum lagilah abang buat tak kesah. Kalau anak nangis, abang kata bising tapi abang tak ada pun tolong Nuri nak diamkan dia. Balik kerja aje Nuri dah sibuk uruskan anak dan nak masak untuk abang tapi abang buat tak kesah aje. Sibuk dengan handphone. Nuri pun penat sampai kadang-kadang tak ada masa untuk diri sendiri," bidas Nuri bersama tangisan.
Safiya menggeleng. Tak sangka rupa-rupanya adik lelakinya jenis lelaki yang berat tulang begitu. Sangkanya hubungan Safwan dan Nuri baik-baik sahaja tetapi rupa-rupanya bergelora juga.
"Kak long tak sangka adik kak long macam tu. Kak long rasa dari kecil mak dah ajar kita adik-beradik buat kerja rumah tapi rupa-rupanya bila dah kahwin, Wan menghambakan isteri pula. Kalau Wan kata Nuri dah berubah, pada kak long, Nuri jadi macam tu sebab Wan juga."
"Kenapa salahkan Wan?" bidas Safwan dengan suara yang sudah naik senada.
"Yalah, dah Wan bebankan semuanya atas bahu dia. Bila masa dia nak jaga diri dia sebab dia sibuk jaga Wan dan anak? Lagi satu kak long nak tanya, Wan ada beri dia duit untuk dia cantikkan diri?" bedilnya.
Safwan terdiam.
"Kau nak bini kau cantik tapi duit pun kau tak hulur untuk dia cantikkan diri dia. Kau nak dia berhias depan kau tapi kau biar dia penat buat semua kerja rumah, jaga anak sendiri. Habis tu, bila masanya dia nak nampak cantik?" marahnya. Alasan Safwan memang tak masuk akal dan tak boleh untuk diterima.
"Dia kan bekerja. Kenapa tak gunakan duit dia untuk melawa?" Safwan tak puas hati. Salah dia saja yang kak long nampak, khilaf isterinya tidak pula kak longnya tegur.
"Nuri bekerja untuk bantu kau, Wan. Dengan gaji kau tu, kau ingat cukup untuk semua perbelanjaan rumah? Bayar rumah, kereta, pengasuh, barang dapur. Itu belum masuk loan yang kau kena bayar tu lagi. Cuba kau kira semuanya. Kau bukannya budak kecil yang tak pandai mengira," marahnya lagi.
"Dia dah banyak bantu kau, lagi kau nak kompelin macam-macam. Kau bukannya nak hargai tapi makin kau buat dia macam tu. Perempuan yang kau suka tu memanglah kau nampak cantik sebab dia bujang lagi tapi kalau dia dekat rumah, kau tahu macam mana selekehnya dia? Jangan pandang pada rupa aje Wan sebab cantik tu tak kekal. Kau sepatutnya hargai apa yang ada dekat depan mata kau ni. Yang sama-sama susah payah dengan kau dari mula sampai sekarang. Yang sanggup terima semua kekurangan kau. Kalau jenis perempuan yang menempel dengan laki orang ni, kak long tahu sangat macam mana gediknya dia. Entah-entah, itu yang buat kau suka, kan? Dapat girlfriend yang lebih kurang dengan ulat beluncas perangainya," bebelnya pula.
Safwan terus diam. Nafas dihela berat dan rambutnya diraup lagi.
"Fikirlah baik-baik, Wan. Fikirkan Si Qayyum yang belum tahu apa-apa tu. Tak payahlah kau nak mengada-ada cari girlfriend lain kalau nak jaga yang ada ini pun kau tak mampu. Jaga rumah tangga kau baik-baik. Jaga amalan kau dengan Allah. Ini kak long tengok, nak solat pun bukan main culas lagi. Ingat Wan, syaitan suka lihat suami isteri berbalah sesama sendiri, jadi janganlah kau ikut sorakan syaitan. Memang bertepuk tanganlah dia. Kak long dah pernah gagal, jadi kak long tak nak tengok adik kak long buat perempuan lain macam yang kak long pernah rasa. Wan pandanglah muka Nuri dan ingat balik masa mula-mula Wan jatuh cinta dengan dia dulu. Apa sebab Wan sukakan Nuri? Kak long tak rasa hanya sebab cantik semata-mata, kan?" pujuknya lembut.
Esakan kecil Nuri berbunyi lagi. Air mata yang masih menitis di wajahnya dikesat.
"Nuri, kak long rasa tak salah kalau Nuri pun berubah. Kalau Wan rasa Nuri dah tak cantik, Nuri cantikkan diri tu. Kalau Wan kata Nuri dah gemuk, cuba kuruskan badan tu," nasihatnya kepada adik iparnya itu pula. Sebenarnya Nuri tidaklah buruk sangat tapi mungkin terlalu penat bekerja dan menguruskan rumah tangga, dia jadi sedikit tidak terurus. Dia tahu dan sangat memahami sebab dia juga pernah ada anak kecil dahulu.
Nuri mengangguk. Sekali lagi air matanya dikesat.
"Dah, kak long nak balik dulu. Kau orang bincang dan selesaikan baik-baik. Jangan sampai bergaduh pula. Kak long datang bukan nak cari salah Wan tapi kak long nak nasihatkan apa yang patut. Kalau apa yang kak long cakap tadi buat Wan kecil hati, kak long minta maaf. Cuma kak long minta, Wan tinggalkanlah perempuan tu sebelum hubungan Wan dengan dia pergi lebih jauh. Tak baik pun beri harapan pada orang. Apa yang paling kak long takut kalau hubungan tu jadi semakin tak terkawal nanti," sambungnya dan dia terus bangun.
Safwan dan Nuri ikut bangun.
"Kak long tak nak makan malam dekat sini dulu?" pelawa Nuri dengan suara yang sedikit serak.
Kepala digeleng. "Lain kali, ya? Nanti lambat pula kak long sampai rumah," tolaknya dan mula buka langkah untuk keluar. Safwan mengekor. Nuri yang turut mengekor tiba-tiba berlari masuk ke dalam bilik apabila terdengar suara Qayyum yang sedang merengek ketika itu.
"Kak long harap Wan dengar nasihat kak long tadi. Bincang baik-baik dengan Nuri, ya? Kak long tak nak kamu berdua bergaduh sampai bercerai-berai," pesan Safiya. Penggera keretanya ditekan.
Safwan mengangguk sahaja.
"Kak long balik dulu. Dah, pergi masuk. Tolong Nuri jagakan Qayyum yang tengah menangis tu. Kak long tengok dia pun belum mandi lagi tu. Entah-entah dari balik kerja tak rehat lagi. Jadi suami tu biarlah ada sifat bertimbang rasa dengan isteri dan jangan pentingkan diri. Rumah tangga bukan tanggungjawab seorang tapi tanggungjawab bersama," suruhnya dan pintu kereta dikuak. Melihat anggukan Safwan, tubuh terus diloloskan ke dalam perut kereta. Enjin keretanya dihidupkan dan dia terus beredar dari situ.
Kak long harap hubungan kamu berdua baik-baik saja. Wan, Nuri, doanya dalam hati. Pada saat itu juga apa yang pernah berlaku kepada dirinya terlayar kembali dalam ingatan. Dugaan dan ujian itu sentiasa ada. Hanya kita yang kena bijak mendepaninya dan dia... Telah gagal di dalam dugaan dan ujian yang diberikan. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kau, Fiya. Ya, Dia lebih tahu, bisiknya mengingatkan diri sendiri.
Masuk ke dalam rumah, Safwan terus mengintai isteri yang sedang menyiapkan anak mereka selepas dimandikan. Melihat keadaan isteri yang masih memakai pakaian kerjanya, hati dijengah rasa sebak. Semua pengorbanan isteri sepanjang mereka bersama terus terlayar di ruang mata, malah kata-kata kakaknya tadi terngiang-ngiang semula di telinga. Sedang leka melayan perasaan, tiba-tiba matanya terasa panas dan tubir mata mula basah. Tidak dapat menahan perasaannya, isterinya dihampiri dan terus dipeluk dari belakang.
"Abang minta maaf, sayang. Abang tahu abang salah. Abang minta maaf," raung Safwan bersama esakan.
"Abang janji abang akan tinggalkan perempuan tu dan abang tak akan buat lagi."
Nuri turut teresak dan terus berpaling. "Nuri maafkan abang dan Nuri juga nak minta maaf sebab libatkan orang lain dalam urusan rumah tangga kita," ucapnya dengan suara yang tenggelam timbul dibawa perasaan.
"Sayang tak salah. Abang yang salah," ucap Safwan berkali-kali dan tubuh isterinya itu terus diraih ke dalam pelukan.
Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." - Surah Al-Anbiyaa' ayat 35.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co