Bab 8
"Dah mak, Yah dah nasihat dah dua-duanya sekali." Kepala diangguk-anggukkan walau dia tahu emaknya bukannya nampak apa yang dia lakukan ketika itu.
"Kau tahu Yah siapa perempuan tu?" Mak Cik Ani bertanya lagi. Sejak beberapa hari lepas hatinya tidak senang memikirkan tentang anak dan menantunya. Safiya pula selepas bertemu dengan Safwan, langsung tidak terus menghubunginya.
"Kawan sepejabat Wan juga," beritahunya dan tubuh disandarkan ke kepala katil. Bantal dicapai dan diletakkan di atas perutnya.
"Ya Allah, kalau dah satu pejabat, budak perempuan tu takkan tak tahu yang Wan tu dah berbini?" Mak Cik Ani sudah mula membebel.
"Tahu, tapi budak-budak sekarang mak, bukannya kesah orang bujang atau laki orang. Asal dia rasa seronok, siapa-siapa pun boleh."
"Itulah. Jenis yang tak kuat iman macam adik kamu tu, memang menjadilah," marahnya.
"Kamu tak pergi jumpa perempuan tu, Yah?" soalnya pula.
Safiya tergelak. "Ya Allah, mak. Takkan Yah tiba-tiba nak pergi serang budak perempuan tu pula? Ada yang kata Yah gila karang," selorohnya.
"Mak bukan suruh kau serang, jumpa aje dan nasihatkan dia, janganlah nak baik-baik dengan laki orang. Beritahu dia juga yang anak Wan tu kecil lagi."
"Yah ni malaslah nak masuk campur sampai macam tu sekali, mak. Yah dah nasihatkan Wan dan Nuri. Harap dia tahulah macam mana nak selesaikan hal ni baik-baik. Yang Yah geramnya tu mak, boleh pula alasannya sebab Nuri sekarang dah tak lawa. Habis kalau dia kahwin satu lagi dan perempuan tu pun jadi selekeh, dia akan cari perempuan lain lagi la?" bebelnya.
"Haih! Kau ni, Yah. Janganlah sampai doakan adik kau tu kahwin lain. Tak kesian dengan Nuri ke?"
"Yah cuma cakap aje tu, mak." Ketawanya berbunyi lagi dan kepala digeleng. Emaknya kalau sampai masanya terlalu jujur, begitulah dia. Gurauan dengan betul-betul pun tidak tahu hendak dibezakan.
Mak Cik Ani mengeluh perlahan. "Tapi mak rasa kan Yah, kamu kena pergi jugalah jumpa perempuan tu. Mak macam tak percaya aje Si Wan tu boleh settle benda ni macam tu aje. Kalau kita biar-biarkan, mak takut jadi macam Farhan pula. Tahu-tahu dah kena tangkap basah."
"Ginilah mak, nanti Yah cuba selidik dengan Nuri semula. Kalau Wan masih macam tu juga, barulah Yah pergi cari perempuan tu. Cuma Yah harap dia orang tu cuma setakat rapat macam tu aje. Kalau dah lebih daripada tu, Yah pun tak tahu nak cakap apa."
"Nauzubillah, Yah oiii! Janganlah sampai Wan sanggup buat macam tu," ucap Mak Cik Ani dengan suara meleret panjang. Tidak tercapai dek akal dia kalau betul seperti apa yang Safiya katakan.
"Yah harap pun macam tu mak, tapi budak-budak sekarang ni dah terlebih terbuka, mak. Ada tu tak kesah pun tentang semua tu sebab yang penting seronok."
"Allahuakbar. Minta-mintalah tak sampai macam tu." Mak Cik Ani hela nafas panjang.
"Dah, mak janganlah nak fikir-fikir lagi. Esok Yah telefon Nuri dan tanya dia macam mana," pujuknya cuba menenangkan Mak Cik Ani.
"Ha, yalah. Jangan lupa telefon mak lepas telefon Nuri," pesan Mak Cik Ani.
"Ya, mak. Yah akan terus call mak," ucapnya berjanji. Memang salah dia juga, lepas ke rumah Safwan tempoh hari dia terus senyap dan akhirnya emaknya sendiri yang menghubunginya bertanyakan tentang perkara tersebut.
Selesai berbual dengan emaknya, talian terus dimatikan dan telefon bimbitnya diletakkan di atas meja sisi. Baru sahaja dia hendak berbaring, notifikasi mesej berbunyi. Telefon bimbitnya dicapai semula dan inbox mesej dibuka.
"Ada sepuluh panggilan dari Encik Izham?" Tubuh ditegakkan semula dan kepala digaru. Tiba-tiba dia teringat akan pesanan Izham petang tadi dan dahinya ditepuk. Mesti Izham ingat dia sengaja tidak menjawab panggilan tersebut.
Jadi apa yang patut dia buat sekarang? Hubungi Izham semula? Eh! Tak naklah. Kepala digeleng dan dia terus berbaring. Telefon bimbit diletakkan semula di atas meja sisi. Selimut ditarik dan mata ditutup. Baru beberapa saat berada di dalam keadaan itu, matanya dibuka kembali. Haih! Kenapa pula tiba-tiba dia rasa bersalah? Rambutnya digosok dan dia duduk semula seraya mengeluh kecil.
Telefon bimbit dipandang kemudian keluhan kecil dilepaskan. Sudah sepuluh kali, bukan tiga kali dia menghubungi Safiya tetapi panggilannya langsung tidak diendahkan. Entah-entah memang Safiya sengaja tidak mahu menjawab panggilannya? Nampaknya, secara terang-terangan Safiya menunjukkan yang dia langsung tidak berminat dengannya. Jadi perlukah dia berputus asa sekarang? Sekali lagi keluhan kecil dilepaskan dan skrin telefon bimbit dipandang dengan riak kecewa.
"Apa hal semacam aje muka tu?" tegur Jamil. Wajah murung sahabatnya itu dipandang bersama kerutan. Rasanya sejam tadi elok sahaja mood Izham tetapi kenapa tiba-tiba berubah begitu? Apa yang tidak kena? Telefon bimbit di tangan Izham dikerling pula.
"Mar call ke?" tebaknya.
Nafas panjang dihela lalu kepalanya digeleng. Punggung dijatuhkan ke atas lantai lalu tubuh disandarkan ke dinding. Telefon bimbit yang masih dalam genggaman dicampakkan semula ke dalam beg sandang di sebelahnya lalu air mineral yang dibawanya dicapai dan dihirup rakus.
Jamil ikut duduk. Peluh yang meleleh membasahi mukanya dikesat dengan tuala kecil di tangan.
"Kenapa ni, Khir?" soalnya masih tidak puas hati. Melihat dari reaksi sahabatnya itu, dia tahu pasti ada sesuatu yang berlaku.
"Aku nak tanya kau, kalau aku dah terang-terang direject, perlu ke aku terhegeh-hegeh lagi walau macam mana pun aku sukakan dia?" Jamil dipandang memohon jawapan.
Jamil terdiam. Tangan yang masih mengesat peluh juga turut terhenti. Apa hal pula dengan sahabatnya ini agaknya?
"Maksud kau? Aku betul-betul tak faham ni." Dahinya yang tidak gatal digaru.
"Ingat tak aku cerita tentang seorang perempuan yang aku suka tu?" Izham mengingatkan.
Jamil terdiam sejenak kemudian kepalanya diangguk.
"Dia sebenarnya salah seorang staf tempat aku kerja. Janda anak dua. Mula-mula aku cuma bersimpati dengan nasib dia sebab suami dia curang dengan perempuan lain, tapi semakin aku mengenali dia, aku semakin suka pada dia." Izham terdiam seketika dan nafasnya dihela.
"Lepas kau beri semangat pada aku hari tu, aku dah buat keputusan nak ajak dia kahwin. So, aku panggil dia datang ofis aku dan aku lamar dia, tapi dia terus reject lamaran aku."
Mendengar cerita Izham, Jamil tergelak besar. Mengekek-ngekek dia ketawa. Izham tercengang. Apa yang tidak kena dengan tindakannya? Dia bertindak setelah dia puas memikirkannya, bukan secara melulu.
"Khir... Khir..." Jamil ketawa lagi.
"What?" Izham bingung.
"Aku tahu kau buat macam tu sebab kau nak tunjukkan keikhlasan kau, tapi tindakan kau itu menakutkan dia. Cuba kau bayang eh, dia kenal kau as a boss dekat tempat kerja dia dan tiba-tiba orang yang dia kenal sebagai bos, melamar dia. Mahu tak terkejut dia? Apa tidaknya, dia tak kenal pun kau in person. Paling menakutkan sebab dia tentu tahu yang kau suami orang. Fikir logiklah kawan, dia bercerai kerana dicurangi seorang suami. Jadi kau ingat dia akan terima lamaran kau untuk menyakitkan hati perempuan lain sepertimana dia pernah sakit?" bedil Jamil.
Izham terdiam. Terburu-burukah dia?
"Cubalah beri dia masa untuk kenal siapa kau. Maksud aku, kenal diri kau. Tapi, bukan sebagai bos dekat tempat kerja dia."
Keluhan kecil dilepaskan dan kepala disandarkan rapat ke dinding. "Hurm... Kau pun tahu Mil, aku ni bukannya pandai nak mengurat perempuan. Dengan Mar dulu pun kami bermula sebagai kawan. Bila rasa serasi aku terus ajak dia kahwin," luahnya.
"Aku bukan suruh kau mengurat tak tentu hala. Jadilah diri kau sendiri dan terus dekati dia tanpa mendesak keterlaluan. Orang perempuan yang pernah dikhianati ni selalunya memang susah nak percayakan lelaki lagi."
"Jadi, pada pendapat kau, aku perlu teruskan?" Dahi dikerutkan.
"Apa salahnya kalau kau betul-betul sukakan dia. Dalam usia kau seperti sekarang, aku tahu kau bijak menilai mana yang terbaik buat kau." Jamil jongketkan kening sambil tersenyum.
Izham terdiam dan telefon bimbit di sebelahnya dikerling. Lama dia begitu kemudian dia bingkas bangun. Telefon bimbit dan beg sandangnya dicapai.
"Thanks Mil untuk nasihat kau. Aku ada hal sikit malam ni, jadi tak dapat nak teman kau lepak mamak," sengihnya dan terus beredar dari situ.
Jamil tergelak kecil dan menggeleng. "Aku selalu lepak dekat kedai mamak tu sebab nak temankan kau aje, Khir," bisiknya dengan tawa yang masih bersisa.
Masuk sahaja ke dalam keretanya, telefon bimbit dicapai dan nombor Safiya didail sekali lagi. Setelah beberapa kali deringan, akhirnya panggilannya bersambut. Teruja, stereng keretanya diketuk gembira.
"Assalamualaikum," sapanya dan tubuh disandarkan ke kerusi agar lebih selesa.
"Waalaikumussalam. Sorry saya tak jawab call Encik Izham tadi sebab mak saya call."
Mendengar alasan yang diberikan Safiya, bibir terus tersengih. Nampaknya, Safiya bukan sengaja tidak menjawab panggilannya tadi. Dia saja yang cepat salah sangka.
"Saya ingat Fiya sengaja tak jawab," ucapnya sambil ketawa.
"Sorry."
Izham senyum lagi. "Sebenarnya masa saya telefon tadi memang saya ada banyak benda nak cakap, tapi sekarang baru saya tersedar sesuatu," ucapnya sambil ketawa kecil.
"Sedar apa?"
"Sabar itu separuh daripada iman. Jadi, saya tak nak ganggu malam Fiya. Good night dan assalamualaikum," ucapnya dan sebaik Safiya membalas salamnya, talian terus dimatikan.
Safiya di sebelah sana pula sudah terkebil-kebil sendirian. Bingung, kepala digaru. "Apa maksud kata-kata Encik Izham tadi, ya?" soalnya. Tubuh terus direbahkan kembali ke atas tilam walau hati masih bingung lagi dengan apa yang diperkatakan lelaki itu.
"Tiba-tiba ajak aku melepak malam-malam ni kenapa? Suami kau tak kesah pula kau keluar malam-malam?" Sania tersengih sambil membetulkan duduk. Kerusi di sebelahnya ditarik semakin rapat ke arahnya lalu beg tangannya diletakkan di situ.
"Suami aku? Jenis tak guna macam tu tak payahlah kau tanya. Masa aku keluar rumah pukul sepuluh tadi pun dia belum balik lagi," bedilnya dengan muka berkerut-kerut menyampah.
"Aik! Apa yang tak gunanya? Bukan kau kata dia tu Mr. Perfect ke? Handsome, sweet talker, tak kedekut dan hebat dalam bilik." Sania lepaskan tawa. Kacang goreng di dalam mangkuk dicapai dan disumbatkan ke mulut. Tangannya diangkat dan pelayan dipanggil.
Maya mencemik. "Mr. Perfectlah masa nak dapatkan aku. Bila dah dapat, baru tahu perangai tu tak semenggah mana," dengusnya. Tubuh disandarkan ke kerusi dan tangan ditongkatkan di kepala.
Ketawa Sania bersambung lagi. Baru sahaja dia hendak membalas kata-kata sahabatnya itu, pelayan sudah berdiri di sebelahnya. "I nak air tembikai laici dan roti bakar inti kaya," pesannya.
"Emmm... Teruk sangat ke?" tanyanya sebaik pelayan beredar dari situ dan kening dijongketkan. Sahabat yang sedang termenung jauh itu dipandang.
"Tak teruk apanya kalau duit pun cukup-cukup makan aje? Nasib baiklah aku ni ada buat business kecil-kecilan. Kalau tidak, tak makan aku anak-beranak. Aku ingatkan bolehlah menumpang senang. Tapi, rupa-rupanya aku juga yang terpaksa bersusah payah." Maya terus membebel. Tubuh ditegakkan dan fresh orange di atas meja dicapai lalu dihirup.
"Eh! Babe, bukan gaji dia besar ke?" Dahi dikerut tidak percaya.
"Gaji besar tapi habis bayar hutang yang entah apa-apa. Bila gaji, ada la dia bagi aku. Tapi cukup untuk beli barang dapur dan bayar utiliti aje. Untuk aku nak shopping dan enjoy tu memang tak merasalah."
"Tapi masa kau orang bercinta dulu okey aje aku tengok? Nak belikan kau rantai, gelang emas selamba aje. Bawa kau pergi restoran mahal-mahal. Candle light dinner dekat hotel lima bintang sampai cemburu jugalah aku tengok."
"Guna kad kredit bolehlah, babe. Sekarang ni membayar hutang kad kredit tak habis-habis," dengusnya geram.
Sania geleng kepala. Sungguh dia tak percaya. "Aku betul-betul ingat dia tu lombong duit kau. Tak sangka rupa-rupanya tak seperti yang aku bayangkan," luahnya.
"Aku lagi tak sangka tahu tak! Baru-baru kahwin okeylah lagi. Tapi lepas beberapa bulan kahwin, barulah keluar perangai dia yang sebenar. Sudahlah dekat rumah pemalas bukan main. Tahunya membuta aje. Bila rumah bersepah dia bising, tapi nak tolong mengemas haram dibuatnya. Sudahlah rumah tu rumah aku. Kalau ikutkan geram, aku rasa nak aje aku halau dia dari rumah tu. Nasib baik suami. Eiii! sakit hati aku ni kau tahu tak!" marahnya sampai termuncung-muncung mulut.
Ingatkan dapat hidup senang, rupa-rupanya makin menyusahkan. Kalau dia tahu, lebih baik tak payah kahwin. Kalau kahwin setakat nak buang status janda saja buat apa?
"Entah-entah dia tak berduit sebab beri pada bekas janda dia tu tak?" teka Sania.
Tersentak mendengar kata-kata Sania, Maya tegakkan tubuh. Air mukanya terus berubah. Sahabatnya itu dipandang tidak berkelip.
"Kenapa? Itu tak mustahil, kan? Lagipun dia ada dua orang anak dengan perempuan tu, kan?" Sania mengingatkan.
Termakan dengan kata-kata Sania, Maya mendengus sampai berkerut-kerut mukanya menahan geram. "Dan tak mustahil juga dia ada jumpa janda dia tu, kan?" tanyanya.
Sania mengangguk. "Kalau dah jumpa anak, tentulah akan jumpa maknya sekali," jawabnya dengan tawa.
"Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula orang yang pernah tidur sekatil. Bukan sekejap tahu tak, tapi berbelas-belas tahun. Kau rasa?" Kening dijongket.
Maya semakin tidak dapat menahan rasa amarahnya. "Patutlah sejak beberapa bulan ni dia selalu balik lambat. Entah-entah memang betul dia pergi menggatal dengan janda dia semula. Bila aku tanya, alasannya sebab banyak kerja. Kalau banyak kerja pun takkan balik sampai lewat malam? Hurm... Aku aje yang bodoh percayakan cakap dia." Gigi diketap geram dan rambutnya diraup kasar.
Sania tergelak. "Orang lelaki, babe," selambanya. Air tembikai laici yang baru dihantar pelayan dicapai dan dihirup.
Maya ketap gigi menahan geram. "Kalau betul dia buat macam tu, memanglah dia cari nahas dengan aku!" ucapnya keras.
"Kau tak cuba-cuba cari dia dekat rumah janda dia?" Sania mengapikan pula. Roti bakar di atas pinggan dicapai pula.
Kepala digeleng dengan muka cemberut geram.
"Cubalah tengok. Manalah tahu entah-entah kau terjumpa dia di dalam bilik perempuan tu? Takut dah terbiasa sampai lupa yang mereka dah tak ada ikatan," ucapnya lagi sambil tersengih sinis.
Maya terdiam. Nampaknya dia perlu melakukan seperti apa yang Sania cadangkan. Kalau tidak, dia takkan tahu apa yang Farhan buat sebenarnya, fikirnya dengan muka berkerut-kerut menahan rasa sakit hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co