Bab 9
"Ya Allah, Yah. Cuba bawa mengucap, nak. Jangan disebut-sebut tentang cerai-berai ni. Tak baik." Mak Cik Ani urut dada. Rasa hendak putus nyawa dia bila mendengar apa yang diucapkan anak perempuan sulungnya itu. Sudah berbelas-belas tahun berumah tangga, baru sekarang ucap tak sefahaman? Allah!
Safiya tarik muka dan Farhan dijeling. "Mak nak Yah bersabar sampai bila? Sampai Abang Farhan dengan perempuan tu ada anak?" bidasnya tapi mata masih tidak berkalih menjeling suami. Demi Tuhan, sakitnya hati dia.
"Kalau dah jodoh Farhan dengan perempuan tu, redalah, Yah. Cuba fikirkan anak-anak. Budak berdua tu bukan kecil lagi tapi dah besar pun." Mak Cik Ani geleng kepala pula. Nasi sudah menjadi bubur, hendak dihalang lagi pun tak ada gunanya. Apa yang boleh dia kata, reda sajalah walau hati dia sendiri sakit apabila anak perempuannya diperlakukan sedemikian rupa.
"Reda mak cakap? Kalau Abang Farhan boleh berlaku adil dan tak..."
"Fiya..." celah Farhan sengaja mematikan bicara isteri. Bimbang pecah tembelang dia nanti. Maklumlah selama ini dia hanya nampak baik sahaja di mata keluarga mentua. Kalau mereka tahu perangai sebenar dia, malulah dia nanti.
"Kenapa? Takut mak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga kita? Takut Fiya beritahu mak, apa yang abang buat selama ni?" tempelak Safiya keras. Farhan dijeling semakin tajam.
Mak Cik Ani bingung. "Apa sebenarnya yang berlaku, Yah? Apa yang Farhan dah buat? Dia ada pukul kamu?" soalnya dengan suara yang sudah naik senada.
"Pukul tu tak pernahlah, mak. Tapi cuba mak tanya Abang Farhan, siapa yang tanggung semua perbelanjaan rumah selama ni? Mana semua duit gaji dia pergi?" Safiya melepaskan apa yang selama ini dipendam.
Laju Mak Cik Ani palingkan wajah memandang Farhan. "An, cuba jujur dengan mak sekarang, betul apa yang Yah cakap tu?" Berkerut-kerut muka dia menahan marah.
Farhan terdiam dan menikus di tempatnya. Kepala ditundukkan merenung lantai. Langsung tidak berani dia hendak membalas tembakan tajam ibu mentuanya itu.
"Cakaplah dengan mak. Kenapa diam?" Safiya semakin geram.
Farhan masih tunduk membisu.
"Dah tahu yang ada pun tak tertanggung, ada hati nak kahwin lagi! Abang yakin ke kalau abang kahwin dengan perempuan tu, abang boleh berlaku adil?" bedilnya. Isteri mana yang tidak mengamuk bila tahu suami sendiri ditangkap basah dengan perempuan lain? Perempuan itu pula mati-mati minta Farhan bertanggungjawab. Paling dia sakit hati bila tahu rupa-rupanya hubungan Farhan dengan perempuan itu sudah hampir setahun lamanya. Maknanya selama itulah mereka berdua bergelumang dengan dosa. Bila diingat semula memang jijik dia rasa. Apa tidaknya, main celup sana sini ikut suka hati dia saja. Arghhh! Dasar lelaki tak guna!
"Fiya." Farhan angkat kepala dan keluhan kecil dilepaskan.
"Kenapa? Apa yang Fiya cakap tu tak betul ke?" bedilnya sengaja mencabar. Dia tahu Farhan tak akan berani hendak pusing cerita sebab dia ada semua bukti apa yang dibelanjakan setiap bulan. Dia bukan bodoh! Emmm... Bab tu mungkin dia cerdik tapi bab hati dan perasaan memang dia bodoh! Apa tidaknya, berbelas-belas tahun rela diperbodohkan Farhan. Penangan cinta punya pasal! Tapi sekarang, no! No! No! Dia tak akan bagi muka dan jadi bodoh lagi.
"Ya, abang tahu abang salah selama ni tapi berilah abang peluang betulkan semuanya," jawab Farhan serba salah.
Safiya tergelak kecil. "Betul, kan? Kalau sebelum ni bolehlah Fiya termakan kata-kata abang, tapi sekarang, maaf. Fiya tak boleh terima apa yang berlaku dan pintu hati Fiya dah tertutup rapat buat abang. Fiya tetap nak bercerai dan Fiya tak nak hidup bermadu!" tegasnya.
"Fikirkan anak-anak kita, Fiya." Farhan cuba memujuk.
"Hurmmm... Selama ni abang bukannya peduli tentang anak-anak pun. Tanyalah along dengan angah, pernah tak abang ambil tahu pasal dia orang? Tanya tentang hal sekolah, tanya tentang masalah dia orang. Memang tak pernah. Apa yang tak kena, apa yang kurang, semua terbeban atas bahu Fiya. Abang sibuk dengan hal abang. So, that's it. Fiya lebih rela hidup menjanda daripada hidup terseksa!"
Melihat nekadnya Safiya dengan keputusannya itu, Mak Cik Ani terus diam. Farhan pula sudah mati kata, tidak tahu bagaimana hendak memujuk lagi.
Teringatkan perkara yang berlaku hampir tiga tahun yang lalu itu, Mak Cik Ani hela nafas. Safiya yang sedang sibuk membersihkan belakang rumah bersama kedua-dua anaknya diperhati dengan rasa sebak di dada. Entah apalah salah anak perempuannya itu sehingga menerima nasib seperti itu? Lebih menyedihkan apabila Farhan melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa ke atas anak-anaknya dan Safiyalah yang terpaksa bersusah payah membesarkan mereka keseorangan.
"Amboi mak, termenung jauh tu fikirkan apa?" sapa Safiya lalu emaknya dihampiri semakin dekat.
Mak Cik Ani tersenyum nipis dan duduknya dibetulkan. "Farhan tak ada langsung jumpa budak-budak tu, Yah?" soalnya sambil membuang pandang ke arah Syamel dan Syazrina yang masih sibuk mengemas.
Safiya mencemik dan kepalanya digeleng. "Orang dah ada keluarga baru mak, manalah nak ingat apa yang ditinggalkan?" keluhnya.
"Along dengan angah tak ada bertanya ke pasal Farhan?" Safiya dipandang semula.
"Mula-mula tu adalah juga, tapi bila Yah dah jelaskan, mereka tak pernah tanya lagi. Budak-budak dah besar, mak. Mungkin mereka dah faham," luahnya dengan senyum yang dibuat-buat.
Mak Cik Ani hela nafas. Kecewa dia mendengarnya.
"Kalau ya pun dah kahwin lain, itu bukan bermakna dia boleh lepas tangan. Budak-budak itu anak-anak dia, Yah. Tak nak hulur duit sekalipun, jenguklah. Budak-budak tengah membesar macam tu perlukan kasih sayang dan perhatian. Allahuakbar. Tak sangka mak, Farhan macam tu," kesalnya.
"Orang dah tak suka, takkan kita nak paksa? Mungkin anak-anak Fiya akan menyusahkan dia agaknya." Safiya hela nafas. Dia sendiri pun kecewa dengan tindakan Farhan. Kalau pun sudah bercerai dengan dia, bukan bermaksud anak-anak juga Farhan kena tinggalkan sekali. Tidak adakah walau sekelumit sayang Farhan kepada anak-anak daripada darah dagingnya sendiri? Dia tahu anak-anak rindu dengan papa mereka, tapi kerana hendak menjaga hati dia, anak-anak simpan perasaan itu dalam hati.
"Kamu tak nak tuntut dekat mahkamah, Yah? Takkan kamu nak biarkan Farhan lepas tangan macam gitu aje? Tahulah dia dah ada tanggungjawab lain, tapi tanggungjawab pada anak-anak takkan dia nak diamkan saja? Takkan dia tak tahu sebagai bapa, dia wajib memberi nafkah kepada anak-anak? " bebel Mak Cik Ani geram.
"Boleh aje mak nak failkan tuntutan, tapi nanti yang penat Yah juga. Naik turun mahkamah. Tapi lepas tu keputusannya menyakitkan hati. Mak bukan tak tahu, dia tu putar alamnya macam mana. Mesti macam-macam alasan dia bagi nanti. Undang-undang syariah pun kadang-kadang berat sebelah juga. Ramai aje ibu tunggal yang menuntut nafkah anak, tapi hasilnya mengecewakan sedangkan bekas suami senang-lenang berseronok dengan bini baru. Itu yang buat Yah malas. Kalau ikut marah, memang Yah dah buat tuntutan. Tapi bila fikirkan penat, Yah jadi malas. Biarlah. Kalau dia lepas tangan dekat dunia, dekat akhirat nanti adalah balasannya nanti. Buat masa sekarang, selagi Yah masih mampu, insya-Allah, anak-anak tak akan kebuluran," tegasnya.
"Mak ni bukan apa, Yah. Mak nak kamu ajar sikit Si Farhan tu. Bapak jenis apa macam tu kalau anak-anak pun tak kesah? Anak tiri ditatang-tatang tapi anak sendiri mati kebuluran. Along dengan angah tu darah daging dia, Yah," bedil Mak Cik Ani lagi.
"Biarlah, mak. Orang macam tu hidupnya tak akan senang juga. Allah Maha Adil, mak. Yah serah semua kepada Dia. Rezeki anak-anak Yah tu nanti, insya-Allah ada la. Kalau tak banyak, sikit tetap ada."
Akur, akhirnya Mak Cik Ani mengangguk sahaja. Kalau sudah itu yang dikatakan Safiya, apa lagi yang mampu dia perkatakan? Safiya yang rasa, tentulah anaknya itu lebih tahu apa yang terbaik buatnya.
"Oh ya, Yah. Kamu ada berhubung dengan bekas mak mentua kamu? Mak dengar, katanya dia tak sihat sekarang."
"Mak tahu dari mana?" Dahi dikerutkan. Sebelum dia dan Farhan disahkan bercerai, memang selalu jugalah dia bertanyakan khabar bekas keluarga mentuanya tetapi sejak sah bercerai dekat lapan bulan yang lalu, memang dia sudah tidak berhubung dengan mereka lagi. Bukan hendak memutuskan silaturahim tetapi malaslah dikata gila talak pula.
Masa dia masih berbaik dengan keluarga mentua ketika dalam proses mahkamah pun ada suara-suara sumbang dari saudara-mara Farhan dan Farhan sendiri yang menuduh dia masih sayangkan Farhan dan cuba meracun kedua-dua mentuanya. Dia masih berbaik dengan mereka pun sebab sudah menganggap mentuanya itu seperti emak dan ayahnya sendiri.
"Pak Cik Mansor yang beritahu. Kan adik Pak Cik Mansor sekampung dengan keluarga Farhan. Kebetulan Pak Cik Mansor ke sana sebab anak saudaranya menikah."
Safiya mengangguk. "Mak tahu ke orang tua tu sakit apa?" tanyanya mengambil berat. Sudah berbelas-belas tahun hubungan kekeluargaan mereka, masakan dia melupakan begitu sahaja.
"Katanya strok sebelah badan sebab tekanan darah tinggi."
Safiya tersentak. Terkejut dia mendengarnya.
"Astaghfirullahalazim..." ucapnya bersama helaan nafas.
"Kalau ada masa, pergilah jenguk, Yah. Bawa budak-budak tu sekali melawat opah dia yang sana. Kalau Farhan dah benci anak-anak pun, mereka tu tetap atuk nenek budak-budak tu," nasihatnya.
"Hurmmm... Yalah, mak. Nanti Yah bawa budak-budak jengah opah dengan atuk dia orang yang kat sana," ucapnya berjanji. Dia bukannya jahat sampai sanggup memisahkan hubungan kekeluargaan tersebut.
"Oh ya, Yah. Macam mana dengan perempuan yang menyendeng Wan tu? Kamu ada jumpa dia, kan?" tanya Mak Cik Ani beria-ia. Anak perempuannya itu dipandang dengan muka berkerut-kerut.
"Cantik budaknya, mak. Muda lagi. Baru dua puluh satu tahun, patutlah menggedik semacam aje. Maklumlah, budak-budak baru nak up." Safiya ketawa kecil.
"Habis tu, kamu dah nasihatkan dia?"
"Yah dah nasihat dah, tapi Yah cakap kalau nak juga dengan Wan, bersedialah jaga anak Wan yang kecil tu sebab bini Wan tak nak jaga kalau jadi apa-apa."
"Astaghfirullahalazim... Ada dicakapnya macam tu?! Kalau dia sanggup macam mana?" Bahu Safiya ditepuk dan Mak Cik Ani geleng kepala.
Tawa Safiya semakin menjadi-jadi. "Allah, mak. Budak tu cuma nak main-main aje. Si Wan tu yang perasan lebih. Dia pun cakap dengan Yah yang dia anggap Wan tu macam kawan aje. Tak lebih daripada tu. Dia kata, dia pun tak pernah terfikir untuk kahwin dengan Wan. Yah tengok dalam hal ni, Wan memang bersalah."
"Habis tu, Wan tak cakap apa-apa?"
"Yah rekod dah mak apa budak tu cakap dan Yah bagi Wan dengar. Ha, biar dia sedar diri sikit."
"Hurmmm... Mak harap lepas ni dia betul-betul tinggalkan budak perempuan tu. Jangan nanti dua-dua berdrama aje sebab nak lepaskan diri."
"Harap-harap taklah, mak. Yah dah warning budak tu. Kalau Yah dengar dia masih ada hubungan dengan Wan lagi, Yah akan jumpa keluarga dia."
Hurmm... Tak pasal-pasal dia pula yang jadi orang tengahnya. Bukan senang rupa-rupanya jadi kak long, tapi masakan dia membiarkan adik sendiri menganiaya insan sejenisnya? Cukuplah dia saja yang merasa sakitnya.
"Dah, panggil along dengan angah masuk. Kita boleh makan tengah hari. Abah kamu pun dah balik tu." Mak Cik Ani bingkas bangun apabila terpandangkan suaminya sedang menongkat motor di garaj rumah.
"Assalamualaikum..."
Baru sahaja Safiya ingin berdiri, terdengar suara seseorang memberi salam. Tubuh dipusingkan. Sebaik terpandangkan Kak Yati, nafas dihela. Kalau perempuan itu yang ke mari, pasti berbahanglah telinga dia mendengar kata-kata sinisnya nanti.
"Waalaikumussalam," jawab Mak Cik Ani dan Safiya serentak.
"Eh! kau pun ada, Yah?" Kak Yati buat-buat terkejut, padahal dari jalan luar tadi lagi dia sudah nampak kereta Safiya di garaj.
Safiya buat-buat senyum. "Semalam sampai, kak. Bawa budak-budak balik tengok opah dengan atuk dia orang," jawabnya berbasa-basi.
"Uishhh! Dah besar anak-anak kau, Yah. Lawa-lawa pula tu," puji Kak Yati beria-ia apabila terpandangkan Syazrina dan Syamel di belakang rumah separa batu itu.
"Dah besarlah, kak. Dah lima belas tahun."
"Haah! Ya juga kan, Yah," jawabnya sambil terangguk-angguk. "Lama kau cuti, Yah?" tanyanya lagi.
"Lusa baliklah, kak. Nak hantar budak-budak balik asrama lepas tu."
"Oh!" jawabnya sepatah.
"Yah masuk dululah, ya? Nak siapkan makan tengah hari. Abah dah balik tu." Safiya meminta diri. Berlama-lama dia di situ, bimbang lagi banyak soalan yang akan ditanyakan.
"Eh! Yah," panggil Kak Yati apabila Safiya sudah buka langkah.
Safiya berpaling.
"Kau dah lama menjanda ni tak nak kahwin lagi ke, Yah?"
Haih! Sudah dia agak soalan itu pasti akan keluar dari mulut perempuan kepoh macam Kak Yati.
Safiya buang sengih. "Tak ada orang nak lagi, kak."
"Alah! Kau tu agaknya yang memilih. Bila dah jadi janda ni Yah, tak payahlah nak memilih sangat. Kalau ada yang nak dan boleh terima anak-anak, kau on kan aje. Lagipun buat apa menjanda lama-lama, kau tak sunyi ke? Kalau akulah Yah, tak boleh hidup tak ada laki."
Amboi! Amboi! Cakap bukan main senang lagi. Ingat nak kahwin boleh main sambar sesuka hati? Kalau dapat yang baik, alhamdulillah. Kalau dapat yang lebih teruk dari Farhan? Dia juga yang merana nanti. Hati berbisik geram.
"Buat masa ni Yah tak fikirkan pun lagi nak kahwin, tapi kalau tiba-tiba suami Kak Yati berkenan dengan Yah, mungkin Yah boleh pertimbangkan. Kak Yati tentu tak kesah kut dapat madu macam Yah, kan? Maklumlah, kita kan dah kenal lama," selambanya.
Kak Yati tergamam. Terus kelu lidahnya.
"Yah masuk dalam dulu, ya," ucapnya sambil simpan tawa. Tahu pun takut, bisiknya dan terus buka langkah untuk masuk ke dalam.
Mak Cik Ani yang mendengar perbualan itu sejak tadi simpan senyum. Ha! Kau nak main-main dengan anak aku, Yati. Mendapatlah kau, bisiknya sambil tergelak dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co