Truyen3h.Co

Cinta Kedua

Bab 5

karyaseni2u

Daun pintu bilik Izham diketuk bersama debaran. Sejak malam tadi lagi hatinya tidak tenang memikirkan pertemuan itu malah debaran dalam hatinya langsung tidak berkurang sehingga pagi ini. Semakin waktu menghampiri pukul sebelas pagi, semakin kuat debarannya terasa. Dalam kepala pula ligat berteka-teki tujuan sebenar lelaki itu ingin menemuinya. Paling ditakuti andai pertemuan itu ada kaitan dengan kerjanya yang juga merupakan sumber rezekinya di situ.

"Masuk."

Terdengar lantang suara lelaki menyahut dari dalam, degupan di dada Safiya semakin kuat dan terasa hampir pecah. Matanya dipejamkan dan dia terus beristighfar untuk meredakan perasaan sendiri. Sebaik debarannya sedikit reda, tombol pintu dipegang dan perlahan-lahan dipusingkan. Dengan helaan nafas, daun pintu terus dikuak.

"Assalamualaikum," sapanya dengan suara yang hampir tidak kedengaran.

Izham mendongak dan tubuhnya terus disandarkan ke kerusi. Melihat Safiya di hadapan mata, degupan di dadanya terus menyapa. Arghhh! Kenapa tiba-tiba dadanya berdebar? Cuba berlagak tenang, duduknya dibetulkan.

"Waalaikumussalam. Silakan." Tangan ditunjukkan ke arah kerusi di hadapannya memberi arahan kepada Safiya supaya duduk.

Safiya akur. Langkah dibuka kembali. Sebaik berdiri di hadapan Izham, kerusi ditarik dan dia terus duduk. Melihat raut tenang di hadapannya itu, debaran di dadanya surut tiba-tiba. Perkara yang berlegar di dalam kepala juga terus hilang entah ke mana.

"Hurm... Kenapa Encik Izham nak jumpa saya?" soalnya teragak-agak.

Wajah tenang itu dipandang bersama kerutan. Sejak bekerja di situ berbelas-belas tahun yang lalu, hanya beberapa kali sahaja dia pernah berurusan dengan Izham. Itupun ketika dia baru mula bekerja. Setelah Izham dinaikkan pangkat, memang tidak pernah lagi mereka bersemuka kecuali terserempak di mana-mana majlis atau acara anjuran syarikat tetapi tidak pernah bertegur sapa.

"Maaf kalau saya terpaksa menggunakan cara yang agak sarkastik begini untuk bertemu dengan Fiya." Izham memulakan bicara. Tenang dan lancar sahaja tutur katanya. Sememangnya dia sudah bersedia untuk meluahkan apa sahaja yang bermain dalam kepalanya kepada wanita itu. Selebihnya biar Safiya yang menentukan sendiri.

Kerutan di dahi Safiya semakin berlapis-lapis. Sungguh! Dia tidak faham.

"Errr... Maksud Encik Izham? Errr... Saya... Tak faham." Polos dia bertanya dan degupan di dada kembali menyapa.

Izham senyum segaris dan duduknya dibetulkan agar lebih selesa.

"Saya tahu mungkin pertemuan ini akan membuatkan Fiya rasa tak selesa, tapi saya nak Fiya tahu setiap apa yang akan saya katakan ini adalah lahir daripada hati saya yang ikhlas," ucapnya membuka bicara. Wajah resah di hadapannya itu dipandang dengan senyum segaris yang masih terukir.

Air muka Safiya berubah tiba-tiba dan degupan di dada semakin tidak sekata. Ya Allah, entah apalah yang Izham ingin perkatakan agaknya? Aduh! Berdebar pula dia rasa.

"Saya ingin melamar Fiya untuk jadi isteri saya." Izham menyambung bicaranya. Tenang, yakin dan bersahaja.

Safiya ternganga dan Izham dipandang tidak berkelip. Izham, COO syarikat dia bekerja melamarnya? Betulkah apa yang baru dia dengari itu? Dia bukan bermimpi, kan? Oh! Tuhan.

Melihat reaksi Safiya, senyum Izham tersungging lebar. Sudah dia agak begitulah reaksi yang akan dia terima.

"Saya tahu semua yang awak lalui, Fiya. Tentang bekas suami awak. Tentang kesusahan awak mendapatkan apa yang awak miliki sekarang dan tentang kesakitan yang awak tanggung kerana dikhianati oleh orang yang pernah awak cintai," ucapnya dengan nada yang masih seperti tadi sedang mata langsung tidak berkalih merenung wajah yang kebingungan itu.

Hampir jatuh rahang Safiya mendengar pengakuan jujur tersebut. Izham tahu semuanya? Jika Izham, pegawai tertinggi tempat dia bekerja boleh tahu, maknanya cerita tentang perjuangan dia mendapatkan status janda itu turut diketahui oleh lebih ramai lagi staf di syarikat mereka.

Arghhh! Seronoklah mak cik bawang mengumpat dia. Tapi, buat apa dia nak kesah atau takutkan? Memang itu kenyataannya dan selama itu juga sudah puas dia menjadi mangsa umpatan rakan-rakan satu jabatan. Apa yang penting, dia tidak menyusahkan orang lain dengan 'title janda' yang dipegangnya sekarang. Kalau ada yang dengki itu, mungkin sebab hidup mereka sendiri tak bahagia. Kesah pula dia!

"Kalau Encik Izham tahu apa yang saya lalui, mesti Encik Izham juga tahu yang saya susah untuk percayakan lelaki lagi, tapi kenapa Encik Izham masih berani untuk melamar saya? Tak takut saya akan menolak lamaran Encik Izham sepertimana saya menolak lamaran lelaki-lelaki lain yang cuba mendekati saya?" bidasnya sedikit berani. Kening dijongket menduga. Pandangan lelaki itu dibalas tajam.

Senyum Izham terukir lagi. Dia memang tidak menyangka yang Safiya akan selantang itu, tapi dia suka.

"Kalau tak cuba, saya tak tahu bagaimana penerimaan Fiya terhadap saya. Lagipun saya percaya dengan takdir Allah. Kalau sudah tertulis Fiya untuk saya, walau macam mana pun Fiya menolak, tapi apabila sampai masanya nanti, Fiya akan tetap menjadi milik saya juga," balasnya yakin dan bersahaja.

Safiya terdiam dengan wajah yang semakin berkerut. Setakat hari ini belum ada lagi lelaki yang mendekatinya mempunyai keyakinan seperti Izham. Terkedu jugalah dia dibuatnya. Hurm... Lelaki, kalau tak pandai mengayat, bukan lelaki namanya, Fiya. Jadi jangan cepat terpedaya, pesannya mengingatkan diri sendiri.

"Tapi Encik Izham sudah beristeri. Tak cukup lagi dengan seorang isteri sehingga hendak menambah satu lagi?" sindir Safiya sinis.

Ingatkan pertemuan tersebut kerana tugas, tapi lain pula jadinya. Tak bestnya, boleh pula Izham melamar di dalam pejabatnya sahaja? Hurm... Tak kelas langsung!

"Jangan nak beri jawapan klise pada saya yang isteri Encik Izham curang, dah menopaus, gemuk, tak cantik... Bla... Bla... Bla. Saya dah lali dengan alasan tu semua. Tak mencabar minda saya langsung!" bedilnya semakin sinis.

Ketawa kecil Izham terhambur membuatkan Safiya terdiam. Eh! Eh! Boleh pula dia ketawa, ejeknya.

"Tak. Saya tak perlu berikan alasan-alasan begitu untuk meyakinkan awak, Fiya. Cukup saya katakan, isteri saya seorang wanita yang sangat cantik dan sempurna di mata saya. Dia cinta pertama saya." Kata-kata Izham terhenti dan senyum di bibirnya terus mati apabila tentang isterinya itu disebut.

"Dia seorang ibu yang penyayang. Selama dia menjadi isteri saya, tak pernah lagi dia gagal menjalankan tanggungjawab terhadap saya dan anak-anak," ucapnya dengan susah payah cuba melindungi sesuatu.

"Kalau kehidupan Encik Izham dah cukup sempurna, kenapa nak tambah beban dekat kepala?" Haih! Tak faham dia dengan pemikiran lelaki. Adakah kerana kehidupan yang terlalu sempurna menjadikan mereka bosan lalu tega mencari sesuatu yang tidak sepatutnya?

Izham terdiam dan nafasnya dihela dalam. Lama dia begitu sebelum dia bersuara semula. "Sebenarnya isteri saya sakit sekarang. Dia berdepan dengan penyakit yang mungkin membawa maut," beritahunya. Bukan, ia bukan alasan tetapi itulah kenyataan. Marina memang sedang bertarung dengan nyawa sekarang.

"Oh! Isteri Encik Izham sakit? Jadi hendak kahwin lain sebab tak dapat nafkah batinlah ni?" tempelak Safiya bersama cemikan. Kan dah kata, lelaki semuanya sama!

"Isteri menderita sakit tapi sibuk nak cari pengganti," sinisnya dan Izham dijeling.

Tidak terkesan dengan kata-kata sinis itu, Izham tersenyum. "Ya, mungkin saya nampak jahat di mata awak tapi saya lelaki normal, Fiya. Walaupun selama lima tahun ini saya mampu bertahan, tetapi saya tak boleh menafikan apa yang naluri saya inginkan selama lima tahun itu," balas Izham jujur.

"Okey, fine. Encik Izham perlukan isteri untuk memenuhi kehendak batin Encik Izham, tapi kenapa pilih saya?" soal Safiya tidak puas hati. Izham ingat dia hanya alat untuk memuaskan nafsu lelaki agaknya! Mentang-mentang dia janda, mungkin Izham ingat dia perempuan desperate. Oh! Pleaselah!

"Pertama, seperti yang saya katakan tadi, saya lelaki normal yang punya nafsu. Sejak awal saya mendengar kisah Fiya, saya sudah mula tertarik dengan Fiya. Jadi kenapa saya perlu berdiam diri? Dari saya memikirkan sesuatu yang mendatangkan dosa, bukankah lebih baik saya halalkan Fiya seperti yang dituntut agama?"

Safiya terdiam dan liur ditelan. Gerun juga dia mendengar jawapan tersebut. Lelaki, kenapalah pemikiran mereka tak pernah suci? Haih!

"Kedua, saya boleh saja berkahwin dengan perempuan yang lebih muda jika saya mahu. Tapi saya tak nak, sebab saya perlukan wanita yang matang untuk jadi isteri saya. Saya yakin, apa yang Fiya lalui sudah cukup mematangkan Fiya dan menjadikan Fiya seorang isteri yang kuat untuk saya." Izham menyambung bicara dengan setenangnya sedang mata masih tidak berkalih memandang wajah sinis di hadapannya itu.

"Ketiga, sebab saya perlukan seorang perempuan yang kuat seperti Fiya untuk berkongsi apa yang saya lalui sekarang supaya saya mampu untuk terus bertahan. Saya manusia biasa, Fiya. Kadang-kadang apa yang saya lalui membuatkan saya hampir putus asa. Tekanan yang saya hadapi bukan sedikit, tapi di sekeliling saya adalah tekanan. Saya perlukan seseorang yang boleh mendengar dan menenangkan saya setiap kali saya berdepan keadaan begitu," luahnya bersama helaan nafas panjang.

Safiya melepaskan keluhan kecil. Dia baru terlepas dari masalah, nak suruh dia pikul beban lagi? Emmm... Tidaklah dia. Hidup bermadu bukannya mudah. Dia sudah merasa walaupun untuk seketika.

"Encik Izham, walau apa pun alasannya, saya tetap tak akan terima lamaran Encik Izham. Saya tak pernah terfikir pun untuk berkahwin lagi. Saya senang dengan kehidupan saya sekarang. Saya tak perlu berkejar-kejar balik kerja semata-mata nak masak untuk suami. Saya tak perlu bersusah payah ironkan baju dia dan tak perlu lagi layan keinginan dia. Yang penting, saya juga bebas untuk ke mana-mana sahaja tanpa perlu minta izin daripada sesiapa," balasnya sekali gus menolak lamaran tersebut.

"Dan lagi satu, saya tak berminat untuk menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat kepada mana-mana lelaki yang masih beristeri!" tegasnya.

Izham tersenyum mendengar penolakan tersebut tetapi lelaki seperti dia tidak akan pernah putus asa. Isterinya Marina juga pernah menyuruhnya untuk berkahwin lain tetapi dia yang tidak mahu kerana belum bertemu wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri. Jadi, apabila sudah bertemu dengan yang selayaknya, masakan dia akan melepaskannya?

"Fiya, saya mencari isteri bukan untuk dijadikan hamba abdi atau pemuas nafsu saya. Saya cuma perlukan seseorang yang boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan dengan saya. Saya tahu Fiya adalah pilihan yang tepat untuk saya. Menjadi yang kedua, ketiga atau keempat itu tiada salahnya andai masing-masing tahu di mana kedudukan dan tanggungjawab masing-masing. Sebagai suami, insya-Allah saya akan berlaku adil," ucapnya.

"Encik Izham..."

"Fiya tak perlu beri jawapan sekarang. Fiya fikir dulu lamaran saya, tapi saya nak Fiya tahu yang saya betul-betul ikhlas untuk memperisterikan Fiya."

Safiya bingkas bangun. "Saya jumpa Encik Izham sebab saya ingatkan pertemuan ini atas urusan kerja, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya hormati niat suci Encik Izham, tapi biar saya jelaskan yang saya tetap akan menolak walau berapa kali pun Encik Izham minta saya fikirkan. Saya minta maaf, tapi prinsip saya jelas dan saya tak akan melukakan hati perempuan lain semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Saya minta diri dulu." Kepala ditundukkan sedikit tanda hormat dan langkah mula dibuka.

"Fiya..." Izham turut berdiri.

Safiya berhenti melangkah dan tubuhnya dipusingkan sedikit memandang Izham.

"Keinginan saya juga jelas dan saya tak akan berputus asa," tegasnya.

Mendengar kesungguhan Izham, keluhan kecil dilepaskan. Tidak mengendahkan kata-kata lelaki itu, Safiya terus buka langkah beredar.

Izham hanya memandang sahaja dengan riak kecewa. Perlukah dia berterus terang tentang apa yang sebenarnya untuk meyakinkan Safiya? Tidak! Perlahan-lahan kepala digeleng. Jika dia berterus terang, Safiya tentu akan memandang dia dengan cara yang lebih jijik dari itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co